Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Projek PDRM Batu Pahat: Bakal PM Tak Efisyen

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius skandal terbaru pentadbiran awam yang melibatkan penyelewengan dalam projek perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Batu Pahat yang kini sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Kes penyelewengan dalam projek kerajaan ini adalah sebahagian daripada siri-siri skandal pentadbiran awam Kerajaan BN yang mulai terdedah sekarang ini termasuk penyelewengan dana-dana awam, dana rakyat termiskin, projek-projek pembinaan seperti PULAREK, makmal komputer dan sebagainya. DPP Pusat melihat isu penyelewengan yang melibatkan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu petanda bahawa wujud ketidakcekapan dalam pentadbiran beliau.

Kes perumahan ini bukanlah yang pertama melibatkan kelemahan pentadbiran KDN, sebelum ini KDN dipertikaikan kerana menimbulkan dakwaan palsu bagi menahan tokoh-tokoh reformasi di bawah ISA, diikuti oleh kegagalan KDN mengesan kumpulan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang menggunakan KDN sebagai taktik mengelirukan rakyat, dan kini berlaku pula penyelewengan dalam projek pembinaan. Pembongkaran isu-isu yang melibatkan KDN secara khusus ini menunjukkan bahawa Pak Lah yang digembar-gemburkan sebagai bakal Perdana Menteri adalah seorang pentadbir yang tidak efisyen dalam mengurus tadbir kepentingan negara. Keterlibatan pegawai-pegawai KDN dalam penyelewengan akibat ketidakcekapan pentadbiran Pak Lah telah memberikan kesan yang buruk kepada kakitangan awam khususnya anggota polis berpangkat rendah.

DPP Pusat mempersoalkan ketelusan pentadbiran KDN dalam memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam projek-projek pembinaan di bawah kementeriannya. KDN adalah kementerian yang melibatkan beberapa agensi penguatkuasa yang utama di negara ini, tetapi gagal menguatkuasakan undang-undang kepada pegawainya sendiri. Projek perumahan ini telah dimulakan semenjak 1996, tetapi telah dilanjutkan tempohnya sehingga Disember 1999 apabila pemaju gagal menyiapkan sebahagian daripada projek tersebut. Tetapi 172 unit rumah yang berjaya disiapkan gagal mendapat CF daripada jurutera perunding. Akibat penyelewengan yang berlaku ini, projek perumahan yang berharga RM 18.4 juta gagal disiapkan sehingga sekarang.

Persoalannya, mengapakah KDN boleh membiarkan penyelewengan sesuatu projek itu begitu lama dengan tidak mengambil apa-apa tindakan. Sedangkan KDN boleh dan berhak mengambil tindakan segera setelah pemaju gagal menjalankan tanggungjawab mereka. KDN boleh menyelamatkan projek tersebut dengan menghentikan kontrak mereka dan diserahkan kepada kontraktor lain yang lebih bertanggungjawab. Sebaliknya, KDN tidak membuat tindakan awal, bahkan membiarkannya berlarutan sehingga empat tahun. Penglibatan BPR dalam isu ini menunjukkan kegagalan KDN untuk bertindak cepat dan cekap, sebaliknya membiarkan penyelewengan terus berlaku sehingga BPR terpaksa campur tangan.

DPP Pusat juga mengesyaki bahawa ada sesuatu yang disembunyikan oleh KDN dalam penyelewengan ini. Jika budaya pentadbiran BN yang lalu dijadikan rujukan, tidak mustahil wujud amalan kronisme dalam pengagihan projek tersebut. Dan untuk melindungi kepentingan pemaju kroni tersebut, KDN telah membiarkan penyelewengan tersebut terus belaku. DPP Pusat mendesak KDN supaya mendedahkan kepada umum syarikat pemaju yang diberikan kontrak tersebut dan siapakah pemiliknya. DPP Pusat melihat penyelewengan dan kronisme ini amat memalukan Pak Lah sekalu Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri. Pak Lah telah hilang kelayakan untuk mengambil alih pentadbiran negara setelah gagal mentadbir KDN dengan cekap.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat






______________________
Terbitan : 3 Ogos 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com