Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

JAIS musnahkan sistem persekolahan Sekolah Agama

Umat Islam di Negeri Selangor akan menyaksikan suatu ‘ kehancuran ‘ sistem persekolahan dan pembelajaran Sekolah Rendah Agama ( SRA )dan juga bagi Kelas Fardu Ain ( Integrasi ? ) (KAFA) yang dilaksanakan sejak berdekad-dekad dahulu mulai tahun hadapan, lantaran mengikut telunjuk seorang Menteri Besar yang digelar oleh orang-orang UMNO sebagai ‘ Saidina Omar ‘ iaitu Khir Toyo !.

Dalam surat pekeliling yang dikeluarkan oleh JAIS dan ditanda tangani oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Islam (TPPI), Haji Sholehuddin Kayat, menyatakan mulai tahun 2004 semua SRA dan KAFA negeri itu perlu melaksanakan sistem persekolahan dan pembelajaran sesi pagi mulai jam 8.00 pagi hingga 10.30 pagi, manakala sesi petang mulai jam 2.00 petang hingga jam 5.00 petang tanpa ada waktu rehat bagi murid-murid dan juga guru-guru yang bertugas !.

Selain arahan masa persekolahan seperti ditetapkan, pihak sekolah juga diarah mematuhi arahan mata-mata pelajaran seperti dalam jadual yang dilampirkan dalam surat pekeliling tersebut. Semua Nazir Zon dan Penolong Pegawai Agama Islam Daerah (PPAID) juga telah diarah supaya ‘ memantau dan melapor ‘ kepada TPPI di atas pelaksanaan mata pelajaran tersebut oleh pihak sekolah .

Ada beberapa persoalan perlu dijelaskan oleh JAIS kepada penjaga murid SRA/ KAFA berikutan arahan tersebut:

1. Bolehkah semua murid hadir ke sekolah agama pada sesi petang sebelum atau tepat pada jam 2.00 petang, sedangkan pada sesi pagi mereka berada di Sekolah Kebangsaan dan balik pada jam 1.00 tengah hari, kadangkala pada hari-hari tertentu mereka balik lebih dari waktu tersebut. Bagi kebanyakan kanak-kanak luar bandar yang datang sendiri ke sekolah dengan menaiki basikal dan jauh antara rumah ke sekolah ada yang sampai tiga kilometer , bolehkah mereka datang semula ke sekolah agama pada waktu seperti ditetapkan itu.

2. Bolehkah murid berumur dari (7) hingga (12) tahun yang bersekolah agama pada sesi petang dengan keadaan letih kerana belajar pada sesi pagi menumpukan pelajaran sepenuhnya dalam tempuh tiga jam tanpa rehat.

3. Apa akan jadi kepada bangunan kanten sebahagian SRA dan KAFA yang dibina hingga puluhan ribu ringgit , sedangkan kanten tersebut tidak lagi digunakan kerana murid belajar tanpa ada waktu rehat lagi. Dan apa akan jadi kepada ‘ perjanjian ‘ pihak sekolah dengan tuan punya kanten yang dilakukan secara tender sebelum arahan JAIS dikeluarkan.

4. Berikutan pengurangan jumlah waktu belajar mengikut masa persekolahan yang baru, banyak pelajaran penting dikurangkan bilangannya atau ditiadakan sama sekali. Sebagai contoh pelajaran Tilawah Quran hanya diajar (3) kali seminggu bagi tahun satu hingga tahun tiga dan tinggal (2) kali seminggu bagi tahun empat hingga tahun enam. Pelajaran Sirah Nabi tidak diajar langsung kepada murid tahun satu dan tahun dua tetapi hanya diajar sekali seminggu kepada murid tahun tiga, manakala bagi tahun empat hingga tahun enam hanya diajar dua kali seminggu . Bagi pelajaran khat pula pelajaran tersebut tidak diajar langsung kepada murid tahun satu dan dua, tetapi hanya diajar sekali seminggu bagi tahun tiga hingga tahun enam . Sehubungan pengurangan jumlah pelajaran seminggu seperti dicatatkan, apakah JAIS benar-benar yakin pelajar lepasan SRA/ KAFA boleh membaca Quran dan menulis Jawi serta boleh mencapai ke tahap ‘ muslim mukmin ‘ yang berketrampilan seperti yang pernah diwar-warkan oleh beberapa orang Pengarah JAIS sebelum ini.

Selain arahan tentang masa persekolahan dan pembelajaran yang dicatatkan di atas, JAIS juga dikatakan telah membuat arahan supaya semua pengawas murid di peringkat SRA/ KAFA bagi lelaki memakai kain sampin warna merah manakala bagi perempuan memakai kain warna merah juga. Adakah arahan ini akhirnya akan menuju ke arah menukar warna hijau yang turut dipakai oleh murid lelaki dan perempuan ketika ini kepada merah juga, atau mungkin kepada warna merah jambu seperti wana rasmi Puteri UMNO ! .

Arahan yang agak mengeliru dan melucukan, JAIS dikhabarkan turut mengarahkan supaya semua guru besar SRA yang memulakan sesi pelajaran pada waktu petang supaya hadir lebih awal ke sekolah pada sesi pagi,. walaupun sekolah pada waktu itu tiada sesiapa penghuninya ! .

NAKDESADIKOTA



___________________________
Terbitan : 20 November 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)