Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

UCAPAN DASAR MUKTAMAR PAS KE 49
12 SEPTEMBER 2003
“MENUJU KEMENANGAN”

Syukur ke hadrat Allah swt dlm suasana yg hening dan meyakinkan, kita berhimpun di dewan besar berwajah baru nini utk menerus

UCAPAN DASAR

MUKTAMAR PAS KE 49

12 SEPTEMBER 2003

“MENUJU KEMENANGAN”

 

MUKADIMAH

 

Syukur ke hadrat Allah swt dalam suasana yang hening  dan meyakinkan, kita berhimpun di dewan besar berwajah baru ini untuk meneruskan perjuangan umat memartabatkan keadilan untuk insan sejagat. Tiupan semangat juang oleh pengasas parti dan pemimpin terdahulu terutamanya al Marhum Haji Yusof Rawa dan Ust Dato’ Fadzil Mohd Noor semakin menyemarakkan semangat daya juang bagi seluruh pekerja parti. Dalam pertemuan ini disamping sesekali menoleh ke belakang ke kiri dan ke kanan, mencari iktibar dan pengajaran kita harus memfokuskan bola mata kita jauh ke hadapan untuk merenung arah tuju perjuangan. Saya mengharapkan Muktamar kali ini akan menghasilkan satu gambaran positif kearah memperkasakan parti bagi meraih kemenangan menjelang Pilihanraya Umum ke 11.

 

Perhimpunan kali ini lebih bererti kerana barisan saf kepimpinan parti yang baru akan dipilih oleh perwakilan yang budiman. Saf kepimpinan parti kali ini adalah kabinet pilihanraya. Tugas terdekat mereka nanti adalah untuk merealisasikan matlamat perjuangan yang telah dirumuskan melalui satu pelan bertindak yang telah saya lakarkan di beberapa perjumpaan yang lalu. Selain daripada itu kabinet pilihanraya ini mesti berupaya menggerak dan menggembelingkan seluruh tenaga parti untuk melahirkan kekuatan yang ampuh bagi mendepani musuh-musuh politik kita. Saya mengharapkan dengan sokongan padu saudara-saudari sekelian misi dan visi ini menjadi kenyataan.

 

Untuk muktamar kali ini kita memilih tema yang mengambil semangat daripada firman Allah:

           

‘Dan (pemberian) yang lain amat kamu cintai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang sudah dekat. Sebab itu, sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman’ (S. As Saf:13)

 

bersesuaian dan bertepatan dengan agenda besar terdekat perjuangan kita iaitu menghadapi Pilihanraya Umum ke 11 tidak berapa lama lagi. Tema ini dipilih diharap dapat menyuntik semangat juang yang berkoba-kobar di kalangan para perwakilan sekelian yang kemudiannya menyalurkannya kepada seluruh pendokong parti di berbagai peringkat. Dalam konteks tema ini, semangat berkobar-kobar bukan hanya terhad kepada seruan takbir yang nyaring, kekerapan mengundang penceramah liga perdana, kibaran bendera di tempat-tempat strategik, berijtima’ dan bermuktamar tetapi juga merujuk kepada pembenaan kekuatan dan keghairahan dalaman yang melahirkan semangat istiqamah yang kental.

 

Dengan tema ini saya ingin melihat PAS gagah dikedua-duanya: gagah luaran dan gagah dalaman. Gagah luaran biasanya merujuk kepada bentuk atau form sementara gagah dalaman merujuk kepada inti atau substance. Seandainya dapat digandingkan kedua-dua sumber kekuatan itu sudah barang tentu PAS menjadi parti terbilang yang tidak ada taranya. Inilah yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

 

‘Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu, dan pasukan berkuda di perbatasan, untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain disamping mereka yang tidak kamu ketahui (tetapi) Allah mengetahuinya. Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah nescaya akan dibayar cukup kepada mu dan kamu tidak dirugikan.’ (S. Al Anfal: 60)

 

Bentuk atau form mudah diusahakan tetapi inti atau substance sukar dijelmakan. Penjanaan substance memerlukan asas-asas ilmu, ketrampilan, kesungguhan, keikhlasan dan kejujuran. Untuk menonjolkan kekuatan parti kita di bidang ini PAS tidak seharusnya dibiarkan menjadi parti berideologi semata-mata. PAS mesti menawarkan progam-program empirikal yang berkait langsung kehidupan umat. PAS mesti ‘project-oriented’. PAS mesti ‘knowledge-based’. PAS mesti menjuarai proses ‘re-engineering’ umat dan akhirnya PAS mesti berupaya melakukan transformasi sosial membentuk morfologi masyarakat baru. Masyarakat madani bertunjangkan keimanan terhadap allah SWT. Masyarakat yang darinya mengalir keadilan sejagat, kepimpinan yang takut kepada Allah, sumber negara yang digarap atas dasar syukur kepada Allah, rakyat yang dapat merasakan matlamat hidup sebagai insan, makhluk agung ciptaan Allah. Dalam nada inilah saya letakkan tema muktamar ini “Menuju Kemenangan” ke ribaan perwakilan sekelian.

 

SEMANGAT KEMERDEKAAN

 

Usia parti kita telah menjangkau 52 tahun. Angka ini menggambarkan kedewasaan dan kematangan. Kedewasaan dan kematangan mesti diterjemahkan dalam bentuk pemikiran tindakan dan laku perbuatan. Bertepatan dengan semangat kemerdekaan yang kini ditiupkan yang bagi saya lebih merujuk kapada gembar gemburan luaran dengan kibaran jalur gemilang dan siri ucapan pemimpin-pemimpin yang menanggapi kemerdekaan dalam ruang lingkup yang begitu sempit. PAS sebagai parti perjuangan yang hakiki mampu menggarap erti kemerdekaan yang sepatutnya disalurkan ke minda rakyat. Tetapi sayangnya selama 46 tahun di bawah rejim yang sedia ada, erti dan ruh kemerdekaan tinggal di kulit-kulit sahaja lantaran kemerdekaan disalurkan kepada kita atas dulang emas.

 

PAS menggarap kemerdekaan dengan cara yang lebih kudus dan syahdu. Memerdekakan perhambaan sesama manusia, memerdekakan minda yang terjajah, memerdekakan hak-hak asasi yang dipenjarakan, memerdekakan pengertian dan penghayatan Islam yang dijumudkan adalah di antara teras penghayatan kemerdekaan. Sehingga ini saya belum menyaksikan penggarapan erti dan penghayatan kemerdekaan seperti ini. InsyaAllah inilah di antara landasan perjuangan yang mesti dihidupkan terus menerus dan diwariskan kepada generasi pengganti.

 

Kebelakangan ini terdapat suara-suara sumbang menafikan penglibatan pejuang-pejuang PAS khususnya para ulama dalam usaha membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah. Sumbangan mereka sengaja digelapkan dari pensejarahan negara. Bagaimana kita boleh menafikan fakta sejarah bila al Marhum Dr Burhanuddin Helmi mengepalai gerakan kemerdekaan selepas tamat Perang Dunia Kedua manakala Ahmad Boestamam menjadi putera Malaya yang pertama memekik dan menyemarakkan api kemerdekaan dengan kalimah “Merdeka’ di Ipoh dalam Kongres Penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya lama sebelum UMNO diasaskan. Sayangnya, bila anak-anak didik al Marhum ingin meraikan hari kemerdekaan dengan nada yang sama mereka dinafikan dengan cara yang paling tidak bertamaddun.

 

 

MEMPERKASA PARTI

 

Dengan penuh rasa rendah diri, saya menerima amanah menerajui parti berlatar-belakangkan barisan pimpnan yang lalu yang begitu gagah dan terbilang. Saya ingin mengungkap kembali kepada ucapan menerima tugas Saidina Abu Bakar As-Sidiq RA: “……….

 

 

 

            Hai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik sebagai pemimpin kepada kamu dan aku bukanlah yang terbaik daripada kamu maka jika kamu melihat aku kepada kebenaran, maka tolonglah aku. Dan jika kamu melihat aku pada kebatilan, maka perbetulkanlah.

 

Saya berasa gerun memikul tanggungjawab ini. Tetapi dengan sokongan dan dokongan ahli jamaah dan masyarakat seluruhnya saya yakin dengan izin Allah kita mampu menyempurnakan tugas dan amanah yang berat ini.

