Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pemuda Keadilan gesa disiasat tanah KTM yang dipindahmilik


Pemuda Keadilan hari ini menggesa kerajaan supaya menjalankan siasatan terbuka terhadap kerugian dan kehilangan banyak aset milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang telah dipindahmilik untuk dimajukan selepas ianya diswastakan pada akhir 1980-an.

Ketua penerangannya, Badrul Hisham Shahrin berkata, gesaan ini selaras dengan salah satu resolusi yang diputuskan oleh Majlis Eksekutif Kesatuan Pekerja–Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) pada 21 Oktober lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Badrul berkata, menurut resolusi tersebut, selepas diswastakan dan apabila Ordinan Keretapi dipinda, telah berlaku pemindahanmilik tanah KTMB, antaranya di Bangsar, Brickfields, Dayabumi, Puduraya dan Sentul.

"KTMB akhirnya hilang kesemua aset ini kerana dipindah milik untuk dimajukan. Dan kini KTMB ditinggalkan tak ubah seperti habis madu sepah dibuang," tegas Badrul sambil menyatakan sokongan pihaknya terhadap resolusi majlis eksekutif KPPKTMB itu.

Menurutnya lagi, pada lewat tahun 80-an KTM telah diswastakan dan diserahkan kepada Konsortium Marak Unggul yang merangkumi Renong, DRB Hicom, Bolton dan Jasa Meta, walaupun ketika itu, wujud penentangan dari pelbagai pihak termasuk kesatuan pekerja KTMB sendiri

"Akhirnya, kini jelas penswastaan itu gagal. Konsortium Marak Unggul gagal menguruskan KTMB dan kini kerajaan sekali lagi mempertaruhkan seluruh kepentingan KTMB termasuk pekerjanya dengan menyerahkan kesemuanya kepada Gamuda dan Malaysia Mining Cooparation (MMC), syarikat yang dimiliki oleh Syed Mokhtar Albukhary," tambahnya.

Kegagalan

Di samping itu, kata Badrul, pihaknya menyokong tuntutan lain KPPKTMB supaya KTMB dipindahkan semula ke dalam sektor awan

Selain menentang perpindahan urusan KTMB ke tangan Syarikat Gamuda dan MMC, kesatuan itu juga mahu dikembalikan hak bonus dan faedah- faeadah lain kepada kakitangannya

Menurut Badrul, selepas diswastakan, kakitangan KTMB kehilangan hak seperti bonus yang dibekukan dan pinjaman perumahan.

"Kesemua ini perlu dikembalikan, malah kebajikan pekerja perlu diambil perhatian segera," tambah Badrul.

Apa yang lebih menarik, tegasnya, resolusi ini jelas mengkritik kegagalan dasar penswastaan kerajaan pimpinan perdana menteri Malaysia yang keempat.

"Maka dilihat, selepas Dr Mahathir (Mohamad) tidak mempunyai jawatan, telah mula ada yang mengkritik secara terbuka kegagalan beliau yang selama ini disorokkan," tambahnya.

Menurut Badrul, Pemuda Keadilan sentiasa menyokong mana- mana individu atau pertubuhan untuk memperjuangkan hak mereka.

"Kami dengan tegas menyeru Perdana Menteri Malaysia ke-5 (Abdullah Ahmad Badawi) menghentikan segala projek atau dasar yang menjual kepentingan rakyat terbanyak," tegasnya lagi.






___________________________
Terbitan : 5 November 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)