SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun KEMULIAAN ISLAM, SUNNAH DAN AMALAN BID’AH NISFU SYA’BANIslam secara ringkasnya bererti menyerah diri kepada Allah, tunduk patuh dan taat kepada segala apa yang dititah perintah oleh Allah, dengan mengikut apa yang dibawa oleh RasulNya Muhammad SAW dan menjauhkan diri dari melakukan syirik dan juga menjauhkan diri dari mereka yang melakukan syirik. Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diredhai oleh Allah, seperti mana firman Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali-Imran : 19) Rujukan utama umat Islam adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Ini adalah perkara asas yang wajib diimani oleh setiap individu Muslim. Di dalam menilai sejauh mana tingginya nilai ke Islaman seseorang Muslim, adalah dengan melihat sejauh mana kesungguhan beliau berpegang dan patuh kepada kedua-dua sumber tersebut. Hampir seluruh individu Muslim apabila ditanya tentang pegangan mereka, maka secara lancarnya tentu menjawab bahawa pegangannya adalah kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Malangnya, masih ramai umat Islam yang menjadikan ucapan pegangan kepada Al-Qur’an dan Sunnah hanyalah sebagai satu slogan semata-mata. Di dalam ucapan syahadah, seseorang Muslim berikrar dengan penuh yakin bahawa tidak ada illah atau tidak ada ketaatan dan pengabdian melainkan kepada Allah, Tuhan pencipta sekelian alam. Dan Muhammad SAW adalah Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan risalah Islam. Bererti beliau berikrar untuk tunduk patuh kepada Allah dan berikrar untuk taat kepada segala apa yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW. Perkataan illah bermaksud sesuatu yang hati berpaut kepada Nya kerana mencintai, memuliakan, menyerahkan diri, menghormati, mengagongkan, merendah diri, patuh, takut, harap dan bergantung kepadaNya. Di dalam Syahadah Risalah (Syahadah Rasul) pula, dua tuntutan utama kepada kesempurnaannya adalah hub (cinta) dan ittiba’ (ikut dan taat). Cinta kepada Rasulullah adalah salah satu tanda kemanisan iman seseorang Muslim iaitu mencintai Rasulullah melebihi cintanya kepada dirinya sendiri dan sekelian makhluk. Ittiba’ pula adalah mengikut sunnah dengan berpandukan kepada hadith-hadith yang sahih. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya kami telah mengutuskan bagi setiap umat itu Rasul, supaya mereka mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan diri dari thagut (yang melampaui batasan Allah)” (Al-an-Nahl : 36) Sunnah, secara ringkasnya adalah perbuatan, ucapan dan pengakuan (pengiktirafan) Nabi SAW. Bagi memastikan kesahihan sesuatu Sunnah, maka perlulah merujuk kepada hadith-hadith sahih yang telah diputuskan oleh ‘ulama hadith seperti yang terkandung di dalam kitab-kitab sahih/sunnan seperti yang telah dihimpun oleh imam-imam : Bukhari, Muslim, Abu-Dawud, An-Nasa’i, At-Tirmizi, Ibnu-Majah, Ahmad, Malik, Ad-Daarimi dan lain-lain. Malangnya, masih ramai yang tidak mengambil berat tentang kesahihan sesuatu hadith dan menyangka apa sahaja yang disebut hadith pastinya sahih dan wajib diimani. Mereka tidak mengetahui bahawa ‘ulama hadith (Muhaddithin) dengan disiplin ilmu yang tertentu telah mengkategorikan hadith kepada beberapa bahagian. Kesilapan umat Islam adalah bila mana dia berpegang dengan hadith-hadith maudhu’ (palsu) atau kepada hadith dhaif dengan meninggalkan hadith-hadith yang sahih. Bukan sahaja golongan awam yang membuat kesalahan dalam memahami hadith bahkan ada di kalangan yang menggunakan