Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

TAHNIAH SAIFUDDIN - NAIB PRESIDEN keADILan

Tahniah ! Saifuddin Nasution Ismail dilantik selaku Naib Presiden keADILan pada penghujung tahun 2002. Dalam Pemilihan Persidangan Agung Tahunan di Kemaman, Naib - Naib Presiden keADILan yang dipilih adalah YB Mohamed Azmin Ali, Tian Chua dan Dato' Sheikh Azmi Ahmad. YB Presiden prihatin dengan tugasan yang banyak dan perlu dipikul bersama oleh barisan Naib - Naib Presiden. Tetapi, Tian Chua pada ketika itu ditahan di Kem Tahanan Kamunting di bawah ISA, manakala, Dato' Sheikh Azmi Ahmad tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan malah kehadiran dalam Mesyuarat MPT pun boleh dibilang jari sebelah tangan.

Maka, YB Presiden dengan perogeratifnya telah melantik YB Saifuddin Nasution Ismail dan Dr. A. Xavier Jayakumar sebagai Naib - Naib Presiden (Lantikan) termasuk dengan lantikan beberapa orang ke kerusi MPT. Ahli - ahli dan pendokong - pendokong parti amat berharap agar lantikan baru ini dapat memperkukuhkan parti yang senantiasa menerima asakan bertubi - tubi dari luar begitu juga dalam parti. keADILan memerlukan kesemua lantikan ini berfungsi untuk memantapkan parti dan bukan memecah belahkan parti.

Pendokong keADILan berharap dengan kebolehan semulajadi Saifuddin yang petah berucap dengan begitu berkesan agar dapat menentang propaganda UMNO - BN. Rakyat cukup yakin bahawa Saifuddin mampu membawa suara keADILan dengan fokus di Utara Semenanjung (Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kedah). Kepetahan Saifuddin begitu memukau dan fakta - fakta yang diselitkan akan membolehkan gerakan penerangan kepada rakyat berjalan dengan lancar. Akan tetapi, pendokong keADILan agak gusar dan gundah gulana dengan juak - juak yang mengelilingi dan mengepung Saifuddin. Juak - juak inilah yang telah bergerak bermula daripada Pemilihan di Kemaman, ke dalam Pemuda keADILan dan kini dalam barisan tertinggi MPT. Daripada laman web rasmi sayap parti ke dalam Seruan keADILan. Juak - juak Saifuddin inilah yang telah merancang, mengadu domba sehingga mengusir satu persatu pimpinan parti yang dilihat sebagai batu penghalang kepada angan - angan mereka untuk menguasai parti.

Mula - mulanya, Mustaffa Kamil Ayub disisihkan dengan begitu aib sekali, kononnya beliau lemah dan tidak berdaya, pengecut dan bacul. Selepas berjaya menguasai hampir separuh barisan Pemuda keADILan, jauk - juak ini sudah 'Besar Kepala' dan meletakkan barisan juak – jauknya sebagai penjawat – penjawat utama Pemuda keADILan. Tidak cukup dengan itu, Ezam Mohd Nor harus diperlekehkan. Apabila pendokong keADILan merungut Pemuda tidak bergerak, Ezam menulis kepada juak – juak ini beberapa kali dengan 18 helai surat menggesa dan mendesak Pemuda keADIlan supaya bergerak dan aktif dengan mengatur program, nasihat beliau tidak diendah sama sekali. Saifuddin tertekan dengan desakan Ezam mengugut meletak jawatan dan dituruti oleh juak – juak beliau. Semuanya sepakat sehidup semati dengan Saifuddin. Namun, selepas berjumpa terus denganEzam kesemuanya menarik balik perletakan jawatan mereka. Rancangan pusingan kedua bermula.

Khalid Jaafar harus dijatuhkan daripada tampuk Editor Berita keADILan. Pada mulanya, dijaja cerita kononnya kandungan Berita keADILan terlampau tinggi bahasa dan tidak dapat difahami rakyat; selepas itu dituduh Berita keADILan tidak membawa aspirasi parti dan dituduh Berita keADILan menentang keputusan parti. Apabila Berita keADILan membawa sesi soal selidik pencapaian pimpinan MPT, Pemuda dan Wanita dan secara tidak langsung mengkritik pimpinan Pemuda yang ketika itu di bawah Timbalan Ketua Pemuda, Saifuddin; maka juak - juak ini telah melancarkan perang habis - habisan untuk mengusir Khalid Jaafar. Maka, di dalam Persidangan Agung Tahunan di Sungai Petani, kubu kuat Saifuddin, juak - juak ini dengan tocang - tocang mereka telah menggunakan pentas untuk berucap bahawa Jentera Penerangan parti harus diselaraskan, perlu dapat difahami rakyat, perlu membawa aspirasi parti, Berita keADILan harus menurut keputusan parti dan banyak lagi. Pendek kata, Khalid Jaafar harus dipecat dari jawatan Editor Berita keADILan dan Ruslan Kasim harus dibuang dari jawatan Ketua Penerangan. Apabila MPT menasihati juak - juak ini dalam mesyuarat sebelum persidangan utama, maka juak - juak ini telah melompat dan melolong lolong kemarahan tidak terhingga. Amaran seorang juak ini selepas mesyuarat tersebut, "kita akan londehkan dengan Presiden sekali". Bukan setakat itu sahaja, juak - juak ini telah mempersoalkan ketelusan YB Presiden dalam soal dana dan sumbangan parti. Malah, seorang daripada para konspirator utama juak ini telah menggunakan rostrum untuk mencela YB Presiden dengan "mendesak YB Presiden tidak berdolak dalih dan menerangkan dengan telus soal dana dan sumbangan yang diterima untuk parti", ini memberi mesej kononnya YB Presiden telah menyelewengkan dana parti. Lihatlah betapa kurang ajarnya seorang konspirator utama juak ini.

