Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

DEMOKRASI DI MALAYSIA- BAHAGIAN 3 [AKHIR]

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca yang dihormati lagi budiman.

Dalam Bahagian 1, saya menulis dan memberi persepsi saya mengenai cadangan SPR memperkenalkan Kod Etika Pilihan Raya yang akan dilaksanakan pada pilihan raya ke 11 nanti. Bahagian ke 2 pula saya menyentuh mengenai ucapan dasar Haji Hadi berkaitan dasar atau amalan UMNO untuk mengekalkan kuasa memerintah buat selama-lamanya, selagi ada matahari dan bulan iaitu dasar " keliru dan kawal ". Saya hanya mengupas dasar keliru dalam kesempatan tersebut.

Melalui Bahagian ke 3 ini pula saya akan memberi kupasan dan bentuk contoh-contoh mengambarkan bagaimana UMNO melaksanakan pula dasar " kawal " bagi tujuan melemahkan parti-parti pembangkang terutamanya PAS yang menjadi saingan sengit dan musuh ketatnya.

Dasar " kawal " ini dilaksanakan oleh UMNO ini melalui dua cara. Pertama, pasukan polis telah digunakan dan gerakkan sepenuhnya bagi menghalang aktiviti-aktiviti pembangkang iaitu PAS. Pas mempunyai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli yang ramai yang kominted dan konsisten dengan matlamat perjuangan PAS, disamping itu PAS juga mempunyai jaringan [networking] dan markas-markasnya yang tersusun terletak di seluruh pelusuk negara di tanah-tanah persendirian yang diwakafkan dan ada yang dibeli sendiri oleh PAS. Tanah-tanah tersebut didirikan bangunan-bangunan yang panggil markas untuk menjalankan aktiviti-akitiviti parti. UMNO kalah dalam hal-hal pengurusan seperti ini. UMNO mengharapkan harta kerajaan semata-mata seperti balai-balai raya, bangunan-bangunan dan sekolah-sekolah untuknya bergerak, tanpa ini semua, UMNO akan mati.

Pasukan Polis yang sepatutnya menjaga keamanan telah bertukar wajah menjadi penjaga survival UMNO. Pasukan polis kita tergolong pasukan yang cekap dalam menjalankan tugas di kalangan pasukan-pasukan polis di dunia, tetapi sayangnya ia telah dicemari oleh UMNO. Suailah dalam satu karton Zunar mengambarkan seorang perogol dan perompak memberitahu mangsanya pasukan polis sekarang tiada kerana sedang berkawal menjaga ceramah Mat Sabu. Sinisnya karton ini ialah pasukan polis sekarang bukan lagi bertugas menjaga keamanan, tetapi sebaliknya bertugas dan mengawal ceramah PAS.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa PAS dan parti-parti pembangkang yang lain tidak ada media lain selain mengadakan ceramah-ceramah di seluruh negara untuk menerangkan kepada rakyat matlamat perjuangan parti masing-masing dan mendedahkan keburukan, kepincangan, penyelewengan dan menyalahguna kuasa oleh parti pemerintah. Ini bukan merupakan tindakan yang salah dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi selagi ianya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Amalan ini biasanya dilakukan oleh semua negara demokrasi di dunia, kecuali negara-negara yang perintah oleh regim diktator dan komunis.Menceritakan keburukan kerajaan kepada rakyat menjadi tanggungjawab pembangkang. Itu tugas asas pembangkang mencari kelemahan kerajaan dan kerajaan yang sedar tentang kelemahanya wajib memperbaikinya. Bagi rakyat pula akan berfikir secara matang tanpa ugutan dan ancaman serta merasa takut parti mana yang mereka hendak dipilih menjadi kerajaan menggantikan parti yang tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkannya. Baru ada " check and balance " dalam sistem demokrasi yang wajib diamalkan.

