Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tanpa al-Mahdi, tiada penyelesaian muktamad

UmmahOnline Team
ummahonline@yahoo.com

“Akan muncul seorang lelaki dari Ahlul Baytku yang namanya sama seperti namaku, sifat wajahnya sepertiku dan dia akan memenuhi bumi dengan kebenaran dan keadilan”. Dan dalam hadith yang lain, “seandainya umur dunia hanya tersisa satu hari lagi, nescaya Allah SWT akan memanjangkan hari itu sampai datangnya seorang yang soleh dari kalangan Ahlul Baytku yang akan memenuhi dunia dengan keadilan”.

Dua petikan hadith di atas memberi gambaran yang nyata dan jitu tentang kepimpinan Islam di masa depan. Penegasan ini dibuat kerana dewasa ini banyak sekali pihak yang mendakwa bahawa mereka merupakan pejuang kebenaran dan keadilan sekalipun mereka sebenarnya adalah penganas yang kejam dan zalim. Tindakan unilateral Amerika Syarikat terhadap Afghanistan, Iraq dan dukungan sejati mereka kepada Israel membuktikan bahawa istilah pejuang kebenaran dan keadilan boleh dimanipulasikan oleh sesiapa sahaja. Walhal kita menyedari, hakikat kepada sumber kebenaran dan keadilan dalam kepimpinan dunia adalah milik Allah SWT melalui Rasulullah SAW hinggalah kepada kepimpinan Imam Mahdi di akhir zaman.

Manakala di kalangan umat Islam pula, hampir keseluruhan daripadanya memandang soal kepimpinan ummah bukanlah persoalan utama, penting dan mendesak. Pemikiran inilah pada hemat kami satu kesilapan yang mendorong kepada kemunduran dan kegagalan perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai ad-Deen. Kita perlu memahami bahawa detik kedzuhuran (istilah ini lebih tepat bagi merujuk kepada kemunculan Imam Mahdi) Imam Mahdi adalah urusan Allah yang telahpun dijanjikan di dalam al-Quranul Kareem. Tohmahan sesetengah pihak yang menempelak lambatnya kedzuhuran Imam Mahdi seolah-olah telah mencabar urusan Allah SWT. Perlu difahami, intizharul Mahdi (penantian kepada kedzuhuran Imam Mahdi) kita bukannya dalam konteks dan konsep yang negatif, tetapi adalah sebaliknya. Penantian Imam Mahdi hendaklah kita dilakukan dalam bentuk yang ‘membangun’ dan ‘mengerakkan’ agar keyakinan ini menjadi asas kebangkitan era kepimpinan Islam di dunia.

Memang benar bahawa tidak perlulah kita menunggu kedzuhuran Imam Mahdi untuk memulakan perjuangan. Namun janganlah pula kita terbawa-bawa sehingga menolak kepercayaan kepada kelahiran kepimpinan Imam Mahdi sedangkan ia merupakan jaminan Allah SWT dan telahpun ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Keyakinan kita kepada Imam Mahdi adalah sebagai momentum perjuangan. Atau sebagai sandaran keadilan! Dalam al-Quran surah Anbiyaa ayat 105, Allah SWT berfirman “Telah kami tuliskan dalam Zabur dan Taurat bahawa hamba-hamba kami yang soleh akan menjadi pewaris bumi”. Begitu juga dalam surah Qashah ayat 5 di mana Allah SWT berfirman “Kami mahu bahawa orang-orang yang tertindas itu akan memperolehi limpahan nikmat yang banyak serta kami jadikan mereka sebagai pemimpin sekaligus pewaris di muka bumi ini”.

Petikan beberapa ayat al-Quran di atas secara jelas menatsirkan kepada kita tentang penekanan Allah SWT bahawa pewaris kepada kepimpinan dunia ialah al-Imam al-Mahdi al-Muntazhar atau juga dalam gelaran yang lain sebagai Sahibazzaman di mana al-Mahdi akan berjuang untuk menyempunakan perjuangan Rasulullah SAW kepada satu realiti yang dapat diperhatikan di seluruh dunia. Ketika kepimpinan al-Mahdi dunia benar-benar dapat menikmati kehidupan yang bertamadun dan cemerlang. Akuilah, konflik berdarah yang marak melanda seluruh dunia tidak dapat di tangani dengan sempurna melainkan tibanya kepimpinan al-Mahdi. Pembebasan kembali al-Quds di Palestin yang di cita-citakan hanya dapat dilaksanakan oleh al-Mahdi. Namun ia bukan bererti kita perlu menghentikan penentangan kita terhadap rejim Zionis. Perlawanan kita terhadap mereka pasti diteruskan sehingga bendera perjuangan disambut oleh al-Mahdi dan tentera kemenangannya. Slogan kita untuk rejim Zionis, tanpa al-Mahdi, tiada penyelesaian yang muktamad.

Ya Allah segerakanlah kedzuhuran al-Mahdi untuk ummat ini!






___________________________
Terbitan : 6 November 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)