Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

BOLEHKAH ABDULLAH MEMBASMI KORUPSI?

Oleh S. Husin Ali

Dalam dua tiga bulan yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah mengeluarkan dua kenyataan mengenai keazamannya untuk membasmi korupsi. Seperti dijangkakan, keazaman beliau seperti dinyatakan dialu-alukan sebagai tegas dan baik oleh pihak media perdana serta sesetengah golongan yang sehaluan.

Pada bulan Jun Abdullah menyatakan bahawa korupsi merupakan penyakit sosial yang bahaya dan perlu diperangi. Sehubungan ini beliau mengumumkan pasukan polis akan ditambah dengan 23,000 anggota lagi. Dalam minggu pertama dan kedua bulan Ogos ini, beliau mengulangi dua kali kenyataan bahawa penyakit korupsi sangat serius di kalangan kakitangan kerajaan.

Mengikut beliau, antara tahun 1998 hingga 2002, seramai 1,342 orang yang ditangkap kerana terlibat dengan korupsi terdiri dari golongan ini. Secara sengaja atau tidak sengaja, Abdullah tidak menyebut tiga perkara penting, iaitu: pertama, dari peringkat atau pangkat apakah yang paling ramai ditangkap, kedua, berapakah jumlah besar semua yang ditangkap, dan ketiga, berapa ramaikah yang memberi rasuah juga ditangkap?

Abdullah berpendapat bahawa tidak cukup dengan mengadakan dan melaksanakan undang-undang saja untuk menghapuskan korupsi secara umum. Secara khusus bagi kakitangan kerajaan, katanya, yang lebih penting lagi ialah perubahan nilai dan cara berfikir mereka. Abdullah menekankan bahawa nilai mulia perlu dipupuk di kalangan mereka supaya mereka menolak perbuatan keji melakukan korupsi. Seterusnya, beliau berkata, golongan pegawai ini mesti sentiasa melawan nafsu hendak menerima rasuah.

Pandangan Abdullah ini benar juga. Tetapi, kita tidak melihat apakah yang dilakukan oleh pemerintah untuk memupuk nilai dan sikap seumpama ini. Baik sekali, jikalau dari peringkat awal persekolahan lagi, murid-murid dilatih dan ditanam dengan semangat membenci korupsi sebagai penyakit sosial, yang jijik serta bertentangan dengan nilai agama, dan boleh merosakkan diri serta masyarakat. Malangnya, didikan demikian tidak wujud.

Sebaliknya, saya mengetahui sekarang ini, di peringkat universiti di dalam dan luar negara, meluas sekali amalan membiasakan korupsi di kalangan pelajar. Sering terdapat pemimpin politik tertentu memberi jamuan, wang, bahkan juga kereta, kepada sesetengah pemimpin pelajar, untuk mendapatkan sokongan para mahasiswa bagi parti pemerintah. Bukankah ini cara melatih mereka mudah menerima rasuah apabila sudah tamat belajar dan mula berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan?

Sebenarnya, peranan undang-undang tidak boleh diperkecilkan. Undang-undang bagi membanteras korupsi memang sudah wujud di negara ini. Begitu juga dengan badan-badan yang ditugaskan untuk mencegahnya. Yang menjadi masalah ialah: adakah undang-undang itu dilaksanakan secara berkesan, dan adakah badan pencegah rasuah serta pasukan polis adil dan telus sewaktu melaksanakan undang-undang yang ada?

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa pada peringkat perlaksanaan, terdapat keadaan pilih bulu dalam tindakan ke atas korupsi atau mencegah rasuah. Sekurang-kurangnya semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri, seorang Menteri Pelajaran waktu itu, Datuk Abdul Rahman Talib telah diambil tindakan. Pada masa Tun Hussein pula, Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor telah diheret ke mahkamah dan dijatuhkan hukum penjara. Tidak kiralah bahawa ada pendapat kes Harun ini berlaku hanya kerana wujud konflik politik yang sengit di antara beliau dengan Hussein.

Sebaliknya, selama 22 tahun Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkuasa sebagai Perdana Menteri, adakah tindakan yang diambil ke atas sebarang menteri yang terlibat dengan korupsi, dalam ertikata menerima atau memberi wang atau hadiah? Benar Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihukum penjara enam tahun atas tuduhan melakukan korupsi. Tetapi, ini tidak melibatkan penerimaan atau pemberian wang atau hadiah. Kes ini kuat dipengaruhi oleh unsur konspirasi politik.

