SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun TEKS PERBAHASAN BELANJAWAN 2004
OLEH: YB ABD RAHMAN YUSOF
Belanjawan 2004 ini boleh dirumuskan sebagai Belanjawan Tidak Menepati Sasaran terdiri daripada initiatif lama berpakaian baru yang tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat. Masaalah sedia ada terus menghantui Negara yang menghilangkan tenaga, kepentingan dan kecergasan belanjawan yang dibentangkan. Belanajwan yang boleh dikira bermakna hanyalah yang dibentangkan oleh Barisan Alternatif 2 hari sebelum dibentangkan oleh Perdana Menteri yang merangkumi penyelesaian kepada masaalah yang sedang dihadapi Negara sekarang dengan mengemukakan belanjawan lebihan RM1.5 billion. Saya tidak mahu memberi apa-apa komen tentang langkah-langkah dan polisi yang dicadangkan kerajaan kerana semua orang tahu ini merupakan belanjawan terakhir sebelum pilihanraya dan ucapan Belanjawan sayonara oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan. Kerajaan secara tradisi akan menggunakan belanjawan sebagai alat untuk meraih sokongan daripada langkah-langkah yang dikemukakan dalam pengurusan ekonomi dan sumber kewangan. Ini merupakan “prerogative” dan cara kerajaan dan kita memahaminya. Kerajaan akan cuba mencipta suasana dan perasaan “seronok” dikalangan rakyat, berjanji pertumbuhan ekonomi dan masa depan yang gemilang dan secara tidak langsung mencadangkan agar rakyat “bersyukur” kepada kerajaan dengan mengungkit rekod lepas terutama bagaimana kerajaan berupaya mengemudi ekonomi daripada dicengkam penjajah asing, IMF dan institusi antarabangsa yang lain seperti WTO yang cuba menjajah semula melalui globalisasi. Inilah pokok perbincangan atau tema yang sangat nyata dan tersirat dalam setiap ucapan Belanjawan sejak tujuh tahun yang lalu dan tidak ada bezanya kali ini. Perspektifnya agar rakyat bersyukur kepada “warisan” atau “legacy” Perdana Menteri yang berani dan berazam memastikan ekonomi Negara kekal bebas dengan membangun “acuan ala Malaysia” dalam menyelesai masaalah dan menyelamat ekonomi Negara. Sekarang kita sedang memungut hasil warisan ini. Dan apakah warisan ini? Daripada perspektif ekonomi dan pengurusan kewangan ia merupakan warisan “dakwat merah” dengan lebihan kosong pada akaun Negara dengan bahagian bawahnya diletakkan dalam kurungan melambangkan kerugian. Kita sudah membentangkan belanjawan deficit tujuh (7) tahun berturut-turut dimana setiap kali kita difahamkan belanjawan deficit sekitar 4-5 % daripada KDNK dan ekonomi kita masih mampu menanggungnya. Tidak pernah disebut ramalan pertumbuhan ekonomi akan diperolehi melalui “private dan public consumption” atau penggunaan perseorangan dan awam yang dibiayai melalui pinjaman dan belanjawan deficit. Kita menyembunyi hakikat sebenar apabila menyatakan injin pertumbuhan ekonomi dijana oleh sector swasta sedangkan pada hakikatnya pertumbuhan disebabkan belanjawan deficit dan penggunaan perseorangan. Pelaburan baru dalam ekonomi tiada langsung. Pokoknya Belanjawan deficit tidak dapat ditanggung lagi kerana jumlahnya bertambah besar setiap tahun dan sudah mencecah hamper 60% daripada KDNK. Kita sudah mengambil teori ekonomi Keynese sebagai polisi Negara yang akan membawa bencana kepada Negara sekiranya tidak diperbetulkan dari sekarang. Kita ketandusan sumber pinjaman “murah” dari luar Negara dan setiap pinjaman baru bertambah mahal dari sebelumnya. Kebanyakan instrument hutang terutama bond disandarkan pada kadar terapung. Ini akan meningkatkan lagi kos penyelenggaraan dan lebih banyak perbelanjaan operasi perlu diagihkan untuk