Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Rapat umum dan cerita Mahathir jatuhkan Tunku

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Beberapa tulisan dalam akhbar-akhbar mingguan, Ahad lalu, agak menarik untuk dilanjutkan perbincangan mengenainya. Tentunya semua akhbar di bawah kawalan pemerintah itu memilih berita perayaan ulangtahun ke-50 Kecemerlangan Kongsi Kuasa BN sebagai tajuk utama.

Berita tv beranggapan lebih 50,000 orang hadir, manakala akhbar pula meletakkan angka 30,000, sedangkan ada pemerhati yang hadir menganggarkan hanya 10,000 sedia mendengar leteran dan cemuhan terakhir Pengerusi BN terhadap seteru politiknya. Perhimpunan itu diadakan ketika polemik perlukah rapat umum dibenarkan semula hangat diperkatakan. Hari itu juga, 20 September, genap lima tahun Anwar Ibrahim merengkok dalam tahanan.

(Saya tertunggu-tunggu juga di depan tv, tetapi kemudiannya ketawa kecil bersama teman-teman bila membaca permohonan maaf Menteri Penerangan, Khalil Yaakob, yang juga Setiausaha Agung Umno, kerana tidak dapat menyiarkan acara itu secara langsung, atas masalah teknikal. Mohamad Rahmat, Setiausaha Agung BN sempat melepaskan geramnya terhadap Khalil).

Pengerusi SPR, yang wibawanya kini tercalar teruk, mencadangkan rapat umum yang diharamkan sejak 25 tahun lalu dihidupkan bagi memberi peluang lebih adil untuk semua parti yang bertanding bertemu rakyat. (Adakah ia untuk menutup isu persempadanan semula kawasan pilihanraya, konspirasi SPR-Puteri Umno dan pemindahan terpilih pengundi secara automatik mengikut alamat kad pengenalan?)

Secara sinis ada mempersoalkan, bila pula rapat umum diharamkan. Ini kerana Umno bebas menggunakan stadium, dewan dan padang untuk merayakan aktiviti parti, sekaligus membelasah pembangkang. Tidak cukup dengan itu, radio dan tv menyiarkannya secara langsung. Seolah-olah, permit polis hanya sukar dikeluarkan buat pembangkang.

Dan setiap tahun, perhimpunan agung Umno selama empat hari itu diberikan sorotan media lebih 100 kali ganda berbanding persidangan Parlimen!

Majlis Tertinggi Umno – yang mana kuasanya dianggap lebih hebat daripada Kabinet – melalui Dr Mahathir Mohamad, seperti diduga menolaknya, sambil menekankan tindakan SPR itu boleh mendorong tindakan ganas kerana kononnya sebahagian besar penyokong pembangkang belum matang dalam cara-cara berdemokrasi.

Kemudian rata-rata pemimpin Umno, (termasuk Pak Lah, Menteri Dalam Negeri!) menyerahkannya kepada kebijaksanaan polis, seolah-olah polis selama ini bertindak secara penuh profesional, tanpa pengaruh pemerintah. Sanggupkah polis membelakangkan pandangan Presiden Umno walhal umum mengetahui pengharaman ceramah umum selepas pilihanraya 1999 adalah langkah tidak-demokratik, yang mula dibincangkan dalam MT Umno, untuk menekan pembangkang.

Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (yang kini digambarkan berpendirian sederhana berbanding Tuan Guru Abdul Hadi yang dikatakan keras dan radikal) sehingga akhir hayatnya terkilan kerana tidak dilayan permintaannya untuk bertemu Ketua Polis Negara, Norian Mai bagi membincangkan pelbagai isu yang sering dikaitkan dengan masalah keselamatan, sedangkan ia sebenarnya hanyalah isu politik semasa yang membabitkan pembangkang-pemerintah, bukannya melibatkan pembangkang-polis.

“Jangan bercakap soal rapat umum, selesaikan isu ceramah umum yang diharamkan sekarang!” sergah seorang aktivis muda pembangkang. “Kalau majlis ceramah dalaman parti pun dikepung polis, tak usah mimpilah kempen pilihanraya akan datang dalam suasana bebas, adil dan saksama.”

