Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Dokumen Negara Islam: PAS tidak lagi dalam posisi menyerang?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Bahagian Pertama

DALAM wawancara pertama dengan Harakah, selepas dilantik Ketua Penerangan PAS yang baru, Dr Haron Din mahu pendekatan lebih agresif dipilih, iaitu bersifat “menyerang”, dan tidak lagi bertahan, khususnya berdepan serangan Umno-BN.

Rupanya, selepas membaca keluaran khas akhbar-akhbar harian sempena persaraan Dr Mahathir Mohamad tempoh hari, baru diketahui, seperti dimaklumkan oleh seorang teman lamanya, bekas Perdana Menteri itu juga memilih pendekatan yang sama, dan atas alasan yang serupa.

Menyerang adalah pertahanan terbaik

Alasan mereka, pendekatan menyerang merupakan satu bentuk pertahanan yang terbaik.

Sayang sekali, disebabkan masalah tertentu, dalam pilihanraya 1999, rakyat negara ini tidak dapat menyaksikan bagaimana rentak pertembungan dua tokoh heavy-weight ini di Kubang Pasu.

Dalam satu majlis ceramah di Perlis, empat hari lalu, Dr Haron menegaskan, jika Mahathir bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu dalam pilihanraya akan datang, beliau tidak keberatan untuk mencabarnya jika dipilih oleh parti untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun impian itu mungkin tidak kesampaian. Selepas pencen, Mahathir hanya bersedia untuk berkempen membantu BN, sekurang-kurangnya “sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang pernah menyokongnya sehingga beliau dapat menjadi PM”. Seorang pembaca dalam suratnya kepada harakahdaily mencadangkan agar Dr Haron berkempen di mana saja Mahathir turun ke gelanggang.

Dalam pada itu, saya dimaklumkan bahawa antara tenaga utama di sebalik pelancaran Dokumen Negara Islam, yang dilancarkan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 12 November lalu (17 Ramadhan, sempena Nuzul Quran) adalah Dr Haron Din sendiri.

Mungkin satu kebetulan agaknya, keputusan PAS untuk melancarkan dokumen yang dijanjikan sejak dua tahun itu diputuskan dalam mesyuarat awal jawatankuasa PAS pusat yang dihadiri Dr Haron, sedangkan sebelumnya, iaitu pada muktamar tahunan yang lalu, diumumkan PAS tidak bersedia berbuat demikian. (Sebelum muktamar Dr Haron tidak ada dalam mesyuarat berkenaan kerana belum dilantik).

Tidak dapat dipastikan apakah Dr Haron begitu berusaha keras mempengaruhi mesyuarat supaya segera melancarkan dokumen tersebut, selaras dengan pendekatan “menyerang” yang dipilihnya itu, ataupun sebagai memenuhi janji – yang dilafazkan sendiri oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden PAS - yang tertangguh sejak sekian lama, kepada rakyat.

Sekali imbas, selepas beberapa hari ia dilancarkan, nampak seolah-olah PAS pula yang diserang, dan bukannya berada pada posisi menyerang. Melalui media utama, terutama akhbar harian dalam pelbagai bahasa, juga siaran TV dan radio, seperti yang dijangka, pandangan dari sisi negatif tokoh-tokoh kanan BN dikutip, termasuk Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, yang menyimpulkan “kebanyakan perkara di dalamnya sudahpun dilaksanakan Kerajaan BN”, dan “sebagai bukti PAS sudah terdesak untuk menyaingi parti lawannya dalam BN”.

Isu yang mencerai-beraikan pembangkang?

Sememangnya, dari awal lagi umum menyedari isu Negara Islam adalah soal sensitif terutama apabila dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat majmuk Malaysia. Difahamkan isu ini juga menyebabkan DAP keluar dari pakatan pembangkang, Barisan Alternatif (BA), selepas parti itu mencatatkan prestasi tidak memuaskan, berbanding PAS dan KeADILan yang mendapat sokongan hebat pengundi Melayu.

(Dalam pilihanraya 1999, sekumpulan pengkaji politik Universiti Kebangsaan Malaysia mengakui BA telah muncul sebagai suatu alternatif yang realistik kepada rakyat untuk membuat pilihan. “Pembangkang yang wujud sebelum ini nampaknya masih tidak dapat berkembang dalam bentuk gabungan seperti BN sendiri, dan BA telah memenuhi sifat kerangka ini. Sekiranya gabungan ini dapat bertahan, kecenderungan ini dijangka akan memulakan suatu senario baru dalam politik Malaysia,” mereka merumuskan.)

