SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun PMR: Prestasi sekolah agama di Kelantan membanggakanKOTA BHARU 30 Dis (Hrkh) - Sekalipun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak tertentu untuk meranapkan sekolah agama kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik), namun sekolah tersebut terus unggul dengan keputusan cemerlang apabila 856 orang pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mencapai keputusan yang sangat membanggakan. Daripada 5679 calon yang menduduki peperiksaan terbabit 174 berjaya mendapat keputusan 9A, 230 orang (8A), 242 orang (7A) dan 243 (6A). Perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, Ustaz Hassan Muhammad, dalam sidang akhbarnya di Yayasan Islam Kelantan (Yik) semalam. Beliau seterusnya berkata, prestasi pencapaian pada tahun ini boleh dibanggakan memandangkan pelbagai dugaan serta halangan yang terpaksa ditempuhi oleh semua pihak terutamanya pelajar. "Biarpun bilangan calon yang mendapat 9A agak rendah berbanding tahun lalu, namun para pelajar masih berjaya menunjukkan prestasi kecemerlangan mereka tahun ini," ujarnya. Tambahnya lagi, kekurangan pelajar mendapat 9A adalah akibat dari gangguan pengambilan guru-guru dari Yik oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang dianggarkan berjumlah 300 orang di saat-saat akhir pelajar akan menduduki peperiksaan. "Kekurangan para guru Yayasan Islam Kelantan (Yik) terutama saat-saat akhir menjelangnya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu, menyebabkan para guru yang ada melipatgandakan usaha untuk mencapai kejayaan" ujarnya. Dengan bilangan calon yang cemerlang ini, maka ramai pelajar yang boleh memamsuki ke sekolah sains atau teknik di mana-mana sekolah kelolaan Yik. Antara mata pelajaran yang diduduki oleh pelajar sekolah Yik ialah, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sains, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, dan Pendidikan Islam. Sementara itu, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) masih unggul menerusi pencapaian peperiksaan ini apabila 427 daripada 430 calon pelajarnya telah lulus dengan pencapaian 99.3 peratus. Daripada jumlah itu, seramai 78 orang pelajar telah memperolehi (9A), 85 orang (8A), 57 orang (7A), 42 orang (6A). Seramai 49 daripada 357 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Mahaad Muhammadi Lelaki yang menduduki peperksaan yang sama mendapat (9A), 59 orang pula mendapat (8A), 69 orang (7A), 62 orang (6A) dengan tahap pencapaian minumum 93.28 peratus. Antara SMU (A) Kerajaan Negeri yang mendapat peratus tertinggi adalah SMU (A) Maahad Muhammadi Pasir Pekan (91.73 peratus), SMU (A) Arabiah Pasir Mas, (78.21 peratus) dan SMU (A) Saniah Pasir Putih (77.68 peratus). Sekolah Bantuan Kerajaan Negeri juga turut memperlihatkan kemampuan masing-masing apabila pelajar mereka berjaya mendapat 9A antaranya Sekolah Menengah Agama (A) Darul Anuar Pulau Melaka, SMU (A) Takaddum Maarif, SMU (A) Tarbiah Mardziah Panchor. Ketika ditemui selepas majlis peristiharan keputusan peperiksaan itu, Mudirah SMU (A) Maahad Muhammadi Perempuan, Ustazah Rahmah Ag Deraman, berkata biarpun peratus yang diperolehi pada tahun ini agak menurun, iaitu 0.3 peratus, berbanding tahun lalu 99.6 peratus, namun pihak sekolah amat berpuas hati memandangkan kesungguhan pihak sekolah, guru serta murid yang bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan. "Disaat akhir pelajar akan menduduki peperiksaan ini September lalu, mereka serta para guru telah menghadapi pelbagai tekanan akibat ramai guru yang terlibat dengan pelajar ini diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan," ujarnya. Tambah beliau, ekoran daripada itu pihak sekolah serta kerjasama ibubapa dan murid sendiri telah berganding bahu untuk sama-sama berusaha menjaga prestasi sekolah. "Alhamdulillah akhirnya kita berjaya, sebab itu saya kata, turun 0.3 peratus, tidak menjadi halangan kerana kita menghadapi pelbagai rintangan dan tekanan, termasuk mental, akhirnya Allah telah menolong kita," ujarnya. Rahmah seterusnya berkata, selain kelas tambahan waktu sekolah, iaitu sesi petang, guru yang terbabit juga telah mengorbankan masa mereka untuk mengadakan kelas yang sama pada waktu cuti sekolah termasuk cuti mingguan.SMH/NY/mn___________________________ Terbitan : 31 Disember 2003
Diterbitkan oleh : |