SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun HAK NURUL IZZAH JANGAN DINAFIKANSelaku penulis yang dihormati, penulisan Aman Rais dalam kolum Tanahair Aku bertarikh pada 16 Mei 2003 bertajuk “Selamat pengantin baru Nurul Izzah” pasti membuatkan ramai tertanya –atanya apakah benar artikel ini merupakan hasil penulisan beliau sendiri. Kualiti penulisan beliau sebelum ini begitu tajam dengan analisa dan pendapat yang mantap. Namun, penulisan beliau kali ini teraba – raba dalam usaha beliau untuk mengetengahkan asas yang kukuh. Majlis jamuan meraikan perkahwinan Nurul Izzah dikritik oleh Aman Rais kerana dibantah oleh aktivis reformasi. Jemputan telah dihantar oleh keluarga pengantin kepada seramai mungkin kenalan ke majlis tersebut. Keluarga tidak dapat mengheret kesemua orang yang dijemput untuk turut menghadiri majlis tersebut. Adalah menjadi hak mereka untuk menghadirkan diri ataupun tidak. Walaubagaimanapun, ada sebuah sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud “Bila kita dijemput ke majlis Walimatul Urus (majlis perkahwinan) maka wajib kita memenuhi undangan tersebut.” Jikalau adapun aktivis reformasi yang tidak hadir itu adalah hak mereka, namun saya lihat lebih ramai lagi yang hadir termasuk mereka yang mengkritik majlis tersebut dari awal lagi. Jikalau penulis inginkan reformasi bermula dari Bukit Damansara, saya cukup yakin hasrat penulis telah tercapai. Majlis perkahwinan tersebut berjaya menyatukan kepimpinan keADILan, PAS, UMNO, DAP, PRM, MCA, Gerakan, duta – duta asing, wakil – wakil NGO, seniman, karyawan, bekas – bekas pegawai kerajaan, bekas – bekas menteri, pemimpin pelajar, peguam – peguam, doktor – doktor dan ramai lagi yang tidak tersenarai. Berkumpulnya mereka di majlis tersebut berjaya memberikan nafas dan gelombang baru kepada perjuangan reformasi itu sendiri. Kekuatan yang ada pada Anwar Ibrahim berjaya menyatukan kesemua kelompok ini dalam satu majlis yang tidak seberapa. Mungkin penulis merasakan ini tidak penting dalam perjuangan reformasi ? Tuduhan pengkelasan masyarakat itu tidak didasarkan kepada asas yang kukuh dan merupakan tuduhan yang begitu dangkal. Apakah penulis tidak menghargai sumbangan Timbalan Presiden keADILan, Naib – Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ahli – Ahli MPT keADILan yang menghadiri majlis untuk “VVIP” sahaja ? Apakah pula dosa para doktor yang merawat Anwar Ibrahim, para peguam yang membela Anwar Ibrahim, wakil – wakil NGO pejuang hak asasi, pemimpin – pemimpin pelajar, ulama – ulama; apakah mereka semua ini tidak membawa aspirasi rakyat ? Apakah mereka semua ni “VVIP” dengan darjat yang berbeza dengan “rakyat marhaen” ? Keluarga telah memanjangkan jemputan kepada wakil – wakil dari segenap lapisan masyarakat termasuk aktivis reformasi. Saya yakin dan percaya Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hadi Awang, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Rustam Sani, Sanusi Osman, Sivarasa Rasiah yang turut hadir merupakan antara pejuang reformasi terawal yang sudah berpuluh tahun berjuang tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sifat ini berbeza dengan mereka yang memanggil diri sendiri “aktivis reformasi” yang begitu “murka” kerana tidak mendapat kad undangan atau tidak mendapat “keistimewaan layanan” pada majlis perkahwinan tersebut. Mereka yang berfikiran sempit ini mengambil langkah mengherdik dan memaki hamun keluarga pengantin disebabkan merasakan diri mereka begitu penting dan merasakan merekalah sebanrnya “VVIP”. Jikalau penulis memberi perhatian khusus; di setiap meja pada majlis perkahwinan tersebut ditempatkan wakil – wakil parti dan peguam Anwar untuk memperjelaskan dan menerangkan perjuangan parti dan tuntutan reformasi kepada “VVIP” : tokoh – tokoh korporat, duta – duta asing dan para jemputan. Mungkin penulis merasakan bahawa ini tidak penting dalam perjuangan reformasi. Kita harus insaf bahawa masih ramai yang belum mendapat penerangan berkenaan intipati perjuangan reformasi itu sendiri. Ramai yang tidak mendapat gambaran sebenar mengenai reformasi daripada media – media arus perdana. Oleh itu, sengaja ditempatkan penjawat – penjawat utama parti dan peguam – peguam untuk menangkis tuduhan serta menerangkan perjuangan sebenar reformasi kepada para jemputan. Adakah aktivis – aktivis reformasi yang berdemonstrasi dapat mendabik dada bahawa titik peluh mereka berjaya memberikan penerangan secukupnya kepada rakyat ? Saya tidak dapat menerima kemahuan Aman Rais untuk menjadikan majlis tersebut satu “spectacle” dengan demonstrasi besar – besaran. Apakah sebabnya yang menyebabkan mereka mahu berdemonstrasi pada majlis tersebut ? Untuk membantah Nurul Izzah daripada berkahwin dengan Raja Ahmad Shahrir ? Begitulah sempitnya hujah dan pemikiran Aman Rais dan pengkritik – pengkritik majlis tersebut, ini adalah satu majlis meraikan perkahwinan kedua mempelai yang baru mendirikan masjid; ini bukannya Mesyuarat Agung Tahunan, ini bukannya demo membantah kezaliman, ini bukannya demo menyatakan yang hak. Jikalau penulis merasakan bahawa reformasi hanya bermaksud demonstrasi jalanan sahaja, saya cukup kecewa kerana reformasi tidak berjaya membawa kesedaran yang secukupnya kepada penulis. Reformasi bukan hanya tertumpu kepada demonstrasi sahaja, reformasi bermaksud pembaharuan kepada seluruh aspek kehidupan dan caranya bukan dengan berdemo sahaja. Reformasi harus mengangkat ggagasan pemikiran yang dibawa Anwar Ibrahim untuk memperjuangkan hak rakyat dan memastikan rakyat mendapat pembelaan. Kritikan kepada keluarga jika benar harus disandarkan kepada bukti dan asas yang kukuh; bukannya tuduhan melulu tanpa sebarang usul periksa. Pembelaan penulis terhadap “aktivis reformasi” tersasar jauh kerana mereka ini tidak layak dipanggil diri mereka pejuang reformasi kerana telah menidakkan hak Nurul Izzah untuk berkahwin dengan sempurna, menyanggah keluarga kerana tidak diberikan layanan istimewa ala “VVIP” dan yang paling mencemuhkan hati saya adalah kerana mereka cuba menjadikan majlis keluarga yang ‘pivate’ kepada satu majlis yang huru hara dan tidak bertamadun. “ Berilah keADILan kepada mereka yang berhak. ” - Petugas Tanpa Tag
Diterbitkan oleh : |