SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Makmal komputer: Bukan telus tetapi bolos - Ustaz HadiKUALA TERENGGANU, 25 Julai (Hrkh) - Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan yang menyifatkan tindakan kerajaan mengambil berat soal penyelewengan pembinaan makmal komputer menunjukkan ketelusan kerajaan, ditolak bahkan dipersoalkan oleh PAS. "Itu bukan telus tetapi 'bolos'. Sudah bolos dan tembus. Bila terantuk barulah mereka bangkit dan tanda kecuaian kerajaan Barisan Nasional," kata Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Bagi beliau, Umno sebuah parti yang tidak bertanggungjawab dalam mentadbir urusan negara sehingga dipengaruhi oleh eleman-eleman politik. Sangat malang politik wang bukan sahaja berlaku dalam pemilihan Umno, bahkan melibatkan projek-projek kerajaan, katanya. "Saya berharap agar pihak BPR mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani gejala yang tidak sihat ini dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan tanpa memilih bulu dan mempedulikan siapa yang bertanggungjawab dan melakukan penyelewengan dalam masalah ini," katanya kepada Harakah. Menurut beliau, PAS telah menyebut perkara ini di Parlimen ketika membahaskan Peruntukan Tambahan pada tahun lalu bahawa berlakunya penyelewengan dalam memberi kontrak kepada beberapa projek pembangunan sekolah di negeri-negeri. "Apabila kontrak diberi kepada pemimpin Umno yang mereka ini bukan kontraktor. Mereka hanyalah kontraktor 'jadian' macam 'harimau jadian'. "Kontrak yang mereka dapat itu dijual pula kepada pihak-pihak tertentu, semata-mata untuk mengambil duit percuma. "Apabila diberi kepada kontrak tertentu tanpa pandangan daripada JKR dan pihak-pihak yang perlu memantau, maka akan berlakulah penyelewengan," tegas beliau. Hal ini terdedah apabila ditimbulkan isu makmal komputer yang tidak memenuhi syarat-syarat bangunan yang diluluskan oleh pihak JKR. Ada kes bangunan makmal komputer yang runtuh seperti berlaku di Pahang, katanya. "Saya bimbang termasuk juga bangunan-bangunan sekolah yang tumbuh begitu banyak di seluruh negeri-negeri pantai timur terutama di Terengganu," katanya. Bahkan, kata beliau, pemimpin Umno ini berlumba-lumba dengan kontraktor mencari tanah sehingga belum sempat lagi diproses oleh pihak Pentadbir Tanah Negeri mereka telah membuatnya. Difahamkan penjualan kontrak ini berlaku, maka tidak mustahil penyelewengan yang sama akan berlaku dalam pembinaan sekolah-sekolah baru dan pagar-pagar sekolah, katanya. Mengulas kenyataan Perdana Menteri untuk meminta pejabat-pejabat daerah di seluruh negara membantu menyelesaikan masalah makmal komputer, beliau berkata: "Itu satu kenyataan untuk berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab untuk menutup kesilapan yang telah berlaku". "Saya rasakan Dr. Mahathir yang telah hampir melepaskan jawatan PM akan meninggalkan masalah ini kepada penggantinya. Perkara ini perlu diperbetulkan dengan bertanggungjawab," tegas beliau. "Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sedia bekerjasama, bahkan kita telah meluluskan 99 peratus permohonan membina sekolah dengan mudah dan senang, cuma yang tidak diluluskan kerana tidak memenuhi syarat-syarat. Kita berpegang kepada syarat-syarat yang ditetapkan. "Apa yang berlaku kontraktor jadian ini telah bertindak secara sewenang-wenang dan tidak bertanggungjawab," tambah beliau. -AY/zs
Diterbitkan oleh : |