Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Jamaah bantah tindakan Jais rampas masjid Taman Kosas

AMPANG, 27 Okt 2003 - Demi memenuhi kehendak jahat UMNO Baru, Jabatan Anti Islam Selangor (Jais) bertindak lagi merampas pentadbiran Masjid Fatimah Az-Zahra, Taman Kosas setelah para jamaah yang terdiri daripada anak kariah di situ membantah perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Masjid (AJK) baru oleh jabatan itu.

Pada 24 Oktober lalu, iaitu sekitar jam 10 pagi, berpuluh-puluh pegawai Jais dengan di ketuai oleh seorang Pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Idris Mastor dan Kadhi Daerah Hulu Langat, Mohd Razali Hasanusi memasuki masjid tersebut untuk tujuan mengambil alih.

Pihak Jais juga telah memotong kunci pintu pagar masjid dan pintu masjid dengan menggunakan pemotong besi serta memecahkan pintu bilik iman, bilik bilal dan bilik urusetia masjid.

Sehubungan itu satu laporan polis mengenai tindakan Jais itu telah dibuat oleh seorang jamaah di Balai Polis Ampang.

Sementara itu beratus-ratus anak kariah masjid dan penduduk setempat telah datang berkumpul dengan bersolat hajat dan membaca Yassin bagi tujuan membantah tindakan Jais mengambil alih masjid mereka sebaik sahaja pegawai Jais sampai.

Dalam perkembangan tersebut, seorang wakil Jais telah dipanggil oleh para jamaah yang hadir untuk memberikan alasan dan menerangkan rasional tindakannya berhubung tindakan mereka.

Idris Mastor yang mewakili Jais ketika menerangkan kepada orang ramai, hanya berkata bahawa beliau tidak tahu dan tidak berkelayakan untuk menjawab soalan yang ditimbulkan oleh orang ramai yang berada disitu.

Bagaimanapun beliau mendakwa pihak AJK masjid yang asal tidak hadir di Pejabat Agama setelah diminta dua kali berbuat demikian untuk membincangkan perkara tersebut.

Kadi Hulu Langat yang juga mewakili Jais, Mphd Razali Hasanusi dalam meminta ahli jamaah masjid bekerjasama dengan Jais.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Masjid Fatimah Az-Zahra itu, Wan Haswari Wan Ahmad menerangkan sebab mereka mempertahankan masjid tersebut.

Beliau dengan tegas menafikan dakwaan bahawa Jais telah memanggil AJK lama untuk berbincang mengenai hal tersebut.

"Tiada sebarang jemputan untuk berbincang, sila kemukakan surat yang mengatakan Jais pernah memanggil kami untuk berbincang," tanya beliau.

Beliau juga menyerahkan kepada pegawai Jais satu salinan surat perletakan jawatan oleh lima AJK baru yang telah dilantik oleh Jais tanpa persetujuan anak kariah.

"Meraka ini telah meletak jawatan setelah tahu mereka dilantik, sedangkan mereka tidak pernah diberitahu dan diminta persetujuan," kata beliau.

Selain itu Wan Haswari juga turut menunjukkan beberapa surat daripada Jais kepada Pengerusi Masjid Fatimah Az-Zahrah yang mengelirukan serta beberapa bukti yang menunjukkan ada campur tangan pemimpin Umno di sebalik tindakan Jais itu.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk mendakwa pentadbiran Jais yang melanggar prosedur dalam pengambilalihan masjid.

"Selagi mahkamah tidak membuat keputusan, kami tidak akan mengiktiraf AJK yang baru dilantik oleh Jais dan tetap dengan AJK yang telah sedia ada," katanya.

Sebelum ini, Pada 12 Oktober 2003 juga, AJK masjid yang asal telah menghantar satu memorandum bantahan kepada Pegawai Agama Islam (Kadhi) Hulu Langat, Mohd Razali Hasanusi.

Dalam bantahan itu menyebut tiga perkara besar mengapa AJK dan jamaah Masjid Fatimah az-Zahra membantah keras rampasan yang dilakukan oleh Jais.

Mereka mendakwa tindakan Jais tersebut hanyalah bertujuan untuk merialisasikan niat jahat Umno untuk merampas masjid di seluruh negeri Selangor.

Mereka juga turut membantah kerana pelantikan AJK baru bukannya pilihan anak kariah sebaliknya telah disyorkan oleh Umno Ampang Jaya.

Tambahan pula dakwa mereka, ada AJK baru yang dilantik oleh Jais bukan dari kalangan anak kariah masjid itu dan ada yang berpakaian tidak menutup aurat serta ada yang jarang hadir solat berjamaah.

Tujuan rampasan itu juga dakwa mereka dalam memorandum tersebut, adalah untuk menyekat majlis pengajian ilmu yang diadakan setiap malam di masjid tersebut.

Rampasan yang dilakukan oleh Jais terhadap Masjid Fatimah Az-Zahra itu merupakan yang ketujuh peristiwa seperti ini berlaku di negeri Selangor.

Sebelum ini Jais pernah merampas Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya, Masjid Al Munawarrah, Shah Alam, Masjid Darul Ehsan Subang Jaya, Masjid Mujahidin, Surau Jubli Perak, Bangi dan Surau Ar Rasyidin, Gombak.

Masjid Fatiamah az-Zahra telah dibuka hampir sepuluh tahun lalu berasal daripada sebuah rumah dan sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah perempuan yang ingin melihat sebuah tempat ibadat masyarakat Islam wujud di Taman Kosas.

Kemudiannya masjid tersebut telah diuruskan oleh AJK yang dilantik sendiri oleh anak kariah di situ.

Hasil daripada usaha gigih penduduk di situ, Masjid Fatimah az-Zahra akhirnya mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam untuk diadakan solat Jumaat.

Apa yang menarik, sepanjang masjid ini beroperasi, segala perbelanjaan pengurusan termasuk gaji untuk Imam dan bilal dibayar melalui hasil infak jamaah dan orang ramai serta tidak pernah mendapat bantuan walaupun satu senpun daripada jabatan agama.

Para AJK masjid itu juga telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai program agama untuk meng'imarah'kan masjid bagi tujuan menarik minat orang ramai sehingga akhirnya kahadiran jamaah menunaikan solat di masjid tersebut melebihi 100 orang pada tiap-tipa waktu.

Sepanjang beroperasi juga, Masjid Fatiamh az-Zahra tidak pernah didapati atau dibuktikan menjalankan program yang bertentangan dengan syariat Islam, tidak pernah dipanggil oleh JAIS untuk menjawab apa-apa tuduhan serta tidak pernah ada jamaah yang mengadu tidak puas hati dengan program yang di jalankan.






___________________________
Terbitan : 28 Oktober 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)