 

Dalam parti kita pemimpin pergi dan datang. Pemimpin bertukar silih berganti tetapi dasar perjuangan tidak pernah mengalami perubahan. Matlamat memartabatkan Islam dan menegakkan keadilan sejagat merentasi suku kaum, warna kulit, jantina, agama, budaya dan kepercayaan politik sentiasa menjadi pegangan dan pedoman kita. Komitmen kita ini adalah tepat dan ikhlas kerana  kita berpegang teguh kepada firman Allah:

 

 

 

 

‘Wahai  orang-orang  yang  beriman,  hendaklah  kamu  semua  sentiasa  menjadi  orang-orang  yang  menegakkan  keadilan  kerana  Allah  lagi  menerangkan  kebenaran.  Dan  janganlah  sekali-kali  kebencian  kamu  terhadap  sesuatu  kaum  itu  mendorong  kamu  kepada  tidak  melakukan  keadilan,  berlaku  adillah (kepada  sesiapapun) kerana  sikap  adil  itu  lebih  hampir  kepada  taqwa  dan  bertaqwalah  kepada  Allah.  Sesungguhnya   Allah  amat  mengetahui  dengan  mendalam  apa  yang  kamu  lakukan’.  (S. Al Maidah: 8)

 

Pada hemat saya kita masih berada di peringkat awal dalam melalui lebuh raya perjuangan ini. Kita harus sentiasa peka untuk meraih kekuatan demi kekuatan disamping menggugurkan segala unsur yang melemahkan perjuangan kita. Dalam konteks ini saya menyeru ahli parti supaya sentiasa berpegang kepada teras perjuangan dengan bimbingan kepimpinan ulama bagi menjamin kelangsungan parti.

 

Seperti yang saudara sedia maklum, parti kita semakin hari semakin popular di mata rakyat. Sejak kita mencapai prestasi yang memberangsangkan pada pilihanraya yang lalu, didapati rakyat sentiasa bersama kita. Rakyat desa dan kota, golongan bawah, menengah dan atas, dan orang bukan Islam menunjukkan minat yang mendalam untuk terus menyokong kita. Pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit menjadi testimoni kepada kenyataan ini. Walaupun kita kalah tipis di Pendang, undi yang diperolehi tetap meningkat. Sokongan orang bukan Islam terutamanya begitu menggalakkan.  Seluruh jentera kerajaan dimobilisasi untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Islam tentang Hudud dan Qisas. Tetapi yang nyata masyarakat bukan Islam bijak menilai yang mana kaca yang mana permata. Mereka keluar mengundi dan memilih calon PAS khususnya di Anak Bukit.

 

Ini amat mengecewakan pimpinan UMNO. Di atas kekecewaan ini UMNO menjadi meracau-racau dan mengambil tindakan mengepung kemaraan PAS dengan cara-cara yang sukar diterima akal. Apa lojiknya mengerahkan ratusan Polis Simpanan Khas untuk menghalang majlis makan malam sempena menyambut kemerdekaan di Seremban baru-baru ini? Apa perlunya meletakkan pasukan polis berterak-terak untuk mengawal program taklimat dalaman parti seperti yang berlaku di Jerantut? Apa pula lojiknya mengadakan sekatan jalan raya selang seratus meter seawal waktu asar dan menapis setiap orang yang datang untuk mendengar ucapan pemimpin BA? Saya lontarkan soalan-soalan ini bukan untuk mengharapkan kerajaan menjawab tapi untuk rakyat merenungkan.

 

Tidak banyak parti politik dalam dunia dalam kekalahan terus mendapat sokongan. Bahkan sokongan itu semakin padu. Ini menggambarkan PAS berjaya menyonsong arus perubahan masa. Selain daripada itu sokongan rakyat semakin matang dan semakin ghairah terhadap visi dan misi perjuangan kita. Pada hemat saya semakin berilmu rakyat Malaysia, semakin terjalin mereka dalam sistem jalinan maklumat, semakin terdedah mereka kepada perubahan, semakin terjalin mereka dengan gelombang perubahan dunia, PAS semakin bertenaga dan insyaAllah akan kekal hijau.

 

Menyedari hakikat inilah UMNO bertindak terus memperbodohkan rakyat. Menutup surau dan masjid, menghalang dan membendung kuliah-kuliah, mengepung dan menumpaskan majlis-majlis ceramah, melucutkan ahli jawatankuasa masjid dan surau, menghalang majlis-majlis wacana ilmu adalah di antara taktik kuku besi, otokratik yang biasanya diamalkan oleh kerajaan komunis dan fasis. Dulunya berpuluh tahun kita memerangi komunis tetapi apa yang kita saksikan sekarang ialah pimpinan orde baru UMNO inilah yang bertanggungjawab mengembalikan trend taktik komunis, fasis tersebut. Anihnya ini semua berlaku ketika negara ini diisytiharkan kononnya sebagai sebuah negara Islam. Bagi kita memperbodohkan rakyat adalah satu jenayah paling besar dan mengaibkan.

 

UMNO menjangkakan taktik mereka itu akan menguburkan PAS tetapi sebaliknya tindakan mereka itu sebenarnya menjerat dan menjerut leher mereka sendiri. Mana tidaknya, tanpa sokongan orang Tionghua khasnya dalam pilihanraya yang lalu UMNO sebenarnya telah berkubur. Sebab itulah SPR diperalatkan dalam urusan persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi memeta semula kawasan-kawasan pilihanraya dengan mengenepikan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan. Mana ada dalam dunia peta kawasan-kawasan dibuat sedemikian rupa untuk memenuhi nafsu serakah UMNO hingga menjadikan kawasan-kawasan pilihanraya itu berbentuk hydra dan amoeba.

 

SPR sekali lagi diperkudakan. Pada masa yang sama terdapat pengurusan atas SPR yang kerapkali bercakap seolah-olah lidah mereka berada di mulut orang UMNO. Berbagai peristiwa yang berlaku sewaktu pilihanraya kecil di Pendang dan Anak Bukit cuba dikaitkan dengan PAS dan BA tanpa usul periksa hingga memaksa mereka meminda beberapa peraturan pilihanraya yang dari segi perlaksanaannya menguntungkan parti pemerintah.

 

Tidak cukup dengan itu isu terkini yang sukar dinafikan oleh SPR ialah atas desakan Puteri UMNO, SPR telah mengambil tindakan melantik Pembantu Tadbir Sambilan dari kalangan ahli Puteri UMNO yang akan membantu mengurus perjalanan Pilihanraya Umum ke 11 akan datang. Tindakan SPR ini merupakan satu pencabulan prinsip yang menggugat amalan demokrasi. Tindakan SPR ini amatlah jijik, memalukan serta menjejaskan reputasinya sebagai badan bebas yang diberi tanggungjawab besar untuk menentukan pihak mana yang akan meneraju negara selepas proses pilihanraya berakhir. Tindakan SPR yang merelakan dirinya dijadikan kuda tunggangan adalah satu tindakan tidak beretika yang akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadapnya.

 

Saya menyeru kerajaan sekiranya benar-benar mereka bermaruah dan bertanggungjawab segera menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat Khas untuk menyiasat perkara ini. Kami tidak akan berdiam diri dan akan menggunakan seluruh saluran bagi menentukan tindakan yang dicadangkan ini diambil bagi memastikan pilihanraya ke 11 boleh diadakan dengan adil, telus dan saksama dan membolehkan kita selesa sekiranya SPR terus menguruskannya.

 

 

DINAMIKA PERJUANGAN PARTI

 

Pilihanraya Umum ke 11 begitu hampir. Saya beranggapan struktur parti di berbagai peringkat telah dihidup dan digerakkan. Bilik-bilik gerakan sudah mula beroperasi, UPU-UPU sedang sibuk mengatur kerja-kerja pilihanraya, MTD-MTD sedang rancak mengadakan mesyuarat memantau gerakerja pilihanraya oleh UPU-UPU dibawah jurisdiksi mereka. Kawasan-kawasan pula begitu aktif menyemak daftar pemilih dan mendaftarkan pengundi-pengudi baru sementara Perhubungan Negeri pula dalam peringkat menyenarai pendekkan calon-calon yang berwibawa untuk diangkat dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

 

Dalam keghairahan kita menghadapi pilihanraya ini saya berharap supaya pekerja-pekerja parti di semua peringkat tidak hanya leka dengan retorika dan berpuas hati dengan hanya jumlah pekerja dan penyokong yang ramai. Pada fahaman saya, apa yang lebih penting ialah kemampuan menguasai ilmu dan kemahiran berpilihanraya. Oleh itu amatlah penting setiap pekerja parti menimba ilmu pilihanraya semasak-masaknya disamping mengadakan latihan-latihan amali supaya kita tidak dikecewakan oleh tipu muslihat musuh.

 

UMNO/BN yang sudah hilang kekuatan dan keupayaan akan mencari kekuatan kedua. Kekuatan kedua itu ialah memerangkap PAS dengan tipu helah mereka. Saya menjangkakan UMNO akan menggunakan apa sahaja, samada cara  yang halal atau yang haram bagi mengekalkan kuasa mereka. Kita diberitahu mereka telah menghimpunkan berbilion ringgit, sebahagiannya melalui projek-projek kroni untuk membeli pengundi-pengundi dengan membelakangkan tuntutan akhlak dan etika. Bagi UMNO yang mengamalkan ‘matlamat menghalalkan cara’, telah berulangkali menolak cadangan untuk mendatangkan agensi-agensi pemantau pilihanraya antarabangsa atau dalam negeri bagi menentukan kebersihan proses pilihanraya.