Peliknya, apabila PAS dikatakan menggugurkan istilah Negara Islam dalam beberapa manifesto pilihanrayanya, pemimpin-pemimpin Umno tidak menunggu lama untuk “membelasah” parti Islam itu. Seolah-olah mereka begitu prihatin sekali dengan prinsip perjuangan PAS dan mahu PAS berpegang teguh dengannya. Itulah juga yang kita dengar bila ada ura-ura PAS mengemukakan “strategi dua aras” menjelang pilihanraya akan datang.

Bahagian pertama tulisan ini sebenarnya tidak cuba memperihalkan isi kandungan Dokumen Negara Islam itu, tetapi lebih melihat kepada kesan atau impak politik yang timbul, sama ada kepada PAS dan parti-parti pembangkang lain, termasuk terhadap BN ekoran pelancaran dokumen tersebut. Juga menguji sama ada PAS kini dalam keadaan tertekan akibat diserang ataupun masih berupaya merealisasikan pendekatan menyerang Dr Haron.

Walaupun menyedari kepimpinan PAS lebih menekankan soal prinsip perjuangan (dan kewajipan setiap Muslim untuk taat apa saja titah-perintah Ilahi) berbanding strategi politik untuk meraih undi, namun pada peringkat awal saya kira tanggapan mengenal perkara kedua itu agak menarik untuk dikupas. Hampir semua akhbar pada hari Sabtu, 15 November memetik kenyataan Ustaz Abd Hadi sebagai berita muka depan bagi memaparkan seolah-olah dokumen itu dilancarkan demi muslihat politik.

Bola tanggung BN?

Ada pihak yang bersimpati dengan pembangkang - di samping menghormati pendirian dan prinsip perjuangan PAS - mempersoalkan masa dan ketikanya dokumen itu dilancarkan. Ia dianggap bola tanggung yang akan dilibas oleh BN.

Menyedari keterbatasan medan untuk BA menjawab segala tohmahan itu, dirasakan ia sengaja mengundang padah, atau seperti membekalkan BN dengan seberkas lagi peluru buat dimuntahkan ke kubu pembangkang.

Justeru, timbul persoalan yang saya kemukakan di awal tulisan ini, apakah pendekatan “menyerang” yang ditegaskan Dr Haron Din itu, dalam konteks dokumen Negara Islam ini, telah memakan diri dan menikam belakang PAS, apatah lagi dikatakan senario politik mutakhir tidak seperti 1999 yang berat memihak oposisi.

Seperti dalam peperangan, jika silap memilih strategi, yang dituai adalah kekalahan; begitu juga apabila berdepan dengan pilihanraya. Kebijaksanaan memanfaatkan peluang, biarpun pada zahirnya nampak enteng, boleh mengubah keputusan. Khususnya di kawasan yang menyaksikan persaingan sengit, perbezaan satu dua undi boleh menyebabkan seluruh pasukan terpaksa mengangkat bendera putih.

Ketika bersiap sedia menghadapi ketumbukan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Inggeris menjangkakan serangan bermula dari sebelah selatan, iaitu Singapura. Justeru, kubu-kubu pertahanan yang kukuh dibina di bahagian paling selatan Tanah Melayu, iaitu di sebuah bukit di Tanjong Pengelih, Johor.

Kubu berkenaan, yang dilengkapi sistem pengudaraan yang baik, mampu menampung satu batalion tentera. Malangnya, Jepun memilih Kota Bharu sebagai sasaran pertamanya di Tanah Melayu, dan bukan menyerang melalui Singapura. Dengan mudah Jepun mengorak langkah awal untuk menghalau tentera British. Dan kubu berkenaan langsung tidak pernah digunakan. Majalah 3, terbitan TV3 pernah membuat sorotan mengenainya.

Namun, tidak pula saya mahu membenarkan dakwaan PAS tersilap strategi ketika melancarkan Dokumen Negara Islam. Malah dari sudut tertentu, terutama ketika media massa utama “menggelapkan” berita pembangkang, publisiti percuma terhadap PAS yang mencurah-curah kini, walaupun dari perspektif negatif, boleh mengundang rasa ingin tahu terhadap polemik negara Islam ini.

