SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun PULANG KAMPUNGSebuah cerpen karya Norbaya Musa dari Sekolah Menengah Beaufort Sabah(016-8022134) PULANG KAMPUNG A G A K lama kampung itu aku tinggalkan. Aku kurang ingat. Aku sendiri tidak menghitungnya. Memang aku tidak menghitungnya. Yang benar aku sudah pun dianggap telah menghilangkan diri dari kampung itu. Aku rasa bahawa kalau tidak silap kali akhir aku berada di kampung itu kira-kira lima belas tahun yang lalu. Iya, aku ingat-ingat lupa betapa seronoknya aku menikmati nyamannya tiupan angin senja kala di tepi danau yang tenang bersama abang Is dan kala itu aku sedang menunggu keputusan akhir peperiksaan tingkatan lima. Abang Is yang memangnya punya rasa cinta seni yang agung dan mendalam sangat terhadap kampung yang satu-satunya itu. Abang Is sering saja menyatakan betapa setianya dia terhadap kampung kerana kampung katanya ialah tanah tumpah darahnya yang tidak mungkin dilupakan. Abang Is kata lagi bahawa kampung itulah sebahagian daripada kehidupannya dan kampung itu tidak akan ditinggalkannya sampai bila-bila pun. Itu janji abang Is kepada saya dan janji itu jualah diucapkan kepada kawan-kawannya. "Jangan sekali-kali kau tinggalkan kampung ini Ira" kata abang Is suatu petang sambil kami berjalan di pematang dan sesudah penat berjalan kami sama-sama duduk di kandang sawah bendang yang ketika itu menghijau daun padinya sambil sesekali datang berterbangan kumpulan kawanan burung-burung pipit yang entah dari mana dia mnuncul yang kekadang secara tiba-tiba. "Pastinya begitulah bang" Jawabku. Abang Is menatap wajahku yang barangkali dia tidak percaya sangat akan pengakuan yang aku ucapkan ketika itu. Aku lihat abang Is tersenyum dan seperti biasa aku tunduk malu tak berkata apa-apa sesudah itu. Di Kampung ini kulepaskan kerinduan ke laut usia/Terpenjara sisa hidup derita/Meniti jambatan duka/Di sini ada cinta/Terbenam membenam bersama malam.Tiada cahaya. Muram berkilauan tak ada batasnya. "Hebatnya puisi abang Is" Kataku bila melihat cara abang Is membaca puisi secara spontannya. Aku memangnya begitulah tertarik sikap abang Is yang selalu saja menarik perhatianku kala dia membaca puisi apa lagi kala kami ketemu. "Ira selalu saja menganggu abang" Kata abang Is yang kelihatannya berpura-pura bermuka masam. Aku tahu benar sikap abang Is yang selalu saja mencuba perasaanku. Aku merajuk dan meninggalkan abang Is sendirian yang lalu aku cepat-cepat menyembunyikan diri di balik pokok belunu dan mangga di tepi danau. Abang Is aku lihat mengelebah dan segera mencari aku di mana-mana kala aku menghilang secara tiba-tiba saja. Aku buat tak peduli. Aku sembunyikan diri kemas-kemas di balik pokok belunu. Tak bersuara. Diam membeku. "Ira jangan buat abang begini. Janganlah merajuk" Kata abang Is ketika dia tahu aku ada di sebalik pokok belunu. Aku terus juga diam. "Abang cari Ira juga ya."Kataku kala abang Is berada di depanku dan aku diam terpaku sesudah itu, sedang abang Is terus memujukku dan aku memangpun terpujuk. "Ira jangan buat abang begini. Nanti Ira jatuh di Danau. Tentu abang juga yang susah. Abang tak mahu kehilangan Ira tau" kata abang Is sambil memegang tanganku erat-erat. Aku biarkan saja abang Is pegang tanganku. Aku rela. Memangpun aku rela. "Ira suka abang baca puisi?” Aku diam. Abang Is memerhatikan wajahku. Memang pada hakikatnya aku suka sangat abang Is baca puisi. Abang Is memang pandai menyusun kata. Kalimatnya yang diatur begitu menarik dan jelas serta memikat hatiku. Pendapatnya selalu bernas. Dalam diam aku memang mengkaguminya. "Ira jangan sekali-kali tinggalkan kampung ini iya. Ira janji ya" pinta abang Is setelah kami duduk semula di dalam sulap yang kerusinya hanya sebatang pohon getah yang sudah hampir patah. Iya, aku benar-benar ingat suasana pertemuan itu. Pertemuan yang cukup memberi kesan kepadaku. Sampai sekarang pun aku masih