Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PKPM….SANDIWARA LAGI ????

oleh Litmohd

Kejayaaan polis membongkar kegiatan pertubuhan haram Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) dengan tertangkap ketuanya Nor Azami serta ramai lagi wajib dipuji dan disanjung oleh seluruh rakyat yang cintakan keamanan dan kedaulatan negara. Sesungguhnya penulis yakin rakyat sentiasa menghormati dan menyanjung tinggi peranan pasukan polis yang amat cekap menjalankan tugas membenteras apa saja kegiatan jenayah dan subversif yang cuba mengancam keselamatan negara.

Namun berita mengejut tersebut yang terpampang di dada beberapa akhbar arus perdana pada pemerhatian penulis agak memeningkan kepala juga kerana berbagai persoalan menyelebungi terutama di fikiran rakyat yang prihatin dan kritis apa lagi pada penulis yang sentiasa mencari bahan.

Pertama sekali, tidak semua akhbar arus perdana menjadikan berita tersebut sebagai berita utama sedangkan ia satu isu besar yang biasanya akan di 'highlight' oleh semua akhbar. Penulis pun tidak pasti apakah berita tersebut sudah terbit dalam berita televisyen pada malam tersebut kerana tidak menonton tv pada malam itu. Sebab kadang-kadang kita tidak minat langsung menonton berita tv terutama tv satu yang stereotype itu. TV 3 pun sejak akhir-akhir ini jadi stereotype juga.

Maka wajarlah pada pemikiran penulis berita-berita seperti ini hendaklah ditapis dengan seribu tapisan. Apalagi dengan situasi politik dalam negara kini dalam era pengambilalihan kuasa oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dari Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad pada Oktober nanti.

Rakyat mungkin melihat dengan pembongkaran PKPM ini, sebagai satu cabaran besar terhadap Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam laluannya untuk menyandang jawatan Perdana Menteri kerana ketika ini beliau yang menjadi Menteri dalam negeri yang menjaga hal ehwal keselamatan dalam negeri.

Laluannya untuk ke persada PM seharusnya dilihat bergerak licin. Sesuatu isu yang melibatkan peranan Timbalan Perdana Menteri itu misalnya isu kegagalan pembangunan Pulau Pinang baru-baru ini yang ditegur secara langsung oleh Dr. Mahathir Mohamad sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif rakyat terhadap hubungan Dr. Mahathir dengan Timbalannya itu.

Rakyat tidak mahu melihat Pak Lah menjadi mangsa ke empat, Timbalan Perdana Menteri yang kecundang di tangga akhir untuk ke jawatan PM. Justeru penulis melihat isu pembongkaran PKPM sedikit sebanyak menjejaskan situasi harmonis yang sepatutnya dipelihara dalam era peralihan tersebut.

Sebagai orang awam yang cintakan keamanan kita menolak sebarang bentuk tindakan yang tidak demokratik yang bermotif kepentingan politik semata-mata oleh sesiapa sahaja. Tetapi persoalannya bolehkah Umno yang bersifat pragmatis itu boleh menjamin tidak berlaku situasi tersebut, sedangkan sejarah membuktikan berlaku anika 'hot scandal ' hatta kes pembunuhan di dalam Umno!

Kita tidak mahu rakyat hilang keyakinan terhadap pelaporan berita oleh media masa dalam contoh peristiwa rampasan senjata di kem tentera Grik dan disusuli pertempuran di Bukit Jenalek sehingga ada yang terkorban setahun lalu sehingga pihak polis terpaksa melakonkan semula kronologi peristiwa tersebut bagi menyakinkan rakyat bahawa peristiwa tersebut bukan sandiwara tetapi ia adalah satu insiden yang benar-benar berlaku dengan penuh tragis.

Namun agak melucukan apabila polis terpaksa melakonkan semula bagaimana senjata api yang banyak itu boleh dimuatkan dalam beberapa buah kenderaan Pajero. Perlukah lakonan semula seperti itu semata-mata untuk mendapat keyakinan rakyat?

Oleh itu kita tidak mahu pula pihak berkuasa melakonkan lagi bagi mencari logik bahawa pembongkaran PKPM bukan sandiwara tetapi satu pembongkaran yang benar-benar berlaku (on real) hasil dari peranan dan tanggung-jawab pasukan polis menjaga keselamatan dan keamanan negara sepanjang masa. Itulah harapan kita sebenarnya.

Justeru tulisan ini tidaklah sekali-kali untuk mengambil peluang menangguk di air keruh membuat provokasi ke atas orang awam berhubung isu yang sedang dalam perhatian dan siasatan polis ini, kerana penulis amat sedar akan risiko besarnya.

Walaubagaimana pun rakyat wajar untuk berasa cemas atau bertanya seribu soalan berhubung perkara ini. Apalagi dikatakan kumpulan ini mempunyai 8,000 ahli dan kepimpinannya telah bersedia untuk mengambil-alih pemerintahan negara. Ia juga dikatakan mempunyai seluruh rangkaian kepimpinan berpangkat tinggi di setiap negeri, mempunyai syarikat dan anak-anak syarikat serta dana yang besar!

Agak pelik bin ajaib juga kerana isu yang pada pendapat penulis satu isu besar kerana ia menyentuh soal keselamatan negara agak tidak begitu mendapat perhatian rakyat walaupun media massa masih melaporkan perkembangan isu tersebut beberapa hari.

Rakyat pada pemerhatian penulis seolah-olah tidak melayan isu tersebut. Ada yang berkata itu adalah perkara biasa. Justeru kita tidak faham bagaimanakah pemikiran rakyat sebenarnya dalam menghadapi isu pembongkaran PKPM ini. Apakah ini berpunca dari corak pelaporan media massa yang sudah tidak mendapat keyakinan rakyat sepenuhnya. Apakah benar pandangan ekstrimis sesetengah pembaca yang mengatakan yang betul dalam surat khabar itu hanyalah 'nombor ekor'?