UMNO tidak menjadikannya sebagai amalan kerana takut segala penyalahgunaan kuasa dan pelbagai penyelewengan yang dilakukanya diketahui oleh rakyat dan rakyat yang sedar tentang perkara ini akan bangun menentangnya dan UMNO akan kehilangan kuasa. Sifirnya mudah. Oleh itu, pasukan polis digunakan sebagai perisai untuk menahan kemaraan PAS dan BA.

PAS dan Keadilan berkerjasama rapat telah mengadakan road show di seluruh negara mendedahkan kepincangan-kepincangan yang telah dilakukan oleh UMNO. Sambutan rakyat amat mengalakkan, kadang-kadang menjangkau puluhan ribu dan malahan pernah mencapai angka ratusan ribu seperti yang berlaku pada 5 November 2000 di majlis anjuran parti Keadilan di Kebun Bunga, Kelang. Pasukan polis bertindak menghalang perhimpunan ini secara kekerasan sehingga menyebabkan kesesakkan lalulintas yang panjang berkilo meter di Lebuh Raya Kesas. Semua pemimpin tertinggi BA ketika itu hadir untuk jamuan hari raya anjuran Keadilan itu. Tindakan ganas polis ini telah mendapat teguran dari pihak SUHAKAM dan pihak kerajaan yang UMNO sebagai tunjangnya membisu seribu bahasa.

Begitu juga pasukan polis mengambil tindakan kekerasan ketika menyuraikan ceramah PAS di Kampung Malau, Jitra, Kedah pada 14 Febuari 2001, ceramah Haji Hadi dan Mat Sabu di Sabak Bernam, Selangor pada 17 Febuari 2001. Pada 11 April 2002, pasukan polis menghalang ceramah PAS di markas Kubang Rotan, Kedah.

Ada satu peristewa yang menjadi kontroversi di peringkat negara sehingga kini tidak terjawab. Peristewa pasukan FRU, PGA, SB dan polis trafik mengepung kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sekeliling kawsan ceramah mengempor kawsan itu dengan melepaskan gas pemedih mata, mengejar, menangkap dan malah ada yang kena pukul bertempiaran lari, kanak-kanak menangis terkena gas pemedih mata dan Nik Aziz MB Kelantan dibawa lari dengan motosikal dari kepongan polis meredah sungai dan belukar ditengah malam buta dalam kesejukan dini hari.

Bayangkan betapa hapraknya UMNO seorang MB diperlakukan sebegitu rupa, hendak berucap saja dan hendak bertemu mata dengan rakyat, bukan menghasut rakyat berarak menentang UMNO secara kekerasan . Dalam peristewa itu sebuah trak polis buruk terbakar dan seorang pegawai polis bernama Supt.Hassan Ismail, OCPD Baling mendakwa beliau ditontar palastik berisi cuka getah menyebabkan badannya terasa gatal-gatal. Allahyarham Dato' Mohd.Fadzil Noor dengan beberapa pemimpin PAS kedah telah membuat laporan polis dan sehingga kini tidak ketahui kedudukan perkara sebenar.

Kalau hendak disenaraikan disini satu persatu peristewa pasukan polis bertindak menghalang PAS mengadakan ceramah walaupun diadakan di primisnya sendiri [ mengikut undang-undang tidak perlu kepada permit] rasanya tidak cukup waktu, memadai saya mencatatkan disini mengikut rekod mulai 1 Julai 2001 tarikh ceramah diharamkan sehingga 25 Ogos 2001 di Johor sahaja [tidak termasuk di Melaka yang mana Ketua Menterinya amat membenci PAS, NS dan Selanggor, Kedah, Perlis dan Pahang] di negeri yang UMNO paling kuat, seramai 147 orang ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Di Terangganu dan di Kelantan, negeri yang diperintah oleh PAS pun pasukan polis turut menghalangnya. Satu peristewa yang mengelikan hati, apabila pihak menganjur ceramah di Terangganu menukarkan tempat ceramah sehingga mengelirukan pihak polis mengawal di padang yang tidak ada ceramah. Begitu sekali sikap pasukan polis terhadap ceramah-ceramah PAS.

