SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun AYAH ALONG Mak Ngah Weston
Junaidah Omarali AYAH ALONG Mak Ngah Weston “Kalau sudah besar dan kerja, Nani akan belikan ayah sebuah kereta” demikian janjiku kepada ayah sambil menolong membersihkan basikal cabuknya. “Kalau begitu tak payahlah ayah tunggang basikal buruk ini lagi” jawab ayah sambil tersenyum lebar. Sesungguhnya aku senang sekali melihat senyuman ayah yang memang amat menyenangkan. Ayah begitu yakin sangat yang aku akan berjaya suatu hari nanti. Tiba-tiba saja aku terkejut bila tanganku yang menongkat dagu ditarik oleh seseorang. Serta merta ingatanku pada ayah terpadam. Rupanya Siti kawan karibku yang selalu hadir mengganggu lamunanku petang itu. Siti tahu aku selalu saja termenung mengingati masa laluku. Siti duduk di sisiku lalu menyerahkan sepucuk surat rasmi yang entah daripada mana datangnya. Jantungku berdegup dan berdebar-debar. Apakah aku diterima bekerja? Siti tersenyum lebar memandangku. Senyuman Siti semacam menghantar sesuatu berita yang sekian lama aku tunggu. “Bukalah surat tu cepat!” Demikian perintah Siti yang seolah-olah surat itu milik dia. Aku terus saja membuka surat itu dan seterusnya membaca isi kandungannya sekaligus. “Alhamdullilah Siti. Syukur kepada Allah” kataku sambil menarik nafas lega. Siti ingin cepat nak tahu lalu merampas surat itu daripada tanganku. Siti membacanya dan tiba-tiba Siti menjerit gembira bila dia tahu aku dapat masuk Universiti. Hajat hati nak menyambung pelajaran ke Universiti akhirnya dikabulkan Tuhan juga. Serta merta aku teringatkan ayah yang sudah tidak ada. Tanpa diundang air mataku mengalir yang menyebabkan Siti terdiam sebentar dan tak berkata apa-apapun. Siti terharu. Demikianlah keadaannya petang itu. “Ayah mahu Nani belajar sampai masuk Universiti macam Ayah Along” kata ayah suatu malam. kata-kata itu masih mekar dalam ingatanku. Memang ayah selalu menyebut Ayah Along, tetapi hingga kini aku sendiri tidak tahu siapa Ayah Along yang sebenarnya. Iya, siapakah Ayah Along yang dimaksudkan oleh ayah itu? Pertanyaan itu belum punya jawapan. Memang sudah sekian lama aku ingin tahu siapa Ayah Along yang sering disebut-sebut oleh ayah, sampaikan menjelang memergiannya pun ayah masih menyebut nama Ayah Along. Ayang Along tentu terlalu istimewa buat ayah. Kata-kata ayah itulah yang menjadi persoalan dalam hidup aku hingga sekarang dan persoalan itulah yang menyebabkan aku tidak tenang dan ingin tahu. “Nani jangan sekal-kali mencuba derhaka kepada Ayah Along. Ayah Along memang baik orangnya” Itulah kata-kata ayah yang terakhir dan sesudah sepuluh minit kata-kata itu diucapkan, ayahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah dia mengucapkan kalimah Allah di depanku dan Atok serta Nenek. Dan mulai saat itu, aku tidak punya ayah lagi. Aku kehilangan ayah. Aku kehilangan tempat bergantung. Aku kehilangan segalanya. Sejak ayah pergi, aku bagikan orang gila. Kehilangan ayah benar-benar meninggalkan kesan kepadaku. Memang aku tidak rela ditinggalkan ayah disaat aku masih memerlukan kasih sayangnya. Atok berusaha memujuk aku ketika itu dan akhirnya aku reda menerima yang ditentukan oleh Dia. Pemergian ayah memangnya suatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah, demikian