Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Anak-anak muda hilang minat politik?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Selain sokongan agak padu dari pengundi bukan Melayu pada 1999, Umno sebenarnya “diselamatkan” oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), apabila sejumlah 681,000 pengundi baru yang mendaftar antara bulan April dan Mei tahun itu, tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka disebabkan masalah birokrasi.

Menurut kelaziman, hanya 200,000 pengundi berjaya didaftarkan dalam tempoh seumpama itu. Dipercayai lebihan hampir setengah juta pengundi itu adalah anak-anak muda atau mereka yang selama ini tidak berminat untuk mengundi, tetapi tiba-tiba saja, disebabkan tragedi September 1998, berazam untuk “memberi pengajaran bermakna” kepada BN. (Sila rujuk Khoo Boo Teik, Beyond Mahathir: Malaysian Politics and its Discontents)

Memandangkan calon-calon Barisan Alternatif kalah tipis di beberapa kawasan Parlimen tertentu, ramai percaya keadaan akan berubah jika 681,000 pengundi baru itu dapat mengundi, sekurang-kurangnya membuktikan bahawa BN bukan saja tewas di semua kawasan yang mempunyai 90 peratus pengundi Melayu (Malay heartland), malah kubu mereka di kawasan bandar (khususnya Lembah Klang dan Selangor) dan mempunyai pengundi campuran, turut bolos.

Antara kawasan-kawasan itu ialah Gombak (majoriti BN 803 undi), Shah Alam (1,440 undi), Titiwangsa (1,513 undi), Lembah Pantai (1,454 undi), Bandar Tun Razak (1,224 undi), Batu (2,297 undi). Perhatikan juga BA kalah tipis di Sabak Bernam (beza undi 901 undi), Tanjong Karang (2,075 undi), Kapar (2,860). Pada 1995, BN menang besar, di sesetengah kawasan berkenaan, majoritinya mencecah 40,000 undi.

Jangan lupa perkembangan menarik di Pahang, misalnya majoriti kemenangan calon-calon BN cukup kecil di Pekan (Najib Tun Razak diselamatkan 241 undi), Temerloh (213 undi), Jerantut (1,463 undi). Di Perak, calon BA kalah tipis di Lumut (605 undi), serta berjaya mengejutkan Presiden Gerakan, Lim Keng Yaik di Beruas (yang menang 1,455 undi). Rafidah Aziz (Kuala Kangsar) dan Zainal Abidin Zin (Bagan Serai) turut menerima tamparan hebat.

Hasrat “mengajar BN” tidak kesampaian

Okey, kita lupakan sekejap angka-angka itu, lagipun pilihanraya akan datang menyaksikan persempadanan baru. Tumpuan kita ialah fenomena pengundi muda dan golongan yang selama ini langsung tidak berminat untuk turun mengundi. Pemecatan Anwar Ibrahim pada1998 berjaya menyentap perhatian mereka. Soalnya, apakah selepas BN gagal dikalahkan pada 1999 (antaranya disebabkan mereka tidak dapat mengundi walaupun telah mendaftar), maka mood mereka terhadap politik turut luntur ataupun mereka sedang bersiap-siap dalam senyap untuk “betul-betul mengajar BN” dalam pilihanraya akan datang?

Sebenarnya, anak-anak muda yang ‘mentah politik’ inilah yang membanjiri Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga Majid Kampung Baru, Dataran Merdeka dan perkarangan Masjid Negara, juga laluan ke Istana Negara, ketika tuntutan reformasi bergema dengan gemuruh, antara September-Oktober 1998. Tanpa apa-apa kepentingan, mereka berani berdepan dengan tembakan gas pemedih mata, pancutan air gatal dan belantan ganas FRU. Mereka juga diseret ke lokap, yang mengakibatkan ada yang hilang pekerjaan.

Mungkin hampir semuanya tidak pernah mengenali Anwar dari dekat, apatah lagi untuk menjadi pengkagumnya. (Yang mendapat habuan projek dari bekas TPM yang teraniaya itu mudah saja beralih kem, malah ada beranggapan pengikut Tengku Razaleigh dulu lebih setia berbanding penyokong Anwar). Namun, kesempatan mengikuti ‘kuliah politik’ secara langsung di kediaman Anwar, di Bukit Damansara, berjaya membentuk persepsi baru mereka terhadap dunia politik. Kaset-kaset ucapan Anwar diputar sehingga dapat dihafal ungkapan menarik bersama intonasinya sekali. Mereka mula kenal istilah “korupsi, kronisme, nepotisme, konspirasi politik peringkat tertinggi”, sehingga wajah pemerintahan Mahathir dilihat hitam-pekat.

Bukan saja Mahathir tersilau dan tidak terjangkau fenomena politik baru itu, malah saya sendiri tidak terduga amarah anak-anak muda terhadap PM begitu tebal. Janganlah sesiapa cuba menipiskan darjah keberangan mereka terhadap Mahathir, padah akibatnya. Buku saya, ‘Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi Politik’, yang dicetak melebihi 50,000 naskhah (tidak termasuk sekali ganda lagi yang dicetak rompak), dicincang lumat oleh seorang anak muda selepas terbaca kandungannya yang mengkritik Anwar.

