Ucapan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Sempena Majlis pelancaran Dokumen Negara Islam
pada 12 November 2003.
Pada pagi yang penuh dengan barakah ini, PAS akan melancarkan sebuah dokumen bertajuk 'Negera Islam'. Dokumen ini adalah hasil daripada kajian, pemerhatian dan siri perbincangan di kalangan tenaga pakar parti. Perlu saya tegaskan bahawa sesiapapun boleh memberi pandangan dan komen mengenai dokumen ini. Dengan berlapang dada saya mempersilakan dan mengalu-alukan pihak -pihak yang ingin memberi pandangan dan cadangan konstraktif cetusan daripada semangan kejujuran,keikhlasan dan keluhuran untuk terus memperkemaskan kandunagn dan persembahannya.
Seperti yang digambarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Prof. Dato' Dr Haron Din sebentar tadi, Dokumen 'Negara Islam' ini merangkumi semua aspek konsep negara Islam termasuk Tasawwur, Dasar, Ciri-ciri Ciri-ciri sehinggalah polisi-polisi umumnya. Perbincangan awal yang melibatkan Tasawwur, dan Dasar Negara Islam ditimba daripada dua sumber agung perundangan Islam iaitu Al- Quran dan As Sunnah. Seperti yang kita semua maklum, perbahasan yang melibatkan konsep Negara Islam tidak akan lengkap jika ianaya membelakangkan rujukan kepada kedua-dua sumber ini. Lanjutan daripada itu Dokumen ini menggariskan ciri-ciri Negara iSlam yang disusuli pula oleh polisi-polisi umum mengikut pecahan sektoral dalam konteks realiti masyarakat Malaysia kini.
Gagasan Negara Islam seperti yang terkandung dalam Dokumen yang dilancarkan pad pagi ini merupakan usaha serius menangani kegagalan kaakl manusia leberal dalam menangani beranekan gejala sosio-budaya yang semakin parah. Kita telah mencuba pakai pendekatan barat atas nama demokrasi, kapitalisme , pragmatisme, leberisme danebagainya namun yang pastinya permasalahan manusia dan kemanusiaan semakin hari semakingoyah. Seolah-olah kita sudah hilang arah tuju dan tenggelam punca untuk mencari penawarnya. Gagasan Negara Islam yang cuba diketengahkan ini sekiranya dapat dimengertikan, dihayati, dan dipraktik tanpa prejudis berupaya dan mampu menyelesaikan masalah yang te;ah begitu banyak menghabiskan sumber dan tenaga.
Dalam senario dunia yang berdepan dengan segala bentuk 'perhambaan dan keganasan secara moden' akibat dari tindakan 'unilateral' kuasa dunia dan konco-konconya, masyarakat antarabangsa amnya dan umat Islam khasnya, wajar memberikan peluang kepad pemerintahan yang berteraskan bimbingan tuhan yang maha mengetahui untuk membebaskan manusia daripada segala bentuk 'perhambaan' dan 'penjajahan' bentuk baru ini. Pemerintahan Islam tentunya adalah satu jalan keluar dan opsyen yang perlu diberikan ketelitian yang serius.
Gagasan Negara Islam yang memberi penekanan kepada matlamat Syariah untuk mewujudkan keadilan sejagat akan menghasilkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk semua. Adalah menjadi hasrat manusia sejagat untuk mengecapi keadilan dan kesejahteraan yang sebenarnya. Di dalam senario kecelaruan pemikiran dan ketidaktentuan arah untuk mencari penyelesaian, maka adalah wajar seandainya kita kembali kepada kebijaksanaan pemerintahan yang dipandu dan dibimbing oleh syariat Allah sebagai sumber hukum dan perundangan yang meletakkan segala sesuatu te[at dan wajar kepada kemaslahatan dan kepentingan manusia itu sendiri. Amat tepat penegasan Allah SWT dalam firmanNya:
"Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu yang penuh adil dan benar. Tidak ada yang dapat merobah Kalimat-kalimatNya dan Dialah (Allah) yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-Anaam: 115)
Negara Islam yang kami ketengahkan meletakkan matlamat keadilan sebagai kemuncak tugasan kerajaanya. Dengan meletakkan penghayatan Islam sebagai Ad-Deen yang sempurna lengkap, maka cita-cita keadilan ini dijadikan matlamt bagi seluruh sistem dan institusi di dalam negara ini, sama ada yang menyangkut aspek agama, kehakiman, politik, ekonomi dan pembangunan, sosial, pendidikan dan keselamatan negara, serantau dan internasional. Dalam hubungan ini Allah SWT berfirman;
"Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan Rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah kami turunkan bersama mereka Al- kitab dan neraca supaya manusia dapat melaksanakan keadilan......" (Surah Al-Hadid:25)
Perlu saya tegaskan di sini Dokumen Negara Islam yang dilancarkan hari ini adalah merupakan satu dokumen asas yang boleh dijadikan panduan bagi sekelian rakyat Malaysia yang ingin mengetahui konsep negara Islam dalam pengertian yang sebenarnya. Perincian mengenai perlaksanaan dan pelan tindakan dalam bentuk program dan inisiatif ciri-ciri negara Islam akan dimuatkan dalam manifesto parti yang bakal dikeluarkan menjelang pilihanraya umum ke-11 kelak.