Anwar didakwa melakukan korupsi kerana menggunakan kedudukan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk mempengaruhi tindakan pegawai polis. Jikalau ini salah, dan saya tidak mempertikaikan, kita boleh membuktikan kesalahan lebih banyak dan lebih besar lagi yang dilakukan oleh Mahathir. Perdana Menteri yang sangat berkuasa ini nyata sekali bukan saja mempengaruhi bahkan banyak kali menguasai serta memperalatkan pegawai tadbir, pasukan polis dan juga kehakiman. Sekiranya sistem pemerintahan kita adil dan telus, Mahathir mungkin sudah dipenjarakan lebih lama lagi.

Perkara yang hendak saya tegaskan di sini ialah korupsi lebih banyak dan lebih teruk lagi dilakukan oleh tokoh-tokoh politik yang berkedudukan sebagai pimpinan tertinggi dalam pemerintahan. Apabila korupsi berlaku di kalangan paus serta yu yang ganas, tidak ada tindakan diambil, bahkan mereka akan dilindungi. Yang selalu ditangkap dan dihukum adalah anak-anak seluang dan ikan-ikan bilis. Ini membuktikan sikap pilih bulu yang membelakangkan nilai-nilai keadilan serta ketelusan.

Satu kes masyhur yang diketahui umum adalah berkaitan dengan korupsi yang dituduh dilakukan oleh Menteri Datuk Rafidah Aziz, berhubung pemberian saham kepada anggota keluarganya. Beberapa laporan polis telah dibuat. Tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan diambil, oleh kerana Perdana Menteri telah mempertahan kedudukan Rafidah dalam parlimen. Itu juga sebabnya kes korupsi berkaitan Perwaja dan Tan Sri Eric Chia meleret bertahun-tahun, dan mungkin tidak akan selesai kerana kedudukannya sebagai seorang kroni yang disayangi.

Dua tiga tahun lalu, satu laporan polis telah dikemukakan terhadap Abdullah sendiri, yang didakwa terlibat dengan pemberian kontrak, kepada seorang anggota keluarganya. Mengikut laporan itu, semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan, Abdullah dituduh mungkin terlibat dengan korupsi pembekalan makanan kepada pasukan tentera.

Baru-baru ini pula, satu lagi laporan polis dibuat terhadap Abdullah, selepas pendedahan oleh seorang anggota Parlimen (Husam) dari Kelantan, bahawa seorang lagi anggota keluarga beliau telah memperolehi kontrak dengan syarikat penerbangan yang menjanjikan keuntungan besar. Laporan itu cuma meminta pihak polis menyiasat sekiranya hubungan kekeluargaan ini mempengaruhi pemberian kontrak tersebut.

Kami berharap sangat-sangat agar Abdullah, selaku Menteri Dalam Negeri, akan segera mengarahkan pasukan polis, yang di bawah kuatkuasanya, supaya melakukan siasatan. Hanya jikalau beliau berbuat demikian, dan pasukan polis pula bertindak dengan cepat, berani, telus serta adil, barulah rakyat boleh mempercayai bahawa Abdullah memang sesungguhnya serius dan berazam kuat hendak memerangi rasuah. Jikalau tidak, rakyat akan menganggap bahawa semua kenyataan yang beliau buat itu omong kosong yang bertujuan politik semata-mata.

Saya menganggp bahawa dalam hal rasuah, apa yang diamalkan oleh tokoh-tokoh politik dan para pemimpin pemerintah ada lebih besar, buruk dan jijik daripada apa yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan. Malang sekali, apa yang mereka lakukan bukan saja menjadi contoh buruk kepada pegawai-pegawai kerajaan, bahkan mudah mendorongkan mereka meniru apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh besar politik pemerintah itu.

Abdullah menghadapi cabaran besar. Bolehkah beliau mengambil tindakan berkesan untuk membasmi korupsi di kalangan para pemimpin negara serta kroni mereka? Sanggupkah Abdullah bermula dengan membuka diri untuk pemeriksaan menyeluruh? Jikalau jawabnya tidak, penyakit korupsi tidak mungkin dapat dibasmi. Ia akan merebak sebagai barah yang pasti akan menjahanamkan negara.






___________________________
Terbitan : 7 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)