bayaran hutang. Setiap tahun bayaran hutang merupakan peruntukkan yang paling cepat meningkat dan membesar dalam belanjawan. Suasana seronok yang dirangsangkan sekarang membawa bersama harga yang perlu dibayar oleh generasi akan dating. Itulah warisan polisi ekonomi Negara. Kita tangguh atau pindah masaalah kita kepada generasi akan dating untuk berseronok sekarang. Setiap tahun kerajaan meramal ekonomi akan tumbuh sekurang-kurangnya 4-5% menggunakan hujah ekonomi dunia akan pulih maka lojiknya ekonomi Malaysia sepatutnya tumbuh lebih tinggi daripada ekonomi dunia. Sekiranya ini benar maka kerajaan tidak perlu bergantung kepada belanjawan deficit sebab pertumbuhan ekonomi akan dibiayai oleh kemasukan pelaburan asing. Tetapi oleh kerana tidak ada lagi pengaliran masuk pelaburan asing maka kerajaan terpaksa bergantung kepada belanjawan deficit untuk menjana pertumbuhan yang amat diperlukan. Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan menyebut dalam Dewan ini dua minggu lepas bagi 6 bulan pertama tahun ini pelaburan asing masuk hanya RM2.7 billion tidak sampai US $1.0 billion pun. Bank Negara pula melaporkan pertumbuhan ekonomi untuk 6 bulan pertama tahun ini adalah hasil penggunaan perseorangan yang sebahagian besarnya dibiayai melalui hutang. Dimana pada satu ketika dahulu ekonomi Negara merupakan salah sebuah ekonomi terunggul dunia menarik pelaburan asing yang menjana pertumbuhan ekonomi sekarang hanya berada ditangga antara 10 hingga 20 dan makin menurun bergantung bancian mana yang digunakan. Inilah warisan yang kita pusakai sejak akhir-akhir ini. Pendek kata kita terpaksa bergantung kepada belanjawan defisit kerana gagal menjana pertumbuhan ekonomi melalui kemasukan modal asing. Kita bergantung kepada polisi ekonomi yang tidak konvensyenal, polisi yang menyisih negara daripada arus perdana ekonomi dunia. Kita dalam bahaya dipintas negara lain dan bersendirian diluar arus pemikiran dan prestasi ekonomi dunia. Masaalah belanjawan defisit selalunya disebabkan ketidakseimbangan atau pertentangan besar berlaku dalam arus ekonomi. Di Malaysia keperluan melabur dalam sesuatu projek bukan kerana kepentingan ekonomi tetapi untuk dipuji kehebatan zahirnya. Pilihan projek selalu silap kerana kerajaan yang melabur bukan swasta dan selalunya bertujuan bukan untuk mendapat keuntungan tetapi menyedia pekerjaan. Kebanyakan projek tidak langsung “viable” dari sudut ekonomi dan kewangan dalam jangka pendek dan sederhana dan apabila ekonomi pulih ia sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi berdaya menampung keperluan pembangunan ekonomi semasa dan membebankan kerajaan. Kita telah komited berbillion ringgit untuk membangun ekonomi berorientasi IT di Multi Media Supercorridor atau MSC sebahagian besarnya dibiayai dengan belanjawan defisit. Kita diberitahu terdapat banyak syarikat world-class di Cyberjaya. Kita juga diberitahu inilah warisan ekonomi masa depan dimana beribu orang akan bekerja dan tinggal seperti suasana di Lembah Silikon, California. Inilah contoh klasik khayalan yang selalu disuntikkan kepada rakyat. Persidangan demi persidangan, mesyuarat demi mesyuarat semua menggambarkan MSC sebagai inovasi pintar. Tiba-tiba akhbar kerajaan sendiri melaporkan beribu graduan IT menganggur dan tidak mendapat pekerjaan kerana persaingan yang terlalu sengit dikalangan syarikat world-class yang hampir semua sedang memperkecilkan saiz operasi mereka bagi meningkat produktiviti. Sekarang terdapat pertentangan klasik diantara strategi belanjawan defisit dan keupayaan menyediakan pekerjaan kepada