Bung Karno
24-10-2003
KERAJAAN Terengganu bertegas akan melaksanakan undang-undang Syariah Islam (Hudud dan Qisas) bermula Ramadan atau November 2003. Exco kerajaan negeri Datuk Wan Mutalib berhujah dengan tafsiran hak negeri melaksanakan apa-apa berkaitan dengan ‘agama’ Islam. Justeru Syariah Islam adalah sebahagian daripada dinul Islam, maka melaksanakan Syariah Islam menjadi hak kerajaan negeri.
Apabil;a ditanya soal supreme (unggul) Perlembagaan Persekutuan, jawaban Wan Mutalib ialah “apabila seseorang sudah menganut Islam maka Islam adalah segala-galanya. Justeru Islam sebenarnya yang unggul mengatasi yang lain.”
Khalayak sudah menduga komentar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rais Yatim. Rais tentulah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Bertepatan kedudukannya sebagai ahli Umno-BN yang menjadi musuh kepada Pas. Apabila berlaku pertembungan antara kehendak Islam dan kehendak Perlembagaan Persekutuan, di sinilah keimanan seseorang teruji.
Seburuk-buruk Pas, hujah Umno bahawa Pas membuat undang-undang berdasarkan selera Haji Hadi dan Nik Aziz tidak diterima akal orang Malaysia! Beranikah Umno menyebut satu persatu fasal dalam undang-undang Syariah Islam di Kelantan dan terengganu sebagai selera nafsu dua manusia utama Pas itu. Tidak syak lagi tuduhan Umno bahawa undang-undang Islam di Kelantan dan Terengganu adalah undang-undang Pas tidak dipercayai orang.
Apabila Ketua Umno Kota Bharu, Zaid Ibrahim dan Puteri Umno, Azalina Othman cuba membongkar ‘keserakahan’ undang-undang Pas itu mengenai isu liwat, kedua-dua peguam itu menikus tidak membalas hujahan pemimpin dan peguam Pas. Usaha Zaid mahu membawa kedua-dua undang-undang Islam dari Kelantan dan Terengganu ke mahkamah pun bukan kerana undang-undang itu hasil otak Haji Hadi dan Nik Aziz. Sama seperti Rais, Zaid berhujah Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan undang-undang jenayah Islam dilaksanakan di mana-mana negeri, sebab Perlembagaan Persekutuan sangat tinggi mengatasi peraturan hidup susunan Allah yang terkandung dalam al Quran.
Khalayak mungkin mengharap sentuhan Penasihat Agama PM Tan Sri Hamid Othman. Percayalah sama ada Hamid Othman, Hamid Zainal Abidin atau Nakhaie tidak akan membuka mulut mengenai pertikaian antara antara Syariah Islam dengan Perlembangan Persekutuan. Mereka adalah manusia yang diberi ilmu oleh Allah dan tahu kebenaran. Hati mereka tetap mengatakan utamakan Syariah Islam berbanding Perlembagaan persekutuan, namun lantaran mereka berada dalam kandang Umno, maruah permusuhan dengan Pas mesti dijaga. Pilihan terbaik mereka ialah diam saja (itu yang Haji Hadi kata setan bisu!)
Maka yang akan berpencak silat berdepan Pas di kalangan Umno ialah Rais, Zaid, Azalina dan Shahrizat. Datuk Seri Abdullah tidak secelupar Dr Mahathir dalam mengulas Hudud. Abdullah masih percaya bahawa massa mengingati dirinya sebagai anak ulama besar. Jika Abdullah seganas Mahathir menyerang Hudud, segala ustaz dan ulama Umno berebut-rebut mencari topeng menutup muka kerana malu. Tak terhujah lagi.
Soal Hudud (Syariah Islam) ini sama ada berjaya dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu atau disimpan saja dalam peti besi nanti, yang menang Pas yang tewas Umno. Penulis akui bahawa pemikiran Umno mengenai Syariah Islam sudah berubah. Tinggal sebagian dalam Umno yang mengatakan Syariah Islam ketinggalan zaman, tidak sesuai dengan masyarakat majmuk dan akan menjadikan negara hancur lebur jadi debu!
Moralnya ialah Umno mengaku partai Islam ketiga besar di dunia dan negara Malaysia adalah negara Islam. Kini sebagian Umno mengakui kebenaran Syariah Islam. Jika begitu kondisi Umno, masih adakah hujah menghalang pelaksanaan Syariah Islam di negeri-negeri yang majoritinya umat Islam. Jika negeri tidak berkemampuan, mengapa persekutuan tidak membantu pelaksanaan itu, sedangkan itu adalah tuntutan agama. Katakan jika ada satu keluarga di Terengganu seakan-akan mati kelaparan kerana miskin, pertama memang Umno membelasah Pas, kemudian tentulah Umno memberi bantuan material. Bantuan itukan tuntutan agama, mengatasi soal negeri dan fahaman politik! Sekarang bagaimana ya Umno?
___________________________
Terbitan : 29 Oktober 2003
Ke atas
Home