 

Seperti yang kita maklum pilihanraya adalah permainan angka. Siapa yang memperoleh angka yang lebih besar dialah yang menang. Justeru itu PAS hendaklah menggerakkan seluruh kekuatan jentera bagi menambah keahlian. Saya ingin melihat supaya tidak ada lagi kampung yang tidak ada cawangan PAS, tidak ada lagi rumah yang tiada ahli PAS, tiada keluarga yang tidak menyokong PAS, dan tidak ada individu yang tidak berminat untuk menyokong PAS. Matlamat kita ialah ingin melihat majoriti orang Islam berada dalam PAS. Saya merasakan matlamat ini boleh dicapai dengan syarat setiap ahli parti menjadi juru jual bagi PAS disamping mengamalkan teori penggandaan (multiplying theory) dalam mana parti akan terus berkembang bukan setakat secara aritmatikal tetapi secara geometrikal dan eksponential.

 

 

MENINGKATKAN KEUPAYAAN PARTI

 

Salah satu cara memperkasa parti dan seterusnya mencapai matlamat kemenangan pimpinan parti di berbagai peringkat dapat mengurus organisasi parti secara profesional menggunakan lunas-lunas pengurusan dan alat-alat bantu pengurusan terkini. Di peringkat pusat beberapa langkah menjurus kepada pembaikan sistem pengurusan sedang diambil. Di antaranya termasuklah memperkenalkan odit pengurusan forensik (managerial forensic auditing) bagi mengkaji kekuatan dan kelemahan sistem penyampaian khidmat parti kepada semua peringkat pengurusan. Parti kita juga sedang melaksanakan pelan mengukur tahap kebersediaan parti di bawah program ‘balanced score card’ selari dengan apa yang dilakukan oleh organisasi bertaraf dunia. Selain daripada itu latihan pengurusan untuk mendedahkan pengurusan parti dengan aspek-aspek pengurusan terkini sedang dilaksanakan dengan rancaknya. Adalah diharapkan langkah-langkah yang diambil ini akan membantu parti kita bukan sekadar boleh menang dalam pilihanraya tetapi dapat berperanan sebagai agen perubahan dan reformasi dalam masyarakat. Melalui pendekatan ini PAS bukan sahaja dapat bertahan bahkan insyaAllah akan terus bersinar di dekad-dekad akan datang.

 

Saya ingin juga menyentuh sedikit mengenai pola perubahan sejagat. Fenomena globalisasi, liberalisasi dan teknologi ICT dunia tanpa sempadan akan mencorakkan lanskap hubungan geopolitik antarabangsa dan sosio-politik nasional. Jamaah kita tidak boleh lari daripada hakikat ini. Untuk itu seluruh jentera parti mesti sanggup menggarap ilmu dan ketrampilan terkini bagi membolehkan parti yang kita cintai sentiasa relevan di arena nasional, serantau dan antarabangsa. Jika kita gagal menyongsong arus perubahan ini, parti kita menjadi obsolete dan dipinggirkan oleh zaman.

 

 

MENJANA KEKUATAN DALAMAN

 

Ahli-ahli PAS berbesar hati kerana melibatkan diri secara langsung menghidup dan menyemarakkan dasar perjuangan parti. PAS adalah satu-satunya parti yang dapat mengekalkan identitinya biarpun berlaku silih gantian pemimpin. Kekuatan ini tidak lain daripada dasar perjuangan yang mantap bertunjangkan kepada  al Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias. Selagi kita berpegang kepada prinsip ini selagi itulah PAS tidak mungkin dapat digugat samada dari dalam atau luar. Menjadi kewajipan kita semua untuk mempertahankan paksi perjuangan ini supaya parti terus bertenaga dan kuat. Adalah lebih mudah membelah rambut sehelai daripada menggugat perpaduan dan ketahanan PAS yang bertunjangkan kepada aqidah Islamiyah, menjunjung Syariah dan mempamerkan akhlak contohan.

 

Kepada mereka yang tidak berkecimpung dalam perjuangan PAS mereka hairan bagaimana parti ini boleh beroperasi dalam suasana yang serba terbatas. Dalam keterbatasan itupun kita masih mampu mencipta riak dan gelombang kebangkitan umat. Gerakerja dua cabang yakni sebagai Jamaah Islam dan sebagai parti kontemporari yang anjal menjadikannya terus relevan di hati rakyat berbagai latar belakang. Untuk menjana kekuatan ini program tarbiyah mestilah sentiasa diberi nafas baru. Program tarbiyah mesti menekankan kepada kefahaman, penghayatan dan amalan yang kemudiannya mesti ditunjukkan dalam cara gaya kita menerajui parti yang kita sayangi ini. Justeru itu para ulama sebagai pemimpin saf pertama mestilah bukan sahaja melengkapi diri dengan fiqh syari’iyah tapi juga fiqh waqi’iyah supaya proses pentarbiyahan dan gerakan reformasi siyasah atau tajdid sentiasa mantap dan terkini. Mereka perlu istiqamah dengan prinsip perjuangan dan mampu menterjemahkannya dalam setiap realiti dan situasi.

 

Saya suka mengingatkan kepada perwakilan sekelian bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dalam semua bentuk: tenaga tulang empat kerat, wang ringgit, buah fikiran dan masa. Mehnah dan fitnah adalah asam garam perjuangan yang dilalui oleh para mujahid sepanjang zaman. Perjuangan Islam tidak dihampari permaidani dan tidak disirami wangian air tapi penuh dengan ujian demi ujian. Natijah pengorbanan ini akan sama-sama disaksikan di hadapan Allah Rabbul Jalil seperti yang dijelaskan oleh Alah SWT:

 

“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya telah kami uji orang-orang yang sebelum mereka, supaya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui orang-orang yang dusta.” (S. al Ankabut 1-3)

 

Bagi merealisasikan roh firman Allah yang disebutkan sebentar tadi izinkan saya menyentuh sedikit persoalan mengenai ‘amal jama’iyy dalam konteks memperkukuhkan gerakan kita. ‘Amal jama’iyy mensyaratkan penyusunan tanzim. Para ‘ulama’ harakiyy telah menghuraikan empat elemen utama yang memastikan kejayaan jamaah mencapai matlamatnya berdasarkan ‘amal jama’iyy,  iaitu: pemimpin  (  الأمارة  ), syura (  الشورى ), ketaatan anggota   (  الطا عة  ) dan kesetiaan - bay’ah    (  البيعة  ).

 

Berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu organisasi itu mencapai matlamatnya amat bergantung pada keupayaan barisan pimpinan mengendalikan teraju kepemimpinan organisasi tersebut dan kesetiaan anggotanya menyokong kepemimpinan.  Terlalu banyak nas al-Qur’an dan Hadith tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepemimpinan yang baik.  Oleh itu amat penting bagi organisasi melantik kalangan yang benar-benar berkeupayaan untuk melaksanakan sesuatu amanah kepemimpinan. Pada dasarnya  pemimpin perlu memiliki sifat-sifat quwwah dan amanah,  perlu mewarisi sifat benar, tabligh dan bijaksana. Dalam satu riwayat sahabat Nabi SAW, Abu Zar al-Ghifari bertanyakan Nabi SAW mengapa beliau tidak diberikan sesuatu jawatan yang penting pada zaman baginda SAW? Nabi menjawab:

 

“Apabila dilantik seseorang untuk sesuatu tugas yang bukan ahlinya, maka nantilah saat kehancurannya!”

 

Jawapan di atas diberikan dengan maksud bahawa Nabi tahu tugas itu tidak sesuai untuk Abu Zar dan tidak terpikul olehnya.

 

Dengan wujudnya pemimpin, maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan adab oleh ahli yang telah bersetuju melantik pemimpin tersebut. Dengan demikian barulah terbentuk saff jamaah harakah Islamiyyah yang mampu menangani perjuangan dan memikul beban da’wah. Di sinilah letaknya persoalan at-ta’ah dan al-wala’ (kesetiaan).  Al-wala’ yang kita maksudkan bukanlah setia mematuhi membabi buta kepada jamaah atau pimpinan. Ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui jama’ah Islam yang kita sokong, iaitu PAS berdasarkan prinsip dan kaedah syara’ sedia ada.  Dengan demikian terlaksanalah suatu bay’ah ahli terhadap pimpinannya.  Janji setia itu dimahkotakan dengan ahli mengikut pimpinan penuh setia dan bergerak di atas dasar syara’.   Ini bermakna, jika pimpinan memberikan arahan kepada ahli, ahli wajib menurut arahan tersebut selagi arahan tidak bercanggah dengan hukum yang jelas walaupun mungkin ada ahli tidak bersetuju atau menyukai arahan tersebut.

 

Pelaksanaan syura yang meluas di kalangan ahli jamaah adalah cara terbaik untuk mengelakkan jamaah tergelicir daripada landasan kebenaran. Sistem syura merupakan komponen terpenting dalam tanzim, di mana, tanpanya cacatlah perjalanan organisasi jamaah itu. Keputusan syura mestilah ‘mengikat’ dan dipatuhi oleh semua peringkat anggota hatta oleh Amir sekalipun.