kata Ustaz Ariff ketika berkunjung ke rumahku. Kata-kata dan pujukan Atok dan Nenek telah meredakan perasaan dukaku, malah kata-kata Ustaz Ariff menyebabkan aku semakin tabah menghadapi hidupku. Sekurang-kurangnya kenyataan mereka merupakan semacam penawar buat hidupku, malah menjadi pendorong semangatku untuk menghadapi hidup mendatang. Nah, sekarang kenyataannya seluruh keluargaku mencanang kejayaanku. Ke mana saja aku pergi ada saja orang mengucapkan tahniah kepadaku kerana berjaya melanjutkan pengajianku di Universiti. Ternyata orang-orang kampungku amat bangga sekali, apa lagi bila ketua kampung datang ke rumah dan memberitahuku bahawa seluruh kampung berbangga kerana pencapaianku hingga aku berjaya memasuki menara gading. Aku berjanji bahawa aku tidak akan menghampakan harapan mereka semuanya. Nenek sedang mengacip buah pinang malam itu, sedang Atok santai sambil menghisap rokok kirai daunnya. Aku mendekati kedua orang tua itu dengan wajah yang gusar. Apapun bakal terjadi aku tidak peduli. Nyatanya aku nak tahu juga siapa Ayah Along yang sering disebut-sebut oleh ayah dan aku mahu tahu dimana Ayah Along berada sekarang. “Nani dah berkemas? ada barang-barang yang tak cukup lagi? kalau tak, Atok tolong belikan” Tiba-tiba saja Atok bertanya dengan suaranya yang agak serak yang mungkin saja kerana batuknya yang tak berkurang sejak seminggu lalu. “Semua dah cukup Tok. Barang-barang nak dibawa pun semua dah Nani kemas” Kataku dan lantas duduk di sisi Nenek. Berat benar aku nak menyampaikan hasrat hatiku. Aku jadi serba salah dan sambil itu aku membetulkan kedudukanku agar kelihatan lebih sopan ketika berhadapan dengan Atok dan Nenek. “Kalau tak keberatan boleh tak Atok dan Nenek beritahu Nani bahawa siapa sebenarnya Ayah Along yang sering ayah sebut-sebut itu dulu? Nani dah lama nak tahu dan sekarang Nani berhak tahu siapa Ayah Along sebenarnya?” Atok terdiam sebentar dan ternyata dia segera memandang wajah Nenek yang lagi mengacip pinang. Aku lihat wajah kedua-duanya berubah. Memang ada sesuatu yang mereka rahsiakan daripada aku. Aku tahu benar kesan reaksi wajah mereka kala berpandangan. Aku terus saja memerhatikan reaksi kedua-duanya. Aku tidak peduli. Aku mahu Atok dan Nenek memberikan penjelasan yang sebenarnya malam itu. Kedua-duanya diam membisu bagaikan terkunci mulut mereka. Nenek pula secara tiba-tiba semacam sedih dan tidak lama kemudian aku nampak kelopak matanya berair dan secara tidak langsung membuat aku tambah sedih dan bertambah tak faham. Apa sebenarnya hubungan Ayah Along dengan keluargaku? “Tolong beritahu Nani! jangan dirahsiakan lagi. Nani dah besar dan Nani perlu tahu cerita sebenarnya”Atok berfikir panjang. Nenek juga demikian. Bibir Atok bergetar dan suaranya semacam susah nak dikeluarkan. Atok tidak berupaya bersuara. Benar-benar tidak berupaya. Atok serbasalah. Nenek juga sedemikian. Kedua-duanya serbasalah. “Memang dah sepatutnya kau tahu siapa dia Ayah Alog itu. Itu hak kau Nani ” kata Atok yang lalu memutar-mutar rokok kirai daunnya sambil menghantar pandangannya jauh keluar jendela yang terbuka bebas lepas malam itu sambil ditatapnya bintang-bintang yang mengiringi bulan purnama di dada langit. “Hak? apa maksud Atok? Apakah Nani ada kaitan dengan Ayah Along?” tanyaku