Buku yang dicincang itu kemudiannya dipos kepada saya, di samping sebuah nota: “Jangan cuba mewajarkan tindakan gila diktator tua itu.” Ia tidak berakhir di situ. Panggilan telefon yang mengherdik bersilih ganti. Perlahan-lahan saya mengerti, ini bukan masanya untuk mengungkit kisah silam Anwar semasa menjadi tokoh kanan Umno, atau cuba menimbulkan kecurigaan terhadap perwatakannya. Lebih malang, bila ada yang tahu Ummi Hafilda Ali pernah berjumpa saya!

Suatu pagi, awal Oktober 1998, saya dikejutkan jeritan seorang wanita muda, ketika asyik membelek akhbar di kedai buku yang terletak di bawah pejabat majalah Tamadun: “Kalau nak tulis macam ni, baik duduk di Utusan. Nah, ambil balik buku ni, menyesal saya beli.” Saya termangu, hanya mampu tersengeh, sambil menelan saja kata-kata makian seterusnya.

Mengenang era penuh bersejarah itu, seorang teman mencadangkan agar dianjurkan satu majlis pengkisahan reformasi: “Biar anak-anak muda yang terbabit aktif ketika itu menceritakan pengalaman masing-masing, bagaimana nurani mereka mula terbetik untuk mengenali sepak terajang politik. Walau dipukul, ditendang, mereka tidak serik. Ingat, hati mereka penuh kejujuran, tidak seperti kita yang sudah berkarat hijau dengan politik!”

Sekali lagi, itu semua sejarah. Selepas lebih lima tahun berlalu, iklim politik nampak mendatar, jalan-jalan KL tidak lagi gempita dengan laungan reformasi dan “undur Mahathir undur” (tapi, bukankah PM akan berundur seminggu saja lagi?) Petang Sabtu di depan Sogo tidak seindah dulu.

Balik ke pangkal, apa khabar 681,000 pengundi baru yang tidak berjaya “mengajar” BN dan Mahathir dulu? Masih kentalkah semangat mereka untuk melakukan perubahan selepas melihat Anwar terus terpasung di Sg Buloh, dan tidak diketahui bila masa bebasnya? Masih tertarikkah mereka dengan barisan pembangkang selepas BA hanya mendapat 42 kerusi daripada 193 (walaupun mempertahankan Kelantan dan menawan Terengganu), dan kemudiannya DAP kembali solo?

Mengapa ramai tidak mendaftar sebagai pengundi?

Tidak pasti apakah petunjuk dari berita Ahad lalu, bahawa 95,000 pemilih baru mendaftarkan diri dalam tempoh tiga bulan lalu, yang mana 50 peratus darinya berumur 21 dan 40 tahun, sedangkan masih terdapat kira-kira 1.6 juta orang yang telah mencapai usia 21 tahun belum mendaftar?

Ada pihak beranggapan mood anak-anak muda kini sudah berubah, tidak lagi “panas dan berang” terhadap pemerintah. Justeru, mereka kurang bersemangat untuk mendaftar sebagai pengundi. Ditambah lagi, khabarnya banyak usaha SPR untuk memikat bakal pengundi dibuat dengan kerjasama Umno-BN, maka makin jauhlah anak-anak muda ini.

“Maaf cakap, penampilan dan gerak pembangkang tidak lagi menarik minat kami. Ketika Umno terkial-kial mencari formula untuk dekat dengan orang muda, kami tak nampak sebarang pendekatan agresif PAS dan KeADILan. Sekurang-kurangnya Umno ada Puteri,” ujar seorang anak muda, yang berbangga dengan rekodnya berdepan polis, lima tahun lalu. “Ramai kawan-kawan saya tidak hiraukan politik lagi, lagipun apa yang menariknya? Saya tidak pasti siapa tokoh pembangkang yang boleh menjadi idola kami, selepas Anwar terus dikurung.”

Ada juga yang cuba memberi justifikasi sendiri mengapa tidak ramai anak muda berminat menjadi pengundi: “Kalaupun kita mahu tukar kerajaan, 1999 adalah masanya. Tapi, kita lihat sendiri, BN gunakan segala tipu-helah, guna segala jentera kerajaan, guna SPR dan tabur duit. Saya percaya ramai anak muda kecewa … bukan kecewa kerana BA kalah tapi mereka tidak percaya cara pilihanraya seperti diamalkan itu boleh memberi pilihan kepada rakyat untuk menukar kerajaan. Jadi, buat apa mengundi, sia-sia saja.”

Demokrasi dipersempitkan, jalan militan dipilih?

Kebimbangan terhadap merosotnya amalan demokrasi ini sebenarnya dikongsi oleh ahli-ahli Parlimen BA seperti ditunjukkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat, ketika persempadanan semula kawasan pilihanraya dibentangkan. Ya, tidak mustahil jika ada rakyat khususnya golongan terpelajar, yang cenderung memilih jalan militan untuk menukar kerajaan jika ruang secara aman makin disempitkan.