sumber manusia yang mana projek dibina untuk mereka. Kenapa berbelanja deficit untuk pertumbuhan ekonomi sedangkan projek yang dibangunkan tidak menjana keperluan atau pekerjaan kepada sumber manusia. Seperti biasa kerajaan mempunyai jawapan yang klasik. Ia bukan kesilapan belanjawan deficit atau projek itu sendiri tetapi kerana graduan-graduan kita tidak menguasai Bahasa Inggeris. Ini bermakna kerajaan sendiri mengakui sumber manusia yang dikeluarkan tidak sesuai untuk MSC. Jadi apa gunanya MSC? Sepertimana yang saya selalu nyatakan sumber manusia yang mencipta koridoraya seperti di Amerika Syarikat, India dan Ireland. Koridoraya tidak pernah mewujudkan sumber manusia dan pekerjaan dan laporan akhbar baru-baru ini menjadi bukti penting kegagalan warisan ekonomi. Ia telah dan akan diiktiraf sebagai kegagalan perdana perancangan ekonomi melainkan komponen sumber manusia diperbetulkan segera. Setelah gagal menghasilkan ciptaan-ciptaan yang boleh meledak ekonomi Negara dari MSC kerajaan mengambil jalan singkat membeli hakcipta MM Chips yang dihasilkan di Jepun dan medabik dada inilah Cip Nasional. Saya ingin memperingatkan ini bukan kali pertama Malaysia mengambil jalan singkat yang akhirnya Negara dan rakyatnya menanggung merugikan yang amat besar. Kita sudah kena dengan Perwaja dan Proton Saga. Negara terpaksa menanggung hutang hamper RM20 billion ringgit dalam projek Perwaja dan rakyat terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapat sebuah kereta kerana adanya kereta Nasional Proton Saga. Kedua-duanya berasal dari teknologi Jepun belaka. Kita bukan masuk lubang ular dua kali tetapi berkali-kali menunjukkan kerajaan sudah hilang arah dan hala tuju. Apa yang menyekat Jepun dari mengeluarkan cip tersebut dari Negara lain seperti Proton Saga? Berapa jumlah yang dibayar untuk memiliki hakcipta MM Cips ini. Saya tidak mahu oleh kerana terlalu ingin disanjung kita sanggup diperdayakan orang asing untuk memperdaya rakyat sendiri. Dato Yang di Pertua, Kerajaan selalu menekan supaya mengikut peraturan undang-undang atau “rule of law” dalam semua perkara, undang-undang, politik dan urusan pentadbiran. Peraturan undang-undang atau “Rule of law” menuntut undang-undang dipatuhi dan semua orang sama dibawah undang-undang dan patut menerima perlindungan yang sama. Ia membenar kepada kepastian, ketetapan, dan boleh diramalkan dalam mengendali urusan ekonomi, kewangan dan perkhidmatan awam. Kita pernah mewarisi tradisi ini tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan tradisi ini secara perlahan digantikan dengan system dimana kemahuan, keinginan, dan arahan system politik diberi perhatian khas. Dalam banyak keadaan undang-undang ditafsirkan khusus samaada untuk memberi kelebihan kepada kerajaan atau orang-orang tertentu. Hari ini orang bercakap pasal Malaysia tidak lagi mengikut rukun sebuah masyarakat beradab atau “civil society”. Urusan kewangan dan ekonomi dengan syarikat asing dilaksanakan dengan syarat pertelingkahan dibawa ke institusi kehakiman Negara lain dan sudah tentunya tidak diMalaysia. Dimana dahulu kita dipercayai tetapi sekarang dicurigai. Tambahan pula kita dengar sekarang dalam perkhidmatan kerajaan ganjaran dan hukuman dikenakan berdasar kepatuhan atau tidak kepada kehendak politik. Kita dengar pegawai-pegawai dan hakim-hakim tertentu dinaikkan pangkat bukan kerana kecemerlangan, kekananan atau kebijaksanaan tetapi kepatuhan kepada kemahuan orang-orang tertentu dan politik. Tradisi kecemerlangan dihancurkan dan digantikan dengan tradisi kepatuhan. Tidak ada lagi tempat bagi