serius dan pertanyaan itu secepatnya aku ucapkan yang menyebabkan Nenek teresak-esak menangis. “Hampir lapan belas tahun Ayah Along meninggalkan kita tanpa berita hanya kerana salah faham. Dia langsung pergi tanpa peduli Nenek dan Atok” kata Atok sedih. Nenek tunduk membisu. Entah apa yang difikirkan oleh Nenek ketika itu. “Jadi ayah dan Ayah Along adik beradik? Kenapa Ayah Along pergi meninggalkan Atok dan Nenek?” tanyaku dan Atok mengesat air matanya. Aku turut hiba melihat Atok menangis. Nenek masih diam tak berkata-kata. “Salah faham yang tak sempat diterangkan. Dia pergi melulu dan dia tinggalkan kita” kata Atok dan kelihatannya Nenek tak dapat mengawal perasaannya lagi yang lalu terus saja menangis teresak-esak. Aku memandang wajah Nenek. Ternyata sekali di wajah Nenek tercermin perasaan rindu yang bukan kepalang terhadap Ayah Along. “Sebenarnya Ayah Along adalah…” kata-kata itu terputus. “Siapa Ayah Along?” “Dia ialah….” “Dia siapa Tok?” “Dia ialah ayah kandung Nani” “Apa? Dia ayah kandung Nani?” “Iya, dia ayah kandung Nani. Ayah Along pergi, maka ayahlah yang membesarkan Nani setelah ibumu meninggal dunia kerana melahirkan kau Nani. Dialah Ayah dan dia juga ibu kepada Nani sehingga Nani besar. Dia telah korbankan kebahagiannya untuk kau Nani” Aku terpaku akibat kata-kata Atok yang bagaikan bangunan runtuh ke pundakku. Aku semacam tak percaya bahawa Ayah Along adalah ayah kandungku. Air mataku mula mengalir. Aku sedih ayah yang kusanjung tinggi yang telah menerangi hidupku dan memandikan aku dengan kasih sayang bukan ayahku sebenar. Lama aku terdiam. Aku memandang Atok lagi dan meminta Atok meneruskan ceritanya. “Malam itu semasa ibumu memberitahu kami yang dia mengandung empat bulan. Ayah Along kau pulang ke rumah dengan wajah bengis dan marah-marah. Dia menumbuk ayah kau tanpa kami ketahui apa sebabnya. Habis semua barang-barang diamuknya dan kalau tak kerana ayah melindungi ibumu mungkin Nani tak berpeluang melihat keindahan dunia ini. Ayah Along kau nak membunuh ibumu malam itu, tapi ayah dapat menghalang, kerana tak tertahan dengan sikap ganas Ayah Along kau, Atok terus mengerjakan Ayah Along dan dia terus berkemas dan pergi sampai sekarang dia tak kembali ” kata Atok dengan wajah yang kecewa dan Nenek terus juga diam tak bersuara. “Selepas itu Budin datang memberi tahu yang Ayah Along kau bergaduh dengan Sahak dan Sahak yang ampunya angkara menyebabkan Ayah Along kau mengamuk. Sahak sampaikan cerita yang tak benar dan mengatakan yang Ayah Along kau itu lelaki dayus kerana membiarkan isteri curang dengan adiknya sendiri. Kami tak sempat nak terangkan kedudukan sebenar kerana Ayah Along dah pergi. Memang benar Ayah kau dulu bercinta dengan ibumu masa sekolah tapi bila ayah kau tahu Ayah Along sukakan ibumu dia sanggup lepaskan ibumu, mereka berpisah secara baik-baik. Ayah kau tak mahu melukakan hati Ayah Along sebab dia terlalu sayangkan Ayah Along. Ayah kau tak sebijak Ayah Along sebab itu Ayah bekerja berhempas pulas untuk membiayai pengajian Ayah Along sampailah Ayah Along berjaya dengan membawa segulung ijazah” terang Nenek dan aku jadi terharu. Amat terharu bila mendengar penjelasan Atok tentang pengorbanan ayahku. “Nani tetap anak ayah sampai bila-bila kerana tangan ayahlah