 

Ekoran daripada kepemimpinan (qiyadah) yang berkesan dan pelaksanaan syura yang meluas, ahli-ahli akan mudah memberikan ta’ah dan bay’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin. Hatta Nabi SAW sendiri pernah menerima pandangan majoriti sahabat supaya keluar dari Madinah daripada bertahan di dalam kota Madinah semasa Perang Uhud.  Walaupun kemudian para sahabat bersedih kerana pandangan mereka bercanggah dengan pandangan peribadi Rasulullah SAW, tetapi Nabi dengan tegas menyatakan bahawa “tidak wajar seorang nabi menanggalkan baju perang yang telah dipakainya” lalu terus ke medan Uhud. Kualiti kepemimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW itu amat jelas sekali dan sesungguhnya itulah kelebihan syura.  Kemanisan bersyura akan dirasai secara automatik apabila ahli berasa yakin dengan perjalanan dan matlamat jamaah serta berasa amat senang dengan kepemimpinan barisan pimpinan jamaah. 

 

 

GAGASAN BARISAN ALTERNATIF

 

Saya masih terbayang kelincahan dan keberanian al Marhum Ustaz Fadzil Noor dalam menangani realiti politik negara ini. Beliau mempelopori penubuhan GERAK yang menggabungkan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan dalam satu wadah memperjuangkan hak-hak rakyat majmuk dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Ekoran daripada itu terbentuk gagasan politik yang dinamakan Barisan Alternatif yang mampu menjadi sebuah kerajaan menanti. Saya berazam untuk meneruskan pendekatan yang telah dimulakan oleh al Marhum tersebut dengan menentukan PAS sentiasa menjadi rakan kongsi bermakna dalam mencorakkan arus politik negara bersama dengan rakan komponen BA.

 

 

Gagasan BA telah menghasilkan natijah yang membanggakan. Dalam usia yang sebegitu muda ianya telah menunjukkan keupayaan yang digeruni oleh UMNO. Keupayaannya perlu sentiasa dipertingkatkan dengan membina asas-asas kerjasama yang lebih mantap di berbagai peringkat. Barangkali di peringkat ini, untuk membolehkan BA meneruskan agendanya dengan lebih bertenaga, beberapa langkah perlu diambil untuk setiap komponen merenung dan mengambil tindakan untuk melaksanakannya. Pertamanya setiap pihak mesti sentiasa meletakkan ‘gambar besar” di hadapan. ‘Gambar-gambar kecil’ akan membawa kita menghabiskan masa tenggelam dalam soal-soal remeh temeh yang tidak menguntungkan  mana-mana pihak. Keduanya setiap komponen parti harus sentiasa melakukan muhasabah secara dalaman parti (intra-party) dan antara parti (inter-party). Kita sudah mempunyai mekanisme perundingan yang ampuh dan seharusnya setiap pihak berusaha menambah kuat dan menambah kukuh mekanisme yang telah sama-sama dilahirkan itu. Ketiganya perlu diwujudkan saluran hubungan dua hala yang sentiasa hidup dan digunakan dengan luas disetiap peringkat sebagai satu keluarga. Akhirnya setiap pihak mesti mencuba meyakinkan ahli-ahli mereka supaya sentiasa memiliki sifat dan kefahaman untuk saling kuat memperkuat dan kukuh memperkukuh bagi menentukan perjalanan yang masih jauh ini tidak dirintangani oleh onak dan duri.

 

Untuk pilihanraya akan datang, PAS bersedia bertahalluf dengan mana-mana parti yang sedia bekerjasama kerana PAS menerima dan berpegang kuat kepada realiti politik Malaysia bahawa strategi satu lawan satu itulah senjata yang paling tajam.

 

 

CABARAN POLITIK  SEMASA MALAYSIA

 

Kalau negara diselubungi krisis kewangan dan kemelut politik sebelum Pilihanraya Umum ke-10 pada 1999, dalam suasana di ambang Pilihanraya Umum ke-11 ini, negara tetap dihantui berbagai sindrom dan gejala krisis. UMNO/BN yang panik dengan keputusan pilihanraya ke-10 yang menyaksikan penghakisan sokongan paling parah dalam sejarah politik tanah air ini, bergegas membuat bedah-siasat lantas secara terang-terangan membuat pengakuan kepada rakyat untuk melakukan apa saja yang perlu untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

 

Kini setelah satu lagi penggal di bawah pemerintahan kepimpinan UMNO/BN, rakyat masih terbelenggu dengan berbagai amalan sumbang dan curang kerajaan ini. Terbesarnya sekarang ini ialah gejala rasuah yang membarah keseluruh akar umbi pentadbiran dan pemerintahan, dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Di mana silap dan punca masalah ini terus-menerus mendapat perhatian semua pihak. Tidak kurang kuat pekikan dan laungan yang menyelar rasuah ialah menteri-menteri sendiri.

 

Saya tidak perlu sebutkan satu persatu kerana senarainya terlalu panjang. Setiap hari media perdana sendiri membuat pendedahan. Rakyat sudah jelak dan jemu dengan santapan basi ini sejak sekian lamanya – dulu, kini dan apakah untuk selama-lamanya?

 

Berhubungan rapat dengan amalan rasuah ialah tabiat kronisme. Bergandingan dengan jenayah kronisme, kedua-dua tabiat buruk ini telah menelan berpuluh bilion ringgit dalam waktu yang singkat. Kalau rasuah boleh dipertuduhkan di mahkamah, amalan kronisme pula agak sama-samar di mana garis perbezaan jenayah dan tak jenayah. Terdekat rakyat di seluruh negara digemparkan dengan amalan kronisme yang bercampur rasuah yang menelan RM700 juta dalam projek pembinaan makmal komputer sekolah yang tidak dapat digunakan kerana samada terbengkalai, tidak disempurnakan atau bumbungnya runtuh. Ini didahului dengan kegagalan pengkomputeran hospital kerana amalan kronisme. Dr Mahathir yang menafikan pembabitan UMNO dalam kes pembalakan di Pahang ditempelak dengan pendedahan yang kini menjadi isu hangat di dada akhbar perdana sendiri yang membabitkan UMNO Pahang dengan sebuah syarikat balak. Yang terkini juga adalah pembabitan keluarga TPM yang didesak supaya membuat penjelasan tentang dakwaan amalan kronisme.

 

Maka tidak menghairankan mengapa rasuah, kes pecah amanah dan amalan kronisme semakini menjadi-jadi mutakhir ini. Pepatah Cina ada menyebutkan, ‘ikan busuk bermula dari kepala’. Ini yang menyebabkan usaha untuk membenteras rasuah dan amalan kronisme menemui kegagalan kerana ramai yang tergalak dengan kejayaan sesetengah pihak yang kaya-raya dengan cepat dan segera kerana budaya rasuah termasuk pegawai dan kakitangan awam, pekerja majlis perbandaran, kakitangan perbankan, termasuk pasukan keselamatan dan tentera sehingga yang terendahnya. 

 

Rasuah sudah sinonim dengan UMNO/BN. Apakah ini akibat dari pembangunan? Pembangunan ini dibina di atas mengejar keduniaan yang terpisah langsung dengan akhirat. Inilah hasil paradigma pembangunan UMNO yang kerap dikecam bukan sekadar untuk mengkritik tetapi benar-benar datang dari keinsafan dan kesedaran bahawa selama ini pembangunan ala UMNO/BN adalah diasaskan di atas kerangka yang salah dan tempang.

 

UMNO mengisytiharkan n egara ini sebagai sebuah Negara Islam pada 29 September tahun 2001. UMNO mendakwa inilah hasil Islam Hadhori yang mereka pelopori. Namun rakyat sendiri boleh menilai dan mempertimbangkan. Islam Hadhori ialah Islam yang dihadirkan kemudian! Kalau benar paksi Islam dan acuan Islam bahkan peraturan dan perundangan Islam yang digunapakai, masakan akan berlaku seperti apa yang disaksikan dewasa ini. Seperti kata bidalan orang Melayu – “Nenek ku tanam biji delima, apa pasal peria tumbuh?”. Apakah delima atau peria yang ditanam? Sekarang pahit pahit peria pun perlu dimakan untuk dijadikan ubat dan rawatan.

 

Penagihan dadah bertambah sebanyak 1,319 orang setiap bulan atau sebanyak 44 orang setiap hari. Gejala judi dan arak sudah tidak terkawal bahkan dilindungi secara berlesen dengan beberapa pendedahan penglibatan pelaburan wang rakyat termasuk KWSP, Amanah Raya Berhad, Tabung Angkatan Tentera, beserta orang-orang kenamaan Melayu-Islam selesa di dalam industri judi dan arak ini. Malah sebuah kerajaan negeri telah dinobatkan sebagai Darul Kasino.

 

Dalam suasana kefasadatan dan kemungkaran yang berleluasa sedemikian rupa, kerajaan UMNO tetap mahu mendakwa negara ini sebuah negara Islam contoh. Ini satu tindakan yang cukup desperate dan mengaibkan. Apakah kerana mahu bersaing dengan PAS atau membuktikan UMNO juga boleh? Saban hari rakyat di negara ini disajikan dengan laporan rogol, rompak, bunuh, rasuah, pecah amanah dan terkini adalah budaya samseng di sekolah yang melibatkan sekolah berasrama penuh. Apakah ini juga hasil ikutan dan teladan pimpinan negara termasuk tabiat mantan Ketua Polis Negara?

