Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Apakah Islam Sebenar dalam Umno?

Bung Karno
karno64@yahoo.com
13-08-2003

AKHBAR Berita Minggu terakhir merakam kenyataan Datuk Tengku Adnan Mansor, orang yang punya banyak jawatan dalam Umno dan ada saham besar dalam perjudian. Tengku Adnan hanya menyambung lidah Dr Mahathir mengenai tugas ustaz-ustaz. Seperti yang Dr Mahathir kata, ajarlah Islam yang sebenar bukan untuk kepentingan politik tertentu. Tambah Tengku Adnan, "Aurat ya aurat, kalau belum akil baligh tak wajib tutup lagi." Menurut Tengku Adnan lagi jika guru-guru (tentulah ustaznya sekali) sekolah kebangsaan tekankan soal pakaian menutup aurat, ibu bapa bukan Melayu tidak berminat menghantar anak ke sekolah kebangsaan. Ringkas berita: Setiausaha Kerja Umno itu mahu sekolah kebangsaan jangan suruh-suruh (bukan paksa..., tekankan) budak yang belum baligh tutup aurat.

Daripada Presiden Umno, Timbalannya, Naib Presidennya, ulama-ulamanya sehingga ghurka-ghurkanya (macam Ku Li) fikrah Islamnya sama. Jika kena bab aurat: Jawab mereka perkara kecil, masih budak-budak, banyak perkara lebih besar perlu diutamakan dan kalau merujuk tafsir Kassim Ahmad al-Penangi, aurat wanita tutup yang biasa-biasa saja, tak perlu sampai bertudung!

Ok, kita kena hormatlah fikrah Umno itu sebab dalam Umno banyak ulama, pendakwah dan Mufti. Takkan mereka menyelewengkan ajaran Islam. Bukankah ideologi Umno sekarang "Islam Sebenar".

Cuba bandingkan projek hendak menjadikan seseorang juara dalam sesuatu bidang. Tahun 1990-an, SMK Yoke Kuan di Sekinchan Selangor menjadi pusat latihan jimnastik. Saya lihat, jurulatihnya melatih kanak-kanak yang saya agak pasti baru bersekolah Tahun 1 atau Tahun 2. Di negara Barat pun samalah. Teori lojiknya pun betul, melentur buluh biar daripada rebung lagi. Apabila mereka remaja, mereka sudah cekap dan mampu bersaing dengan atlit taraf dunia.

Cuba bandingkan projek sukan (tentulah Umno setuju cara itu) dengan projek membina akhlak atau sahsiah anak-anak Melayu Islam. Umno kata janganlah latih-latih, tunggu apabila sudah akil balih (masa bersaing dengan setan!) barulah ikut ajaran Islam. Dalam hal amalan Islam, jangan lentur rebung, tunggu jadi buluh. Harap jangan sampai kata hadis berikut penipu sudahlah Umno: Maksud sabda Nabi, "ajarlah anak-anak solat bermula tujuh tahun dan pukullah apabila sudah 10 tahun".

Dalam banyak masalah orang Melayu dan orang Islam, Umno akan menyalahkan guru agama atau cara orang mengamalkan Islam. Bagi Umno, jika Islam hendak dijadikan ukuran, maka kecundanglah jadinya. Apa-apa amalan atau ajaran yang tidak sama seperti fikrah Umno akan dicap ajaran sesat dan wajib dibanteras. Amalan orang di luar Umno sebagai menyeleweng. Kita tunggulah Mufti Wilayah Persekutuan yang juga aktivis Umno melaksanakan pembanterasan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam Sebenar Umno.

Akhirnya, barangkali kita masih tertunggu-tunggu apakah yang dinamakan ISLAM SEBENAR yang menjadi ideologi baru Umno. Setakat ini semua pihak dalam Umno hanya menyebut cara Umno adalah mengikut ajaran Islam Sebenar. Secara peribadi saya menunggu Umno mengistiharan Islam Sebenar adalah ajaran Al Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w.






______________________
Terbitan : 16 Ogos 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com