SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Jubah dan serban: Apa motif mereka?Oleh: Mohd Nazmi Yaakub
MEMBACA berita larangan pemakaian jubah dan serban di kalangan kakitangan kerajaan negeri Johor, saya mengeluh panjang. “Apa kena sebenarnya dengan kepala hotak mereka ini?” Begitu sungut saya, rasanya lebih kepada kemahuan menyumpah-seranah saja. Ia mengingatkan saya kepada peraturan pemakaian yang dikenakan terhadap rakan-rakan pelajar negeri Selangor di Mesir. Mereka tidak dibenarkan berpurdah, manakala yang lelaki tidak dibenarkan berjubah. Purdah adalah antara sekian banyak hukum yang khilaf di kalangan ulama, termasuk fuqaha’ dari empat mazhab yang masyhur. Namun, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang amanah dengan ilmu beranggapan wanita haram menutup muka, melainkan ketika dalam keadaan berihram. Anehnya peraturan pemakaian yang kononnya supaya pelajar mengenakan pakaian bercirikan Melayu, tidak pula ditegaskan kepada pelajar dari negeri yang sama menuntut di pelbagai universiti atau kolej di seluruh dunia? Mengapa pelajar agama yang sudah tentu menutup aurat ditekankan hal sedemikian, tetapi kepada pelajar yang lain, terutama yang melampau dalam pendedahan aurat, tidak pula diutarakan hal yang sama? Malah, timbul pula persoalan, bagaimana pula andainya ada pelajar berbangsa selain daripada Melayu menuntut di sini, adakah mereka ini juga diwajibkan memakai yang berunsurkan Melayu? Belum selesai kemusykilan ini, negeri Johor melangkah lebih jauh pula – mengarahkan kakitangannya tidak memakai jubah atau serban. Hello, bukankah kita masih lagi dihangatkan dengan isu larangan bertudung kepada pelajar sekolah di Singapura! Setiap peraturan mesti ada rasionalnya. Manusia yang berakal fikiran waras akan mengenakan peraturan yang logik dan mempunyai tujuan yang baik. Apabila peraturan tidak berdasarkan rasional dan tidak mempunyai penjelasan logik, bolehkah kita mengatakan mereka yang memutuskan peraturan itu kurang waras? Apakah motif peraturan itu? Saya tidak menemukan kemungkinan yang lebih sesuai, melainkan pakaian sedemikian sama ada akrab dengan PAS atau boleh jadi terhubung dengan gerakan yang dilabelkan sebagai terrorisme atau militan Islam. Soalnya, adakah pakaian sedemikian semata-mata mirip PAS atau terrorist? Boleh jadi, ramai dari kalangan muslimat PAS mengenakan jubah, sebagaimana ramai juga dari kalangan mereka yang lebih selesa berbaju kurung. Tidak mustahil dalam keadaan perubahan politik pasca 1998, wanita yang tidak menutup aurat pun akan menyokong PAS. Tidak semua yang berjubah adalah muslimat PAS. Sepanjang pengetahuan saya, jubah dipopularkan al-Arqam, termasuk pemakaian purdah. Ketika Anwar Ibrahim masih berada dalam UMNO, ahli ABIM yang lebih terlihat akrab dengan UMNO, termasuk di kampus-kampus, ramai juga yang berjubah, atau sekurang-kurangnya baju kurung mirip jubah. Isteri pengikut jamaah Tabligh juga ramai yang berjubah, walau pun mereka diketahui tidak mencampuri soal politik. Itu belum dicampur angkanya, dari kalangan non-partisan yang tidak mahu bertabaruj. Makanya, walau pun ramai muslimat PAS berjubah, tetapi ia tidak boleh dinasabkan kepada PAS. Islam menuntut wanita yang akil baligh menutup aurat dan tidak bertabaruj [menonjolkan kecantikan di hadapan lelaki ajnabi], tetapi tidak menetapkan jenis pakaian. Apa saja yang bertepatan dengan maksud tersebut dibolehkan, tidak kira baju kurung, jubah, seluar atau kotak sekali pun! Mereka yang arif dengan hukum-hakam, tidak kira apa jenis parti politik sekali pun, sepatutnya menutup aurat dengan apa cara sekali pun. Oleh sebab pemakaian jubah dilihat bersesuaian dengan arahan Allah itu, maka wanita muslimah yang sedar mengenakannya. Boleh jadi, mereka berjubah setelah berkenalan dengan PAS dan bergaul dengan muslimat PAS. Boleh jadi juga, mereka ini belajar di sekolah agama dan bertemu