Apa yang mendukacitakan saya dan ramai pembaca lagi ialah kes yang agak terbaru di mana Haji Hadi, Nik Aziz dan lain-lain pemimpin kanan PAS dibuat macam anjing kurap dihalau tidak dibenarkan berucap oleh pasukan polis dalam Majlis Makan Malam Sempena Gagasan Selatan yang diadakan di Lot 1476 Kampung Ismail Ampangan, Negeri Sembilan pada malam 31 Ogos 2003 sempena hari Kemerdekaan ke 49.

Satu lagi peristewa yang juga turut penimpa Haji Hadi ialah yang berlaku pada 7 September 2003 di markas PAS Kampung Chempaka Lancang, Temerloh, Pahang. Pasukan polis telah mengepong kawasan itu dengan mengadakan sekatan jalan raya dari semua arah yang menuju ke kawasan tersebut. Ini adalah majlis taklimat dalaman parti dan majlis perasmian yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi PAS yang juga seorang MB yang sah yang memerintah sebuah negeri yang berdaulat, seperti juga dengan MB-MB yang lain. Sama taraf dan sama kedudukan.Haji Hadi dibenarkan berucap 30 minit.

Hati saya sedih mengenangkan peristewa-peristewa ini kerana ini adalah program politik yang dianjurkan oleh PAS sebuah parti yang berdaftar secara sah dan mempunyai ahli berdaftar lebih dari 1 juta orang sekarang ini.Segenap kampung dan lorong ada cawangan PAS dan PAS berjalan di atas landasan undang-undang dan perlembagan. Bukan pertubuhan haram.

Pada masa yang sama pihak pasukan polis boleh membenarkan UMNO mengadakan pelbagai aktiviti seperti yang dilakukan oleh Pemudanya yang menganjurkan menunggang motosikal menjelajah seluruh negara untuk kempen menambah ahli.Masuk dan mengcampurai urusan ITPA-ITPA. Mengadakan program politik di Masjid Ar-Ridhuan, Batu 7 1/2 Jalan Hulu Kelang pada 26 Ogos 2003. Mananya pengertian sebenar demokrasi seperti yang dilaung-laungkan itu. Ini yang dimaksudkan oleh Haji Hadi makna " kawal ". Kawal daripada menyampaikan pandangan kedua dan bertemu dengan rakyat untuk menyampaikan mesej.

Cara kedua dalam dasar " kawal " ini juga ialah tindakan melalui undang-undang. Kita semua tahu di negara kita mempunyai pelbagai undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat. Diantaranya ialah ISA yang diperkenalkan oleh Inggeris ketika darurat berlaku pad tahun-tahun 60an dulu, kini ia terus digunakan dan beberapa kali diubahsuai dan dipinda untuk lebih berbisa. Atas alasan yang yang paling rapoh, pihak polis boleh menahan sesiapa sahaja tanpa memerlukan bukti cukup dengan hanya memberi alasan " mengancam keselamatan negara ". Ancaman ini sebenarnya kepada UMNO dan bukan kepada negara yang telah pun dibukti oleh keputusan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan pada 6 September 2002 yang mana 6 Reformist[ Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Dr. Badrolamin Baharom, Hishamudin Rais, Lokman Adam dan Shaari Sungib] sebulat suara bersetuju penahanan mereka ini dalam tempoh 60 hari tidak mengikut undang-undang dan pihak polis dipersalahkan. Tujuan penahanan mereka adalah untuk melemahkan dan mematikan perjuangan parti Keadilan.