 

Di bahagian hiburan dan apa yang diakatakan sebagai ‘seni’ pula, media diliputi dengan kehidupan dan gosip para artis. Muzik dan hiburan alternatif yang sekadar tempelan kepada hiburan perdana sukar untuk ditentukan kacukan dan acuan siapa dan citra siapa. Pendewaan artis-artis sudah sampai ke peringkat yang mengambil kedudukan perdana seperti yang kita saksikan dalam sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini.  UMNO boleh belaka. Tetapi PAS tidak boleh buat semua. Keanjalan kefahaman Islam PAS, tidak mengizinkan PAS bertindak secara pragmatis sehingga membelakangkan prinsip dan moral.

 

Senario sosio-budaya yang amat buruk ini ditambah pula dengan penyempitan ruang demokrasi terhadap pembangkang dan NGO yang tidak langsung menampakkan isyarat kepada pembaharuan yang positif. UMNO boleh buat sekehendak hatinya tentang penyelesaian krisis dalam BN seperti yang ditangani secara otokratik dalam krisis kepimpinan MCA. Kecaman rakyat terhadap kezaliman seperti yang dilambangkan oleh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), OSA, AUKU, Akta Mesin Cetak dan berbagai akta pemeras dan pengugut, diteruskan seperti yang kita saksikan semasa era “reformasi”. UMNO/BN sudah tidak takutkan lagi penentangan ini, kerana mereka lebih takut andainya akta-akta ini dimansuhkan maka segala perilaku buruk mereka akan terdedah di hadapan mahkamah dan rakyat akan menghukum mereka di peti undi akan datang.

 

UMNO/BN akan terus dengan taktik lama mereka yang semakin tumpul yakni “keliru dan kawal”. UMNO terkadangkali terperangkap dengan slogan dan retorik mereka sendiri. Kemahuan kepada ‘Negara Islam’ tidak dapat dipadan dan diserasikan dengan tuntutan politik ras dan perkauman mereka. Kehendak dan tuntutan Islam di segi perundangan dan nilai serta moral, tidak mampu dihayati secara keseluruhan kerana UMNO tidak yakin kesejagatan keadilan Islam dan keupayaan Islam memerintah dalam negara yang bersifat majmuk dan plural. UMNO masih menggunakan perlaksanaan secara’ berperingkat’ mereka itu, walaupun sudah memakan masa 5 dekad lebih. Yang jelasnya di sana tidak ada ‘kehendak politik yang kuat dan bersungguh’. Yang ada hanyalah alasan dan dolak-dalek, supaya mereka kekal memerintah dan mengurus kewangan dan pembangunan penyokong dan pembodek mereka.

 

 

PERALIHAN KUASA DALAM UMNO

 

Memandangkan kita akan menyaksikan peralihan kuasa dalam UMNO dalam tempoh sebulan akan datang, tentulah tempiasnya akan sampai juga kepada kita. Saya bukan mahu meramalkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku semasa UMNO melalui proses ini. Mari sejenak kita perhatikan pola peralihan kuasa dalam UMNO. Proses peralihan kuasa dipenuhi dengan suasana keraguan, ketidakpercayaan dan jatuh menjatuh. Kita telah menyaksikan naik-turun 4 orang Timbalan Perdana Menteri dan 4 orang Timbalan Presiden UMNO dalam tempoh rejim Dr. Mahathir. Kenaikan pemimpin banyak dipengaruhi oleh rasuah, sogokan atau politik wang yang sudah menjadi darah daging dalam UMNO. Pemimpin ini dibiayai oleh golongan yang mengharapkan balasan kebendaan dan kedudukan samada dalam kerajaan atau dalam perebutan habuan ekonomi. Bagaimanakah kita akan menaruh keyakinan kepada mana-mana pemimpin yang banyak dipengaruhi oleh golongan berkepentingan ini? Mereka akan melanjutkan lagi amalan rasuah, kronisme dan nepotisme yang merosakkan negara dan menjejaskan ekonomi dan keselamatan rakyat.

 

Ini bukan perkara kecil. Rasuah telah berakar umbi hingga payah hendak dihapuskan. Usaha membanterasnya hanyalah sekadar pemanis mulut. Tumpuan kepada ikan bilis dan melepaskan jerung-jerung adalah jenaka yang memualkan. Kita telah menyaksikan bagaimana bangunan di PULAREK runtuh, makmal komputer runtuh, wang PPRT dilesapkan, wang Tabung Haji diselewengkan, wang KWSP disalahgunakan. Jumlah skandal sudah tidak terkira, antaranya skandal MAMINGCO, BMF, Bank Bumiputra, Perwaja dan banyak lagi. Seorang penganalisis politik pernah menyebut bahawa amalan rasuah yang dikaitkan dengan kegagalan projek dan syarikat-syarikat kerajaan telah menyebabkan kerugian mencecah RM 400 bilion. Siapa yang akan menanggung kerugian ini? Sudah tentu anak cucu kita yang pada minit pertama melihat dunia ini terpaksa memikul beban angkara pemimpin UMNO yang tidak berhati perut itu.

 

Inilah yang mesti difikirkan oleh rakyat menjelang pertukaran pemimpin ini agar kita menyedari letak kedudukan sandiwara terbaru UMNO ini.

 

 

PAS DI PUTARBELITKAN

 

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengambil pendekatan demokrasi bagi melanjutkan usahanya membangunkan masyarakat dan negara. Pendekatan PAS ini sejajar dengan keperluan masyarakat negara ini yang cintakan keamanan dan saling menghormati antara kaum yang berlainan agama dan budaya. Pendekatan PAS ini telah diiktiraf oleh rakyat dan masyarakat antarbangsa.

 

PAS menentang sebarang bentuk keganasan ke atas orang yang tidak berdosa. Kita mengutuk serangan ke atas World Trade Center di New York. Kita menentang keganasan tentera Amerika di Afghanistan dan Iraq. Kita juga mengutuk serangan bom ke atas pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu dan di Najaf di Iraq. Ini adalah pendirian tegas kita yang sejajar dengan dasar Islam yang kita bawa.

 

Sebab itulah tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengaitkan PAS dengan sebarang bentuk aktiviti keganasan atau yang tidak demokratik. Kita berbangga atas sumbangan yang kita berikan kepada sejarah keamanan dan kestabilan negara ini, samada semasa aman atau ketika negara dilanda berbagai kesukaran.

 

Namun kita tidak terlepas daripada percubaan mengaitkan PAS dengan keganasan dan aktiviti luar demokrasi. Hingga ke hari ini PAS cuba dikaitkan dengan tragedi 13 Mei yang merupakan titik hitam sejarah negara. Sejarah tidak dapat melupakan bahawa tragedi ini adalah berpunca daripada politik perkauman sempit yang dimainkan oleh parti-parti politik perkauman termasuk yang sedang memerintah ketika itu. Pengorbanan kita menyertai kerajaan campuran selepas peristiwa itu tidak langsung disebut. Malah lebih jauh lagi, tindakan PAS bersama-sama menubuhkan Barisan Nasional seolah-olah tidak pernah berlaku. Inilah percubaan menyelewengkan sejarah yang sangat memalukan.

 

Kini usaha memburukkan PAS diteruskan, kerana inilah sahaja cara yang boleh menakutkan orang ramai kepada PAS. PAS kononnya terlibat dengan kumpulan al Maunah, Kumpulan Militan Malaysia dan pernah cuba dikaitkan dengan rangkaian al Qaeda. Setakat ini percubaan-percubaan ini gagal walaupun sedikit menjejaskan imej PAS. Alhamdulillah, apabila ada kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan, termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas-bekas Jeneral serta mantan duta menyertai PAS maka rakyat menyedari bahawa PAS tidak seperti yang digambarkan oleh musuh-musuh politiknya.

 

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa PAS mampu menjadi agen penggerak kestabilan politik dan sosial negara. Inilah sumbangan kita yang tiada siapa boleh menafikan. Jika tiada PAS, pendokong cita-cita Islam mungkin memilih kaedah yang lain. PAS berjaya membawa pemikiran Islam yang sempurna yang mewakili setiap aspirasi orang Islam di negara ini. Ini berlaku dalam keadaan ruang lingkup demokrasi di Malaysia disempitkan oleh UMNO. Orang UMNO kena fikir baik-baik. Perasaan rakyat yang masih sabar terhadap UMNO atas sikapnya yang tidak demokratik ini ada hadnya. Rakyat perlu diberi ruang yang luas untuk mempraktikkan demokrasi jika mahu mengelakkan kemarahan rakyat. Ini satu amaran kepada UMNO.

