Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Liwat isteri: Husam jawab Noh dalam debat terbuka di luar Parlimen

KUALA LUMPUR 18 Sept (Hrkh) - Dewan Rakyat membuka sejarah tersendiri semalam apabila perdebatan yang tidak dapat diselesaikan di dalam Dewan di sambung semula di depan para pemberita serta kamera TV di lobi Parlimen.

Ia berlaku apabila Husam Musa (PAS - Kubang Kerian) mencabar Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Noh Omar berdebat mengenai tuduhan Umno bahawa PAS membenarkan suami meliwat isteri kerana ia tidak dinyatakan dalam hukum hudud yang dibentangkan di Kelantan dan Terengganu. "Saya cabar yang berhormat berdebat dengan saya di luar dewan di depan pemberita tepat jam 3.00 petang," kata Husam dalam Dewan Rakyat dan dipersetujui oleh Noh.

Tepat jam 3.00 petang semua pemberita dan jurugambar berkumpul di tempat sidang akhbar Parlimen dan Husam dengan ditemani Penasihat Undang-undang PAS Kelantan yang juga anggota Parlimen Machang, Dato' Yusof Nor berdepan dengan Noh di depan wartawan.

Debat Husam - Noh

Husam memulakan bicara dan meminta Noh membuat tuduhan semula bahawa PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Noh membaca enakmen Jenayah Syariah yang diluluskan oleh Dun Kelantan dan Terengganu iaitu, "liwat ialah satu kesalahan yang merupakan satu persetubuhan yang dibuat oleh seorang lelaki dengan lelaki yang lain, atau diantara lelaki dengan seorang perempuan selain isterinya yang dilakukan di luar tabie".

Husam menegaskan, hukuman liwat isteri telah ada dalam undang-undang jenayah syariah Kelantan yang telah digezetkan pada tahun 1985 yang menetapkan kesalahannya boleh didenda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua dengan disebat enam kali.

"Enakmen ini tidak pernah dibatalkan oleh kerajaan Kelantan dibawah PAS. Sebab itu kalau tidak tahu tanya kerajaan Negeri Kelantan," kata Husam.

Noh mendakwa Husam bersetuju bahawa undang-undang yang dibuat oleh BN jauh lebih baik daripada yang dibuat oleh Enakmen Jenayah Negeri Kelantan.

"Saya nasihatkan YB beritahu Menteri Besar Kelantan buang Enakmen Negeri Kelantan pakai Enakmen lama," kata Noh dengan nada penuh emosi.

Husam menjawab, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan itu adalah berkait dengan Hudud. Liwat isteri tidak boleh dikanakan hudud tetapi dikenakan takzir dan sebab itu ia tidak terletak di bawah Enakmen Hudud.

Apabila seorang anggota Parlimen dari MCA cuba mencelah, Husam menolaknya dengan berkata, berdebatan ini antara beliau dan Noh dan orang lain tidak perlu masuk campur.

Bukti bertulis hukuman liwat

Ketika ditemui di Parlimen hari ini, Husam memberikan bukti bertulis enakmen tersebut iaitu Enakmen No. 2 tahun 1985 yang bernama "ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH 1985".

Dalam seksyen 14 enakmen tersebut, ia berbunyi "Sesiapa yang dengan sengaja melakukan perbuatan liwat yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut hukum syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabit, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat enam kali."

Menurut Husam, ulama berpendapat, meliwat isteri tidak boleh dikenakan hukuman hudud (hadd) tetapi hendaklah dikenakan hukuman takzir.

"Atas dasar inilah, difinasi liwat dalam hukuman hudud tidak termasuk meliwat isteri," kata Husam.

Oleh kerana ia telah ada dalam undang-undang terdahulu, ia tidak dimasukkan oleh penggubal undang-undang di zaman kerajaan PAS ke dalam Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan. -SH/ZS






___________________________
Terbitan : 24 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)