Bung Karno
03-11-2003
BUKAN main lagi Tepak Bersulam membelasah Pemuda Pas dan Keadilan yang ‘mencacatkan’ kesedihan (dibaca kemeriahan) persaraan Tun Dr Mahathir daripada jawatan Perdana Menteri. Bacaan mudahnya ialah Pemuda-pemda BA hanya berani melaporkan kesalahan Mahathir setelah beliau tidak berkuasa sebagai PM. Tersuratnya, sewaktu Mahathir gagah sebagai PM, semua pimpinan pemuda BA menjadi tikus menyorok di lubang yang maha dalam. Itu ludahan kahak Tepak Bersulam dalam Gerbang Tempur Puteri Umno yang pasti akan dijilat semula selepas ini.
Massa tidak pernah lupa pertempuran politik antara BA dengan BN. Menuduh pemuda BA dayus kerana menjadi tikus di hadapan kuasa PM, dengan harapan kelompok Umno maha hebat, kebal dan gagah! Saya akan paparkan siri ‘anak jantan’ pemuda BA yang dikatakan dayus. Ingat, jika tindakan jantan pemuda ini sudah diistilahkan dayus, sila beri istilah baru dengan kecutnya Pemuda Umno.
Pertama: Laporan polis terhadap salah laku Mahathir selepas persaraannya. Mahathirlah manusia paling berkuasa di Malaysia selama 22 tahun sama ada jelas dengan kuasa politik atau melalui undang-undang. Dengan kuasa besarnya dia menjadi besar kepala. Siapa bilang tidak ada laporan polis terhadap salah laku Mahathir apabila menegah Pengarah BPR Datuk Shafie apabila cuba menyiasat Gabenar Bank Negara Abul Hassan. Media perdana tidak berani mencatat berita ditemukannya tunai RM 100,000.00 di tangan Abul Hassan. Mahathir segera mengangkat tongkat amarannya, “berani awak kenakan pegawai saya.” Apa sudah jadi dengan laporan polis pemuda BA. Itu berlaku sebelum Ezam disumbat ke Kem Kemunting.
Bukankah selama Mahathir menjadi PM semua institusi kerajaan menjadi kuda. Takutkan kuasa ceramah BA, permit ceramah dibekukan. Polis dijadikan pelindung ketakutan Mahathir. Pimpinan BA di peringkat kawasan berjumpa sendiri dengan ketua-ketua polis daerah mengenai ‘demi keselamatan’. Polis tidak mampu menjawab kecuali ini adalah masalah politik orang atasan! Ingat, Ustaz Fadzil Noor telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara untuk berbincang dengan KPN mengenai ‘demi keselamatan’ dalam ceramah BA. Polis yang megah dengan ‘cepat dan betul’ akhirnya menjadi ‘tikus betul’. Sampai Ustaz Fadzil meninggal, tidak secebis kertas menjawab surat tersebut. Semua yang memalukan polis itu kerana kerja Mahathir.
Lihat dalam kes Anwar, sampai sekarang masalah tidak selesai. Zaman Mahathir, Malaysia ada dua versi undang-undang. Satu untuk semua rakyat, satu lagi untuk Anwar. Kalau orang lain dituduh seperti Anwar mereka bisa dijamin, bisa diberi rawatan dan sebagainya. Dahulu banduan Abdullah Ang meski masih dihukum penjara tetap mengurus bisnesnya di luar penjara! Satu dunia Mahathir menuduh Anwar buat kerja hina, apabila peguam bela mahu Mahantir memberi bukti di mahkamah, Mahathir menjadi tikus meminta para hakim menggalikan lubang yang dalam untuknya menyorok. Oh itu tidak dayus!
Kedua: Dayuskah Salahuddin dan Ezam! Salahudin, Mahfuz dan seorang ahli Pas sanggup masuk sel Mahathir kerana menentang kehadiran pasukan kriket Israel ke KL. Undangan pasukan Israel itu kehendak Mahathir! Negara mengamalkan dasar luar membenci Israel, malah sesiapa yang masuk ke Israel akan ditangkap, Mahathir mahukan Israel. Wajiblah Pemuda Pas menggegarkan medan mengatakan itu kerja bodoh Mahathir. Pemuda Pas tahu mereka berdepan dengan sel. Namun Pemuda adalah anak jantan yang sanggup menggadai kebebasan untuk menentang kerja biadap seorang PM.
Ezam sanggup masuk sel selama 2 tahun kerana melanggar OSA Mahathir. Semua tahu Ezam dijadikan banduan kerana membongkar kes rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik, bukan Ezam yang makan rasuah! Apa Pemuda Umno buat untuk membendung rasuah di kalangan orang besar. Saya sebut, sepanjang menjadi ketua Pemuda Umno, tak sekali pun Datuk Hisham menyebut kesungguhannya membanteras rasuah dan penyelewengan!
Pendekarkah Hisham memimpin Pemuda Umno? Tidak pernah sekalipun Hisham sanggup berdepan dengan Mahfuz sama ada debat satu lawan satu atau dalam forum biasa. Kalau orang politik tidak berani bertarung lidah, pergilah buat direct selling alat-alat solek. Saya yakin dalam Umno pun cukup malu dengan Hisham sebagai Ketua Pemuda. Jika Hisham tidak sanggup gugur sehelai bulu romanya dalam perjuangan, minta Tepak Bersulan berikan istilah yang paling tepat.
Jangan sebutlah soal dayus kalau belum teruji dalam perjuangan. Pemuda BA adalah kumpulan yang paling layak berbicara soal perjuangan kerana telah menempuh mehnah dihina, difitnah sehingga disumbat ke dalam sel. Sekarang beban melaksanakan keadilan dalam negara di bahu Pak Lah. Jika Pak Lah tidak punya kredibiliti, dia akan menggunakan standard Mahathir. Maknanya teruskan zaman gila Mahathir selama 22 tahun, cuma wataknya seorang cucu ulama besar. Apabila ditanya soal ketidakadilan, tentulah Pak Lah akan menjawab ‘kita ada cara sendiri’. Siapa yang sanggup menyanggahnya? Jawabnya, semua kelompok dalam BA, khasnya kaum pemuda!
___________________________
Terbitan : 7 November 2003
Ke atas
Home