SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Jangan bermusuh 'perkara tidak difahami' - Nik AzizKOTA BHARU, 17 Nov (Hrkh) - Pemimpin bukan Islam yang kurang faham mengenai dasar negara Islam dinasihat tidak bermusuh dengan benda-benda yang tidak mereka fahami. Oleh itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bersedia bersemuka dengan mana-mana pihak untuk menjelaskan berkaitan Dokumen Negara Islam. "Kami sedia berbincang dan menjelaskan kepada pemimpin bukan Islam agar dokumen terbabit tidak disalahtafsirkan. Jangan tanya Pemimpin Umno kerana mereka tidak tahu yang mana ajaran Islam sebenar. "Sebab itu mereka komen dan tuduh pelbagai perkara negetif terhadap dokumen ini. Kalau faham sudah pasti mereka tidak akan teruskan pelbagai aktiviti maksiat seperti yang ada sekarang," katanya di sini, semalam. Sebelum ini, Presiden Gerakan, Dato' Seri Dr Lim Keng Yaik dilaporkan meminta semua pihak menolak Dokumen Negara Islam kerana ia menafikan hak rakyat bukan beragama Islam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, PAS bersedia mendengar komentar dari pelbagai pihak mengenai perkara tersebut. "Ini juga secara tidak langsung membuktikan rakyat Malaysia amat tertarik dengan isu negara Islam sehingga pelbagai pihak bukan Islam memperkatakannya dan ada juga melahirkan sokongan," tegasnya. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mempelawa pemimpin MCA, MIC dan pertubuhan bukan Islam berbincang mengenai Dokumen Negara Islam. Bekas pensyarah, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail berkata, pemimpin Umno sebenarnya sudah terperangkap dengan isu tersebut kerana sebelum ini mereka mengandaikan PAS tidak mampu menyiapkan dokumen berkenaan. Katanya, bekas Perdana Menteri sudah beberapa kali mencabar PAS membuktikan kemampuan untuk menghasilkan dokumen tersebut, terutamanya setiap kali menjelang pilihan raya. "Kini Umno cemas kerana dokumen berkenaan berjaya disiapkan. Bagaimanapun bagi melepaskan diri pemimpin parti itu mempersendakan pula dokumen berkenaan, biar pun mereka tahu isi kandungnya dipetik dari al Quran dan Hadis. "Banyak muncul penulis-penulis upahan untuk menghentam PAS bagi melindungi imej Umno yang sudah terkoyak," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Haji Nasharuddin Mat Isa berkata, Umno terbukti takut dan berada dalam keadaan serba salah kerana mereka gagal menyiapkan dokumen berkaitan negara Islam. "Yang pasti dokumen ini telah menyakinkan pengundi bukan Islam untuk bernaung di bawah pentadbiran kerajaan yang berpaksikan agama Islam. "Sedangkan Umno hanya isytihar negara sahaja yang Islam, tetapi pentadbiran menggunakan peraturan bercanggah dengan syariat. "Apakah terdapat dalam al-Quran ayat yang menghalalkan judi, zina, rasuah, salah guna kuasa sebagaimana berlaku dalam 'kerajaan Islam' Malaysia sekarang," katanya di majlis Iftar Jamaei dan Ceramah Ghazwatul Badar di Putik, malam kelmarin. Majlis tersebut yang bermula solat Asar berjamaah dan berakhir dengan berbuka puasa sebelum program ceramah diadakan. Ribuan penduduk tempatan hadir. - NY/mj___________________________ Terbitan : 20 November 2003
Diterbitkan oleh : |