Publisiti negatif pun ada hikmahnya

Keadaan sama berlaku ketika muktamar tahunan PAS yang dilangsungkan pada hari yang sama dengan pembentangan Bajet 2004. Jika tiada berita tentang kemungkinan Dr Haron Din bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS, sudah tentu berita muktamar tidak diletakkan di muka depan, dengan hiasan gambar warna-warni di dalamnya.

Sememangnya bukan mudah perkembangan perhimpunan agung sebuah parti pembangkang mendapat perhatian besar media pemerintah di kala tumpuan diberikan kepada bajet terakhir yang dibentangkan Mahathir.

Teman-teman dalam gerakan reformasi sering mengeluh apabila perkembangan terbaru Anwar Ibrahim, misalnya berkaitan kesnya di mahkamah, jarang dilaporkan media. Difahamkan, hatta istilah “reformasi” itu sendirinya sebenarnya “diharamkan” oleh beberapa harian utama.

Justeru, apabila Berita Harian memuatkan laporan tuntutan beberapa NGO sempena 100 hari Pak Lah menjadi PM, antaranya mendesak dilakukan reformasi dalam sistem pemerintahannya dan membebaskan Anwar, ramai yang terkejut bagaimana akhbar berkenaan bersedia menyiarkannya!

Semua maklum, media yang dikawal sepenuhnya Umno tentu tidak akan menyiarkan laporan positif saingannya, tetapi ramai berpendapat dengan “menggelapkan” terus berita-berita pembangkang, termasuk dari sisi negatifnya, dibimbangi rakyat biasa hilang minat untuk mengetahui perkembangan politik tanahair.

“Setiap parti politik perlukan publisiti. Jika tidak disorot secara baik, dengan menghentam dan mengecamnya pun sudah dikira memadai daripada tiada liputan langsung. Buktinya kes Anwar, walaupun dia dihitamkan sehitam-hitamnya, khususnya ketika akhbar menyiarkan afidavit penuh Musa Hassan mengenai ‘kelakuan buruknya’, rakyat bukan sekadar tidak percaya, tetapi amarah mereka terhadap pemerintah naik memuncak,” kata seorang aktivis reformasi.

“Oleh itu, selepas pilihanraya lalu, saya rasa Umno menukar strategi, dengan memadamkan terus nama Anwar dari dada-dada akhbar. Mereka mahu rakyat perlahan-lahan dapat melupakan Anwar. Dalam persidangan akhbar yang dihadiri PM, tiada lagi soalan-soalan berkaitan Anwar itu dikemukakan,” tambahnya.

“Untuk mengharapkan lidah parti, misalnya Harakah yang hanya terbit dua kali sebulan, rasanya ia tidak cukup kuat untuk menimbulkan gelombang atau riak besar dalam negara.”

Jangan asyik menari ikut rentak musuh

Bagaimanapun ia tidak bermakna kita dengan sengaja mendedahkan diri untuk diserang pihak musuh secara sewenang-wenangnya hanya bagi mendapatkan publisiti murahan, yang kemudiannya memalitkan imej buruk yang sukar ditanggalkan.

Ini kerana kesan negatifnya nanti, kita akan disibukkan dengan usaha menangkis balik serangan musuh, sedangkan apa yang sepatutnya dikemukakan kepada rakyat, yakni agenda yang kita susun sendiri, terus tertangguh dan tenggelam begitu saja.

Pendek kata, kita terus menari menurut rentak yang dipaksakan oleh seteru, di gelanggang yang sepenuhnya dikuasai mereka.

Sebenarnya Umno sendiri “tenggelam punca” untuk memilih penjuru atau sudut paling sesuai bagi menyerang PAS. Untuk mereka menolak begitu saja idea dan gagasan Negara Islam yang dikemukakan PAS tentulah hanya akan membawa impak buruk semata. Kefahaman Islam sebagai ad-Deen sudah begitu menyeluruh, termasuk kewajipan melaksanakan Syariah dalam pengertian lebih meluas.

Perisytiharan Mahathir bahawa Malaysia sebuah negara Islam di perhimpunan agung parti Gerakan, pada 29 September beberapa tahun lalu tidak membawa sebarang makna mendalam, khususnya berdepan saingan PAS. “Jangan bercakap soal Malaysia sebuah Negara Islam, mahu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam di bawah pemerintahan Mahathir pun tidak terlarat,” kata seorang pengamal undang-undang.

