Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Penapisan dangkal belenggu pemikiran rakyat

Salam Reformasi
Oleh : Anwar Ibrahim

Penapisan dangkal belenggu pemikiran rakyat

SEJARAH tidak pernah surut dengan kisah ngeri, janggal dan membingungkan, termasuk dalam isu penafian kebebasan dan penapisan. Filasuh Socrates dihukum bunuh kerana pandangan hidupnya dan titik akhir hayatnya meminum racun diabadikan sebagai tragedi hidup manusia.

Namun wacana mengenainya berlanjutan. Setelah ribuan tahun, sejarawan IF Stone masih mempertahankan keputusan mentadbir Athens. Dalam bukunya, The Trial Of Socrates, filasuf tersebut dianggap penghasut dan pengancam keselamatan!

Demikian pula dengan tindakan gereja katholik yang jelas memihak golongan sains dengan hukuman terhadap Galileo umpamanya yang kemudiannya mencetuskan kebangkitan aliran Protestaut Luther.

Senarai buku yang diharam bergondol-gondol dalam indeks Librarum Prohibitorum. Kita tidak menyangkal akan terdapatnya alasan munasabah dari sudut agama dan akhlak.

Malangnya, tidak pula dinafikan sikap keterlaluan, kejahilan terhadap peradaban yang dibicarakan yang berpunca daripada pandangan sempit.

Sejarah Islam yang memperlihatkan beberapa pengalaman jelek akibat penentangan Sunni-Syiah, pertelingkahan Mazhab atau kerana kezaliman penguasa. Tokoh Sufi Mansur Al Hajjaj dihukum bunuh kerana kenyataannya yang dianggap boleh mengelirukan khalayak, iaitu 'Ana Al Haq'.

Ulama terkemuka Andalusia (Sepanyol), Abu Mohammad Ali Abu Hazm menjadi mangsa percaturan politik di akhir dinasti Umayyah di Kordova. Beliau diusir, dipenjara dan buku-bukunya diharamkan.

Dalam kitabnya Al Rudd, beliau menyimpulkan permasalahan fitnah semasa an fasad, yakni kerusakan dan rasuah akibat penindasan penguasa dan ulama yang mendukung kezaliman tersebut.

wal hal pemerintahan Islam di Andalusia berjaya mengangkat tamadun hingga sekarang. Muafakat antara agama paling segar dalam semangat Convivencia. Malah muncul ulama dan saujana besar Islam justeru tasamuh atau tolerannya penguasa, maka mereka berjaya melahirkan filasuf dan ilmuan Yahudi terkemuka, Maimonides.

Sejarah Eropah juga menampilkan deretan peristiwa yang lebih mengaibkan, daripada tindakan awal pengharaman novel Ulysses karya James Joyce; dengan kemuncak kezaliman pembakaran buku, hukuman terhadap pengarang yang berlaku pada Zaman Hitler di Jerman dan Stalin di Rusia.

Hannnah Arendit menyimpulkan kejahatan yang menusuk kalbu di kalangan Nazi sebagai 'Bonality of Evil' dan Aleksandr Solhenityn membedah sarang dan serkap jarang rejim komunis dalam The Cancer Word dan The Gulag Archipelas umpamanya.

Mukadimah permasalahan penapisan ini sedikit berjela untuk memperlihat betapa rumitnya dan kompleksnya isu tersebut. Ia berkait rapat dengan pandangan hidup, nilai agama dan budaya masyarakat, terutamanya para penguasa.

Penapisan sering dijadikan alasan ampuh buat menghalang penghasut, mengamal akhlak dan menjamin keharmonian serta keselamatan negara. Malang sekali senjata yang sama diperkuda dengan sewenang-wenangnya untuk mebelenggu pemikiran rakyat dan memungkinkan bermaharajalelanya penguasa.

Perhatikan saja pengalaman kita di Malaysia. Penjajah Inggeris memperketat semua saluran kebebasan media melainkan yang dianggap serasi dengan selera politik mereka.

Akan tetapi sejak merdeka, belum terdapat anjakan daripada kerangka pemikiran tersebut. Penguasa ternyata terus selesa membelenggu pemikiran rakyat di bawah tempurung agar dapat melihat dan menilai menurut ukuran dan batasan yang mereka tentukan.

Akibatnya, di zaman Tuanku Abdul Rahman, bermula tindakan menguasai Utusan Melayu secara nutlak seperti mana yang dikupas dalam buku Said Zahari Meniti Lautan Gelora.

Bahkan buku The Malay Dilemma karya Dr Mahathir Mohamad diharamkan. Agak menarik juga kerana diantara alasan yang direka oleh Cawangan Khas polis untuk mencadangkan penahanan saya di bawah ISA di Kamunting pada tahun 1974 hinga 1976 ialah kerana mengedarkan buku tersebut!

Alahai, masalah lebih ketara sekarang mencakupi bidang yang lebih luas. Saya masih ingat bagaimana Lembaga Penapisan Filem mengharamkan filem The Schlinder's List, kenonnya kerana pro Yahudi.

Saya pohon untuk menonton dan mengemukakan pandangan berbeza kerabna filem tersebut membongkar kezaliman Nazi.

Filem Amok akan diharamkan atau adegan pebunuhan ditapis. Ini akan menghilangkan dampak filem tersebut. Menteri Penerangan ketika itu mengharamkan muzik Rap atas alasan senikata lucah.

Nurul Izzah memberitahu saya bahawa terdapat muzik Rap yang baik, termasuk senikata yang menyokong perjuangan rakyat Bosnia. Seorang Menteri Besar melarang pertunjukan kumpulan KRU kononya kerana tidak sopan dan mengganggu ibadat di masjid.

Saya senaraikan sebahagian pengalaman masa dulu, menunjukkan betapa jahil, pura-pura atau munafik sebahagian daripada kita.

Jika benar terdapat lirik yang keterlaluan lucah, maka larang lagu berkenaan saja dan bukan keseluruhan sesuatu irama muzik. Begitu juga dengan pertunjukan pentas, memadai diberi panduan termasuk mengelak padang berdekatan masjid atau mulakan selepas solat Isyak.

Saya bergurau dengan teman-teman berkenaan, sama ada peminat P ramlee, Elvis Presley, Lata Mangeskar atau Umi Kalthum bahawa selera anak-anak berubah dan ambillah pendekatan yang toleran dengan batas yang dicadangkan.

Justeru, kita harus berwaspada tindakan penguasaan di semua peringkat yang mengambil tindakan sewenang-wenangnya dalam kes (seperti Instant Cafe Teater- tambahan editor), mujurlah ramai kalangan liberal yang menjadi peminat, maka hebohlah sebentar atau Dewan Bandaraya tergesa-gesa menarik larangan.

Tetapi bagaimana dengan permit akhbar Harakah, Seruan Keadilan atau hak mendapat liputan dalam media utama?

Apakah bukan menjadi kewajaran mengembalikan hak rakyat dengan mengizinkan lahirnya pandangan yang kritis seperti yang diusahakan oleh Detik dan Wasilah?

Apakah munasabah dua tiga kerat manusia berlagak seperti Dewa Shahperi melarang dan menapis seadanya?

-Rencana ini untuk Harakah 15 hingga 31 Ogos






______________________
Terbitan : 14 Ogos 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com