ingat. Tidak mungkin aku lupakan. Aku jadi kasihan kepada abang Is yang entah bagaimana keadaannya sekarang. Aku tidak tahu, tetapi menurut beberapa orang kawan kononnya abang Is agak pendiam dan tak banyak berbicara. Aku memang tidak mampu menunaikan janjiku kepada abang/kata hati kecilku. Aku tidak terdaya. Benar-benar tidak terdaya. Keadaanlah yang sebenarnya memaksa aku untuk tidak lagi menetap di kampung itu. Tentunya abang Is punya sangkaan yang bukan bukan kepadaku. Tapi suatu hari akan aku jelaskan juag kepada abang Is agar dia tahu apa sebenarnya yang berlaku. Iya, meninggalkan kampung kerana keadaan. Iya, kerana akulah satu-satunya anak ayah yang berjaya masuk ke IPTA yang menyebabkan aku terpaksa berhijrah. Abang Is langsung saja tidak aku beritahu tentang penghijrahan itu. Aku pergi diam-diam. Terasakan sangat aku terlalu berdosa kepada abang Is dan aku benar-benar bersalah, malah bersikap kejam terhadap abang Is. Aku tak tahu apa perasaan abang Is bila aku tiba-tiba saja hilang dari kampung halaman. Hilang bermakna tidak menunaikan permintaan abang Is, apa lagi kala pemergianku tanpa ketahuan abang Is sendiri. Nah, sesungguhnya kami langsung saja tidak berhubungan lagi sejak hari aku meninggalkan kampung itu. Walau kadangkala aku ada juga bertanya khabar tentang abang Is dan kampungku, tapi jawapan yang kuterima samar-samar sahaja. Jadi, aku terus saja mendiamkan diri, tetapi aku yakin kami akan ketemu jua akhirnya nanti. Kasih/Bukan sengaja kupalingkan muka/Di perjalanan ini /Dari menatap lembut wajahmu/Kerana ada rahsia/Tersimpan di ruang mata/Amat sukar mengungkai kata/Dalam bicara/Dalam kesetiaan/Maaf kalau terluka datang bersua/Atau bertambah segaris duka/Di pertemuan antara kita/Relakan segala nostalgia/Antara kita/Kerana mimpi di malam yang sama/Terlerai di laut duka/Kerana antara kita mencari diri/Di jalan sendiri Masa terus berlalu. Begitu cepat tanya aku sedari. Aku semakin jauh meninggalkan kampungku. Begitupun rinduku tetap bersarang. Tak mungkin aku lupakan begitu saja. Dalam hati aku bertekad suatu hari aku akan kembali ke kampung jua atau paling tidak aku akan menjenguknya. Jasni, Jaafar, Nadin, Kak Rubiah , Junaidah adalah di antara teman-teman rapatku selain abang Is. Aku tahu mereka masih menetap di kampung yang kutinggalkan itu. Aku kagum dengan kesetiaan mereka terhadap kampung. Kesibukan kota sedikit pun tidak menjejaskan kecintaan mereka terhadap kampung. Aku sebenarnya masih setia pada kampungku. Masih sayangkan kampung yang satu-satunya itu. Mahu saja aku nyatakan kepada abang Is bahawa aku sebenarnya masih ingat akan janjiku padanya lewat pertemuan-pertemuan kami di tepi danau, kerana perasaan itulah aku tanpa banyak soal menerima pelawaan Kak Siti untuk hadir ke upacara menamakan sebuah dewan yang baru dibina di kampung itu. Upacara itu penting dan anak-anak kampung yang lahir dan membesar di sana perlu hadir sama, kerana dewan itu perlu diletakkan satu nama dan nama itu mesti mengambil nama seorang tokoh di kampung itu kata Kak Siti. Manalah tahu kalau-kalau nama kita tersenarai di antara nama yang dicadangkan tambah Kak Siti berjenaka. "Kita bukan tokoh". kataku separuh mengejek "Lalu, siapa tokohnya?" soal Kak Siti. "Seorang tokoh harus yang berwibawa bukan macam kita." jawabku selamba dan Kak Siti terdiam. Kepalanya diangguk-anggukkan bagaikan mempersetujui kenyataanku. Aku tahu Kak Siti hanya menduga aku. Kami sama-sama ketawa. "Siapa yang kakak fikir layak?" soalku kepada Kak Siti dan Kak Siti tidak terus menjawab, tetapi dia berfikir. Aku sendiri tidak tahu apa yang Kak Siti fikirkan. "Kalau Kak sebut pun bukannya Ira kenal, Ira pun dah lama lupakan kampung". jawab Kak Siti seperti memperli aku. Aku terdiam bagaikan mengakui kebenaran kata-kata Kak Siti. Hari yang dijadualkan itu sudah tiba. Seawal pagi aku sudah bangun dan menyiapkan diri. Aku memakai baju kurung