 

 

PENDIDIKAN CACAMERBA

 

Ucapan saya ini tidak akan lengkap sekiranya tidak menyentuh sedikit mengenai dasar pendidikan nasional. Di antara dasar-dasar negara, dasar pendidikanlah yang paling bercelaru. Ini disebabkan kerana dasar pendidikan negara ditafsir dan dilaksanakan ikut selesa Perdana Menteri dan UMNO. Sebahagian dari dasar diputuskan bukan melalui perundingan, konsultasi dan mendapat makluman balas dari pihak-pihak tertentu dan individu-individu yang berwibawa tetapi dibuat oleh MT UMNO. Ambil contoh pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kita tanya dan bahas dalm parlimen tetapi setiap pertanyaan dijawab dengan cara yang begitu mendukacitakan. Keputusan memberhentikan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat juga melalui proses yang sama. Begitu juga lah perkara-perkara besar yg lain. UMNO/BN sanggup memperjudikan survival anak bangsa.

 

Akibat dari tindakan seperti itu berlakulah kejutan demi kejutan. Gejala samseng hingga ke sekolah elit, salahlaku pelajar dari memeras ugut hinggalah merogol dan membunuh menyelubungi dunia pendidikan. Penipuan IPT swasta, mutu pencapaian pelajar yang semakin menurun, rating IPTA yang semakin merudum, belanja pendidikan yang kian meningkat di luar kemampuan rakyat, rasuah dan penyalahgunaaan kuasa dalam pengendalian projek-projek kementerian, campurtangan politik UMNO dalam kampus,  kesan negatif perlaksanaan AUKU, dan sebagainya adalah di antara kesan langsung yang mencoreng hitam pendidikan negara.

 

Selagi kementerian diterajui oleh manusia-manusia berkepentingan selagi itulah pendidikan tidak lebih seperti sebiji bola yang boleh ditendang, digelecek, disumbat ke pintu gol ikut suka hati pemainnya. Inilah analogi terbaik yang sempat saya fikirkan bagi mengajak rakyat membuat perubahan segera.

 

 

PAS MEMERTABATKAN WANITA

 

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi menerangkan pendirian PAS terhadap isu yang menjadi kesukaan musuh-musuh PAS, iaitu isu gender. PAS ialah parti yang mewakili setiap lapisan masyarakat termasuk kaum wanita. Pendirian PAS terhadap kaum wanita adalah juga pendirian Islam terhadap wanita. Wanita adalah ciptaan Allah yang tidak berbeda daripada lelaki. Yang membedakan keduanya di sisi Allah, seperti juga yang membedakan antara lelaki dengan lelaki yang lain, ialah tahap taqwa masing-masing kepada Allah SWT. Firman Allah:

 

            “ wahai manusia, sesungguhnya aku jadikan kamu daripada kalangan lelaki dan wanita, dan Aku jaidkan daripada kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa untuk kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertaqwa antara kamu. Sesunggunya Allah maha mengetahui dan maha mengerti.f.”

 

Dalam masa yang sama masyarakat yang bertamadun dan berilmu menyedari bahawa di sana ada beberapa perbedaan semulajadi termasuk biologi. Saya tidak bercadang membahaskan perbedaan ini kerana ia tidak akan membawa natijah yang memberi manafaat kepada sesiapa. Saya cuma mahu mengulangi apa yang disebutkan oleh pujangga: “wanita bukan separuh daripada lelaki, mereka cuma berbeda.” Perbedaan ini langsung tidak mengurangkan kedudukan wanita dan sumbangan mereka kepada masyarakat. Kita mengalu-alukan kejayaan kaum wanita dalam semua bidang ilmu dan kerjaya. Hari ini sudah ada orang-orang tertentu yang merasa riasu dengan kejayaan wanita menguasai 70% tempat di universiti negara ini. Apakah pemimpin UMNO ini merasa gentar dengan kaum wanita?

 

Salah anggapan kepada PAS ialah kerana pemimpin PAS kerap memberi nasihat yang menjurus memelihara kehormatan kaum wanita. Ini kerana kami sayangkan anak-anak perempuan kami, isteri-isteri kami, adik dan kakak kami, ibu-ibu kami serta setiap wanita dalam masyarakat kami. Kami merayu supaya majikan memberikan keselesaan kepada pekerja wanita adalah tanda sayang kami. Kami mahu meringankan kerja wanita adalah kerana sayangkan mereka. Kami mencadangkan orang lelaki dipisahkan daripada wanita dalam keadaan tertentu kerana kami tidak mahu lelaki mengambil kesempatan. Kami mencadangkan supaya lebih ramai doktor dan guru dilahirkan dari kalangan wanita kerana kami yakin kemampuan wanita dalam bidang-bidang ini jauh melebihi kaum lelaki. Ini bukan diskriminasi seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

 

Hari ini kita sudah mula mendengar Menteri yang menjaga hal ehwal wanita mencadangkan supaya kaum wanita dibenarkan melaksanakan kerja mereka dari rumah mereka sendiri. Inilah juga yang kami mahukan selama ini, supaya tanggungjawab mereka yang pelbagai, yakni sebagai isteri dan ibu, dapat dilaksanakan tanpa mengorbankan kerjaya mereka. Ada pula seorang pemimpin BN yang mahu membenarkan wanita melebihi umur 40 tahun sahaja yang menjadi calon dalam pilihanraya. Kalaulah pemimpin PAS yang menyuarakan pandangan-pandangan ini, pasti ada yang mengatakan bahawa kami sekali lagi mendiskriminasi wanita. Oleh itu saya menyeru wanita meneruskan usaha memertabatkan kaum sejenis mereka dan memperkasakannya dengan kefahaman Islam yang tinggi agar setiap gerak laku kita dipimpin oleh kebenaran Allah SWT. Lepas ini saya yakin ramai wanita yang akan menyokong PAS.

 

Sejajar dengan itu, PAS sekali lagi menekankan bahawa kita akan memberikan peranan yang lebih besar kepada wanita dalam parti dan masyarakat. Kita akan meletakkan calon wanita dalam pilihanraya akan datang dan saya yakin inisiatif ini akan mendapat sokongan pelbagai peringkat pengundi dan rakyat amnya. Di Terengganu kita sudah menyediakan peruntukan undang-undang bahawa seandainya tiada calon wanita yang menang, wakil wanita akan dilantik menjadi wakil rakyat tanpa kawasan. Saya belum mendengar peruntukan ini diwujudkan di negeri-negeri yang ditadbir oleh BN. Walau bagaimanapun saya berharap peruntukan undang-undang ini tidak perlu dipakai kerana kita akan ada wakil rakyat wanita yang dipilih melalui peti-peti undi.

 

Kepada ahli PAS di kalangan muslimat, saya menyeru supaya anda sekelian memperkemaskan diri, organisasi dan jentera bagi melaksanakan tugas memperkasakan wanita bagi menghadapi cabaran baru yang mendatang. Saya ingin melihat wanita dalam PAS menerajui gerakan kemasyarakatan, politik dan ekonomi dengan pemikiran yang lebih terbuka dan mesra rakyat. Kita mahu wanita dalam PAS membimbing anak-anak muda kita keluar dari dilema akibat asakan budaya asing yang dijuarai oleh anasir-anasir anti agama dan anti budaya.

 

 

ISU-ISU KRITIKAL

 

Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi Pilihanraya Umum ke 11 begitu hampir. Pilihanraya kali ini seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu mempunyai implikasi yang begitu besar kepada urusan nation building. Negara semakin hari semakin hampir kepada kebangkrapan. Khazanah negara diagih-agihkan kepada segelintir manusia yang berada di sekeliling pinggang pimpinan negara. Program penswastaan kerajaan tidak lebih daripada mengagihkan kekayaan negara kepada mereka yang telah ditentukan dan kebanyakannya adalah suku sakat UMNO. Syarikat-syarikat yang diswastakan adalah syarikat yang sedia untung tetapi akibat pengurusan yang pincang, menyeleweng, lemah dan terkeluar daripada prinsip-prinsip amalan pengurusan yang baik menjadikan syarikat-syarikat tersebut bangkrap dan dengan secara mudah dipulangkan semula menjadi beban kerajaan dan rakyat.

 

Kualiti pengurusan ekonomi semakin merosot dan merudum. Wabak KKN—korupsi, kronisme dan nepotisme semakin menjadi-jadi. UMNOlah yang menyebabkan tercetusnya gejala kemudaratan ini. Akibat pendidikan politik ahli-ahli UMNO yang menekankan keuntungan materialisme yang membelakangkan halal dan haram maka semakin bermaharajalelalah segala kemungkaran dan gejala-gejala negatif yang disebutkan tadi.

 

Di akhir-akhir ini pemimpin besar negara kelihatan begitu beria-ia untuk memerangi rasuah. Apa kredibiliti yang mereka ada untuk menjadi juru bicara membanteras rasuah sedangkan bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa wabak rasuah merebak seperti kebakaran hutan di Amerika dan Eropah adalah angkara mereka. Saya meramalkan walaupun pemimpin negara dipuja dan dipuji melangit dan dianugerahkan gelaran Bapa Permodenan, rakyat lebih gembira melihat beliau berundur, berehat dan merenung kembali babak-babak kepimpinan beliau sejak 22 tahun yang lalu.