“Tengoklah nanti, ia adalah yang terburuk dalam sejarah negara ini. Segala kod etika yang mahu digubal SPR adalah lawak jenaka semata-mata,” kata seorang bekas wartawan politik. “BN tak akan peduli itu semua, yang penting kuasa dikekalkan. Bagi mereka, pilihanraya kali ini ibarat perang yang mewajarkan segalanya. Sekali jatuh, seperti Kelantan dan Terangganu, tak tau bila dapat dirampas semula.”

Bagi ramai pihak, menurut keutamaan, sepatutnya yang harus diselesaikan ialah isu daftar pemilih yang sah, undi pos, kedudukan kerajaan sementara selepas Parlimen dan DUN dibubar, kempen BN yang menggunakan segala jentera dan kemudahan kerajaan, mengeksploitasi media (membeli iklan untuk siarkan manifesto pembangkang pun tidak dilayan), menabur wang membeli undi, juga tempoh berkempen yang begitu singkat.

Aneh, ketika negara berdepan ancaman pengganas komunis dan darurat masih berjalan, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman memberikan ruang agak selesa buat pembangkang mengadakan rapat umum, manakala beliau sendiri pernah berkempen hanya atas tiket Presiden Umno, selepas mengosongkan jawatan PM. Tempoh berkempen dibenarkan lebih sebulan. (Misalnya, pilihanraya 1969; kerajaan mengisytiharkan pada 20 Mac bahawa pilihanraya akan diadakan Sabtu, 10 Mei dan hari penamaan calon pada Sabtu, 5 April).

Lebih ajaib kini, ketika memoir Chin Peng, bekas ketua Parti Komunis Malaya, beredar di pasaran dan PKM sudah ditalkinkan, manakala globalisasi menjadi sebutan, tetapi program ceramah umum pembangkang tidak diberi kebenaran sekiranya diadakan di luar premis parti. Taklimat dalaman pun disekat jika sambutannya melimpah!

Apa pun, saya tertarik dengan keputusan bancian TV3 melalui SMS minggu lalu. 87 peratus penonton bersetuju rapat umum patut dibenarkan kembali atas alasan rakyat sudah matang menilai dan ia adalah amalan demokratik.

II

Kolumnis Berita Minggu, yang juga bekas Setpol Mahathir, M Noor Azam menulis tentang apa yang dilakukan PM kini adalah mendokong apa yang diusahakan Tunku Abdul Rahman dahulu, walaupun ketika itu Mahathir bukan saja “… tidak sejalan dengan Tunku, malah terbabit menjatuhkan Tunku.”

Saya lebih suka merujuk hal konspirasi Mahathir menjatuhkan Tunku melalui kata-kata Tunku sendiri, dalam bukunya, “Sebelum dan Selepas 13 Mei”, bermula dengan penyebaran secara meluas surat terbukanya.

Tunku menerima surat Mahathir dua hari selepas beliau keluar hospital pada 16 Jun 1969. “Surat (yang kasar) itu tidaklah pernah saya lihat terdahulu darinya sepanjang masa saya menceburkan diri dalam politik. Saya tidak pernah sekali-kali manjangka bahawa surat seperti itu boleh ditulis oelh seorang yang sentiasa mengembar-gemburkan dirinya, sekurang-kurangnya pada pandangan orang, sebagai seorang penyokong parti yang kuat, sekalipun dia tidak bersetuju dengan beberapa polisi parti,” tulisan Tunku dipetik.

Tunku menyifatkan langkah Mahathir itu telah menyuburkan satu budaya baru dalam politik, iaitu menulis dan menyebarkan surat-surat beracun. “Taktik ini merupakan satu helah yang telahpun lama diamalkan oleh komunis,” tulisnya lagi.

Surat itu kemudiannya disaiklostail beribu-ribu untuk diedarkan kepada kakitangan kerajaan, pelajar dan juga masyarakat awam. Hal ini kemudiannya dibincangkan dalam mesyuarat MT Umno pada 12 Julai di kediaman Tun Razak, yang mana Tunku tidak hadir. Keputusannya, Mahathir dipecat.

Tunku seterusnya merakamkan: “Siapakah Dr Mahathir dan apakah pendiriannya dalam Umno? Jawapannya ialah ada sekumpulan orang yang selalu disebut sebagai pelampau ataupun bijak pandai yang telah dapat menembus masuk dan mencari kedudukan dalam Umno. Sesetengah daripada mereka duduk di Kuala Lumpur dan tidak seorang pun dari mereka mempunyai banyak hubungan dengan orang ramai terutamanya sekali orang-orang di kawasan luar bandar. Mereka tidak sekali-kali boleh mengharapkan sokongan orang ramai dengan tenaga mereka sendiri, tetapi mereka boleh buat bermacam-macam angkara.”

