Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

11 syahid, 90 cedera dalam serangan udara paling buruk sejak tiga tahun

Oleh: Salman Al Munziri

KAHERAH, 21 Okt (Hrkh) - Ketika PBB mengadakan Sidang Tergempar di Washington membincangkan isu Palestin, tentera Israel melancarkan lima serangan di Semenanjung Ghaza Isnin lalu (20/10/2003). Serangan ini adalah serangan udara yang terburuk dilakukan oleh tentera rejim Zionis sejak tiga tahun lalu.

Serangan yang dilakukan sejak awal pagi itu mengorbankan 11 umat Islam dan mencedarakan lebih 90 yang lain. Serangan pertama dilakukan apabila pesawat tempur Israel mengebom rumah pemimpin gerakan Jihad Islami, Syeikh Abdullah As Syami. Serangan ini mencederakan 12 orang termasuk dua orang kanak-kanak. Abdullah bagaimanapun terselamat.

Pihak Israel menafikan serangan ditujukan ke atas rumah tokoh berkenaan, sebaliknya tujuan mereka adalah untuk menghancurkan rumah bersebelahan yang didakwa sebagai kilang membuat senjata pejuang Islam. Beberapa jam kemudian helikopter tentera Israel menyerang sebuah kereta di jalan Al Jala' yang sesak dengan orang ramai di tengah-tengah kota Ghaza. Serangan ini membunuh tiga orang rakyat Palestin, dua daripada mereka adalah pejuang Hamas dan seorang lagi pejalan kaki. Tujuh orang cedera, tiga daripada mereka berada dalam keadaan sangat kritikal.

Pejuang Hamas yang terbunuh dikenali sebagai As Syahid Iyad Al Hulw dan Khalid Al Misri. Serangan ketiga dilakukan terhadap sebuah rumah kosong di pinggir kota Ghaza. Serangan keempat yang dilakukan pada waktu maghrib ditujukan terhadap sebuah kereta. Sebaik sahaja kereta berkenaan terkena bedilan peluru roket tentera Israel, orang ramai cuba memberikan pertolongan terhadap mangsa.

Melihatkan orang ramai mengeumuni kereta berkenaan, helikopter Israel melepaskan sebiji lagi peluru berpandu menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera. Enam daripada mereka disahkan meninggal dunia. Satu lagi serangan dilakukan dengan menggunakan pesawat F16, menjadikan jumlah dalam tempuh 24 jam ialah lima serangan.

Antara mangsa yang cedera ialah empat kanak-kanak dan seorang wanita berusia 70 tahun. Politik samseng kerajaan Ariel Sharon ini turut menerima kutukan daripada rakannya sendiri iaitu Shimon Peres. Keganasan ini berlaku serentak dengan Sidang Tergempar PBB di Amerika Syarikat bagi membincangkan tindakan Israel membina Tembok Apartaid di Tebing Barat dan Ghaza.

PERKEMBANGAN DI RAFAH

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel dikatakan mula berundur daripada Rafah setelah melakukan kemusnahan dan keganasan sejak Jumaat minggu lalu (10/10/2003).

Tidak diketahui adakah pengunduran ini menandakan tamatnya operasi mereka di Rafah, atau hanya sekadar helah politik. Bagaimanapun, mereka berundur setelah 15 orang dibunuh dan berpuluh-puluh yang lain dicederakan.

Rafah adalah sebuah daerah di dalam Semenanjung Ghaza yang bersempadan dengan negara Mesir. Keganasan terakhir ini berlaku dalam keadaan dunia sedang mengadakan pelbagai persidangan. Bermula dengan OIC, Apec, PBB dan Sidang tergempar Liga Arab yang akan diadakan hari ini (21/10/2003).

Sikap Israel yang tidak mempedulikan dan tidak menghormati persidangan-persidangan dunia ini menandakan bahawa ia merasa kedudukannya cukup selesa untuk bertindak sesuka hati terhadap rakyat Palestin.

Tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh Israel kerana ia yakin, Amerika Syarikat sedia membantu. Sehingga kini Amerika Syarikat telah 37 kali menggunakan kuasa veto untuk membatalkan tindakan terhadap Israel.

