Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

KSU MENYERAH KALAH

PEDAS-PEDAS CILI API
(17hb Ogos 2003)

KSU MENYERAH KALAH

Cili Api terkejut sampai kecut tali perut apabila membaca komen Tan Sri Shamsuddin, Ketua Setiausaha Negara, mengenai korupsi di kalangan pegawai kerajaan. Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri mendakwa amalan korupsi sudah merebak teruk di kalangan mereka ini.

Cili Api tidak menyangkal dakwaan TPM Dolah Badwi dan bersetuju dengannya bahawa masalah korupsi dalam negeri ini sangat parah dan perlu diatasi. Tetapi Cili Api pasti akan pertikai sampai kering lidah jikalau Dolah menuduh masalah ini lebih teruk di kalangan pegawai kerajaan daripada golongan tokoh politik kerajaan.

Cili Api yakin korupsi yang paling banyak dan paling besar sekali adalah yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi kerajaan dan kroni-kroni mereka. Minta maaf kalau Cili Api tidak dapat memberikan bukti yang nyata. Tapi umum sudah mengetahui tentang bermacam-macam laporan polis yang telah dibuat terhadap Rafidah, Rahim Tamby Cik, Eric Chia, UMNO Pahang dan berpuluh lagi.

Malangnya pemimpin politik seperti Dolah tidak berani mendedahkan pekung di dada golongan sendiri. Jadi mereka dedahkanlah kudis buta yang terdapat di punggung pegawai pentadbir, pegawai polis dan pegawai kastam. Agaknya ini lebih mudah. Jangan pula hendaknya Dolah Badwi menyangka selepas kudis pegawai kerajaan didedahkan, rakyat ramai akan berhenti terhidu bau pekung dari pemimpin tinggi kerajaan BN.

Alamak! Cili Api sudah jauh meraban pula. Balik kepada KSU tadi. Ketika media bertanya apa komen beliau ke atas ucapan TPM Dolah Badwi tersebut, TS Shamsuddin dilaporkan sebagai berkata: selagi pegawai-pegawai kerajaan itu manusia, korupsi tidak akan dapat dihapuskan.

Masha Allah. Apakah Shamsuddin hendak menunggu anak buahnya menjadi malaikat atau separuh malaikat dahulu sebelum amalan keji korupsi boleh hilang atau berkurang? Tidak bolehkan beliau, bersama PM dan TPM yang menjadi bos beliau, melakukan sesuatu yang efektif untuk menjadikan pegawai-pegawai bukan sebagai malaikat tetapi hanya manusia biasa yang bersih dan bermoral saja?

Cili Api sedar manusia tidak boleh menjadi malaikat. Tetapi Cili Api ingin bertanya, adakah Shamsuddin bersama bos-bos politiknya mahu berdiam diri saja apabila bertambah ramai pegawai pentadbir yang diresapi sifat-sifat iblis koreng yang cemar? Wahai Tan Seri. Berhati-hatilah sedikit bila membuka mulut.

Cili Api selalu mendengar slogan Malaysia Boleh. Mengapa Malaysia tidak boleh basmi korupsi? Mengapakah menteri-menteri sering menyembunyikan pekung satu sama lain?






___________________________
Terbitan : 8 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)