Mahathir ketika itu menonjolkan dirinya sebagai ultra Melayu, di samping mendakwa Tunku bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi 13 Mei. Dalam suratnya itu, Mahathir menyebut bahawa anggota tentera, polis dan kakitangan Melayu dalam kerajaan benci kepada Tunku. (Dalam pilihanraya 1969, Mahathir dikalahkan oleh Haji Yusof Rawa)

Selanjutnya Tunku menulis: “Saya telah ditanya, kalau Dr Mahathir menang dalam pilihanraya, mungkinkah dia juga mengkritik saya? Ini satu soalan yang susah hendak saya jawab kerana saya tahu dari dahulu bahawa dia adalah bersama dalam kumpulan yang sebelah lagi dalam Umno, iaitu puak yang menggelarkan diri mereka ‘pelampau’ atau ‘bijak pandai’.

“Tetapi saya yakin jika Dr Mahathir menumpukan masa yang lebih kepada kerja-kerja parti dan tidak menghabiskan masanya dalam perniagaan membuat rumah di Kedah bersama-sama syarikat Federal Construction Company – sebuah syarikat yang dipunyai oleh orang-orang Cina – dan dalam perniagaan yang lain, maka kemungkinannya untuk menang dalam pilihanraya itu adalah lebih besar.”

Namun, bagi saya, apa yang lebih menarik ialah pendedahan Tunku tentang mimpi anehnya pada malam Jumaat, 2 Mei, lapan hari sebelum hari mengundi dan 11 hari sebelum rusuhan. Antara lain Tunku bermimpi melalui satu lorong yang sempit, becak, berlumpur dan kotor. Tiba-tiba lalu sekumpulan tikus sebesar kecing sederhana. Bagi mengelaknya Tunku memilih lorong berdekatan, tetapi berterbangan lalat-lalat hijau yang terbang mengekorinya dan berdesing-desing di telinganya. Akhirnya Tunku, dalam mimpinya itu, dapat lepas dari tikus dan lalat hijau tersebut.

Bagi Tunku, tikus itu ibarat komunis, manakala merujuk lalat hijau, Tunku membawa satu cerita menarik. Pada malam 25 Mei, seorang pelayan di kediamannya memberitahu bahawa seorang sahabat lamanya, Dato’ Sayed Esa Almanoer hendak bercakap dengannya melalui telefon.

“Bila saya mengangkat telefon, saya dapati bukanlah suaranya tetapi seorang lain yang cuba hendak menyamar suaranya dan bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia memberitahu saya bahawa ada 20 ahli-ahli Umno yang sedang bermesyuarat pada masa itu di satu tempat dan mereka telah mengambil satu keputusan meminta saya meletakkan jawatan.

“Saya cuba hendak mengecam suaranya tetapi tidak dapat. Bila saya bertanyakah siapakah dia, dia enggan memberitahu namanya. Jadi saya katakan kepada, “Go to Hell”. Panggilan telefon itu dibuat berulang kali dalam masa tiga atau empat malam kemudiannya.

“Bila diberitahu kepada orang yang memanggil itu bahawa saya tidak ada di rumah, dia memberitahu pelayan supaya memberitahu saya supaya saya meletakkan jawatan kerana saya tidak dikehendaki lagi dalam Umno dan dalam kerajaan.”

Memang Tunku tidak menjelaskan siapa orang yang menelefon itu, tetapi apabila Tunku mengaitkan lalat hijau dengan surat Mahathir dan kempen membencinya, agak ramai juga teman-teman yang membaca bab berkenaan syak bahawa tidak mustahil Dr Mahathir sendiri terbabit.

Agak menarik untuk dianalisis perwatakan politik Mahathir melalui buku Tunku ini, khususnya tentang apa yang sering dikatakan bahawa beliau adalah ‘pelampau Melayu’ dan bagaimana liciknya tindakan Mahathir sehingga menyebabkan Tunku meletakkan jawatan. Banyak yang boleh ditulis tentang hal ini seterusnya.






___________________________
Terbitan : 27 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)