Akibat daripada tekanan yang diterima, maka, untuk menyedapkan hati juak - juak ini, Khalid Jaafar telah diminta untuk mengosongkan jawatan Editor Berita keADILan dan Ruslan Kasim direhatkan daripada jawatan Ketua Penerangan. Hasrat mereka hampir tercapai, objektif pertama untuk menguasai Pemuda telah dibereskan, agenda kedua ialah mendapatkan Jentera Penerangan parti. Maka, juak - juak ini pun mula melobi jawatan Editor Berita keADILan, keluarlah nama - nama juak - juak tersebut; seorang berkelulusan Cambridge, seorang bekas wartawan media perdana; maka, salah seorang dipilih selaku Editor. Berita keADILan pun ditukar kepada Seruan keADILan. Lobi tidak terhenti disitu, Saifuddin dicanang - canang sebagai Ketua Penerangan. Namun, YB Presiden bijak menghidu kerja - kerja kotor mereka; Khalid Jaafar yang telah terpelanting daripada Editor Berita keADILan dilantik sebagai Ketua Penerangan; Mustaffa Kamil Ayub yang telah mereka aibkan di Pemilihan Kemaman, telah dilantik ke jawatan Setiausaha Agung. Hasrat tidak kesampaian, marah tidak dapat dibendung.

Tugasan mereka tidak lebih daripada mengadu domba para pimpinan, melobi untuk jawatan dan pangkat. Seorang dua daripada juak - juak ini telah berjaya melobi untuk dilantik ke kerusi MPT (Lantikan). Kononnya, mereka ini banyak buat kerja di luar negara, berkelayakan, berpendidikan tinggi ke Cambridge dan London, petah berceramah. YB Presiden dengan nasihat Timbalannya telah melantik kedua - dua juak ini ke kerusi MPT (Lantikan). Mereka tidak perlu berdamping dengan rakyat, mendengar rintihan rakyat, bermesra dengan rakyat; tetapi mereka hanya perlu 'mengipas' Saifuddin dan menasihati dan melobi YB Presiden dan Timbalan Presiden. Mereka ini leka dengan jawatan yang dipegang tetapi tugasan langsung tidak dibuat, membuh teman seperjuangan dalam parti lebih utama daripada membunuh musuh sebenar UMNO - BN.

Akhirnya, YB Presiden pun melantik YB Saifuddin sebagai Naib Presiden (Lantikan), alangkah gembiranya Saifuddin apatah lagi juak - juaknya, melompat - lompat keriangan. YB Saifuddin pun dijaja - jaja kesana sini sebagai Naib Presiden yang berwibawa, Seruan keADILan sudah seperti menjadi Seruan Saifuddin dan juak - juak beliau dalam MPT dan Pemuda (kebanyakannya atas ehsan lantikan sahaja).

Saya tetap berfikiran terbuka, YB Saifuddin memang layak selaku Naib Presiden (lantikan atau dipilih); lebih baik daripada Dato' Sheikh Azmi yang hanya memanaskan bangku Naib Presiden. Tetapi YB Saifuddin jangan tidak pandang langit tinggi rendah; pentingkan akar umbi bukan juak - juak yang pandai merancang, menulis rencana dan mengkonspirator; dengar juga rintihan dan hasrat pendokong keADILan dan bukan tiga empat orang elitis yang berpendidikan Cambridge dan London, berdarah biru, peguam hebat atau bekas wartawan besar. Mesyuarat perlu dihadiri, jangalah beri alasan "Permaisuri Gering". Jangan seperti juak - juak anda yang senantiasa uzur, dibedah atau dalam koma. Kami menaruh harapan kepada YB Saifuddin, beliaulah antara harapan rakyat untuk ditonjolkan sebagai barisan pemimpin yang berkredibiliti dan berkemampuan. Janganlah beliau punahkan harapan kami, janganlah menitikberatkan juak - juak anda sahaja. Dengarlah dan timbanglah rasa hati pimpinan yang lain; jangan terperangkap dengan juak - juak ini yang ingin menguasai parti tanpa mementingkan kepentingan parti. Mereka ini tidak membawa hasrat dan aspirasi akar umbi; mereka hanya membawa hasrat poket besar dan perut buncit mereka sahaja.

BERHATI - HATI DENGAN KUMPULAN JUAK - JUAK (KJJ-HBRS) !!!
Kepada YB Saifuddin Nasution Ismail - kami ucapkan tahniah Naib Presiden !!!

Nukilan

- BUKAN LULUSAN CAMBRIDGE
- BUKAN BERPENDIDIKAN LONDON
- BUKAN PEGUAM HEBAT
- BUKAN WARTAWAN BESAR




______________________
Terbitan : 26 Julai 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com