Jalan singkat yang sia-sia

Oleh itu, pada peringkat awal, Umno memilih untuk menonjolkan kesediaan Presiden PAS memansuhkan hak istimewa orang Melayu, sebagai jalan singkat mencuri hati pengundi Melayu mendekati Umno dan memusuhi PAS.

Selain dari ucapan Ustaz Hadi itu dipetik dalam konteks yang salah, orang-orang Melayu belum lupa bahawa Mahathir sendiri, berulang kali menyebut, bila sampai masanya keistimewaan itu akan ditarik balik. Malah ia diumpama bagaikan tongkat yang tidak diperlukan lagi oleh orang Melayu.

Umno menyedari mereka bermasalah besar dengan pengundi Melayu. Status mereka sebagai parti Melayu terulung sudah tercabar apabila hampir tujuh dari sepuluh pengundi Melayu menyokong BA dalam pilihanraya 1999 dulu. Malah, hampir semua kawasan Parlimen yang mempunyai 80 peratus pengundi Melayu menyaksikan kekalahan calon BN dari Umno. Dengan hanya menguasai tidak sampai satu pertiga dari seluruh kerusi Parlimen nanti, kedudukan Umno dalam kerajaan tidak semantap dulu.

Memang jika mahu dinilai berdasarkan tohmahan melulu pemimpin BN terhadap dokumen itu, seolah-olah PAS kini diasak ke sudut yang gelap, dan kelihatan belum berupaya dapat menangkis segala serangan itu. Namun, bagi saya, ia tetap permulaan yang baik bagi PAS, sekurang-kurangnya mendorong rakyat untuk mengetahui lebih mendalam lagi tentang perjuangan parti Islam itu.

Bagaimanapun ia terpulang kepada kewibawaan kepimpinan PAS bagi menjawab segala persoalan berbangkit dengan bahasa yang difahami semua pihak. Ia bukan saja memperihalkan lebih detail kerangka umum yang telah dibentangkan, namun mengisi lompang yang ditinggalkan BN melalui sistem sedia ada. Sesungguhnya, masih banyak yang baik untuk rakyat boleh dilakukan, tanpa perlu merombak sendi perlembagaan dan undang-undang sedia ada, tetapi BN tidak melaksanakannya.

Kebijaksanaan, kewarasan menentukan segalanya

Balik kepada strategi menyerang Dr Haron tadi, pada hemat saya, isu ini memberikan ruang besar untuknya bertindak “memukul balik” BN jika segala kemusykilan yang timbul atau sengaja diada-adakan itu berjaya ditangani dengan bijaksana.

Oleh itu, jika segala respons dan aksi terhadapnya diuruskan dengan baik, PAS akan terus berada pada posisi menyerang, dan bukan hanya bertahan seperti disangka ramai.

Kesediaan Presiden PAS yang mengalu-alukan sebarang inisiatif dari pelbagai pihak untuk menganjurkan majlis dialog bagi menghadamkan dokumen itu dilihat langkah awal yang cukup positif. Dengan sentiasa merujuk pandangan rakyat dalam sistem sedia ada, percubaan untuk melakarkan PAS dengan wajah pelampau dan ekstrimis tidak labih dari taktik lama yang sia-sia sahaja.

Walaupun ada yang cuba memperlekehkan dokumen PAS itu sebagai tiada banyak beza dengan BN, saya tertarik dengan pandangan seorang teman: “Sebenarnya, pada peringkat awal ini, boleh diungkapkan bahawa BA itu sama saja dengan BN yang telah ditolak segala kebobrokannya. Dalam bahasa matematik, BA = BN – keburukannya. Dengan itu, rakyat terutama bukan Islam tidak perlu risau tentang kemungkinan dasar negara akan dirombak secara drastik selepas PAS menerajui negara.”

Insya-Allah, dalam tulisan berikutnya saya cuba melihat dari perspektif lebih mendalam, terutama dalam mencari kebaikan dan hikmah, buat semua pihak, tidak terhad kepada parti-parti politik sahaja, apabila dokumen Negara Islam ini dibahaskan secara lebih terbuka, dengan niat yang ikhlas, dipandu ilmu dan kewarasan.



___________________________
Terbitan : 20 November 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)