Saya tidak berhasrat untuk mengutip pandangan yang bernada kecewa walaupun menyedari ia mewakili sebahagian besar anak muda. Tidak dinafikan, masih ramai yang ‘setia dengan perjuangan’ dan cuba mengembangkannya sedaya mungkin. Saya diberitahu, ada kumpulan anak-anak muda di IPT yang menganjurkan siri diskusi serius, bagi mengisi tuntutan perjuangan. Dan kemampuan mereka berdepan dengan tekanan melampau penguasa kampus adalah bukti era reformasi belum berkubur.

Apa pun, sesekali bila bertemu dengan rakan-rakan lama, kebimbangan saya muncul semula. Kalau dulu tidak henti-henti mereka bersembang soal politik, kini masing-masing seperti hilang idea. Ramai juga yang tidak tahu bahawa PAS baru saja selesai muktamar. Cuma bila diberitahu Dr Haron Din menarik diri dari bertanding Timbalan Presiden, ada yang terkejut: “Sayang sekali!”

Justeru, saya melihat terkuburnya laman-laman web reformasi adalah petunjuk penting menurunnya minat politik anak-anak muda. Keghairahan generasi baru terhadap politik seiring dengan tumbuhnya laman-laman berkenaan. Kini, jarang kita dengar isu-isu dari internet dibincangkan oleh publik. Malah, hampir tidak kelihatan lagi kandungan laman dicetak untuk disebarkan secara meluas, walaupun media cetak pro-pembangkang hanya terbatas kepada organ parti sahaja.

Seorang pengendali laman PAS merungut: “Ramai penulis siber, yang dulu, dalam sehari, dua tiga bahan dikirim, sekarang menghilang ghaib. Tanpa mereka, aku nak isi laman dengan apa, kau pun tahu, aku bukannya pandai menulis. Ramai silap faham tentang internet, mereka lebih fikirkan prasarana tetapi membiarkan laman tidak dikemasikinikan.”

Askar tidak berperang setiap hari

“Askar pun tidaklah berperang setiap hari,” seorang kawan cuba mententeramkan saya. “Betullah tu, tapi kalau musuh sudah bersiap melancarkan peluruh berpandu, takkan tentera kita masih mengilap sepatu,” pintas saya.

Mungkin ada beranggapan apa yang saya bentangkan ini masih boleh dipertikai kebenarannya. Ada berhujah, tiada demonstrasi (siapa berani demo sekarang, menempah maut saja?), tidak aktifnya laman, sejuknya iklim politik, tidak bermakna anak-anak muda kita tidak ambil peduli lagi.

“Kena masanya, kena isunya, mereka akan bersuara kembali,” kata seorang aktivis PAS Selangor. ‘Tidak mudah untuk pengalaman 1999 hilang begitu saja. Mereka masih kritikal, tidak mudah diperbodohkan untuk menerima apa saja titah pemerintah. Asas kesedaran politik dulu, walaupun nampak seperti tidak dibaja, tetap hidup.

“Tanya mereka isu cadangan rapat umum, mereka rasa pelik bin ajaib mengapa ia boleh tidak dibenarkan. Mahu gunakan daleh tragedi 13 Mei 1969, minta maaf, mereka kata ia tidak relevan. Malah mereka tidak keberatan kalau Chin Peng nak pulang ke kampungnya di Perak. Terdapat anjakan paradigma yang jelas dalam ufuk permikiran mereka, tidak lagi terkongkong dengan beban sejarah yang cipta pemimpin Umno.”

Baiklah, untuk tidak melanjutkan perdebatan, saya terima. Cuma, saya terfikir benarkah sungutan bahawa imej BA tidak cukup menarik untuk orang muda sepertimana imej hebat Anwar sebagai wira mereka dulu? Di manakah sudut atau ruang dalam kerangka pembangkang yang tidak terisi sehingga mengakibatkan ia berwajar pudar?

“Penekanan BA dalam sesetengah isu tidak dapat menangkap imiginasi kami,” rungut bekas aktivis kampus yang pernah dibelasah belakangnya oleh FRU. Beliau menegur beberapa tindakan kerajaan Kelantan dan Terengganu, yang dilihatnya tidak mesra seni budaya. “Budak-budak muda ni, ada-ada saja salah silap orang, takkan semua orang kena fikir masalah mereka,” kata kawan saya yang turut bersama, sebaik saja anak muda itu beredar.

Ya, berdepan keletah dan ragam orang muda memerlukan kesabaran tinggi, khususnya kesediaan untuk mendengar rungutan tidak puas hati mereka. Kalau dulu mereka fokuskan kemarahan dan tentangan terhadap pemerintah, apa salahnya kini BA pula sabar dikritik. Sesekali, jenguklah dan ‘bermainlah’ bersama mereka.






___________________________
Terbitan : 27 Oktober 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)