Sudah 37 kali Amerika guna veto pertahankan keganasan Israel

Oleh: Salman Al Munziri

KAHERAH, 20 Okt (Hrkh) - Sama ada disedari ataupun tidak, sehingga 14 Oktober lalu, Amerika telah 78 kali menggunakan kuasa pembatal yang dikenali sebagai 'veto' untuk mengetepikan keputusan undi majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 37 kali (hampir separuh) digunakan untuk mengekalkan keganasan Israel di bumi Palestin. Usul-usul mengutuk dan mendesak supaya keganasan Israel dihentikan biasanya mendapat undi majoriti daripada anggota Majlis Keselamatan. Namun ia gagal dilaksanakan apabila dibatalkan oleh wakil Amerika Syarikat menerusi kuasa vetonya.

Terkini, pada 14 Oktober lalu (Selasa), John Negroponte, Duta Amerika di PBB, menggunakan kuasa veto negaranya untuk membatalkan usul yang dibawa oleh Syria yang mewakili negara-negara Arab supaya Israel menghentikan pembinaan Tembok Apartaid yang akan menyebabkan rakyat Palestin terpenjara di bumi sendiri.

Daripada 15 anggota Majlis Keselamatan, 10 menyokong usul berkenaan. Manakala empat lagi berkecuali, iaitu, Britain, Cameron, Jerman dan Bulgaria.

Sebelum ini, pada 16 September 2003, Amerika menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan undian 11 daripada 15 anggota yang menyokong usul supaya menghalang Israel daripada bertindak menghalau atau membunuh Presiden Palestin, Yasir Arafat.

Pada tahun 1983, Amerika menggunakan kuasa veto untuk membatalkan usul mengutuk pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di perkhemahan Sabra dan Syatila, Selatan Lubnan. Dalam kejadian pada 16-18 Ogos 1982, tentera Israel yang dipimpin oleh Ariel Sharon membunuh lebih 3,000 pelarian Palestin.

Tindakan kejam Israel dikritik hebat oleh semua pihak. Tetapi usul di Majlis Keselamatan PBB yang hanya ingin 'mengutuk' Israel itu dibatalkan oleh Amerika dengan kuasa veto yang dimilikinya.

Kali pertama 'negara penganjur keganasan' itu menggunakan kuasa veto ialah pada tahun 1967, iaitu terhadap usul supaya pihak yang menyertai Perang Jun 1967 berundur ke garisan gencatan senjata dan menghentikan peperangan.

Sejak itu juga Amerika telah 10 kali membatalkan usul yang melibatkan isu Afrika Selatan, lapan berkaitan isu Namibia, tujuh berkaitan Nicaragua, lima berkaitan Vietnam dan 37 berkaitan isu Palestin-Israel.

Veto berkaitan isu Palestin-Israel biasanya adalah membabitkan soal rampasan hak rakyat Palestin, pembinaan penempatan haram Yahudi, pencerobohan tempat-tempat suci, penyiksaan tawanan, penyiksaan wanita mengandung hingga menyebabkan keguguran, penutupan pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah, keengganan Israel mematuhi resolusi PBB dan sebagainya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1945, PBB menganugerahkan kuasa pembatal 'veto' kepada 5 buah negara yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan pertubuhan dunia itu. Negara-negara berkenaan ialah Amerika Syarikat, Russia, Perancis, Britain dan Cina.

Sehingga kini, Amerika telah menggunakan kuasa berkenaan sebanyak 78 kali, Britain 32, Perancis 18, Cina 5 dan Russia 120 kali.

Russia (Soviet Union) paling banyak menggunakan kuasa veto antara tahun 1957-1985. Ia dilakukan sebagai tindakan untuk menyeimbangkan kuasa Amerika. Tempuh berkenaan adalah tempuh perang dingin di antara dua kuasa dunia itu. Amerika dilihat sebagai mewakili negara-negara blok Barat, manakala Russia/ Soviet Union mewakili negara-negara komunis sosialis.

Oleh kerana terlalu kerap menggunakan veto, Menteri Luar Russia ketika itu, Andria Gromiko digelar sebagai Mr Net atau Mr No.

Kini setelah kejatuhan kerajaan-kerajaan komunis/sosialis dan pembubaran Soviet Union, tiada lagi kuasa yang dapat menandingi Amerika Syarikat. Ini menyebabkan Amerika berupaya menggunakan PBB dan Majlis Keselamatan untuk kepentingan Amerika dan mengetepikan pandangan dan kehendak dunia.






___________________________
Terbitan : 27 Oktober 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)