 

Izinkan pula saya menyentuh sedikit mengenai ekonomi negara. Seingat saya setiap kali bila isu hutang negara dibangkitkan jawapan yang sering diberi ialah secara relatif kedudukan hutang negara tidaklah membimbangkan. Kepada mereka yang lebih kritis, hutang luar negara yang melebihi 30% KDNK adalah merupakan sesuatu yang memerlukan penelitian semula. Beban bunga sahaja sudah cukup membebankan generasi kita dan generasi yang akan datang. Usah lagi disebut bahawa kedudukan hutang sedemikian akan melemahkan kadar pertukaran asing yang menjadikan Malaysia tidak lagi kompetitif.

 

Kualiti pengurusan ekonomi semakin merosot. Ini jelas tergambar apabila Pelaburan Terus Asing (FDI) merosot dengan ketaranya. Malaysia hilang kelebihan kompetitifnya dengan negara seperti China bahkan Vietnam. Kita faham bahawa di antara sebab kemerosotan ini, selain daripada iklim ekonomi yang belum pulih, upah tenaga buruh yang secara relatif lebih tinggi, bahawa kita terpaksa lebih selektif dengan memberi penekanan kepada industri berteknologi tinggi dan sebagainya, sebab yang lain ialah masalah ketelusan keberurusan dan urus tadbir korporat yang lemah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sistem kehakiman dengan pendakwaan berpilih-pilih juga disebut-sebut sebagai satu sebab mengapa pelabur-pelabur luar kurang berminat menanam modal di negara ini.

 

Pembangunan yang tidak seimbang antara lokaliti geografi, bandar dan luar bandar dan antara sektor terus menjadi masalah yang belum nampak jalan penyelesaiannya. Rakyat di luar bandar masih terus hidup seperti mana di awal-awal kemerdekaan. Hanya yang membedakan dulu mereka tidak dapat menikmati air paip dan api letrik, kini mereka dapat bekalan tersebut. Dari segi kemajuan diri, keselesaan keluarga dan keceriaan hidup, banyak lagi yang perlu dilakukan. Hal ini berlaku bukan kerana Malaysia kekurangan sumber tetapi sumber yang ada ditadbir dan diurus oleh mereka yang cenderung menselesakan diri daripada memberi keselesaan kepada rakyat yang meletakkan mereka di kedudukan kepimpinan itu.

 

Berbanding dengan negara-negara jiran, kedudukan penyelidikan dan pembangunan (R & D) negara begitu lemah. Malaysia dianggap kurang menekan aspek-aspek inovasi dan kreativiti. Gejala ini menyebabkan kita kurang mempunyai daya saing, tiada kemampuan menembusi pasaran antarabangsa dan berikutan dengan itu tidak mampu mengujudkan syarikat bertaraf multi nasional yang mampu menjadi pemain utama di peringkat antarabangsa. Berikutan dengan ketidakmampuan ini, akhirnya ahli-ahli industri dan pedagang-pedagang Malaysia hanya licik di perbatasan sendiri tetapi tenggelam di arena antarabangsa. Hal ini bertambah parah dengan kedatangan proses globalisasi dan liberalisasi, perlaksanaan WTO, AFTA yang tidak berapa lama lagi.

 

Segala perkara yang saya sebutkan sebentar tadi adalah gambaran masa depan yang muram yang memerlukan satu azam dan tekad baru daripada rakyat agar perubahan dapat diinstitusikan dengan kadar yang segera.

 

 

KELANTAN DAN TERENGGANU

 

Di bawah kepimpinan al Marhum Dato’ Fadzil Mohd. Noor PAS dapat menawan Kelantan semula dan kini Terengganu. Kemenangan di kedua-dua negeri itu tidak dicapai dengan mudah bahkan setelah ditunggu hampir puluhan tahun. Kemenangan itu juga diperolehi hasil daripada perjuangan gigih dan pengorbanan besar penyokong dan pendokong parti PAS dan BA. Sejak dari itu kedua-dua kerajaan tersebut tidak sempat berehat kerana diserang dan dihimpit dari setiap penjuru oleh golongan desperado yang telah ditolak melalui pilihanraya. Kedua-dua kerajaan dinafikan dari kemudahan dan bantuan-bantuan pusat, malah yang ada dalam peruntukan Perlembagaan pun dinafikan. Yang telah menjadi hak seperti royalti petrolium di Terengganu ikut dirampas hingga menyebabkan tergendalanya usaha untuk mensejahterakan rakyat.

 

Bagaimanapun kedua-dua kerajaan tidak terhalang daripada melaksanakan tanggungjawab besar itu yang mana lain-lain kerajaan negeri sekiranya berada dalam kedudukan yang sama tidak mungkin mampu menunaikan tanggungjawab itu. Tidak banyak negeri yang terkepung politik dan ekonominya dapat bertahan, tetapi apa yang kita saksikan kedua-dua kerajaan PAS/BA  Kelantan dan Terengganu dapat bertahan dan terus berdikari. Di sinilah letaknya prinsip berhemah dalam mengurus kewangan negeri. Dan di sini jugalah tergambarnya pengertian kredibiliti, amanah dan dedikasi pemimpin yang disering dibimbing oleh ketaqwaan kepada Allah SWT.

 

Satu perkara lagi yang ingin saya tonjolkan mengenai pembangunan Kelantan dan Terengganu. Kita tidak menolak pembangunan fizikal, kita juga tidak menolak kesejahteraan material, kita tidak menolak persekitaran yang menselesakan, kita juga tidak menolak perlunya warga negeri mencari dan mendalami ilmu dalam bidang apa sekalipun. Hatta kita mahukan anak negeri menerokai sains angkasa, kejuruteraan teknologi maklumat, sains samudera dan bioteknologi disamping kita menggalakkan rakyat meneroka sains al Quran yang sudah tentu tidak ada penghujungnya. Dalam hubungan ini kedua-dua negeri meletakkan batu asas pembangunan insan sebagai tapak pertama kepada pembangunan yang lebih luas. Kita berpendapat selagi manusia tidak dibangunkan jasad, akal, emosi dan ruh seutuhnya selagi itulah berlakunya ketempangan dalam pembentukan manusia dan persekitaran mereka. Sebab itu kita menyokong pendekatan insan sepadu. Pendekatan sedemikian dimasukkan ke dalam sistem kurikulum sekolah-sekolah tajaan kerajaan negeri dan kelas-kelas pengajian sepanjang hayat yang hidup subur di kedua-dua negeri tersebut.

 

Kritikan yang selalu dilemparkan kepada kita ialah kononnya kedua-dua kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu belum melahirkan sesuatu yang konkrit dari segi program dan projek. Saya tidak berhajat untuk berpolemik. Langkah kerajaan Terengganu dan Kelantan tidak lagi mengeluarkan lesen-lesen arak bagi sesetengah pihak dianggap sesuatu yang tidak begitu signifikan yang hanya melibatkan urusan administratif. Tetapi bagi mereka yang benar-benar mengerti susunan keutamaan melaksanakan perintah Allah langkah yang dianggap kecil itu sesungguhnya begitu besar di sisi Allah SWT. Malangnya sebahagian kita tidak dapat menghargai usaha seperti ini kerana kita meneropongnya melalui teropong barat. Apakah mereka mengharapkan jika BN kembali berkuasa hala tuju pembangunan yang menyisihkan agama itu akan dihidupkan semula? Apakah rakyat Terengganu dan Kelantan rela melihat judi dan arak dibiarkan berleluasa semula? Suka saya nyatakan persoalan ini bukan persoalan politik tetapi persoalan besar yang melibatkan kepatuhan makhluk terhadap Khaliqnya.

 

 

HUBUNGAN ANTARBANGSA

 

Gerakan Islam serta umatnya kini sedang melangkah ke alaf baru dengan penuh ujian dan cabaran. Kesan peristiwa September 11 yang berlaku di Amerika Syarikat adalah amat penting bagi setiap pendokong PAS membuat penelitian rapi terhadap perkembangan di peringkat antarabangsa. Kita adalah antara gerakan Islam pertama yang melahirkan rasa simpati serta kekesalan kita terhadap ramainya bilangan orang-orang awam yang menjadi mangsa peristiwa tersebut. Namun simpati serta rasa persaudaraan kita juga adalah tetap berterusan terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam di Palestin, Chechnya, Iraq serta Afghanistan.

 

Apa yang berlaku dalam perang di Afghanistan serta Iraq sebagai contoh, dengan jelas menunjukkan sikap berat sebelah kuasa imperialis baru ini didalam polisinya ‘untuk mempertahankan pencabulan undang-undang antarabangsa’. Persoalannya, apakah definasi serta kayu-ukur yang digunakan oleh mereka bagi melaksanakan undang-undang antarabangsa ini terutamanya terhadap negara-negara umat Islam? Jawapannya jelas, mereka membenci Islam, mereka mahu menjaga kepentingan minyak, melindungi negara Zionis Israel serta meneruskan hegemoni kuasa mereka terhadap negara-negara umat Islam. Allah SWT menjelaskan dalam firmannya:

 

Telahpun  nyata  (tanda)  kebencian  mereka  pada  pertuturan  mulutnya,  dan  apa  yang  disembunyikan  oleh  hati  mereka  lebih  besar  lagi.  Sesungguhnya  telah  kami  jelaskan  kepada  kamu  keterangan – keterangan  itu  jika  kamu  mahu  memahaminya.

