Assalamulaikom wrt.wbh
Saudara-saudara pembaca budiman
Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap perjalanan dan arah tuju amalan demokrasi di Malaysia kini. Demokrasi di negara kita semakin terhakis akibat perbuatan UMNO yang ingin sangat untuk mengekalkan kuasanya sama ada secara sah dari segi undang-undang atau pun tidak mengikut undang-undang.
Keinginan untuk mengekalkan kuasa ini kerana UMNO berpendapat bahawa orang lain [ parti lain ] tidak layak memerintah, melainkan UMNO sahaja. Disamping pengekalan kuasa dapat diteruskan, bererti segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang diamalkannya selama ini dapat disembunyikan dari pengetahuan rakyat. Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin UMNO akan terus dapat mengekalkan kuasa, kedudukan dan kekayaan.
Dalam mencapai cita-cita tersebut, UMNO terpaksa mengunakan jentera-jentera dan pasukan penguatkuasa undang-undang kerajaan sebagai benteng pertahanannya supaya kubu pertahanannya tidak roboh dan dicereboh oleh musuh. Keadaan ini memang disedari oleh UMNO, tetapi UMNO tetap dengan sikap kedegilannya. Tidak menghiraukan suara-suara mengkritik amalannya itu. Maka pasokan polis yang sepatutnya menjaga keamanan telah bertindak menjaga survival UMNO untuk terus hidup di bumi Malaysia ini.
Insiden terbaru ialah tindakan Ketua Polis Selangor Datuk Nohd.Noor Hamat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Abu Bakar Mustafa telah menceroboh Dewan Undangan Negeri Selangor pada hari khamis 20.11.2003 jam 3.20 ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima berlangsung [ kerebutan berlaku kerana Teng telah digantung dan diarah meninggalkan dewan oleh Yang DiPertua tetapi Teng enggan kerana penggantungannya tidak mengikut peraturan dan polis dipanggil ] dan mengheret YB. Teng Chang Khim [ ADUN Bandar Klang dari DAP ] keluar dewan.
Saya telah meneliti Akta Polis 1967, tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan mana-mana pegawai polis masuk ke dalam dewan menganggu persidangan dewan kerana dewan membenarkan ahli-ahlinya berbahas apa saja yang menyentuh kepentingan rakyat [ bukan peribadi ] dan ahli-ahli ini ada imunitinya tersendiri.
Memanglah dalam demokrasi yang kita amalkan perbezaan pendapat dibenarkan. Pembangkang peranannya menegur kerajaan yang memerintah. Pendapat pembangkang selamanya tidak sehaluan dengan kerajaan [ bertentangan ], begitu juga dengan dasar-dasar kerajaan senantisa mendapat kritikan dan kecaman dari pembangkang. Kerajaan kata dasarnya selalu betul dan pembangkang kata tidak.Itu biasalah.
Semacam pembeli dan penjual. Pertentangan ini akan terus berlaku sampai bila-bila. Penjual mahu menjual baranganya dengan harga yang paling mahal dan bermutu rendah, manakala pembeli pula mahukan harga barangan tersebut paling murah dan bermutu tinggi. Pertentangan akan berlaku sampai bertemu satu titik persetujuan dan akan berlakulah urusan jual beli.
Berbalik kepada insiden tersebut, saya berpendapat bahawa polis telah bertindak dan mencampuri urusan orang lain, di luar bidang kuasanya. Teng bukan orang jahat seperti Botak Chin atau Betong Kali yang perlu bertindak di luar batas undang-undang. Beliau ahli Yang Berhormat, wakil rakyat yang dipilih rakyat dan disahkan beliau masih layak sebagai YB seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan.
Sepatutnya kes ini diselesaikan oleh dewan melalui speaker, bukan polis, Keengganan Teng untuk keluar dewan, speaker boleh mengambil tindakan menagguhkan persidangan seperti yang selalu diamalkan oleh Dewan Rakyat, tidak perlu panggil polis masuk campur. Ini urusan Dewan Undangan Negeri.
Saya mengalu-alukan kenyataan Karpal Singh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis ini dan saya harap juga Teng yang juga sebagai peguam mengambil tindakan yang sama.
Tindakan ini sebagai pengajaran untuk masa hadapan. Mana tahu bila berlaku pula kekecuhan di DUN-DUN negeri lain atau di Dewan Rakyat atau Dewan Negara polis juga akan dipanggil. Kekecuhan, pertentangan dan perbezaan pendapat akan terus berlaku dari masa ke se masa kerana pembangkang dan kerajaan mempunyai matlamat yang berbeza seperti penjual dan pembeli sepertimana yang saya sebutkan.
Sekiranya tindakan undang-undang tidak diambil, dibimbingi peristewa yang amat malang ini akan terus berlaku. Sudahlah tidak boleh mengadakan ceramah ditempat awam atau markas sendiri dihalau macam anjing kurap, di tempat khas yang dicipta khusus untuk berbincang dan berhujah pun tidak dibenarkan, apalah malangnya nasib demokrasi di Malaysia masa hadapan.
Sekian, dulu kali ini dan Insya Allah dilain kesempatan bertemu lagi. Selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Aidil Fitri maaf zahir dan batin.
Wassalam.
___________________________
Terbitan : 2 Disember 2003
Ke atas
Home