Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Lebih baik mengandaikan situasi terburuk buat pembangkang

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat menghubungi saya pagi Ahad, dua minggu lalu, saya dalam perjalanan ke Sungai Buloh, bersama abang saya, Dinsman, untuk berubat. Memang itulah pun aktiviti saya sekarang – berubat.

Beliau memaklumkan untuk menziarahi saya, hasratnya yang dinyatakan lama dulu, bulan Mac 2003, kepada Dinsman ketika saya bercuti panjang, di kampung, juga untuk berubat. “Syed Husin bertanya apa perkembangan terbaru laporan rasuah hang terhadap Khir Toyo. Kalau perlu, mereka nak buat report polis,” kata Dinsman, sambil meminta saya menghubungi Syed Husin sendiri.

Bertemankan anak lelakinya, Dr Syed Husin bertandang ke rumah petang itu. “Saya nak datang lama dah, tapi tertangguh banyak kali. Hinggalah bila terbaca dalam Harakahdaily semalam. Sekarang pun agak lega sikit selepas pelancaran PKR,” katanya, mesra.

Selain, Dr Syed Husin, ramai juga teman-teman yang memberi respons kepada tulisan ringkas itu. Ia semacam memberi dorongan baru untuk saya terus menulis, walaupun dalam keadaan uzur yang berpanjangan.

Kadang-kadang jiwa memberontak bila membaca pelbagai berita menarik dalam akhbar, terutama yang menyentuh perkembangan politik semasa. Apatah lagi bila menonton tv yang sarat dengan propaganda murahan pemerintah. Seolah-olah demam pilihanraya sudah bermula.

Mahu menulis seperti dulu, juga menerbitkan akhbar dan majalah, serta sesekali mengusik melalui VCD, terasa bukan saja kudrat jauh merosot tetapi fikiran juga sering terganggu dengan kesakitan yang menjalar ke seluruh tubuh. Tapi untuk terus melayani tubuh yang lemah tanpa melakukan sesuatu hanya menambah parah dan sengsara.

Cukup memedihkan jika dalam suasana kian menghampiri pilihanraya, dan detik-detik persaraan Dr Mahathir di ambang, tetapi saya terus terlentang melihat cicak yang semakin banyak berkejaran di siling dan dinding rumah. (Dan sesekali bergaduh dengan anak yang belum bersekolah kerana jarang dapat bersetuju dengan saluran tv yang dipilihnya). Bukankah pilihan raya kali ini cukup sengit dan mendebarkan buat pembangkang dan Barisan Alternatif. (Maaf kalau bertanya, masih wujudkah BA sebagai satu gagasan pembangkang berwibawa?)

Tidak banyak isu-isu politik yang dibualkan dengan Dr Syed Husin. Beliau lebih banyak mendengar pengalaman saya berubat selama hampir setahun, terutama berdepan dengan pelbagai pengamal perubatan tradisional selepas doktor pakar tidak dapat memberi jawapan terhadap penyakit ditanggung.

Saya cuba mencuitnya: “Pilihanraya kali ini tentu lebih perit buat pembangkang berbanding 1999.” Dr Syed Husin menjawab pendek: “Memang, BN menggunakan apa saja untuk berkempen, secara paling tidak beretika.”

Mungkin satu kebetulan agaknya apabila ramai teman-teman yang datang menziarahi saya membawa satu mesej yang lebihkurang sama, bila ditanyakan pergolakan politik tanahair. Masing-masing risau dengan kemampuan pembangkang, bukan untuk menang pilihanraya, tetapi mengekalkan prestasi 1999 pun terasa perit dan amat sukar sekali.

Saya kira pandangan itu dibuat berdasarkan realiti semasa ataupun sekurang-kurangnya didorong kerisauan terhadap kempen BN yang secara jelas mencabul amalan demokratik. Ditambah lagi dengan kesepaduan pembangkang yang mulai goyah, yang dibimbangi turut menyumbang kemerosotan, sepertimana prestasi pembangkang pada 1995 selepas mencatat keputusan membanggakan pada 1990.

Bagaimanapun tidak ada yang meramalkan Kelantan dan Terengganu dapat ditawan BN. “Saingan di Terengganu mungkin lebih sengit, tetapi ia tidaklah sampai menjayakan gelombang biru. Namun kita tidak boleh berasa selesa kerana asas kemenangan di Terengganu baru boleh dikira mantap selepas dapat menumpaskan BN Terengganu dalam pilihanraya akan datang. Majoriti kemenangan tak begitu penting, asalkan mengulangi kemenangan sudah cukup baik,” kata seorang aktivis parti.

Ditanya peluang PAS di Kedah, Pahang dan Perlis, ramai teman-teman yang kelihatan tidak mempunyai keyakinan. “Dulu nampak Kedah adalah target ketiga kita, tetapi dengan persempadanan semula kawasan pilihanraya dan ketiadaan Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Umno pimpinan Syed Razak tidak boleh dipandang lekeh. Undi penentu di Kedah, masih di tangan pengundi bukan Melayu,” seorang teman, bekas wartawan, memberi komen.

Tambahnya, dalam suasana politik yang ‘sejuk’, selepas pemerintah melakukan tekanan hebat ke atas kegiatan pembangkang, tidak banyak yang boleh diharapkan kecuali aktivis pembangkang sendiri mencari jalan keluar atas kemelut yang ada.

“Dulu kita ada bonus isu lebam mata Anwar Ibrahim, sekarang kalaupun ada, lebih baik kita menganggapnya ia tidak sepanas dulu supaya kita lebih kreatif memikirkan bagaimana dalam suasana ‘sejuk’ ini, rakyat tetap tertarik untuk menyokong kita.

“Tanpa tercetusnya satu gelombang bersifat nasional seperti isu Anwar itu kali ini, isu-isu lokal, atau sekurang-kurangnya pada tahap negeri mungkin lebih bermanfaat. Maknanya Kedah, Perlis, Pahang dan juga Selangor sewajarnya dapat mengetengahkan isu besar yang boleh menggamit perhatian rakyat setempat,” sampuk seorang teman lain, ketika mengunjungi saya di Kedah, awal Mac lalu.

Rupanya dengan menjadi pendengar setia pun persoalan-persoalan menarik politik dapat juga dikongsi. Sejak dulu, saya lebih gemar meneroka dimensi perbincangan yang tidak digemari aktivis pembangkang, dengan mengandaikan kita berada pada tahap pihak yang kalah atau berada dalam situasi terburuk yang mungkin kita hadapi.

Kalau semasa mendepani keghairahan kempen 1999 pun saya turut membangkitkan persoalan sama, apatah lagi ketika ramai di antara kita yang risau dengan kemampuan sendiri menjelang pilihanraya ini. Dalam sisi-sisi negatif ini, mungkin tersirat banyak makna positif yang boleh dimanfaatkan bersama. Jumpa lagi.






______________________
Terbitan : 22 Ogos 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com