yang membesarkan Nani sampai Nani berjaya. Nani sayangkan Ayah” Aku terus memeluk Nenek dan menangis semahu-mahuku. Iya, tanpa pengetahuan Nenek dan Atok aku berusaha mencari maklumat di mana Ayah Along tinggal. Mungkinkah Tuhan mahu menemukan aku dengan Ayah Along? Aku berusaha tanpa ketahuan Atok dan Nenek. Aku nekad ketika itu. Pagi itu aku pergi ke pekan. Tujuanku hanyalah mahu menemui seseorang yang boleh membantuku mencari Ayah Along. Sedang aku berfikir jauh tiba-tiba saja Haji Tapa menegurku. Entah kenapa mulutku terlepas memberi tahu Hj.Tapa yang aku nak menemui Yap Sing kawan lama Ayah Along. Kata Pakcik Budin mungkin Yap Sing boleh memberi tahu di mana Ayah Along berada. “Nani nak jumpa Datuk Hj Hashim? Dia itulah ayah Nani yang sebenarnya. Pakcik ada alamat pejabatnya. Nah ini kad dia. Kebetulan Pakcik terserampak dia dua hari lalu di pejabat Daerah. Dialah yang membagi kad itu…” Aku amat bersyukur kerana terjumpa Haji Tapa yang kebetulan tahu alamatnya Ayah Along. Sesampai saja di pekan aku terus menghubungi kawan karipku Ah Ming. Dia saja yang boleh aku harap dapat membantukku untuk mencari Ayah Along. Aku menghubungi Nenek dan menyatakan yang aku tak dapat balik kerana ada hal di Kota Kinabalu. Nenek mula-mula tak mahu melepaskan aku pergi, tetapi bila kubohongi yang aku mahu menguruskan hal kemasukanku ke Universiti, maka barulah Nenek mengizinkan. Aku menceritakan segalanya kepada Ah Ming. “Sejak dulu sampai sekarang kau tak tak berubah-ubah. Semua nak cepat. Semua nak segera…” Ah Ming memarahi aku yang memang dia tidak suka caraku, tapi aku tak peduli. Ah Ming menghubungi kawannya dan bercakap sesuatu dengan bahasa cina yang langsung tidak aku fahami. Aku dan Ah Ming pergi dengan cara menumpang kereta Wira Putih milik kawan Ah Ming. Sampai di Kota Kinabalu Nancy, Bob dan Karan sudah menanti di tempat yang Ah Ming janjikan. Aku amat gembira dapat bertemu kawan-kawanku. Kami meraikan pertemuan itu di Restoran Rohayu dekat Sembulan dah tentunya Nancy yang belanja sebab dia yang mencadangkan pertemuan itu di tempat tersebut. “Tak sangka Ah Ming dan Nani dapat masuk Universiti yang sama. Aku dan Bob pula di Universiti Sains Pulau Pinang. Sementara Nancy ke Amerika” kata Karan sambil ketawa kerana merasa seronok dapat berkumpul sama. “Universiti di mana-mana pun sama saja. Yang penting kita kena pertingkatkan lagi usaha agar impian menjadi kenyataan, jangan sampai hanya sekerat jalan” kataku selamba. “Hari ini adalah hari terakhir pertemuan kita dan lepas itu masing-masing bawa diri. Apa kata kita buat perjanjian selepas kita belajar, kita berkumpul di sini semula, setuju?” Demikian cadangan Ah Ming dan nyatanya semua bersetuju. Selepas makan dan berbual seketika kamipun bersurai. Aku dan Ah Ming terpaksa meminjam kenderaan Nancy bagi tujuan mencari pejabat Ayah Along di Kota Kinabalu. Aku bersyukur bila menemui pejabat Ayah Along yang letakknya betul-betul di Bandar Kota Kinabalu. Cuma bersebelahan dengan hotel Ruby Inn. Ah Ming aku nasihatkan menungguku di loby hotel Ruby Inn. Jantungku berdebar kencang nak menemui Ayah Along. Tujuanku hanya satu, iaitu nak membersihkan nama ayah dan ibuku. Bagiku Ayah Along tak berhak menghukum orang tanpa usul periksa. “Boleh saya berjumpa dengan Datuk