Saya ingin membuat penegasan di sini bahawa konsep negara Islam seperti yang terkandung dalam dokumen ini akan dilaksanakan melalui proses politik berdemokrasi serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Saya juga menegaskan bahawa komitmen PAS terhadap sistem demokrasi tidak dapat disangkal oelh mana-mana pihak kerana seperti yang dimaklumi PAS telah mengambil bahagian dalam pilihanraya umum yang pertama dan akan terus berbuat demikian di masa hadapan.
Pendekatan Syura melalui Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang terkandung dalam dokumen ini secara langsungnya menolak anggapan dan tuduhan bahawa PAS akan melaksanakan bentuk pemerintahan teokratik. Bagi mereka yang mengkaji sejarah Tamadun Islam sejak 1400 tahun yang lalu akan mendapati bahawa tidak pernah wujud sebuah kerajaan Islam yang berbentuk teokratik. Percubaan mengaitkan sistem pemerintahan Islam dengan pemerintahan teokrasi adalah sebahagian daripada takti jahat mereka yang berfikiran pelampau liberalis yang cemburu dengan kemampuan dan keupayaan serta "track-record" yang telah dipamerkan oleh tamadun Islam zaman berzaman.
Sejak akahir-akhir ini percubaan dibuat untuk menyamakan perkataan Islam dengan keganasan, militansi, kezaliman, pelampau, redikalisme, fanatisme, tiada toleransi dan anti pembangunan dan kemajuan. Saban hari media barat dan yang anehnya termasuk juga media tempatan meneruskan asakan untuk memfitnah dan mentohmah imej Islam yang sebenarnya. Akibat daripada gerakan jahat terancang ini, wujud satu suasana katakutan, kesangsian, keresahan, dan ketidakpercayaan. Malah cubaan jahat ini telah pun berjaya melahirkan rasa kebencian terhadap Islam terutamanya di kalangan masyarakat bukan Islam di negara ini. Saya berharap dokumen ini dapat membetulkan persepsi negatif dan merosakkan ini di samping menghilangkan rasa keresahan dan ketakutan yang ada di kalangan pihak-pihak tertentu.
Dokumen ini memberi tumpuan khusus kepada kedudukan masyarakat bukan Islam dalam konteks perlaksanaan Negara Islam. Masyarakat bukan Islam diberi kesemua hak yang sedia ada seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kebebasan beragama, hak berekonomi, dan menjalankan perniagaan, hak berpolitik, hak mendapatkan pendidikan termasuk pendidikan bahasa ibunda, hak berbudaya, hak berkumpulan dan berorganisasi dan lain-lain hak yang terangkum dalam Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Saya ingin menambah bahawa di dalam konteks Negara Islam, hak semua manusia untuk menagamalkan agama mereka lebih terjamin daripada hak mereka di bawah mana-mana sistem yang lain yang terdapat di dunia ini.
Dokumen negara Islam ini juga memperjelaskan dan memperkukuhkan hak penglibatan masyarakat bukan Islam di dalam kesemua aspek pentadbiran negara termasuk cabangan eksekutif, legislatif, dan perundangan. Komitmen PAS melalui kerjasama Barisan Alternatif bermakna kerajaan yang diterajui BA akan melibatkan semua golongan rakyat tanpa mengira bangsa, agama, jantina, dan keturunan dalam menggerak, membangun dan mengurustadbirkan negara. Bagi memberi ruang demokrasi yang lebih luas dan adil, negara Islam dan pemimpin PAS akan menghapuskan semua undnag-undang zalim yang menyempitkan demokrasi seperti ISA, OSA, AUKU dan lain-lain lagi.
Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menjelaskan mengenai kegelisahan di kalangan sebahagian rakyat yang mengkhuatiri bahawa kebebasan individu mereka akan terjejas dan terhakis dengan perlaksanaan Negara Islam. Seperti yang dapat disaksikan di negeri Terengganu dan Kelantan, hak individu rakyat bukan Islam untuk meneruskan kehidupan harian dengan pola budaya masing-masing tidak langsung terjejas. Malah mereka terus menikmati, membangun dan mengembangkan nacara-acara budaya, pelbagai perayaan dan sambutan serta aktiviti-aktiviti harian seperti biasa. Dengan kata lain, di dalam sebuah negara Islam kebebasan individu untuk meneruskan kehidupan harian sama ada muslim atau non muslim adalah terjamin.
