oleh Mohd Zukri bin Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda Negeri Pahang
Parti Keadilan Nasional
Tidak sedikit rupanya dari kalangan kita pihak pembangkang yang
termakan dengan dongengan kononnya Pak Lah akan membawa sinar yang
lebih baik untuk Malaysia, terutamanya untuk perjuangan ini, bermula
esok, 31hb Oktober 2003. Sepertinya kezaliman itu hanya milik Mahathir,
rasuah hanya milik Mahathir, salah guna kuasa hanya milik Mahathir,
kronisme dan nepotisme hanya milik Mahathir.
Seakan luput dari perkiraan kita bahawa yang bernama Kamaluddin bin
Abdullah itu adalah anak kepada Abdullah Ahmad Badawi, jutawan segera
dari hasil skim cepat kaya ciptaan ayahandanya. Itu belum dikira lagi
entah sudah berapa surat anugerah tender (letter of award) yang tidak
bertarikh yang sudah ditandatangani oleh Pak Lah atas kapasiti sebagai
Perdana Menteri berada di tangan-tangan kontraktor di luar sana.
Gambarannya apa? Tlunjuk bukan sepatutnya ditunjukkan ke arah Mahathir
mahupun Pak Lah, tetapi terus kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Hakikatnya selama ini kezaliman adalah milik UMNO/BN, rasuah adalah
milik UMNO/BN, salah guna kuasa adalah milik UMNO/BN, kronisme dan
nepotisme adalah milik UMNO/BN; tidak kiralah siapa yang memimpinnya.
Yang penting dinyatakan di sini adalah UMNO/BN merupakan satu struktur
yang telah rosak sistemnya. Bagaimana tidak dikatakan rosak; diwujudkan
satu tabung berjumlah hamper RM 40 juta untuk rakyat kita yang
termiskin, diamanahkan kepada seorang menteri dari kalangan mereka
untuk menjaganya, kesudahannya tabung ada duit entah ke mana, bila kita
minta disiasat memang mereka menyiasat tetapi apa yang ditangkap,
kereta Mercedez!; ada pula kisah menteri-menteri mereka yang disiasat,
konon nak menunjukkan tiada siapa yang kebal dari undang-undang tetapi
bila Pejabat Peguam Negara mendapati ada kes terhadap menteri-menteri
ini terus kertas siasatan dijadikan dokumen rahsia rasmi kerajaan di
bawah OSA, jadi bila dokumen ini digunakan sebagai bukti korupnya
mereka, kita pula yang ditangkap dan dipenjara, kalau ditunjuk sambil
senyum mereka kata ini semua fitnah belaka; ada pula sebuah negeri yang
dianugerahkan dengan kekayaan hasil mahsul balaknya, lalu satu ketika
diangkatlah salah seorang dari kalangan mereka sebagai Menteri Besar
negeri tersebut, besar tubuhnya, tegap badannya, perasan pula dia punya
gaya Marlon Brando, itu kata isterinya, menjadi Menteri Besar sehingga
tahun 1999 sahaja tetapi kuota balak negeri telah habis disapu
menjangkau ke tahun 2004, melibatkan salah guna sumber hasil negeri
berjumlah anggarannya sebanyak RM 1.5 billion hingga RM 4.5 billion,
laporan polis telah dibuat, oleh wakil rakyat mereka juga, siasat tak
siasat, si Marlon Brando masih tersenyum jadi menteri.
Apakah ini semua belum lagi boleh menjadi lambang rosak teruknya sistem
dalam struktur UMNO/BN? Banyak lagi yang boleh dicerita dan
disenaraikan tetapi apa yang dinyatakan di sini sudah memadai untuk
membuktikan bahawa kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan
juga nepotisme adalah milik bersama UMNO/BN, bukan hanya individu-
individu di dalamnya.
Perjuangan kita pula bukanlah hanya untuk menentang individu-individu
tertentu di dalam UMNO/BN yang korup tetapi UMNO/BN itu sendiri secara
keseluruhannya yang telah rosak sistem yang mendasari strukturnya,
menggantikan mereka yang rosak sistemnya ini dengan satu pemerintahan
alternative yang punya gagasan yang lebih baik dan berwibawa, juga
terhindar dari pengaruh kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, kronisme
dan juga nepotisme. Pilihanraya Umum hanya di sebalik simpang sana
sahaja…
Apapun, saya tetap mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
selamat bertugas kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang
kelima.
Mohd Zukri Aksah
http://zukri-keadilan.blogdrive.com
___________________________
Terbitan : 5 November 2003
Ke atas
Home