biru warna kegemaranku dan mengenakan mekap ala kadar biar kelihatan natural. Kak Siti mahu aku memandu kereta untuk merasa getarnya perjalanan ke kampung itu. Aku tidak faham maksud kata-kata Kak Siti. Perjalanan yang mengambil masa lebih sejam itu membuat aku cukup ditemani pelbagai perasaan dan persoalan. Adakah aku akan sampai ke perkampungan yang sekian lama kutinggalkan itu atau akan adakah lagi penghuninya yang mengenali aku atau entah-entah hanya Kak Siti seorang yang mengenali aku, sementara Jasni, Jafar, Nadin atau abang Is langsung tidak kenal. Iya, ternyata akhirnya aku sampai juga di tempat yang dituju. Beberapa meter dari tempat aku meletakkan kereta kelihatan beberapa orang berbual sesama sendiri. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering, ternyata Kak Siti yang menelefon. "Kereta letak bawah tu saja!" katanya seperti membuat arahan. "Yala....!" jawabku selamba. "Terus saja ke sini. Orang dah ramai" sambung Kak Siti lagi. Dan sebaik saja aku meletakkan kereta/lalu aku turun dan ternyata Siti sudah menunggu kehadiranku. Dari jauh lagi dia sudah tersenyum. "Selamat pulang ke desa indah" kata Kak Siti sambil menghulurkan tangannya kepadaku. Aku menyambut. Kak Siti begitu gembira menerima kehadiranku ketika itu. "Macamana?" soalnya kemudian. "okey" jawabku. "Apa yang okey?" soal Kak Siti. "Kampung ini cantik dan menarik" jawabku tanpa berfikir. Kak Siti tersenyum sambil menarik tanganku ke suatu sudut. Aku mengikutnya. "Itulah di antara tokoh-tokoh yang bakal dinamakan nanti" kata Kak Siti sambil menunjuk ke arah sekumpulan yang kelihatan seperti berbincang. "Kenapa tak pilih tokoh yang dah tak ada"? soalku. "Gila engkau, dewan ni perlu dijaga oleh yang hidup agar terus hidup, buat apa nak pilih yang dah mati?" jawab Kak Siti. Aku mengangguk dan mengerti maksud Kak Siti. "Hei.....Nadhira ke "? tiba-tiba seorang lelaki separuh umur menegurku. "Iye...Jasni ke?" aku menyoalnya balik. "Akulah ni....mari ke sana ramai lagi kawan-kawan kita"!pelawa Jasni. Aku terharu. Kampung yang sudah sekian lama aku tinggalkan masih indah dan permai bahkan semakin cantik dan membangun. Tambah terharu bila aku bertemu semula dengan teman-teman lama seperti Jasni, Jaafar, Kak Rubiah dan lain-lainnya. "Macam mimpi rasanya jumpa engkau di sini Ira" kata Jaafar sebaik saja aku duduk di sebelahnya. Kami berbicara banyak hal. Tentu saja hal-hal yang terjadi kala kami masih kecil. "Biasalah orang macam kita ni selalu seperti berada dalam mimpi tetapi nyata". Jawabku. Tawa kami berderai, mesra walau pun lama tidak bertemu. "Semua hadirin dipersilakan masuk kerana sebentar lagi majlis akan bermula". tiba-tiba suara pengacara bergema lewat corong pembesar suara. Kami pun bergegas masuk ke dalam dewan. Kak Siti kelihatan amat sibuk. Maklumlah untuk majlis itu Kak Siti telah dilantik sebagai Setiausaha. Aku walau pun datang atas undangannya terpaksa mencari alternatif sendiri mencari rakan untuk berbual sementara menunggu majlis bermula. "Engkau rasa sapa yang layak?" soal seorang lelaki yang tidak kukenali kepada rakan di sebelahku. "Siapa lagi Ismaillah" jawab rakan tersebut. "Ismail mana satu....kita ada dua Ismail, dua-dua ada ketokohan, Ismail A ke Ismail B"? soal lelaki itu lagi. "Ismail A....Ismail B tak nak". jawabnya. Aku berfikir sendiri. Apakah yang dimaksudkan mereka itu ialah abang Is? Mataku segera mencari di antara ratusan yang hadir. Bang Maily yang sering menemaniku di tepi danau dengan puisi-puisi syahdu dan puitisnya sudah lama tidak kutemui. "Cari siapa?" tiba-tiba Kak Siti muncul. Aku tersipu malu. Aku rasa Kak Siti semacam tahu apa yang terpendam dalam hati kecilku. "Abang Is" kak Siti menudingkan jarinya ke arah seorang lelaki yang berbaju krim dan berkaca mata. Detak jantungku berdegup kuat. Betulkah dia abang Is, soalku sendiri. "Itulah abang Is kau" sambung Kak Siti seraya berlalu. Dari jauh