Hj. Hashim ?” tanyaku kepada setiausaha yang ketika itu sedang menaip sesuatu. “Saudari ini siapa?”tanya setiausaha selamba “Saya keluarganya dari kampung. Saya nak berjumpa dengan dia” kataku serius dan setiausaha itu menatap wajahku. “Baiklah. Mari ikut saya!” kata setiusaha Ayah Along yang lalu membawaku ke bilik Ayah Along. Kala berada di dalam bilik pejabat Ayah Along, aku disuruh duduk. Mataku tepat memandang Ayah Along. Dia kelihatan sibuk dengan kerja-kerjanya. “Ya, ada urusan apa jumpa saya?” nadanya kedengaran sombong. Aku relex dan membetulkan kedudukanku agar kelihatan tegak duduk di depan Ayah Along . “Kamu siapa? Kenapa jumpa saya? ” tanyanya lagi kala pertanyaan pertama tidak aku jawab dan kelihatannya dia hairan. Aku terus memandangnya. Dia semacam acuh tak acuh sambil terus bekerja. “Saya Nani anak Normah dari kampung” Serta merta dia terkejut dan terus memandang tajam ke arah wajahku. Aku senyum dan dia diam sebentar. Aku sedar dia tak suka dengan kedatanganku. Matanya liar seolah-olah mengingati sesuatu yang barangkali mencuba mengembalikan ingatannya yang sekian lama terpadam. “Normah? Dia perempuan gila. Dia cantik tapi curang. Kecantikan kamu sama seperti emak kamu juga, jadi kenapa kamu nak jumpa saya? nak suruh saya membuat pengakuaan yang kamu anak saya? atau nak tuntut harta saya? ” sindiran dan penghinaannya memang tajam sampai menyusuk ke ulu hatiku. Saya mencuba untuk tidak marah ketika itu. “Saya memang cantik. Saya memang mewarisi kecantikan emak saya dan sebab itu ramai lelaki gilakan emak saya termasuklah awak” kataku selamba tapi tegas. Melihat keangkuhannya, aku dah hilang hormat kepadanya dan terpaksa membahasakan dia dengan perkataan awak. Wajahnya mula berubah. Dia terasa akibat kata-kataku. “Saya tak mahu tahu apa tujuan kamu datang ke sini. Oleh itu silakan pergi. Banyak lagi kerja yang hendak saya selesaikan” Ayah Along menghalau aku. Aku tak kisah sebab akupun rasa tak bersopan kala berkata dengannya. Tapi aku sakit hati melihat pandangannya terhadapku. “Aku datang ke sini bukan nak menutut harta. Jauh sekali nak minta awak buat pengakuan yang aku anak awak. Melihat kesombongan awak aku sendiri tak ingin berayahkan orang seperti awak. Barangkali awak merasakan yang awak orang terbaik dan sempurna di dunia ini sehinggakan tak ada lagi ruang di hati awak untuk melihat kebenaran nyata. Aku hanya punya satu niat saja, iaitu nak bersihkan nama ibu dan ayahku daripada pandangan serong orang seperti awak. Awak menghukum orang tanpa bukti. Adakah itu adil? Ayah aku korbankan segala kebahgiaannya untuk awak. Dia pendam perasannya kerana awak dan apa yang dia dapat? Memang ayah dan ibu pernah bercinta tapi bila ayah tahu awak juga ada hati dengan ibu, maka ayah rela ayah lepaskan ibu untuk awak tapi apa balasan awak? Awak hina dia. Awak kata dia pengacau. Awak hina ibu. Awak hukum mereka dan awak hukum Atok dan Nenek yang tak berdosa. Ayah aku yang jaga Atok dan Nenek dan awak ke mana? Apa yang aku dengar ayah juga yang membiayai awak sehingga awak jadi orang ternama seperti sekarang. Semuanya kerana ayah. Kamu tahu tak?” aku agak marah sekali dan sekaligus air mataku mula mengalir tanpa dapat dihalang lagi. “Jadi ayah awak mengungkit apa yang telah dia berikan