SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun HARAMKAH MAZHAB?Oleh Daud Fathoni. Adalah sesuatu yang penting apabila bercakap berkenaan mazhab kerana rata-rata umat Islam diseluruh dunia hari ini bermazhab, sama ada ikut Imam Syafei,Imam Malik,Imam Ahmad bin Hambal atau Imam Abu Hanifah.Saudara Akupunya cuba menidakkan peranan mazhab pada hari ini.Beliau berlagak seolah-olah arif agama sehingga tidak mahu menerima pakai perkataan Imam yang empat.Beliau mengatakan bahawa Imam yang 4 tidak mahu orang ramai mengikut mereka berdasarkan perkataan dibawah: " Dan sungguh-sungguh telah tetap dari Imam Abi Hanifah dan Malik dan Syafie dan Ahmad dan selain mereka, Mudah-mudahan Allah yang Maha luhur memberi rahmat kepada mereka, bahawa mereka berkata; Tidak halal bagi seseorang memberi fatwa dengan perkataan-perkataan kami atau mengambil ucapan kami selama belum mengerti dari mana kami mengambil dan telah menjelaskan tiap-tiap satu dari mereka, sesungguhnya apabila telah shoheh suatu hadis maka dia itu mazhabku dan mereka juga: Apabila aku mengatakan suatu perkataan maka ujilah dia dengan Kitabullah dan Sunnah Rasulnya, maka jika perkataan itu cocok/bertepatan kedua-duanya maka terimalah dia dan ucapan yang menyalahi keduanya maka tolaklah dia dan buanglah ucapanku di luar pagar (Halil Muslim...halaman 8-9). Dan juga perkataan dibawah: " Berkata Imam Syafie, mudah-mudahan Allah memberikan rahmat kepadanya: Telah ijmak umat Islam bahawa orang yang telah jelas baginya Sunnah Rasulullah SAW, tidak halal baginya meninggalkan Sunnah Rasul kerana ucapan seseorang" (Halil Muslim halaman 18) Kalau kita teliti perkataan tersebut, Imam yang 4 tidak pernah berkata bahawa orang awam tak boleh ikut perkataan mereka keseluruhannya. Malah perkataan tersebut menunjukkan bahawa cermatnya Imam yang 4 sehingga setiap perkataan mereka dibuat berdasarkan Al-Quran dan Hadis!Malah ada yang diantara mereka yang melewatkan dahulu pertanyaan berkenaan sesuatu hukum supaya dapat berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa. Imam Malik pernah berkata : "Kadang-kala aku berjaga satu malam suntuk untuk mencari jawapan bagi satu-satu soalan yang dikemukakan kepada aku". Apabila beliau ditanya satu-satu hukum, beliau terus berkata kepada penanya "Pulanglah dahulu supaya aku dapat berfikir". Ramai manusia merendah-rendahkan Imam Malik dengan sebab beliau melewatkan menjawab sebarang pertanyaan. Imam Malik menangis dan berkata "Aku bimbang kerana aku akan disoal satu hari nanti dalam ( hari kiamat)". Saudara Akupunya juga mengatakan bahawa orang yang bermazhab itu menganggap ulama sebagai tuhan mereka berdasarkan apa yang diceritakan dibawah: Pada suatu Hari Ady Ibnu Hatim seorang pemimpin kaum Tho'yi datang di Madinah menghadap Rasulullah SAW dan dileher Ady terdapat salib yang diperbuat dari perak, waktu itu Nabi sedang membaca surah At Taubah ayat 30 "Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu putera Allah" dan orang Nasrani berkata: "Al Masih itu putera Allah". Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah-lah mereka; bagaimana mereka sampai berpaling? Berkata Ady Innahom lam yak buduhom yang ertinya: Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani itu tidak menyembah kepada mereka (Ulama) atau pendeta, maka Rasulullah menjawab: "Bahkan mereka menyembah Ahbar dan Ruhban, sesungguhnya mereka mengharamkan atas mereka barang yang halal dan menghalalkan untuk mereka barang yang haram, maka orang Yahudi dan Nasrani mengikuti mereka, maka yang demikian itu ibadah mereka kedapa Ahbar dan Ruhban." (Hadis Riwayat Ahmad) Apakah dengan hadis diatas saudara menghukumkan atas sekalian orang yang bermazhab itu kafir? Dan apakah hukumnya mengatakan orang Islam itu kafir? Saudara Akupunya membentangkan Ayat Al-Quran dan Hadis nabi dibawah bagi menunjukkan bahawa haram bermazhab: Firman Allah dalam Al -Isro' Ayat 36 yang bermaksud:" Dan jangan kamu kerjakan apa yang tidak ada