Satu lagi aspek yang sering diserang oleh musuh-musuh Islam terhadap konsep Negara Islam ialah kedudukan wanita dalam dinamika pembangunan negara. Sering digambarkan bahawa wanita tidak menerima layanan yang adil dan dipinggirkan dari arus perdana masyarakat hingga menyebabkan golongan wanita tertindas dan tidak dimartabatkan. Dokumen ini menjadi testimoni terhadap komitmen PAS untuk memartabatkan wanita dengan ajaran Islam termaktub dalam Al-Quran dan As Sunnah. Malah lebih daripada itu, dasar-dasr umum yang dicadangkan adalah untuk memertabat dan mengarusperdanakan peranan wanita dalam konteks masyarakat kontemporari yang bersifat global, berorientasikan maklumat dan bersendikan teknologi tinggi.
Tuan-tuan mungkin menyedari bahawa ucapan ringkas saya ini lebih banyak diarahkan kepada menjawab beberapa persoalan pokok yang sering ditimbulkan oleh sebahagian daripada rakyat di negara ini. Saya telah pun cuba dengan secara ringkas untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya dengan merujuk kepada Dokumen Negara Islam yang akan dilancarkan.Untuk merumuskan apa yang telah saya ucapkan tadi maka diturunkan di sini mantan-mantan atau inti-inti yang telahpun saya sentuh sebelum ini.
1. Bahawa perlaksanaan Negara Islam seperti yang terkandung dalam dokumen ini menerima pakai Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa pindaan mengikut keperluan.
2. Bahawa hak semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka adalah dijamin.
3. Bahawa hak setiap rakyat mempraktik, memaju dan memperkembangluaskan amalan kebudayaan dan ketatasusilaan rumpun budaya adalah dijamin.
4. Bahawa tidak akan berlaku pemaksaan penganutan agama Islam ke atas bukan Islam.
5. Bahawa sistem perundangan yang bersifat dualisme yang ada sekarang ini akan dikekalkan.
6. Bahawa tidak akan berlaku pendiskriminasian mengiku kaum, keturunan dan jantina. Sebaliknya Negara Islam mengutamakan amalan meritokrasi.
7. Bahawa hak demokrasi setiap rakyat adalah terjamin sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
8. Bahawa semua kaum tanpa mengira bangsa boleh dipilih, dilantik serta melibatkan diri dalam proses politik, perundangan dan pentadbiran negara.
9. Bahawa hak untuk mendapatkan pendidikan dan mengikuti pelajaran dalam bahasa ibunda adalah terjamin.
10. Bahawa keseluruhan hak-hak wanita termasuk hak untuk bekerja dan mencari sara hidup serta hak mempertahankan maruah dan harga diri adalah terjamin.
Dokumen Negara Islam yang akan dilancarkan merupakan usaha berani parti PAS untuk memberikan penjelasan dan bimbingan tentang keseluruhan konsep Negara Islam yang banyak diperkatakan dewasa ini. PAS yakin dokumen ini akan mengundang berbag-bagai respons dan reaksi. PAS telah bersedia untuk meyusuli penulisan ini dengan penjelasan yang lebih terperinci tentang aspek penghayatan, pelaksanaan dan penterjemahannya dalam konteks realiti politik negara ini dan cabaran demokrasi abad ini.
Untuk tujuan ini urus setia khas telah pun dibentuk untuk menangani segala pertanyaan dan keraguan yang mungkin ditimbulkan oleh berbagai-bagai pihak yang secara jujur dan luhur ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya. kami amat menggalakan segala inisiatif daripada individu dan kumpulan individu yang mewakili berbagai-bagai pertubuhan dan agensi kerajaan dan swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan majlis-majlis dialog terbuka bagi menghadam Gagasan Negara Islam yang dikemukakan pada hari ini.
Melalui kesempatan ini, izinkan saya mencetuskan satu seruan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, anutan agama, warna kulit, dan keturunan serta kedudukan dalam masyarakat agar bersama-sama tampil ke hadapan membina kehidupan yang lebih bermartabat dari sudut kemanusiaan dan keinsanan sehingga menjadikan kita makhluk yang terbaik yang dicipta oleh Allah SWT. Hanya dengan kembali kepada acuan Allah kita semua dapat menikmati kehidupan yang lebih penting daripada itu mengikut ukuran dan neraca Allah SWT.
Parti Islam Se-Malaysia bersama rakan kongsi dalam gagasan BA setiap masa dan ketika akan menentukan bahawa pelaksanaan negara Islam ini tidak sama sekali akan meminggirkan mana-mana pihak. Harapan saya agar rakyat Malaysia bersama-sama dengan PAS dan teman-teman dalam BA untuk menunaikan satu kewajipan yang telah diletakkan di atas pundak kita sejak dari alam azali lagi.
___________________________
Terbitan : 16 November 2003
Ke atas
Home