Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pemuda PAS mahu SPR pertahan rapat umum

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tetap mempertahankan untuk membenarkan rapat umum diadakan sesuai dengan sifat Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berpilihan raya.

Memorandum kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dikemukakan oleh Ketua DPPWP, Ustaz Riduan Mohd Nor, kepada Penolong Setiausaha SPR, Encik Rahim Salleh bagi mendesak SPR mempertahankan keputusan membenarkan rapat umum pilihan raya, di pejabat SPR Putrajaya semalam. Riduan yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat diiringi oleh Setiausaha Pemuda PAS Pusat yang baru dilantik, Ahmad Shabki Yusof dan Ketua Penerangan DPPWP, Mohd Fadli Abdul Ghani.

Berikut disiarkan memorandum penuh DPPWP kepada Pengerusi SPR tersebut:

TAN SRI DATUK ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN Pengerusi,
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Aras 4&5,
Blok C7, Pusat Pentadbiran Kerajaaan Persekutuan,
62690 PUTRAJAYA

25 SEPTEMBER 2003

YBhg Tan Sri,

MEMORANDUM MENDESAK SPR MEMPERTAHANKAN KEPUTUSAN MEMBENARKAN RAPAT UMUM

Perkara di atas dengan hormatnya adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius tindakan beberapa parti politik khususnya parti-parti BN yang membantah cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membenarkan parti politik mengadakan rapat umum dalam pilihan raya umum akan datang. DPPWP berpandangan bantahan yang dibuat oleh parti-parti BN adalah satu sekatan ke atas kebebasan rakyat dalam sebuah negara demokrasi berpilihan raya.

DPPWP menyokong penuh cadangan SPR supaya rapat umum dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada parti-parti yang bertanding mengemukakan gagasan dan manifesto mereka secara yang lebih terbuka kepada rakyat. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia sepatutnya membuka seluas-luas peluang kepada rakyat untuk mendapat maklumat bagi dijadikan pertimbangan yang bakal disimpulkan pada kertas undi. Sekiranya SPR tidak membenarkan pihak-pihak yang bertanding menyampaikan manifesto mereka melalui rapat umum, mungkin pilihan raya akan berlaku secara tidak adil di mana parti-parti kerajaan berpeluang menggunakan media cetak dan elektronik untuk menyampai manifesto dan momokan politik mereka, sedangkan parti-parti alternatif tidak mendapat peluang tersebut.

DPPWP menolak dakwaan pemimpin BN kononnya rapat umum boleh mencetuskan keganasan kerana belum ada dalam sejarah negara ini berlaku sebarang bentuk keganasan yang berpunca daripada rapat umum. PAS sendiri telah mengadakan beribu-ribu ceramah umum yang tidak pernah berlaku keganasan. Mungkin bantahan ini berpunca daripada ketakutan BN terhadap ruang maklumat yang diperolehi oleh rakyat yang mungkin menggugat kelangsungan kuasa mereka. Bantahan ini juga sekali gus merupakan gambaran terhadap sikap tidak demokratik BN dalam mentadbir negara ini.

DPPWP melihat tinddakan BN membantah cadangan SPR ini sebagai satu tekanan politik jahat yang cuba dikenakan ke atas SPR. Tindakan ini bertujuan untuk meletakkan SPR benar-benar di bawah telunjuk mereka. Sebelum ini SPR telah dipersoalkan kerana isu persempadanan yang berat sebelah, undang-undang pilihan raya, pengundi hantu, pengambilan ahli Puteri Umno sebagai kakitangan sementara dan sebagainya. Jika SPR terus mengikut telunjuk BN dengan membatalkan cadangan membenarkan rapat umum, maka tidak syak lagi bahawa memang benar SPR adalah kuda tunggangan BN.

DPPWP mendesak SPR supaya membenarkan rapat umum diadakan oleh parti politik dan tidak tunduk kepada bantahan sempit BN yang cuba menutup ruang demokrasi dan kebebasan rakyat. Kebenaran ini amat selari dengan hak asasi dan kebebasan rakyat. SPR juga tidak boleh tunduk kepada bantahan-bantahan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi. DPPWP juga mahu SPR mempertahankan kredibiliti mereka daripada terus diperkosa secara murahan oleh kerakusan BN. SPR mesti memastikan supaya semua pihak yang menyertai pilihan raya umum akan datang sama ada parti politik, calon-calon dan pengundi mendapat keadilan yang sewajarnya. SPR hendaklah memastikan tidak ada pihak yang mendapat keuntungan atau liabiliti daripada sikap tidak adil atau berat sebelah SPR dalam mengendalikan pilihan raya.

Oleh itu, DPPWP menuntut supaya;

SPR mestilah mempertahankan keputusannya untuk membenarkan rapat umum dalam pilihan raya akan datang;

SPR juga hendaklah mengadakan rundingan dengan pihak polis untuk memastikan pihak polis membenarkan rapat umum diadakan oleh parti politik dalam pilihan raya;

SPR hendaklah tegas untuk menyekat penyalahgunaan platform kerajaan untuk memancing undi dalam pilihan raya; SPR mestilah memberikan kebenaran kepada setiap parti politik yang bertanding untuk menggunakan saluran media perdana sama ada akhbar, radio atau televisyen bagi tujuan berkempen; dan

SPR mestilah menguruskan pilihan raya secara telus dengan tidak tunduk kepada kehendakan dan desakan parti pemerintah. Toleransi SPR mestilah berasaskan keadilan untuk semua, bukannya berasaskan tekanan pari pemerintah.

Sekian pandangan dan tuntutan kami. Semoga SPR memberikan perhatian serius terhadap pandangan dan tuntutan ini.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah,

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
.-mr






___________________________
Terbitan : 27 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)