Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

KINI TIBA PULA GILIRAN BPR MENJADI BARUA UMNO

OLEH : MELI

Assalamulaikum wrt.wbh,
Saudara-saudara pembaca budiman.

Dua minggu kebelakangan ini, mulai 2 – 5 Disember 2003 [ bermulanya Persidangan DUN Terangganu membentangkan Budget 2004 ] dan sehingga ke hari ini 12.12.2003, isu rasuah dan peranan BPR menjadi tajuk utama di media-media di Malaysia dan menjadi perbualan hangat rakyat dari pelbagai golongan [ partisan dan non partisan ].

Pertama, isu rasuah ini mula-mula dibangkitkan oleh wakil BN ADUN Ajil, Rosol Wahid di DUN Terangganu dalam perbahasan budget 2004 mendakwa Yayasan Terangganu [YT] telah tidak mengikut procedure memberi tender kontrak balak bernilai RM1.5 juta di Merang, Setiu seluas 2,600 hektar kepada seorang gadis cina berusia 26 tahun yang berkerja sebagai kerani proksi kepada seorang taukeh cina bekas pemimpin DAP peringkat negeri.

Hari Rabu 3.12.2003 dibangkitkan di DUN, besok [hari Khamis, 4.12.2003] disiarkan di semua akhbar-akhbar dan BPR terus membuat siasatan di Pejabat Yayasan Terangganu dan Pengarahnya menyerahkan fail-fail yang terlibat untuk siasatan. Sekali lagi BPR menjalankan siasatan susulan pada 5.12.2003 di waktu malam. Dan pada hari Isnin, 8.12.2003, Ketua Pergerakanl Pemuda UMNO Terangganu, Din Adim atas arahan dan strategi Idris Jusuh membuat laporan kepada BPR. Semasa Pengarahnya bercakap [ selepas laporan dibuat ] kepada wartawan-wartawan akhbar yang beliau akan membuat siasatan segera di bawah Akta Anti Rasuah 1997.

Lihat saudara-saudara pembaca budiman begitu cepat BPR bertindak terhadap kerajaan pimpinan PAS di Terangganu [begitu juga kalau ada dakwaan di Kelantan ]. Tanpa berlengah-lengah berlari dengan pantas menyiasat, tetapi kalau laporan yang dibuat oleh PAS dan BA yang melibatkan kepentingan UMNO dan Pemimpin UMNO, sunyi sepi menikus .

Mengikut Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang [ bercakap kepada media selepas mesyuarat exco pada hari Rabu 10.12.2003 ] BPR bertindak tanpa menerima laporan rasmi [ sebab tidak sabar-sabar untuk menunjukkan taring yang mereka berkerja kepada kerajaan pimpinan Pak lah yang bersih dan menentang segala bentok rasuah, penyalahguna kuasa dan penyelewengan ]. Oleh itu, mereka perlu bertindak segera [ kerana bagi mereka kerajaan pimpiman UMNO tidak pernah dan tidak akan melakukan pelbagai bentok rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Mereka adalah wali-wali Allah di muka bumi Malaysia ini untuk memimpin rakyat Malaysia. Selagi ada matahari dan bulan, pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan melakukan kesalahan yang bersalah ialah pemimpin-pemimpin bukan dari kalangan pemimpim-pemipin UMNO ] tanpa perlu maklumat lanjut seperti kata Haji Hadi dalam sindiran yang tajam, berkata “ BPR terjun tanpa tangga “ setelah menerima arahan dari Kuala Lumpur.

Nilai tender RM1.5 juta ini tiada ada apa kepada pemimpim-pemimpin UMNO. Lekat celah gigi sahaja. Mereka tidak main dengan angka satu digit ini. Mereka bermain dengan angka 2 digit atau 3 digit malah kadang-kadang mencapai 4 digit. BPR tidak peduli pun kerana digitnya besar. Semacam kes Anwar Ibrahim yang tidak melibatkan sesen pun kewangan kena penjara 6 tahun, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat dengan duit berjuta-juta, lepas bebas.