(Al Imran : 119)

 

Persoalan sekarang apakah benar ‘perang ke atas terroris’ yang di lancarkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya benar-benar bermatlamatkan untuk memerangi pengganas? Ataupun kini ianya hanya sebagai ‘helah’ bagi kuasa-kuasa besar melaksanakan polisi jangka panjang mereka. Contoh yang jelas adalah apa yang berlaku selepas menyerang Afghanistan di atas nama memerangi Taliban dan Al-Qaeda. Penguasaan Amerika Syarikat di Asia Tengah kini kian kukuh dan mereka bertapak di rantau yang selama ini di anggap ‘hostile’. Kepentingan menguasai negara kaya minyak di Asia Tengah mengatasi misi membangunkan semula Afghanistan sehingga sekarang.

 

Namun apa yang tersirat di sebalik serangan ke atas Iraq jelas menunjukkan bahawa polisi luar Amerika Syarikat meletakkan ‘penguasaan keatas Timur Tengah adalah lebih penting dari penguasaan keatas Asia Tengah’ serta bermatlamatkan ‘penguasaan Amerika Syarikat di Timur Tengah bagi menjaga kepentingan negara Zionis Israel’. Memang benar Iraq mempunyi simpanan minyak kedua terbesar di dunia. Tambahan pula ramai menganggap bahawa Iraq juga mempunyai simpanan telaga-telaga minyak yang sama banyak dengan Arab Saudi. Atas alasan inilah ramai pengkaji beranggapan bahawa persoalan kepentingan minyak menjadi agenda utama Amerika menyerang Iraq.

 

Kejayaan Amerika Syarikat bertapak di rantau Asia Tengah ini dengan segala kekuatan ketenteraan yang ada kepada mereka adalah melampaui keperluan kalau sekadar menumbangkan rejim Saddam di Iraq semata-mata. Doktrin ‘Pax Americana’ yang meletakkan mereka sebagai kuasa terunggul di dunia adalah matlamat utama dan kejayaan awal ini telah lebih menyemarakkan lagi dasar bersifat imperialis mereka.

 

Doktrin sejagat yang di perjuangkan oleh kuasa imperialis sentiasa mengaku bahawa mereka mempertahankan nilai-nilai tradisi mereka iaitu pilihanraya, kebebasan sivil, hak asasi manusia serta kebebasan bersuara. Tetapi di dalam perkiraannya dengan Islam serta penganutnya, nilai-nilai ini seolah-olah sudah tidak menjadi releven. Dalam mereka melihat dan menilai kebangkitan Islam yang sedang berlaku di merata pelusuk negara umat Islam, mereka seolah-olah telah mengalami ‘histeria’ sehinggakan mereka tidak dapat menerima hakikat penerimaan Islam secara total di kalangan umat Islam sendiri terutamanya di dalam persoalan ‘Politik Islam’. Perkembangan terakhir ini menyerlahkan lagi bahawa kuasa imperialis dunia sedang mencari jalan untuk berkonfrontasi dengan Islam.

 

Di mata antarabangsa, maruah serta nyawa umat Islam bagaikan tiada apa-apa harga dan nilai. Lihat sahajalah apa yang terus berlaku di Palestin, di Chechnya, di Macedonia, di Kashmir, seolah-olah harga nyawa umat Islam bagaikan haiwan yang hina. Saya juga ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadah yang sedang berlaku di bumi suci Palestin. Siri kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang mengakibatkan ribuan nyawa yang tidak berdosa terkorban serta beribu-ribu lagi mengalami kecederaan sudah tidak boleh dibiarkan lagi.

 

Perlu diingat bahawa di bumi Palestinlah terletaknya kota Baitul Maqdis yang mana Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam. Tindakan provokatif pemimpin Zionis Israel yang terus menerus mencemar kesucian tempat ibadah umat Islam adalah perbuatan yang biadap. Malahan Rejim Zionis ini juga merancang untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa semata-mata kerana sifat kebencian serta permusuhan mereka terhadap umat Islam.

 

Bagi kita, kekejaman rejim Zionis ini sudah sampai kekemuncaknya apabila ibu-ibu serta kanak-kanak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa. Isu Palestin bukan sahaja menyentuh maruah umat Islam tetapi juga berkaitan dengan persoalan kemanusiaan sejagat yang melewati batasan agama dan kaum. Malahan katadua pimpinan rejim, bahawa 'perang diisytiharkan' terhadap rakyat Palestin membuktikan kepada kita betapa mendalamnya sikap dendam kesumat rejim Zionis terhadap seluruh penduduk Palestin serta usaha mereka untuk menghalau serta meluaskan lagi tanah rampasan mereka di seluruh semenanjung Arab.

 

 

Saya ingin mempertegaskan di muktamar ini bahawa kita PAS akan tetap bersama sahabat-sahabat kita dari gerakan pembebasan tanahair yang sah HAMAS dan Jihad Islam walaupun mereka kini di labelkan sebagai ‘terroris’ dan ‘penjenayah’ oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat serta Zionis Israel. Mereka mewakili rakyat Palestin dan mesti dirujuk dalam sebarang usaha damai. Bagi kita terroris serta penjenayah terbesar adalah Zionis Israel yang telah melakukan pelbagai kekejaman dan kezaliman dengan membunuh ribuan umat Islam yang tidak berdosa dari Deir Yassin, Sabra dan Shatilla, Jenin serta membunuh ibu-ibu dan anak-anak kecil yang sedang berlindung di bangunan milik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Qana’. Malahan Ariel Sharon Perdana Menteri Israel, adalah merupakan seorang penjenayah perang yang terlibat secara langsung dalam pembunuhan ribuan orang-orang awam Palestin.

 

Bagi memenuhi sokongan serta dokongan berterusan kita terhadap perjuangan suci dibumi Palestin saya ingin mencadangkan agar kita semua sentiasa bermunajat kepada Allah agar jihad suci umat Islam dan seluruh rakyat Palestin di kurniakan kemenangan oleh Allah SWT dan di hari yang terdekat ini Masjid Al-Aqsa akan kembali ke tangan umat Islam, insyaAllah.

 

PENUTUP

 

Inilah antara perkara-perkara dalaman, luaran, nasional dan antarabangsa yang mempunyai kaitan yang rapat dengan perjuangan kita untuk diberikan perhatian oleh para perwakilan. Saya mengajak kita menelitinya dan menjadikannya bahan berfikir dan bertindak. Sebelum mengakhiri ucapan ini saya ingin mengungkap kembali matan-matan ucapan yang telah disebut sebentar tadi.

 

  1. Seluruh ahli dan penyokong parti jangan sekali-kali berganjak dari landasan perjuangan memartabatkan Islam yang merupakan satu satunya wadah yang mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan sejagat.
  2. Giliran untuk PAS dan BA sudah tiba. Bersiap sedialah untuk menyambut kemenangan yang begitu hampir
  3. Gembelingkan seluruh kekuatan yang ada. Infakkan setiap auns tenaga, setiap detik masa, setiap inci ruang dan setiap kesempatan yang ada bagi menggarap kemenangan yang hampir itu.
  4. Sentiasa berwaspada dengan taktik dan mainan kotor musuh yg sentiasa mencari peluang untuk memerangkap kita. Awas! Gelak ketawa mereka mungkin terkandung tipu daya.
  5. PAS mesti anjal. Keanjalan diperlukan supaya PAS tetap relevan, sesuai utk semua keadaan, masa dan tempat.
  6.  Pas mesti menempatkan dirinya di gelanggang utama (centre court). PAS bukan lagi parti Pantai Timur atau parti yang mampu menunjukkan kehebatan di kalangan Melayu-Islam sahaja. PAS adalah parti untuk semua.
  7. Untuk menjadikan PAS selamanya hijau (evergreen) sistem kepimpinan dan kepengikutan parti mesti berani mendepani masa. Kebolehan menggarap ilmu dan kemahiran ‘state of the art’ adalah merupakan pra-syarat utama ke arah merealisasikan cita-cita ini.
  8. Perlunya setiap pemimpin, ahli dan penyokong parti meletakkan kepentingan parti dan perjuangan melebihi kepentingan peribadi.
  9. PAS akan terus menjadi rakan kongsi aktif dalam gagasan BA untuk memacu jentera BA dan melumpuhkan UMNO/BN
  10. Berusaha bersungguh-sungguh. Ketentuan adalah milik Allah.

 

Akhirnya kita pulangkan segala usaha kita ini kepada ketentuan Allah SWT. Kita yakin janji Allah bahawa kemenangan itu begitu hampir sekali seperti mana firmanNya yang saya bacakan di awal ucapan tadi:

 

 

‘Dan (pemberian) yang lain amat kamu cintai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang sudah dekat. Sebab itu, sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman’ (S. As Saf:13)

 

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mersamikan Muktamar Tahunan PAS Kali ke 49 ini. Sekian. Wabillahittaufiq wal hidayah. Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Kuala Lumpur

12 September 2003






___________________________
Terbitan : 21 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)