label sebagai ustaz juga sering membuat kesalahan dalam persoalan memetik dan menghuraikan hadith-hadith Nabi s.a.w. Sebenarnya gelaran ustaz bukan bererti seseorang itu tahu segalanya dalam ilmu-ilmu Islam. Sebaliknya ada golongan yang digelar ustaz hanya kerana sepatah dua kalimat yang dihafalnya. Jadi, golongan inilah antara punca tersebarnya hadith-hadith palsu di kalangan masyarakat. Setiap individu Muslim harus sedar kepada amaran Nabi SAW di dalam hadith yang mutawattir terhadap sesiapa sahaja yang berdusta di atas nama baginda, seperti sabda baginda yang bermaksud : “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Muhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah: “Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98) Kita sekarang berada di bulan Sya’aban 1424. Bulan Rejab telah meninggalkan kita dan bulan hadapan akan menjelangnya Ramadhan. Saban tahun apabila menjelangnya ketiga-tiga bulan ini, maka hampir di seluruh pelosok dunia Islam amnya dan di tanah air kita khususnya akan turut disebarkan dengan hadith-hadith palsu berkenaan fadzilat-fadzilat tertentu berkaitan bulan-bulan tersebut. Maka, orang-orang awam akan terliur melihat kepada fadzilat yang dinyatakan, sedangkan mereka tidak tahu bahawa semua itu adalah satu kepalsuan, rekaan dan omong-omong kosong semata-mata. Hari Jumaat, 10hb Oktober ini, bersamaan 14 Sya’aban 1424 pada sebelah malamnya adalah malam Nisfu Sya’aban. Benar, malam tersebut sememangnya malam Nisfu Sya’aban atau di dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai malam pertengahan Sya’aban. Hanya sekadar itu lah yang patut kita fahami dan laluinya tanpa menokok tambah kepada apa yang tidak diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW. Marilah kita merujuk kepada jawapan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi apabila ditanya berkaitan : Berkumpul Beramai-Ramai dan Berdoa Dengan Doa Yang Masyhur Diamalkan Pada Malam Nisfu Sya’aban (Ringkasan dari : FATWA MASA KINI oleh : Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Jilid 3&4, m.s. 183, Cetakan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Kuala Lumpur , cetakan pertama, Julai 1995) Ada beberapa hadith yang menerangkan tentang kelebihan malam nisfu Sya’aban, antaranya : “Allah akan terus menerima amalan hambaNya pada malam itu dan memperkenankan doa-doa mereka kecuali sebahagian dari mereka yang melakukan maksiat” Hadith ini adalah hassan menurut sesetengah ulama dan sesetengahnya mengatakan hadis dhaif. Khadi Abu Bakar Ibn-al-Arabi yang berkata :”Tiada satu hadith pun yang menerangkan tentang kelebihan malam NISFU SYA’ABAN. Jika diterima hadith-hadith yang menerangkan tentang kelebihan malam ini dengan menghidupkannya dengan penuh ketaatan, ia tidak datang dari Nabi, tidak juga sahabat, bukan juga dari kaum yang pertama selepas sahabat, sedangkan mereka sebaik-baik manusia yang hidup di kala itu dan mereka tidak pernah berkumpul beramai-ramai di masjid untuk menghidupkan malam ini dan membaca doa yang tertentu, mendirikan sembahyang yang tertentu sebagaimana yang kita tahu di sesetengah Negara Islam. Di sesetengah negara, orang berkumpul di masjid selepas Maghrib, membaca surah Yasin kemudian sembahyang dua rakaat dengan niat panjang umur! Dua rakaat yang lain dengan niat tidak berhajat kepada orang lain, kemudian membaca doa. Doa yang mereka baca itu tidak ada dalam nas dan juga tidak pernah dilakukan oleh sahabat. Doa itu juga mempunyai makna dan susunan yang tidak tepat. Antara doa yang dibaca adalah :”Tuhanku yang penuh keagongan dan kebesaran di malam Nisfu Sya’aban yang dimuliakan yang menjelaskan setiap perkara yang penuh hikmah dan menetapkan, jauhilah kami dari bala yang kami ketahui dan yang kami tidak ketahui. Doa ini salah dari maksud asalnya. Adapun malam yang menjelaskan setiap perkara yang penuh hikmah (daripada Allah) ialah malam yang diturunkan al-Qur’an, iaitu malam Lailatul Qadar yang mulia. Ianya di bulan Ramadhan sebagaimana yang disebut di dalam Al-Qur’an, firman Allah yang bermaksud: “Haa Mimm, Demi kitab yang nyata, Kami turunkan kitab ini di malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan” (Ad-Dukhan : 1-4) FirmanNya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya kami turunkan ia (Al-Qur’an) di malam Lailatul Qadar” (Al-Qadar: 1) Firman Allah lagi yang bermaksud: “Bulan Ramadhan yang Kami turunkan padanya Al-Qur’an” (Al-Baqarah : 185) Maka, malam yang menjelaskan semua urusan yang penuh hikmah ialah malam di bulan Ramadhan iaitu malam Lailatul Qadar mengikut ijmak ulama. Hadith yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa malam nisfu Sya’aban ialah malam yang menerangkan segala urusan yang penuh hikmah adalah lemah (dhaif) kerana hadith lain yang diriwiyatkan oleh Qatadah juga menyatakan ianya adalah malam Lailatul Qadar. Ada juga hadith yang menyatakan malam nisfu Sya’aban ke nisfu Sya’aban tahun depan yang mana ajal akan ditangguhkan. Hadith ini juga dhaif. Ibn-Kaithir mengatakan bahawa ia bertentangan dengan nas. Dari sini kita dapati doa ini penuh dengan kesalahan, doa yang bukan daripada Rasulullah s.a.w. juga bukan dari sahabat atau mereka selepasnya. Gambaran berhimpun beramai-ramai yang kita lihat dan dengar di negara-negara Islam adalah BID’AH dan ciptaan baru. Adalah lebih baik kita beribadat sebagaimana yang Rasul lakukan, juga sebagaimana sahabat dan mereka selepasnya. Adalah tidak wajar jika kita ikuti perbuatan mereka yang baru. Sabda baginda yang bermaksud: “... sesiapa sahaja yang hidup selepasku ini , dia pasti akan mendapati begitu banyak perselisihan. Oleh itu , hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin , lagi mereka itu adalah orang yang mendapat pimpinan. Peganglah erat-erat dengannya dan gigitlah ia dengan gigi-gigi gerahammu . Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan , kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah , dan setiap bid’ah itu adalah sesat “ . (diriwayatkan oleh Saidina Irbadh Bin Sariah (r.a) , sebagai mana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam sunannya , Kitab As-Sunnah , Bab Luzum As-Sunnah, Hadith 4596) Di dalam hadith yang hampir sama dengan hadith di atas , terdapat lagi sambungan daripada hadith tersebut , iaitu : Ertinya : “ …dan setiap kesesatan itu tempatnya kelak di dalam neraka “ (Hadith sahih diriwayatkan oleh Imam An-Nasaie : Kitab Solat Al-‘Aidain :Bab Kaifa Al-Khutbah :Hadis ke 1577) Semoga Allah memberi kita taufik untuk memahami kemuliaan Islam dengan benar-benar mengikut amalan Rasulullah SAW dan sahabatnya tanpa ditokok tambah dengan cara yang baru, sebagai membuktikan cinta dan kasih kita kepada baginda. Jika tidak, ungkapan mengikut al-Qur’an dan Sunnah hanyalah sebagai satu slogan yang bermain di bibir tanpa dibuktikan dengan amalan yang sebenarnya. Sesungguhnya, di antara kesilapan di dalam memahami agama adalah akibat menelan segala hadith yang diterima dan mengikut amalan orang terdahulu tanpa berusaha meneliti kesahihannya. Ibnu Syakir al-Fathoni, Kangar, Perlis
Diterbitkan oleh : |