Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ibrahim Ali Pengampu UMNO Abad Ini !.

Membaca pengisytiharan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan ( MTRK ) yang dipimpin oleh presidennya, Ibrahim Ali dengan menobatkan Mahathir sebagai ‘ Wira umat Melayu dan dunia abad kini ‘ seperti dilaporkan oleh akhbar yang juga kaki ampu, kebanyakan rakyat Malaysia tidak sedikitpun rasa terkejut dengan berita yang dianggap bukan berita itu.

Rakyat mungkin terkejut dan hairan kalau puji-pujian itu dilakukan oleh NGO lain yang tidak ada kepentingan politik seperti JIM, ABIM dan sebagainya. Malah rakyat semakin hairan kalau ianya dilakukan oleh parti politik pembangkang seperti PAS, KeADIlan , DAP atau lainnya yang bukan kerabat BN. Dan kalau itulah yang berlaku, barulah ianya betul-betul berita yang bernilai !. Macam berita seorang posmen digigit anjing semasa menghantar surat ke rumah seseorang. Itu berita kecil dan biasa . Tapi, kalau posmen itu bergelut dan berjaya membunuh anjing dengan menggigitnya semata-mata kerana hendak menyelamatkan surat yang tiba-tiba dilarikannya, haaaa itu baru berita besar dan panas !.

Kesimpulannya, rakyat sudah boleh paham dan boleh mengagak itulah kerja-kerja tambahan para pengampu dalam parti UMNO sejak mutakhir ini. Mereka sanggup buat apa saja yang orang lain tak terfikir dan rasa malu nak lakukan, asalkan kerja-kerja mengampu dan membodek dapat dilakukan kepada seorang ketua yang amat disanjung dan didewa-dewakannya ( Kerja yang macam ini mungkin ada persamaan dengan sikap golongan Syiah seperti didakwa oleh perwakilan yang didengar dalam perhimpunan agung UMNO tidak lama dulu ).

Akhbar yang menyiarkan berita seperti itu pun satu hal juga. Kalau berita kecil macam kuman di tengah padang pasir, tak payahlah nak siar. Masukkan dalam bakul sampah lagi baik. Apalah hebatnya MTRK tu. Cuma sebuah NGO yang dipimpin oleh seorang yang bersifat macam katak, suka lompat sana sini untuk kepentingan peribadinya, dan motifnya tak lain tak bukan cuma nak mengampu membodek saja sepanjang masa.

Bagi rakyat Kelantan, sanjungan dan pengisytiharan Ibrahim Ali itu kurang tepat dan kurang berkesan kalau semata-mata nak mengampu dan membodek Mahathir yang akan meninggalkan tahta Malaysia pada Oktober depan. Alang-alang nak ampu bodek lebih baik buat satu perisytiharan melalui akbar Utusan dengan iklan empat muka surat berwarna atau lebih , kemudian adakan perarakan seribu orang berkereta atau bermotorsikal mengelilingi Malaysia dengan membawa slogan : MAHATHIR AMIRUL MUKMININ UMAT ISLAM SEDUNIA. TIADA MAHATHIR, TIADA LAGI KEJAYAAN DAN KEMAJUAN NEGARA ABAD INI. PERGINYA MAHATHIR BERERTI PADAMLAH SINAR ISLAM. MAHATHIR PEMIMPIN UMAT ISLAM SEDUNIA YANG TIADA TANDINGAN. MAHATHIR PEMIMPIN ISLAM YANG TIDAK ADA GANTINYA SEHINGGA HARI KIAMAT.UMNO MALAYSIA MEMUJA MU MAHATHIR DULU, KINI DAN SELAMANYA. Dan macam-macam lagi slogan ampu bodek yang boleh direka cipta……….

Lepas itu, Ibrahim Ali pun duduk di pintu rumah Mahathir di Putra Jaya menangis melolong selama tiga hari tiga malam , kerana terlampu sedih di atas persaraan Mahathir sebagai pemimpin negara !. Kalau macam itulah yang akan dibuat oleh Ibrahim Ali, pasti dia akan dapat habuan yang ‘ munasabah ‘ dari Mahathir. Dan dia boleh memecahkan rekod sebagai juara pengampu nombor satu Malaysia. Tapi, kalau tak sanggup buat begitu, elok berhenti sajalah wahai Ibrahim Ali dari melakukan perbuatan mengampu membodek yang sia-sia serta sekadar untuk memalukan rakyat Kelantan tu…….

Awang Dalang




______________________
Terbitan : 7 Julai 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com