Kita juga ada Akta Polis 1967 [Akta 344], kita juga ada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang mengawal semua penerbitan bercetak. Sebarang penerbitan dikehendaki mendapatkan permit dari KDN dan terpaksa diperbaharui setiap tahun. Tujuan akta ini digubal adalah untuk mengawal penerbitan yang tidak menyokong UMNO. Banyak majalah dan suratkhabar dibatalkan permit atau dikurangkan penerbitannya seperti yang berlaku kepada Harakah dari 2 kali seminggu kepada 2 kali sebulan. Majalah Detik dan Wasilah serta Eksekutif diharamkan terus kerana majalah dan akhbar ini tertalu kritis terhadap UMNO.

Kita juga ada Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] [OSA], Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda Keadilan telah bersalah dibawah akta ini kerana membocorkan rahsia rasuah Rahim Tamby dan Rafidah Aziz dan dihukum 2 tahun penjara. Inilah bertuahnya negara Malaysia Boleh orang yang melaporkan perilaku rasuah dihukum, orang yang mengamalkan rasuah hidup bebas dan terus menjadi menteri. Isu surat menyurat di antara Ketua Puteri UMNO dengan SPR juga turut dikelaskan sebagai rahsia dan sekali lagi Zulkifli Sulung telah disiasat bagaimana beliau mendapat surat-surat tersebut, bukan menyiasat kenapa boleh terjadi kerjasama ini yang boleh mengugat demokrasi dan keyakinan rakyat terhadap SPR.

Tidak ketinggalan kita juga ada Akta Hasutan 1948 [ Akta 15] yang diperkenalkan oleh Inggeris yang kita gunapakai sehingga hari ini dan saudara Zulkifli Sulung, Ketua Pengarang Harakah telah disabitkan kesalahan di bawah akta ini.

Ini yang dimaksukan oleh Haji Hadi dalam ucapan dasarnya UMNO mengamalkan dasar " keliri dan kawal " dalam usahanya untuk mengekalkan kuasa memerintah Malaysia.

PENUTUP

UMNO akan mengunakan apa saja cara melalui cara halal atau haram untuk mengekalkan kuasanya. Kehilangan kuasa bagi UMNO bagaikan orang buta kehilangan tongkat. Kuasa bagi UMNO sebagai tongkat sakti untuk meminta apa saja yang dihajati di dunia ini. Kekayaan, kedudukan dan kekuasaan.

Oleh itu jangan haraplah UMNO akan bersetuju dengan cadangan SPR untuk memperkenalkan Kod Etika Pilihan raya kerana kod memberi peluang bermain di padang yang sama rata dan merugikan UMNO. Mahathir pada 19 September 2003, awal-awal lagi telah menolak cadangan SPR untuk membenarkan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya nanti untuk mengadakan rapat umum dengan alasan penyokong parti PAS belum matang lagi. Ahli dan penyokong UMNO sahaja yang matang, orang lain semua bodoh.

UMNO masih lagi memimpin, tetapi sejauh mana harapan rakyat melayu terus bergantung kepada UMNO sebagai wadah perjuangan ketuanan Melayu belum dapat dipastikan. UMNO kini semakin jauh dari rakyat. Pemimpin elit tidak lagi dipotretkan sebagai kepimpinan yang memperjuangkan rakyat malah dilihat sebagai tuan rakyat. Kalau dulu 99 untuk rakyat 1 untuk pemimpin, kini sudah terbalik 99 untuk pemimpin 1 untuk rakyat.

Kepimpinan UMNO kini melihat semua orang lain salah kecuali UMNO. Rakyat dipersalahkan kerana mudah lupa, PAS dipersalahkan kerana ideologi Islam yang tidak progresif, Keadilan dengan isu Anwar dan DAP dengan sikap Malaysia Malaysiannya. Apa yang salah pada UMNO adalah bangkangan. Apa saja bangkangan terhadap usaha yang dianggap murni oleh UMNO semuanya dikatakan salah.

Sekian, untuk untuk kali ini.Marilah sama-sama kita berkifir dan mencari jalan bagaimana untuk memperbetulkan keadaan supaya ianya kembali kepada rel yang betul bagi kepentingan agama, bangsa dan negara. Wassalam.






___________________________
Terbitan : 27 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)