aku memerhati gerak olah abang Is. Dia tidak banyak berubah, kecuali tubuhnya kelihatan sedikit kurus. Matanya layu dan kurang bermaya. Senyumannya juga terasa hambar bagaikan menyimpan suatu derita. "Sebelum penamaan ke atas dewan ini dimulakan, terlebih dahulu kita hendaklah melantik seorang ketua panel yang akan mengadili dan seterusnya memilih seorang tokoh yang benar-benar layak". pengacara mengumumkan sesuatu. Aku terhenti dari memikirkan tentang abang Is. "Saya mencadangkan Saudara Ismail B dilantik sebagai Ketua Panel, kerana saya berpendapat beliau adalah amat layak dalam membuat pemilihan" berdiri seorang hadirin. "Tidak. Seorang ketua panel mestilah terdiri dari yang betul-betul warga kampung ini, yang ibu dan bapanya adalah lahir di sini" tiba-tiba seorang perempuan separuh umur bangun dan membantah. Kelihatannya perempuan itu mahu memperlihatkan kehebatannya berkata-kata di depan orang ramai. "Jadi siapa sebenarnya yang betul-betul warga kampung ini, cuba jelaskan kepada saya" abang Is berdiri. Suaranya agak tinggi. Kelihatannya abang Is marah. Marah sangat. Kenyataan perempuan itu menyingung perasaannya. "Saya juga dilahirkan di sini, walaupun ibu bapa saya bukan orang kampung ini, tapi cuba buktikan adakah semua yang hadir di sini terdiri dari mereka yang disebutkan tadi?" sambung abang Is. Suaranya bergetar tanda dia cukup marah. Benar-benar marah. "Bertenang. Dalam keadaan marah saya percaya saudara Ismail B tidak boleh menjadi ketua panel, untuk itu saya mencadangkan saudara Osman" berdiri pula seorang lelaki yang bahasanya pelat Indonesia. Kata orang dia seorang ustaz yang berasal dari Medan. "Saya menyokong cadangan yang pertama, saudara Ismail B seorang yang fliksibel dan profesional, saya percaya dia boleh bertindak sebagai ketua panel dalam keadaan apa pun" tiba-tiba berdiri pula seorang lelaki yang bersongkok tinggi. Aku masih kenal lelaki itu namanya Karim. Kata Nadin, Karim itu sekarang menatap di Kudat. Karimpun pun memang dilahirkan di kampung itu tapi usia Karim lebih muda dari aku. "Setuju" suara ramai bergema membenarkan abang Is jadi ketua panel. Aku merasa lega. Dalam diam aku membela abang Is walau pun aku tak berani bangun untuk bersuara. Aku takut sebenarnya jika bersuara akan disergah oleh perempuan yang separuh umur itu. Kecut anak perut aku. Anag Is tentu belum pasti membela aku. Keputusan telah dicapai. Ismail A dijulang sebagai tokoh yang akan dimeterai di dewan itu. Mulai hari itu dewan itu pun diberi nama Dewan Ismail A. Semua yang hadir berpuas hati kecuali beberapa orang termasuk perempuan yang mempertikaikan kedudukan abang Is. Rupanya dalam diam perempuan itu berangan agar namanya dijulang sebagai tokoh. "abang Is ya?" aku beranikan diri mendekati abang Is sebaik saja tugasnya selesai. “Iya, kenapa” “Tak kenal saya?” “Macam pernah jumpa?” “Aku Ira bang” "Ira? " “Iya, Ira” “Astaga” "Abang apa khabar?" soalku sambil menghulur tangan untuk bersalam dengan abang Is. "Biasa saja Ira" jawab abang Is "Ira bagaimana?" soalnya kemudian. "Baik" jawabku. Kami terdiam seketika. Aku tak tahu nak cakap apa. Sesungguhnya aku amat terharu dengan pertemuan itu. Aku melihat ke dalam mata abang Is. Nyatanya ada rindu yang terpendam. Ada derita yang menikam suka. Ada perit sengsara. Aku diam saja dan sesudah itu kami berjalan beriringan. Iya, berjalan beriringan, tetapi tidaklah berpegang tangan seperti lima belas tahun yang lalu. CATATAN: Norbaya Musa kawannya kepada Junaidah Omarali. Bekerja di Jabatan Pendidikan Beaufort, Maknnya dia menatap di Beaufort dan Kuala Penyu asal kampung halamannya. Memang telah menulis beberapa buah karya sastera. Dialah yang menubuhkan BAHASA cawangan Beaufort. Karya berjodol “Pulang Kampung” terhasil setelah selesai mesyuarat agung Badan Bahasa Sabah di Kota Kinabalu dan karya ini diedit tanpa merubah karya asalnya-ISMAILY BUNGSU
Diterbitkan oleh : |