Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kekalkan Khir Toyo bukti Mahathir tidak serius perangi rasuah

KUALA LUMPUR – Merebaknya amalan rasuah dan salahguna kuasa semasa 22 tahun pemerintahan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membuktikan Perdana Menteri sebenarnya tidak pernah serius untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

Penulis politik, Ahmad Lutfi Othman berkata demikian selepas diberi penghormatan Anugerah Warga Perkasa oleh Dewan Pemuda PAS Selangor, 23 Oktober lalu, di Markas Tarbiyyah PAS, dekat sini.

“Buktinya, tiada seorang pun menteri kabinet ataupun menteri besar di zamannya, yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan rasuah, meskipun pelbagai pihak berkali-kali membuat aduan kepada BPR, disertakan dengan bukti,” tegasnya lagi.

“Kalaupun ada, ia hanya membabitkan seteru politik yang digeruninya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa melakukan rasuah tetapi tidak membabitkan wang, walaupun satu sen. Dan umum tahu, perbicaraan itu menimbulkan bermacam-macam tanda-tanya khususnya berkaitan proses keadilan,” tambah Lutfi.

Ahmad Lutfi yang kelihatan masih sakit, dan berucap dari tempat duduknya, dikurniakan anugerah yang julung-julung kali itu, di atas sumbangannya mendedahkan amalan rasuah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Menurut Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sallehin Mukhyi, tarikh 23 Oktober dipilih sebagai mengingati ulang tahun kedua Ahmad Lutfi membuat aduan pertama di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya, pada 23 Oktober 2001.

Dalam masa enam bulan kemudiannya, Lutfi bukan saja mengemukakan sekurang-kurangnya empat lagi aduan kepada BPR, juga membabitkan dakwaan rasuah kepada Dr Khir Toyo, tetapi menerbitkan pelbagai tabloid politik, majalah, VCD dan risalah khusus mengenai perkara itu.

Sejumlah hampir 50,000 naskhah akhbar Memo14 yang diterbitkan sehari sebelum persidangan DUN Selangor pada November 2001 dirampas pihak polis sebelum ia sempat diedarkan. Lutfi juga turut ditahan. Akhbar berkenaan menyenaraikan secara terperinci kes-kes yang dipercayai Dr Khir terbabit dengan rasuah.

Melalui Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) yang diterajuinya, beliau turut menganjurkan forum awam bagi menyedarkan orang ramai tentang bahaya amalan salahguna kuasa dan korupsi.

“Tujuannya bukan untuk menjatuhkan mana-mana menteri terbabit. Ini kerana selagi sistem yang menyuburkan amalan keji itu diteruskankan, ditambah dengan perlindungan pihak atasan ke atas pesalah rasuah peringkat tertinggi, dan kongkongan Jabatan Perdana Menteri ke atas BPR dan Jabatan Peguam Negara, tuntutan kita untuk mewujudkan good governance pasti tidak akan berjaya,” tegas Lutfi lagi.

“Sepertimana BPR di bawah Allahyarham Tan Sri Harun Hashim, kuasa membuat pendakwaan harus dikembalikan kepadanya. BPR juga mesti bertanggungjawab terus ke Parlimen, bukan Perdana Menteri. Ketua pengarahnya harus dipilih di kalangan tokoh yang dihormati umum, bukannya mereka yang boleh diperkudakan,” ujarnya.

Ditanya apakah beliau berpuas hati dengan pengendalian BPR terhadap aduan yang dilaporkannya, Lutfi berkata: “Saya rasa saya sudah menjalankan tugas. Setakat itu saja kemampuan saya. Soal berpuas hati tidak timbul, terpulang pihak berwajib mengambil tindakan perlu.”

Sebenarnya majlis penganugerahan itu adalah kemuncak kempen selama dua minggu bertemakan “Rakyat Perkasa Rasuah Binasa” yang dianjurkan Pemuda PAS Selangor bagi menyedarkan rakyat tentang rekod buruk menteri besar negeri itu.

“Kami mengedarkan risalah yang memuatkan aduan Lutfi kepada BPR, di samping mempamerkan 1,000 kain rentang di seluruh negeri ini. Malangnya, banyak darinya telah ditanggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus membuktikan kempen ini berjaya menakutkan golongan yang korup,” kata Ustaz Solehin, yang juga ADUN Sungai Besar.

Difahamkan, di beberapa kawasan, misalnya di Petaling Jaya, kain rentang yang turut mempamerkan motto, “Tolak Rasuah, Tolak Umno, Tolak Khir Toyo”, dibakar pihak yang tidak bertanggungjawab.

Solehin turut kesal kerana tiada tindakan berkesan dibuat oleh BPR terhadap aduan Lutfi itu Bagaimanapun, katanya, Pemuda Barisan Alternatif Selangor terus akan menjalankan kempen berkenaan “kerana rakyat berhak memastikan khazanah negara ini tidak dibolot oleh mana-mana pihak secara tidak bertanggungjawab”.

Beliau mengharapkan kesihatan Lutfi segera pulih agar dapat bersama-sama meneruskan perjuangan membersihkan negeri Selangpr daripada amalan rasuah yang berleluasa sekarang.

Turut berucap di majlis yang dipancarkan secara langsung melalui internet itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Mustafa Kamil Ayub.






___________________________
Terbitan : 5 November 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)