ilmu bagimu dengannya, sesungguhnya pendengaran dan pengelihatan dan hati semuanya itu akan ditanya (dari apa yang telah dikerjakan)". Al-Isro' ayat 36. " Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan jangan kamu ikuti jalan-jalan yang lain maka kamu akan terpisah dari jalan Allah, demikianlah wasiat Allah kepada kamu dengannya supaya kamu sekelian bertakwa." (Al-An'an ayat 153) Dan hadis yang bermaksud: " Dari Ady Bin Hatim berkata: Aku datang kepada Nabi Muhammad SAW dan di dalam leherku ada salib yang diperbuat dari emas, maka Nabi bersabda: "Hai Ady buanglah dirimu berhala ini dan aku mendengar beliau membaca surah Al Baro'ah. Mereka telah menjadikan Ulama-ulama dan pendeta-pendeta mereka menghalalkan untuk mereka sesuatu lantas mereka menghalalkannya dan ketika Ulama-ulama dan pendeta-pendeta mengharamkan atas mereka sesuatu maka mereka mengharamkannya (Hadis Tirmidzi Juz 5 Halaman 278) Maka pertanyaan saya, apakah jalan yang menunjukkan bahawa dua ayat Al-Quran dan Hadis diatas sebagai dalil haram bermazhab? Apakah saudara hanya mengikut pikiran sendiri dalam menentukan ayat diatas dalil haram mazhab? Dan Hadis Riwayat Tarmidzi dari Ibnu Abbas r.a yang bermaksud:Barangsiapa berkata ia pada Al-Quran dengan ketiadaan pengetahuan maka hendaklah menjadikan ia akan tempat duduk bagi dirinya daripada api neraka.(Riwayat Tarmidzi) Setahu saya tiada ulama tafsir atau lughah yang mengatakan bahawa ayat2 tersebut merupakan dalil haramnya bermazhab! Sekiranya ayat tersebut saudara ambil daripada ulama maka siapakah dia dan apakah jalan yang ulama itu pakai bagi menentukan ayat tersebut dalil haram mazhab?Dan saya rasa saudara Akupunya sendiri tidak mengikut mana2 ulama kerana beliau hanya berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah.Nampaknya saudara Akupunya lebih hebat daripada sahabat nabi kerana bagi beliau sudah cukup berpegang dengan Al-Quran dan Hadis, Sedangkan sahabat (Rasulullah telah mengutuskan sahabatnya yang bernama Muaz Bin Jabal ke negeri Yaman sebagai pendakwah dan juga sebagai kadi) disuruh oleh nabi supaya berijtihad sebagaimana tersebut didalam Hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya: "Wahai Muaz, bagaimanakah engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?" Jawab Muaz ,"Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati di dalam kitab Al-Quran." Tanya Rasulullah lagi; "Jika tidak ada hukuman dalam Al-Quran?" Kata Muaz; "Aku akan hukum dengan sunnah Rasulullah(Al-Hadith). "Rasulullah bersabda lagi : "Jika sekiranya tidak ada dalam hadith?", Jawabnya; "Aku akan berijtihad." Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah ( Muaz ) dengan perkara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya." (Riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi) Rasulullah sendiri membenarkan para sahabat berijtihad jika tidak ada nas atau hukum dari Al-Quran atau Hadis dengan syarat tidak terkeluar dari prinsip agama islam. Saya harap saudara Akupunya berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu pendapat, kerana takut apa yang saudara keluarkan itu bukan saja mengelirukan umat islam malah saya bimbang saudara melakukan fitnah yang amat berat kepada alim ulama yang ikhlas terhadap agama!Malah yang lebih dahsyat apabila seseorang itu hanya memuat turun artikel orang lain(taklid buta?) tanpa mengetahui isi kandungannya! Kononnya mahu menunjukkan bahawa beliau ambil berat akan agama sedangkan beliau langsung tidak tahu tentang apa yang dilakukannya! Sekiranya seseorang itu arif tentang agama sudah tentu para alim ulama dan orang-orang yang mengikut mereka tidak dicercanya. Dan sesungguhnya orang yang berilmu tidak akan mengatakan sesuatu yang beliau tidak arif. Orang yang mengatakan haram bermazhab langsung tidak dapat memberi dalil bagi dakwaan mereka itu.Malah dalil yang mereka tunjukkan itu langsung tidak tepat! ___________________________ Terbitan : 30 Disember 2003
Diterbitkan oleh : |