SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun SERANGAN KE ATAS WARTAWAN - KAJI PUNCA MENGAPA JENAYAH SEMAKIN MELUAS
SERANGAN KE ATAS WARTAWAN Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengutuk dengan keras tindakan samseng menyerang dan mencederakan wartawan Pang Tian Kon di Segamat baru-baru ini. Kami merasa sedih mendengar bahawa kecederaan yang ditanggungnya sangat teruk, dan kami ingin menyatakan simpati kami kepada beliau. Kami mendesak pihak polis membuat siasatan rapi dan memburu samseng-samseng tersebut sampai dapat dan membawa mereka ke mahkamah supaya boleh dikenakan hukuman setimpal untuk dijadikan teladan. Jenayah sekarang ini sudah menjadi masalah keselamatan negara yang paling serius. Peristiwa jenayah pelbagai jenis semakin meningkat sekarang ini. Tiap-tiap hari ada saja berita yang menggempar dan menyedihkan. Orang ramai kini merasa tidak selamat bagi diri dan keluarga mereka, walaupun di dalam rumah, apatah lagi di luar rumah. Jenayah ini berleluasa kerana pasukan polis semakin tidak berkesan, bukan semata-mata kerana bilangan mereka tidak cukup ataupun ramai polis terikat kepada tugas-tugas bukan kepolisian, terutama sekali pentadbiran. Sebenarnya pasukan polis sekarang ini terlalu sering diarahkan untuk menjalankan tugas-tugas yang bertujuan politik. Apabila tuan-tuan politik mereka mahu mendapat keuntungan politik dari kempen-kempen seperti memerangi pil ecstasy atau VCD haram, misalnya, hampir semua tenaga polis dikerahkan ke situ. Kempen-kempen ini jikalau dijalankan secara terancang dan berkesan, memang baik. Malangnya, ini tidak berlaku kerana ia merupakan kempen berbau politik semata-mata. Lagi pula, pasukan polis acap kali dikerahkan untuk menggagalkan ceramah-ceramah pembangkang, himpunan aman reformis, bahkan juga wanita-wanita yang cuba hendak berkumpul bagi membantah jenayah rogol. Selain itu ialah masalah rasuah yang disebabkan oleh antara lain oleh gaji polis yang rendah. Akibat rasuah pasukan polis, tidak mampu bertindak dengan tegas dan berkesan. Rasuah di kalangan mereka yang terlibat hendaklah segera dibanteras. Lagi pula tindakan liar sesetengah polis menembak mati beratus orang (termasuk orang awam tidak bersalah) semata-mata kerana mereka disyaki penjenayah, memberikan teladan buruk kepada samseng-samseng, dan juga menjatuhkan wibawa serta martabat polis dalam masyarakat. Masalah jenayah yang menjadi-jadi ini bukan berpunca dari sikap atau tindakan polis semata-mata, bahkan juga daripada beberapa kepincangan dalam masyarakat, terutama dari segi ekonomi dan sosial. Sementara ada sebilangan kecil yang bertambah kaya raya, terdapat ramai orang yang semakin miskin dan tidak mempunyai pekerjaan. Diantaranya mereka yang terdesak berpindah dari kampung atau estet ke bandar dan juga pendatang asing yang tidak mempunyai tapak dan hidup terumbang ambing. Sesetengah golongan ini mempunyai tradisi dan gerakan samseng atau triad yang sudah lama pula. Kami menyeru supaya pihak pemerintah mengambil langkah untuk mempertingkatkan disiplin serta keberkesanan pasukan polis, membanteras rasuah dan menaikkan gaji di kalangan mereka. Seterusnya, pemerintah hendaklah membentuk sebuah badan penyelidik, dengan bantuan tenaga para akademik, profesional dan juga ibu bapa, bagi menjalankan penyiasatan mendalam ke atas punca jenyayah yang semakin meluas sekarang dan memperakukan cara-cara untuk mengatasinya. Pemerintah hendaklah membuktikan iltizam politik untuk memerangi masalah jenayah ini. Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden keADILan 21hb Julai 2003
Diterbitkan oleh : |