Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

REAKSI TERHADAP KENYATAAN KOHLER MENGGAMBARKAN KEJAHILAN DAN MERUPAKAN PROPAGANDA POLITIK.

Parti Keadilan Rakyat merasa kaget akan kejahilan yang digambarkan dalam beberapa reaksi terhadap kenyataan Kohler dari IMF tentang pertumbuhan ekonomi negara ini - khususnya reaksi Dr Chandra Muzaffar yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian (5 September 2003). Reaksi tersebut lebih merupakan alat propaganda politik daripada ulasan ekonomi yang sebenarnya.

Pertamanya harus ditekankan bahawa kenyataan Horst Kohler, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), di Kuala Lumpur pada 4 September 2003 bahawa "Mahathir telah mengambil langkah yang betul" itu bukanlah sebuah laporan rasmi, serius lagi mendalam oleh IMF. Kenyataan itu sekadar merupakan komentar iseng-iseng seorang tetamu undangan Dr Mahathir berkenaan pembangunan ekonomi negara ini yang dilawatinya untuk pertama kali dalam hidupnya.

Keadaan Malaysia dan rantau ini hari ini tidaklah sama dengan keadaan sewaktu berlakunya krisis ekonomi dan kewangan yang melanda rantau ini pada tahun 1997-98. Keadaan ekonomi seluruh dunia pada waktu ini sedang mengalami zaman pemulihan - dan para pelabur barat yang berkejar-kejar meninggalkan negara ini dan rantau ini pada tahun 1997-98 itu kini sedang secara perlahan-lahan mulai kembali melabur di sini.

Pemulihan ini sama sekali tidak ada hubungannya dengan dasar kita yang "betul" atau "salah" sehubungan dengan peranan IMF. Ekonomi negara ini pulih bukan kerana kita menolak pendekatan IMF pada tahun 1997-98. Negara-negara yang menerima pendekatan IMF di rantau ini pada waktu itu – contohnya Indonesia dan Thailand - juga sedang mengalami pemulihan ekonomi, dalam keadaan tertentu malah lebih rancak daripada pemulihan kita.

Bila Dr Mahathir menolak pendekatan IMF pada tahun 1997-98, penolakan itu juga tidak ada hubungannya dengan dasar ekonomi atau dasar kita terhadap IMF, tetapi lebih kuat didorong oleh penolakan terhadap beberapa syarat yang dikenakan IMF yang menuntut suasana ekonomi yang lebih telus (khususnya dalam urusniaga bank) dan ekonomi yang bersih daripada unsur-unsur kronisme dan nepotisme. Sebagaimana yang kita lihat di negara-negara yang menerima pendekatan IMF itu banyak bank dan syarikat besarnya yang terpaksa ditutup.

Oleh itu kita tidak dapat memahami apakah "kesalahan dasar Anwar" yang digembargemburkan oleh Dr Chandra Muzaffar dalam ulasannya terhadap kenyataan iseng-iseng Kohler tersebut. Apakah yang dimaksudkan pendekatan Anwar yang tidak memberi keutamaan terhadap menyelamatkan unsur-unsur kronisme dan nepotisme dalam ekonomi negara kita?

Pemulihan ekonomi yang baru bermula di negara ini, seperti di kebanyakan negara-negara lain di rantau ini dan di dunia, tidak ada hubungannya sama sekali dengan salah atau betulnya dasar dan pendekatan kita terhadap IMF. Yang lebih penting kita kaji dan kita laporkan dengan tulus ikhlas ialah "harga" sebenar yang telah dibayar oleh rakyat negara ini dalam melaksanakan dasar tersebut, semata-mata supaya kapitalisme kroni dapat terus mencengkam negara ini hingga ke hari ini.

Rustam A. Sani
Ketua Penerangan.






___________________________
Terbitan : 8 September 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)