SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun CABARAN BA MENJELANG PILIHANRAYABahang pilihanraya kian dirasai oleh rakyat Malaysia, khususnya dengan persaraan Tun Dr. Mahathir Mohamad akhir bulan lalu. Ini jelas menandakan pilihanraya umum semakin hampir, dan rakyat akan sekali lagi berpeluang untuk memilih siapa yang hendak diberikan mandat untuk menerajui Malaysia era pasca-Mahathir. Barisan Nasional (BN)? Atau mungkin Barisan Alternatif (BA)? Nampaknya, masih terlalu awal untuk ditentukan di peringkat ini. Bagaimana pula dengan jentera pilihanraya BA? Sudah dirangka pelan tindakan untuk memimpin negara jika menang pilihanraya umum kelak? Hakikatnya, skim politik pembangkang Malaysia masih di takuk lama, iaitu dengan menumpukan perhatian yang lebih kepada cacat dan cela kerajaan BN. Tidak henti-henti kenyataan akhbar dibuat menggambarkan kelemahan kerajaan BN menerusi siri ceramah dan kempen yang dihiasi ucapan-ucapan yang berdegar-degar, tidak dinafikan mampu memanaskan telinga pucuk pimpinan BN sendiri. Cakap itu mudah, buat itu susah. Mampukah BA di sebalik kritikan pedas terhadap kerajaan BN hari ini untuk bangkit dan menyamai pencapaian kerajaan BN dalam menerajui negara di dalam era globalisasi dan modenisasi? Mampukah kerajaan BA, sekiranya diberi mandat oleh rakyat menerusi pilihanraya umum nanti, memikul bebanan tugas untuk menjamin kestabilan dan kemajuan politik, ekonomi dan sosial Malaysia hari ini? Saya yakin tidak. Penghujahan saya ini bukannya berlandaskan sejauh mana populariti BA di mata rakyat Malaysia hari ini, tetapi lebih kepada kredibiliti mereka sebagai sebuah barisan kepimpinan rakyat. Aneh sekali, saya bersetuju dengan kata-kata pembangkang "Rakyat Malaysia hari ini sudah maju, sudah berpendidikan. Mereka tidak akan mudah tertipu lagi". Benar, yang mana ianya juga menandakan betapa jemunya rakyat kini dengan "politics of style" dan kegemaran mereka kepada "politics of substance". Bukan politik menabur janji, tetapi politik menepati janji. Bukan politik dengan berucap berapi-api, tetapi politik dengan beraksi 100% efisiensi. BA masih gagal menawarkan rakyat satu pakej kepimpinan yang menggariskan misi dan visi mereka apabila memegang tampuk kerajaan kelak. Mereka masih gagal menjelaskan kepada rakyat contohnya apakah polisi pendidikan mereka, apakah polisi ekonomi mereka dan paling penting apakah penyelesaian mereka kepada masalah-masalah yang kononnya ditimbulkan oleh kerajaan BN. Sekiranya BA mampu pun menggariskan usul-usul perubahan positif mereka, masih belum menjelaskan secara terperinci pelan tindakan mereka. Apakah akan dimansuhkan ISA? Apakah akan dimansuhkan terus hak istimewa orang Melayu? Bagaimana pula dengan pengurusan kewangan negara bagi mengimbangi pembaharuan yang ingin mereka usahakan dengan program- program di bawah kerajaan BN? Perkara paling pokok adalah struktur organisasi kerajaan BA itu sendiri. Siapa yang akan diangkat sebagai perdana menteri? Wakil PAS? Wakil keADILan? Wakil DAP? Bagaimana pula dari segi tempoh memegang jawatan tersebut? Bergilir setahun sekali? Atau mungkinkah jawatan perdana menteri itu dimansuhkan, dan digantikan dengan jawatan presiden? Apakah kesemua parti-parti komponen BA yang jelas berlainan misi dan visi mampu mencapai persetujuan mutlak bagaimana hendak menyusun struktur organisasi kerajaan pusat yang diterajui BA kelak? Dari dulu hingga kini, rakyat Malaysia masih lagi kabur dengan pelan tindakan barisan pembangkang dan hal ini nyata membuktikan ketidakseragaman dalam organisasi BA itu sendiri. Logiknya mudah: Kurangnya keseragaman, kuranglah juga integriti sesebuah organisasi itu sendiri, yang mana dalam kes ini adalah organisasi BA. Terdapat terlalu banyak persoalan yang masih belum dijawab oleh BA untuk meyakinkan majoriti rakyat Malaysia tentang kredibiliti BA untuk menjadi teras pucuk pimpinan negara. Malah, persoalan itu terlalu banyak sehinggakan saya langsung tidak yakin untuk memberikan satu undi saya kepada BA untuk menerajui kepimpinan negara. Benar, saya akui ada di kalangan tokoh-tokoh BA yang boleh dianggap berkaliber, tetapi sejauh mana kaliber BA sebagai sebuah kumpulan, sebuah barisan? Amat mudah untuk mengaku dan menobatkan diri dengan nama Barisan Alternatif, tetapi apa alternatif yang ditawarkan BA yang cukup terperinci dan meyakinkan rakyat Malaysia? Paling penting, apa pelan tindakan alternatif BA yang mampu memajukan negara di samping menjamin kestabilannya? Masanya telah tiba untuk BA membuktikan sejauh mana kebenaran kata- kata mereka tentang kredibiliti mereka yang membuatkan mereka jauh lebih layak sebagai teras kepimpinan negara. Ayuh BA, war-warkan pelan tindakan anda bagaimana anda akan mentadbir negara dengan jayanya. Ayuh buktikan! MOHAMED HAFIDZ MOHAMED ISMAILPengerusi Kelab UMNO Minnesota U.S.A.
Diterbitkan oleh : |