SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Bekas Exco Negeri Sembilan didenda RM45,000 kerana rasuahKUALA LUMPUR,Jumaat 27 Jun-Bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan,Datuk Waad Mansor yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Seremban dari tiga dakwaan rasuah hari ini dikenakan hukuman denda RM 45,000 atau penjara 18 bulan oleh Mahkamah Rayuan di sini. Keputusan itu dibuat oleh Datuk Abdul Hamid Mohamad yang mengetuai panel tiga hakim selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Oktober 1999 yang melepas dan membebaskan ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Gemencheh itu daripada tiga pertuduhan tersebut. Bagi pertuduhan pindaan pertama, sebagai wakil rakyat Gemencheh, Waad didakwa mengambil bahagian dalam keputusan Jawatankuasa Tanah Daerah Tampin memutuskan supaya permohonan Syarikat Teraju Nusantara Sdn Bhd untuk memiliki tanah kerajaan di Mukim Repah, Daerah Tampin seluas 20.146 hektar secara lesen pendudukan sementara beserta dengan permit, dan tanah seluas empat hektar secara pemberian hak milik untuk perusahaan kuari, dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diluluskan. Bagi pertuduhan pindaan kedua, Waad didakwa mengambil bahagian dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan pemilikan tanah seluas 28.24 hektar di Mukim Repah secara pajakan bagi tempoh 60 tahun bagi tujuan perusahaan kuari kepada Teraju Nusantara. Bagi pertuduhan pindaan ketiga, Waad dituduh mengambil bahagian dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan melanjutkan tempoh bayaran premium selama enam bulan lagi ke atas tanah seluas 28.24 hektar di Mukim Repah yang diluluskan kepada Teraju Nusantara pada 28 April 1993. Mahkamah Rayuan yang mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhi hukuman denda RM15,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Waad Pendakwaan membuat rayuan itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Wira Mohamed Noor Abdullah yang membebaskan Waad, 45, daripada tiga tuduhan pindaan melakukan rasuah dengan menggunakan kedudukan awamnya untuk faedah kewangannya. Dalam penghakimannya, Abdul Hamid berkata mahkamah tidak menjatuhi hukuman penjara dalam kes ini kerana berpendapat hukuman denda sudah memadai kerana ia membawa kesan terhadap kerjaya dan hidup Waad.
Diterbitkan oleh : |