Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

SPR - "Saya Pula Resah"!

Ada laporan menyebut bahawa PAS telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tuntutan supaya Pengerusi dan Setiausaha SPR meletakkan jawatan.

Kita berpendapat ini adalah satu tindakan yang wajar diambil. Dalam situasi sekarang, tindakan meluluskan resolusi berkenaan di dalam muktamar mereka baru-baru ini adalah agak keterlaluan. Bagaimanakah PAS boleh mendapatkan keadilan daripada SPR sekiranya mereka berkonfrantasi secara peribadi dengan Pengerusi dan Setiausahanya. Mereka ini manusia biasa yang ada kelemahan. Sebelum bertindak drastik mengenakan tekanan sedemikian PAS seharusnya mengambil jalan dengan mengadakan perbincangan. Sekiranya jalan perbincangan masih belum mampu menguraikan kekusutan barulah ambil tindakan seterusnya. Melangkahlah dulu sebelum berlari.

SPR pula sudah membuka pintu mereka bertemu dengan semua parti yang berkenaan. Ini satu proses yang sangat sihat dan perlu dipertingkatkan. Kita juga harus menyambut baik cadangan SPR melarang sesiapa pun daripada menggunakan acara-acara rasmi untuk memancing undi. Kerajaan-kerajaan PAS dan BN harus menghormati larangan ini. Kalau ada acara-acara rasmi rancanglah supaya ianya dilaksanakan sebelum atau selepas musim pilihanraya. Dalam musim pilihanraya ini seelok-eloknya kegiatan rasmi hanya dihadkan di pejabat sahaja tanpa melibatkan orang ramai. Laksanakan hanya sekadar yang benar-benar perlu sahaja. Yang boleh ditangguh, tangguhlah. Kalau parti yang sama memerintah dia boleh sambung semula lepas pilihanraya. Kalau parti lain pula, mereka lah pula yang bertanggungjawab melangsaikannya. Jangkamasanya pun bukanlah terlalu lama.

Memandang acara-acara rasmi sudah tiada lagi dalam musim pilihanraya, maka tak wajarlah juga kakitangan atau kemudahan kerajaan digunakan oleh mana-mana pihak dalam masa berkempen. Kecualilah dalam perkara tertentu yang tak dapat dielakkan seperti menyediakan pengawal-pengawal keselamatan yang secukupnya untuk Perdana Menteri dan Timbalannya seperti lazimnya.

Kakitangan dan kemudahan kerajaan bolehlah ditumpukan kepada membantu SPR melaksanakan proses pilihanraya yang lancar. Kalau ada kemudahan kerajaan yang perlu diberikan kepada mana-mana parti biarlah SPR juga yang menentukannya tetapi biarlah telus dan tidak berat sebelah!

Walau bagaimana pun masih ada satu kebimbangan yang merungsingkan kita. Bagaimanakah SPR mampu menguatkuasakan larangan-larangan yang mereka cadangkan secara berkesan sekiranya tiada peruntukan undang-undang yang jelas. Kita lihat tanpa peruntukan undang-undang yang jelas, yang tinggal hanyalah satu, iaitu kita mengharapkan semua parti-parti yang terlibat boleh mengawal emosi masing-masing dan menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, dan selalu mengambil sikap tolak ansur semasa musim pilihanraya nanti. Pengalaman kita yang sudah menunjukkan "self control/governing" ini teramatlah sukar untuk dicapai. Kita berdoalah semoga Allah s.w.t. memberikan yang terbaik untuk kita.

Tugas memimpin sebuah negara memang bukan satu perkara mudah. Ianya satu amanah besar. Kalau ada ruang untuk sebahagian daripada amanah itu disalahgunakan, apalah salahnya ianya diserahkan kepada sebuah badan lain. Memanglah kalau diserahkan kepada SPR sekali pun belum tentu menjamin salahguna dapat dielakkan. Pesuruhjaya-pesuruhjaya pilihanraya tersebut juga manusia biasa yang tak sempurna, namun demikian sekurang-kurangnya mereka tiada kepentingan dalam parti-parti yang bertentangan.