Sekonyong-konyong ketika menulis ulasan ini pada hari ini terpampang di muka hadapan Utusan Malaysia kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kumpulan tersebut tidak mengancam keselamatan negara dan ia tidak mempunyai rangkaian dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang dikaitkan dengan keganasan seperti KMM atau JI di negara ini. Katanya kumpulan tersebut hanya melakukan jenayah menipu secara terancang sahaja. Ini bermaksud kumpulan tersebut tidak akan dikenakan tindakan di bawah ISA.

Walaupun kenyataan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi itu dijangka akan menamatkan isu PKPM ini namun pada pemantauan penulis telah tercalit tinta hitam dalam sejarah peristiwa dalam negara kita.

Pak Lah perlu menyakinkan rakyat kerana rakyat masih boleh mempertikaikan kenyataan PakLah memandangkan kumpulan tersebut menggunakan imej Angkatan Tentera Malaysia di dalam gerakannya.

Penjelasan lanjut juga perlu agar kerajaan tidak dianggap sebagai cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kemelut dalaman parti Umno di era pengambilalihan kuasa tersebut seperti mana isu air dengan Republik Singapura.

Pemimpin Umno juga mestilah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bahawa kegiatan PKPM langsung tiada kaitan dengan Umno bagi menafikan dakwaan pemimpin PKPM tersebut yang mendakwa bahawa ia mewakili Umno dan Kerajaan Malaysia dalam urusan perniagaan dengan negara asing termasuk kontrak perniagaan VCD bernilai berjuta ringgit seperti yang dilaporkan. Setakat ini belum ada pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Apakah mudah untuk Umno menafikan bahawa ia tiada pertalian langsung dengan kumpulan tersebut sedangkan pemimpin PKPM mendakwa mereka pernah menemui pemimpin Umno seperti Dr. Rais Yatim yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, malah Pengerusi Perhubungan Umno Perlis sendiri, Dato' Seri Shahidan Kasim yang juga Menteri Besar Perlis mengakui pernah didatangi oleh pemimpin PKPM Perlis bagi memohon dana.

Apakah mudah untuk mereka pergi berjumpa orang-orang besar ini jika tiada lampu hijau terlebih dahulu diberikan kepada mereka. Inilah persoalannya.

Siasatan lanjut juga perlu dilakukan apakah perniagaan VCD oleh PKPM itu mempunyai kaitan dengan masalah lambakan VCD cetak rompak dan lucah yang melanda negara baru-baru ini yang terpaksa dibenteras oleh kerajaan secara serius. Ini kerana polis turut merampas VCD kosong dan lucah di premis PKPM semasa serbuan tersebut, seperti mana dilaporkan oleh akhbar.

Maka ia menjadi cabaran pula kepada menteri bertanggungjawab iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui Kementerian Perdagangan dan hal ehwal pengguna yang kebelakangan ini terpaksa bertungkus lumus membenteras cetak rompak dan VCD lucah dan menteri ini diramal sebagai orang pilihan Pak Lah sebagai timbalannya nanti.

Demikianlah seribu persoalan yang dimaksudkan penulis lewat isu pembongkaran PKPM tersebut.

Akhir bicara, walau apa pun isu PKPM yang digembar-gemburkan oleh media masa pada penilaian penulis telah meninggalkan alamat atau gambaran yang sungguh tidak lunak pada negara dan rakyat yang dikatakan telah merdeka lebih 40 tahun, telah pun celik IT dan sedang bergerak untuk mejadi negara maju menjelang 2020.

Apakah kualiti rakyat Malaysia di bawah pemerintahan Umno yang sanggup membeli pangkat dan menjadi ahli pertubuhan yang mereka sendiri tidak jelas hala tujunya. Apakah mereka tiada jalan lain lagi untuk menjadi popular selain dari mengambil jalan pintas seperti itu, atau apakah ia menjadi satu budaya yang dipupuk di dalam Umno sendiri yang meletakkan undang-undang di belakang demi mencapai cita-cita politik rakus mereka?

Apakah menipu telah menjadi trend rakyat Malaysia kini demi untuk mencapai kemewahan hidup segera seperti yang dilaporkan begitu kerap berlaku.

Apakah rakyat sudah hilang pegangan nilai murni kehidupan, etika dan pegangan agama akibat dihambat oleh faham materialisme, kemewahan dan keseronokan yang dibudayakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Apakah jenayah menipu, samun, rompak, culik, rogol dan bunuh yang dilaporkan saban hari berlaku di dalam negara sebagai akibat dari ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan tekanan jurang hidup yang luas antara rakyat yang menggambarkan kepincangan dan kegagalan dasar pembangunan yang diamalkan oleh kerajaan tersebut?

Justeru rakyat nampaknya sudah mual dengan berita-berita atau isu-isu klise yang disensasikankan di dada-dada akhbar saban hari itu yang bagi mereka tiada pernah ada jalan penyelesaiaannya termasuklah isu penipuan PKPM ini.

Mereka tidak berminat lagi mengikuti perkembangan isu-isu tersebut sebaliknya mencari jalan alternatif bagi mendapatkan sumber berita sendiri dan kini rakyat menggunakan teropong sendiri melihat perkembangan positif dari aspek sosial, ekonomi dan politik di Kelantan dan Terengganu yang sedang berdiri megah di bawah panji-panji Islam tetapi disembunyikan oleh media massa .

<<<<>>>>






______________________
Terbitan : 5 Ogos 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com