Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Nazri atau rakyat lebih berkuasa !

PEPERANGAN antara Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd.Nazri Abdullah Aziz dengan Pengarah Siasatan BPR, Datuk Nordin Ismail berhubung kes permit teksi memperlihatkan kepada rakyat bagaimana seorang menteri yang dipilih oleh rakyat mengeluarkan kata-kata yang begitu angkuh sekali ke atas seorang penjawat awam. Sampaikan dia banyak duit, tak habis dibelanjakan pun ikut disebut juga. Sebenarnya, kalau tidak ada ‘apa-apa ‘ kenapa mesti takut dengan BPR ?.

Yang menggelikan hati rakyat lagi, Menteri Pembangunan Luar Bandar , Datuk Azmi Khalid pun tumpang juga semangkuk !. Beliau nampak sangat hendak mempertahankan Nazri sampai mempersoalkan cara kerja BPR supaya jangan ikut perasaan. Siapa sebenarnya yang ikut perasaan sekarang ?. Rakyat boleh jadi hakim dan memberikan jawapan tepat dalam soal ini.

Bagi pihak pembangkang pula menampakkan bokti bagaimana ‘ pemimpin ‘ UMNO mempunyai sikap ‘ kalau orang lain buat tak apa , tapi kalau aku jangan ! ‘. Dan inilah di antara SEBAB-SEBAB UTAMA kenapa rasuah tidak mahu TAMAT di negara Malaysia Boleh ini. Selagi ada kalangan ‘ manusia’ yang bersikap ‘ melenting ‘ apabila ditegur sikapnya atau perbuatannya, maka selagi itulah tindakan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran akan terhalang buat selama-lamanya !. Selagi itulah juga BPR akan dianggap oleh pencinta keadilan sebagai ‘ tidur ‘ serta tidak dihormati.

Apalah ditakutkan cara kerja BPR membuat siasatan, kalau kebenaran berada di pihak kita. Apalah gunanya meminta Pengarah Siasatan BPR ‘ dikeluarkan ‘ dari turut membuat siasatan, kalau dengan cara tindakan begitu semakin ‘ menampakkan ‘ kepada rakyat sikap ketakutan yang mungkin boleh dianggap oleh kebanyakan rakyat sebagai ‘ ada bokti bersalah ‘. Orang kata: Berani kerana benar, takut kerana salah. Tapi, janganlah tunjuk berani yang tidak tentu hujung pangkal dan melenting tak pasal-pasal kerana hendakkan dianggap sebagai orang ‘ berani ‘ pula.

Rakyat sekarang sedang memerhatikan gelagat Nazri. Dulu semasa berdebat dengan Salihudin Ayob (PAS) tentang isu SAR bukan main lagi macam ‘ pak lebai ‘. Nah , sekarang cubalah tunjuk sikap benar-benar seorang Pak Lebai yang mempunyai sifat-sifat lemah lembut dan berakhlak mulia. Jangan pula ambil perangai macam sebahagian buruh-buruh kasar kawasan pembinaan yang cepat melenting kerana tuan punya warung lambat menghidangkan secawan minuman untuknya, bagi tujuan membasahkan tekak kerana kepanasan bekerja sebentar tadi !.

Kalau Nazri hendak tunjuk ‘ kuasa ‘ rakyat juga boleh tunjuk kuasa kepadanya. Tapi, buat masa sekarang janganlah tunjuk garang kepada penjawat awam yang tugasnya untuk kepentingan awam. Kalau ditakdirkan ada tanda-tanda siapa bersalah, rakyat akan tunjuk kuasanya semasa pilihanraya nanti !.

Berilah segala kepercayaan kepada BPR untuk membuat penyiasatan dalam bidang tugasnya. Jangan ada ‘ sesiapa ‘ cuba hendak ambil alih atau masuk tumpang semangkok tugas BPR itu. Rakyat sudah bosan dengan tingkah laku pemimpin dulu ( PM Mahathir ) yang suka masuk campur dalam bidang tugas orang lain yang sudah diberikan amanah untuknya. Sampaikan kerja-kerja yang berada dalam bidang agama / mufti pun dia nak ambil alih juga !.

Rakyat Malaysia juga tidak mahu semua pegawai dan kakitangan BPR hanya ‘ tidur ‘ walaupun gendang perang dipalu berhampiran telinga mereka. Semata-mata takut dengan ‘ hentakan ‘ kaki seorang dua yang menjadi musuh rakyat jelata…..Kalau anda semua tidak bekerja dengan jujur dan menegakkan keadilan, siapakah lagi yang akan membentras rasuah yang semakin berleluasan dan tenat di negara ini . Jangan jadikan kenyataan jolokan setengah orang bahawa BPR itu maknanya ‘ Badan Pelindung Rasuah ‘.

Wallahu alam.

IMAM REFORMASI



___________________________
Terbitan : 12 Disember 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)