hukum-hakam, lalu cuba mempraktikkan. Boleh jadi, lain-lain sebab yang terlalu banyak, mereka insaf lalu berjubah. Tetapi jubah tetap bukan milik PAS. Ia boleh jadi pakaian dominan di kalangan muslimat PAS, tetapi mereka memakai bukan kerana PAS. Kalau kerana PAS, lebih baik mereka mengenakan lencana berlogo parti saja. Begitu juga serban. Ya, kalangan pemimpin PAS sama ada bertaraf ulama, ustaz atau profesional ada yang berserban. Tetapi ia tetap tidak menjadikan serban itu serban PAS. Serban sudah menjadi pemakaian tradisi dalam Islam. Ulama Islam ramai yang berserban. Malah, serban juga menjadi tanda kepada tahap ilmu seseorang ulama. Kalau sesiapa pergi ke pondok-pondok di Pattani, mereka akan menemui tuk guru dan ustaz yang berserban. Tetapi, mereka bukan ahli PAS. Cuba ke Lembah Klang, ramai yang tidak berserban, bahkan tidak pernah memakai serban, adalah sama ada pemimpin, ahli atau simpatis PAS. Adakah jubah dan serban menunjukkan ciri terrorist atau militan Islam? Tidak! Manusia yang serba fobia di AS akan berjaga-jaga bila berdepan dengan muslim berserban atau muslimat berjubah. Tetapi kita harus maafkan mereka, kerana fikiran mereka terlalu sempit. Adakah kerana terrorist menaiki kereta Ford, katakan, maka Ford dianggap kereta terrorist? Dalam filem, gangster dan samseng selalu ditonjolkan menggunakan van GMC, tetapi adakah bila kita menemui manusia menaiki van jenis yang sama, maka mereka adalah gangster atau samseng? Kerana fikiran sempit, manusia fobia di Barat beranggapan pakaian itu menunjukkan fikrah seseorang. Adakah kita mahu menjadi sesempit itu juga di Malaysia? Perkara 11 perlembagaan Persekutuan menjamin hak dan kebebasan rakyat untuk menganut dan mengamalkan ajaran agama masing-masing. Saya tidak fikir, pemakaian jubah dan serban akan mengganggu sensitiviti orang bukan Islam. Kalau ada yang beranggapan sedemikian, ia adalah berbahaya dalam konteks masyarakat majmuk. Tidak mustahilkah suatu hari nanti, ada pula orang yang terganggu dengan turban Sikh atau cheongsam Cina? Kalau ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan kerana membenarkan pandangan prejudis ini hidup? Ketakutan tanpa asas telah menyebabkan pandangan prejudis ini subur. Ia sekarang ini sedang mewabak di kalangan masyarakat Barat, dan seperti SARS, ia mahu menghasut mentaliti lemah kalangan pencandu-pencandu Barat ini. Kerajaan negeri seharusnya menjadi pihak terakhir yang terpengaruh dengan ketakutan tanpa asas dan menjadi pihak pertama membetulkan pandangan prejudis yang sungguh tidak harmoni terhadap masyarakat majmuk ini. Jauh daripada menuduh mereka bersikap anti-Islam, kebimbangan bersifat politik ini wajib dihentikan. Jubah, tudung, purdah dan serban, bukan milik mana-mana parti politik. Ia sebahagian syiar dalam Islam dan juga menjadi wasilah kepada pengamalan hukum-hakam dalam Islam. Kalau kita boleh menerima pemakaian kot dan tai, mengapa kita begitu gugup berdepan dengan pakaian yang berasal dari tradisi Islam, dan akrab pula dengan syariat. Dalam sejarah, Mustafa Kamal Ataturk dikira berjaya menjadikan tudung sebagai musuh negara. Tetapi tempoh kejayaan itu tidak lama, kerana tidak silap saya enam dari sepuluh wanita Turki sudah bertudung. Kamal Ataturk sudah lama mati, dan dia dikenang sebagai antara sekian banyak musuh Islam. Namanya sudah tidak harum sekarang, kerana antara usaha jahatnya mengharamkan pemakaian tudung dan serban. Apabila Allah mengingatkan manusia, betapa hebat usaha mereka mahu memadamkan cahaya Allah, mereka tidak akan berjaya. Mereka seperti mahu menutup cahaya matahari. Ya, mereka boleh menutup cahaya matahari hanya dengan berada dalam tempurung kelapa. Dalam keadaan matahari berada di ubun-ubun kepala ini, adakah kita mahu berada dalam tempurung kelapa, kalau pun tidak mahu nanti dinasabkan kepada Kamal Ataturk yang sedang dikutuk itu?
Diterbitkan oleh : |