kepadaku? Dengar sini baik-baik. Aku boleh bayar. Bagi tahu ayah kau berapa banyak dia mahu, aku akan jelaskan” kata Ayah Along. Aku benar-benar marah. “Mengungkit? Selama ini, aku tak pernah mendengar ayah kutuk awak apa lagi nak mengungkit. Tak pernah sekalipun, malah dia bangga dengan awak. Dia suruh aku belajar tinggi-tinggi macam awak dan dia juga pesan supaya aku tak derhaka kepada awak. Awak kata dia mengungkit? Awak sedar tak bahawa 18 tahun dia menjalankan tanggungjawab awak untuk menjaga dan membesarkan aku, dan lebih berat lagi dia menjalankan tanggungjawab ibu setelah ibu meninggal dunia kerana melahirkan aku. Nah, sepanjang itulah aku tak pernah kering dengan kasih sayangnya. Dia ibu dan juga ayah dan dia segala-galanya buat aku. Dia korbankan segala hidupnya kerana aku….” aku tak dapat menahan sebak di dada lagi dan terus menangis. Ayah Along terdiam dan aku lihat kelopak matanya semacam berair. Dia bangun lalu membelakangiku. Aku juga bangun untuk beredar. “Sebelum aku pergi aku minta maaf kerana kebiadapanku, cuma satu permintaanku tolong jangan heret Atok dan Nenek dalam permasalahan awak dengan Ayah. Mereka tak bersalah. Tapi kalau awak masih tak puas hati hukumlah aku bagi menebus kesalahan ayah dan jangan hukum Atok dan Nenek. Mereka dah cukup lama menderita. Apa lagi bila ayah dah tiada....” dengan tangisan, aku yang hiba terus keluar pergi dari bilik Ayah Along dan segera turun ke bawah. Ah Ming hairan melihat aku datang sambil menangis. Kami terus saja pulang dan di kampung aku tidakpun menceritakan pertemuanku dengan Ayah Along kepada Atok dan Nenek. Dua hari kemudian, sampailah waktunya untuk aku berangkat ke UMS. Sebelum berangkat keadaan rumah riuh rendah dengan gelak ketawa. Ada saja sanak saudara datang mengucapkan selamat jalan. Atok telah menyewa sebuah Van untuk menghantar aku ke UMS. Sedang aku bersalam-salaman dengan saudara maraku. Ah Ming mengait begku dan menunjukkan ke arah kereta Pajero yang baru saja sampai. Siapakah yang memandu kereta Pajero itu? Kelihatannya kereta itu tidak pernah hadir di halaman rumah kami. Aku terkejut. Benar-benar terkejut bila Ayah Along yang datang bersama isterinya. Aku terus masuk ke dalam Van untuk mengelak berhadapan dengan Ayah Along. Rasanya tak mahu aku berdepan dengan Ayah Along. Aku melihat Nenek berlari memeluk Ayah Along dengan tangisan yang cukup mengharukan. Begitu juga Atok. Mereka bertangis-tangisan menyambut kepulangan Ayah Along. Aku masih duduk dalam Van menahan rasa. Aku serba salah. Aku diam saja. Aku semacam tidak mahu berjumpa dengan Ayah Along, tetapi aku terkejut bila Ayah Along datang lalu menghulurkan tangannya kepadaku. Aku menyambut huluran tangan Ayah Along dengan tangisan. Aku terus memeluk Ayah Along dan berkata bahawa meski Ayah Along begitu, dia tetap ayah kandungku. “Maafkan ayah. Ayah memang bersalah terhadap ibu Nani, Atok dan Nenek terutama sekali Hassan ayahmu. Maafkan ayah…” Ayah menangis. Ayah benar-benar menangis. Aku terharu. Aku sedih bercampur gembira. Aku terdiam. Aku tak banyak bercakap ketika itu. Aku tak mampu bercakap, tapi aku terus memeluk tubuh Ayah Along sekuat-kuatnya. Memeluk seerat-eratnya. Pelukan seorang anak yang 18 tahun tidak ketemu. editor: ismaily bungsu
Diterbitkan oleh : |