mereka yang menghayati kecermelangan. Tempat yang ada hanya untuk “Pak Turut”. Ini sudah menjadi warisan kita dulu diperintah mengikut peraturan undang-undang sekarang mengikut kehendak orang-orang tertentu. Kita sudah atau dalam proses membina kakitangan kerajaan yang “pak turut” terutama dikalangan pegawai atasan. Salah satu mercu tanda masyarakat beradap ialah selepas pilihanraya masyarakat akan kembali seperti sediakala dan tidak ada sesiapa patut didiskriminasi kerana pilihan politik mereka. Ini bukan lagi tradisi negara ini. Diskriminasi dilakukan semata-mata kerana rakyat berani menentang kemahuan kerajaan. Diskriminasi dilakukan secara borong diantara rakyat Negeri Kelantan dan Terengganu dengan rakyat negeri lain hanya kerana mereka mengundi pembangkang walaupun peraturan undang-undang jelas melarang diskriminasi ini. Diskriminasi juga berlaku diantara kawasan yang dimenangi Pembangkang dan kerajaan walaupun rakyat dikedua tempat membayar cukai yang sama. Kita sudah menyimpang daripada tradisi peradaban masyarakat dan mendiskriminasi kerana perbezaan politik sedangkan undang-undang jelas melarang dan memberi hak perlindungan yang samarata. Kerajaan bukan menyatukan masyarakat tetapi memecahbelahkan mereka dengan menghukum kerana perbezaan fahaman politik. Adalah mengarut menyatakan sumbangan terbesar YAB Perdana Menteri ialah Perpaduan Nasional. Tidak ada langsung terutama dikalangan orang Melayu. Orang Melayu berpecah paling teruk dalam sejarah kerana kerenah YAB Perdana Menteri. Insya Allah ia akan berakhir secepat mungkin. Jika kita lihat disekeliling beribu Muda-mudi Melayu melepak tanpa sebab diwaktu pejabat. Mereka berlegar berjam-jam dikompleks membeli-belah dan kedai-kedai kopi tanpa berbuat apa-apa. Sebahagian besar daripada mereka bukan sahaja ciciran Sekolah Menengah tetapi juga Kolej, Institiut Pengajian Tinggi dan lepasan Universiti. Setiap tahun pengangguran meningkat begitu ketara dikalangan graduan Melayu dan dianggarkan sudah mencecah lebih 100,000 orang sekarang. Ekonomi tidak lagi dapat menyediakan pekerjaan kepada sumber manusia yang paling produktif. Kerajaan menyalahkan graduan kerana memilih “kursus-kursus mudah” diUniversiti-universiti dan menekankan program latihan semula dan perubahan dalam polisi pendidikan dapat menyelesaikan masaalah ini. Saya tidak fikir sedemikian. Masaalah ini hanya timbul dalam ekonomi dimana teras strategi pertumbuhan ekonomi diarahkan kepada projek yang tidak menghasilkan pekerjaan tetapi untuk tujuan yang disangsikan. Masaalah ini timbul kerana sebahagian besar belanjawan deficit dihala kearah projek mega atau bail-out dan menyelamat syarikat kroni daripada membangun keusahawanan dan sumber manusia dalam ekonomi. Dengan kata lain kita mewarisi ekonomi berorientasi projek mega dan berprestij daripada membangun sumber manusia dan daya keusahawanan rakyat menyebabkan Negara ketinggalan berbanding dengan Negara lain dirantau ini. Warisan kita ialah kita gagal membangun bakat dan daya kreatif rakyat. Warisan kita ialah kita telah menggagalkan rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera. YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mesti menerima hakikat diakhir kerjaya beliau masaalah yang paling besar dan meruncing ialah pengangguran dikalangan Graduan Melayu. Belanjawan 2004 tidak langsung menyentuh bagaimana menyelesaikan masaalah ini. Pada pandangan saya ia tidak dapat diselesaikan kerana kita telah membina sebuah masyarakat yang tidak memberi kepercayaan kepada kecermelangan, daya kreatif dan potensi sumber manusianya.