Kalau setiap teguran dan kritikan hanya dilabel sebagai "menuding jari menyalahkan orang lain" selagi itulah budaya tegur menegur untuk kebaikan hanya akan jadi omongan kosong. Kalau benar sekali pun, tak salah orang yang "dituding jari" menerimanya secara lapang dada. Kalau teguran itu ada kebenaran silalah perbetulkan. Kalau teguran itu salah silalah perjelaskan. Janganlah menutup ruang kritikan dengan alasan "memang mudah menuding jari". Kalau bukan orang lain siapa lagi yang boleh menuding jari menunjukkan kesilapan kita. Kalau nak mengharap diri sendiri, alamat kita akan perasan yang segala kita lakukan sempurna belaka. Ini memang sudah tabiat semulajadi manusia. Sebab itulah kita dianjurkan supaya tegur menegur antara sama lain.

Kita bersetuju kerajaan patut diberikan peranan dalam proses yang melibatkan kepentingan negara. Namun adalah penting supaya kata putus terakhir diberikan sepenuhnya kepada sebuah badan yang benar-benar bebas, atau pun sekurang-kurangnya sebuah badan yang lebih bebas. Seperti contoh bidang kehakiman yang telah dijelaskan. Kerajaan ada peranan untuk menyediakan sistem dan prasarana kehakiman bagi sistem keadilan yang berwibawa dan dihormati. Namun keputusan terakhir haruslah tamat di tangan hakim. Kita pasti para hakim turut mengambil kira kepentingan negara dalam menyatakan sesuatu keputusan. Kalau kita boleh meyakini kemampuan para hakim untuk bertindak bebas, kita juga boleh meyakini bahawa SPR mampu mengimbangi faktor-faktor yang melibatkan kepentingan negara.

Saya setuju bercakap memang mudah. Kalau itu sahaja alasannya tiada siapalah pula yang layak bercakap. Kesusahan untuk melaksanakan janganlah pulak dijadikan alasan untuk tidak berubah. Tiada siapa yang menjanjikan bahawa perubahan itu suatu yang mudah. Bagaimana proses perubahan boleh bermula kalau tiada penilaian dari luar dan dalam. Penialaian luaran tak mungkin berlaku kalau ruang menegur ditutup dengan alasan "bercakap memang mudah".

Kalau saya tidak berlaku adil saya sedia menerima teguran. InsyaAllah saya tak akan mengambil jalan mudah dengan mengatakan "saudara menegur/bercakap memanglah mudah".

Sebagai contoh atas kepentingan memastikan SPR perlu ada kuasa adalah kita semak berapa peruntukan kerusi tambahan PERCUMA yang kerajaan PAS Terengganu peruntukkan untuk parti mereka sebagai parti sedang memerintah untuk mengekalkan kuasa mereka? Mengapa kononnya kita berpeluk tubuh sahaja? Berlaku adillah... sedangkan apakah peruntukan kerusi PERCUMA yang dibuat oleh kerajaan umno/BN di negeri-negeri majoriti mereka termasuk Sabah dan Sarawak!!! Siapa yang tak adil di sini???

Sebab itulah kita cadangkan supaya kuasa itu diserahkan kepada SPR, bukan kepada sesiapa yang memerintah, tak kira BN atau PAS. Kita tak pasti ada peruntukan dalam perlembagaan yang membenarkan kerajaan negeri campurtangan dalam proses persempadanan, kalau ada bolehlah tolong tunjukkan. Kalau ada kita tetap berpendapat kuasa itu patut diserahkan kepada SPR bukan kepada kerajaan negeri.

Sebab itu agaknya TG Abdul Hadi Awang mendakwa mereka yang menegur kelemahan dan kebejatan pimpinannya umpama tupai yang suka mengutip buah yang busuk dan kotor? Di mana agakya suara saudara yang `adil' itu..?

Apakah kerana dakwaan TG Haji Hadi itu wartawan harus berhenti dari menegur kesilapan kerajaan pimpinan PAS? Mereka tidak harus berhenti daripada menegur dan mengkritik kerajaan PAS. Malah dakwaan "tupai" itu pun kalau perlu ditegur dan dikritik harus ditegur dan dikritik. Kalau kita merasakan tindakan pimpinan PAS itu harus ditegur atau dikritik silakanlah.






___________________________
Terbitan : 22 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)