Lebih tiga puluh tahun yang lampau YAB Perdana Menteri yang juga Mentri Kewangan dalam bukunya “The Malay Dilema” mencadangkan budaya dan bangsa Melayu lemah. Beliau masih mengatakan perkara yang sama hari ini tetapi menekan alasan dan hujah dalam konteks berlainan tetapi temanya sama sahaja. Menyalahkan budaya, kaum dan sifat dorongan orang Melayu untuk berselindung masaalah sebenar social dan ekonomi Negara. Ia cara mudah memalu dan menundukkan rakyat dan mengalih mereka daripada menyalahi polisi ekonomi dan social yang gagal dengan meletakkan kesalahan terus kepada orang Melayu sendiri. Tetapi yang jelas dan tidak dapat dinafikan ialah kita membangun ekonomi berlandaskan projek yang tidak relevant untuk orang Melayu ceburi. Kerajaan gagal membina, memulakan dan mengembeleng daya kreatif dan potensi mereka melalui pendidikan, latihan kemahiran yang berkaitan dan mengasas budaya cemerlang daripada membina budaya kronisma, nepotisma, rasuah dan projek mega dan berprestij. Secara terus terang kita membangun ekonomi dimana kejayaan diukur bukan dari segi bakat, kebolehan dan daya kreatif tetapi kerana hubungan politik dan kroni. Mereka yang tidak berupaya dan tidak bersedia bermain percaturan politik dan kroni diketepikan tanpa mengira kemampuan dan kebolehan mereka. Apabila mereka dipinggir dan diasingkan dari teras ekonomi maka jenayah, samseng, kongsi gelap dan keganasan mula muncul. Mereka sudah menguasai jiwa Negara. Mereka tidak hilang tetapi menyorok dilatar belakang dan akan meledak bila-bila masa. Ada dikalangan mereka mempunyai PHD dan Sarjana dalam bidang sains tetapi disisihkan dari arus perdana ekonomi menyebabkan mereka memilih kehidupan atau memasuki organisasi yang berdedikasi untuk memusnah institusi dan hartabenda. Ini merosakkan ekonomi dan hubungan antarabangsa Negara. Timbalan Perdana Menteri mengakui fenomena dimana Negara ditanggap menyokong dan mendorong keganasan. Dulu kerajaan menuduh parti pembangkang mendokong keganasan tetapi hari kerajaan sendiri dipersoalkan kerana menyokong kumpulan pengganas melalui pemberian kerakyatan kepada mereka. Saya percaya kerajaan tidak mahu warisan Negara, gangster, samseng, kongsi gelap dan keganasan begitu menonjol dan menjadi sebahagian daripada “psyche” atau jiwa Negara seperti di Colombia, Amerika Selatan. Saya percaya YAB Perdana Menteri tidak mahu diingati kerana bertanggungjawab secara tidak langsung padah berlakunya jiwa atau psyche Negara ini. Jadi hari ini saya secara ikhlas dan mengenepikan perbezaan politik dan bercakap sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab menyeru bakal Perdana Menteri tidak kira siapa mereka mungkin juga YB Datuk Seri Ketua Pembangkang bukan sahaja mencari hingga keakar umbi punca sebenar keganasan tetapi juga mengenal pasti hingga ke akar umbi punca kegagalan kerajaan berkaitan masyarakat Melayu dan ekonomi Negara. Melainkan ada benar-benar dan asas penilaian semula kita menghala kearah kegagalan ekonomi dan social.
Diterbitkan oleh : |