Kedua, isu perang mulut di antara Dato’ Seri Mohd.Nazri Abdul Aziz dengan Pengarah Siasatan Datuk Nordin Ismail berhubung dakwaan Kementerian Pembangunan Usahawan meluluskan 6,000 lesen teksi kepada seorang individu. Dakwaan ini dibuat oleh Yusuf Tahir, Presiden PERTEKMA. Nazri marah kerana BPR lambat menyiasat dan memberi tempoh sehingga 31.12.2003 untuk melihat hasil siasatan tersebut. Nordin pula mendakwa menteri tidak mahu memberi kerjasama. Dato’ Azmi Khalid, Menteri Pembangunan Luar bandar juga turut tumbang sekaki mempertikaikan kelewatan BPR menyiasat penyelewengan yang berlaku di RISDA.

Kasihan BPR terhimpit dalam 3 keadaan, satu hendak disiasat cepat, satu lagi tidak mahu langsung disiasat dan arahan siasat segera seperti kes di Terangganu ini. Jadi apabila saya membaca artikel MGG.PILLAI siaran 9.12.2003, barulah saya faham rupa-rupanya selama ini BPR ini terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan peranannya bergantung kepada arahan Perdana Menteri. Sekiranya PMnya suka aktiviti-aktiviti bercurak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menyeleweng, maka pemimpin-pemimpin di bawahnya selamat, tetapi bila PMnya benci kepada gejala-gejala tidak bermoral ini, maka pemimpin-pemimpin di bawahnya tidak selamat.

Inilah yang berlaku pada ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein. Ada menteri yang dihukum kerana rasuah seperti Allahyaryam Dato’ Harun Idris, di hokum bunuh seperti Dato’ Mokhtar Hashim, disuruh berhenti dari jawatan menteri atau menteri besar atau dihantar menjadi duta atau bersara dari politik.

Tetapi pada zaman pemerintahan PM ke 4, rasuah berluasa, menyalahgunaan kuasa dan penyelewengan menjadi-jadi, Rafidah Aziz dituduh membahagikan saham kepada menantunya sendiri masih bergayut di kerusi menteri tanpa malu kepada diri sendiri, Rahim TC dituduh melakukan seks dengan seorang gadis, dengan seorang serani dan melakukan pelbagai salahlaku semasa memerintah Melaka masih lagi berangan-angan untuk memimpin sebuah Pertubuhan Pemuda Islam ASEAN. Khalil Yaakob masih tersengih di Kementerian Penerangan apabila kes skandal pembalakan diselongkarkan oleh Malaysiakini.com.

Dulu, Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPR dan pasokan polis telah menjadi “ barua “ UMNO, kini tiba pula giliran BPR menjadi “ barua “ baru UMNO [ sebenarnya telah lama berdasarkan respon BPR terhadap laporan-laporan rasuah, menyalahguna kuasa dan menyeleweng yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO tidak pernah mendapat perhatian serious dari BPR ], tetapi kini baru dapat mengesahan dari pegawai BPR sendiri melalui artikel MGG. Pllai tersebut.

Melalui tulisan ini saya akan senaraikan beberapa kes yang dibuat laporan polis dan BPR, tetapi tidak disiasat. Kes-kes ini ditujukan khas kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terangganu Din Adim dan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terangganu Idris Jusuh dengan harapan jangan ashik pandang ke celah kangkang sendiri, dongaklah ke langit lihat bintang-bintang bertaburan. Kalau asyik ke kangkang sendiri, nampak benda itulah sahaja.

Kes-kes yang dilaporan adalah seperti berikut:

1. Laporan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim pada 9.7.1999 [Jumaat] di Balai Polis Tun H.S Lee berkaitan kenduri saham oleh Rafidah Aziz yang ketika itu beliau sebagai Pengerusi Pembagian saham Bumiputra di MITI. Pendedahan kes ini mengakibatkan Ezam Mohd.Noor merengkok dalam penjara.

2. Laporan polis juga dibuat oleh Anwar Ibrahim pada 19.7.1997 [Isnin ] di balai Polis yang sama berhubung dengan skandal PERWAJA. Secara detail kes ini boleh dilihat dalam sebuah yang diterbitkan oleh saudara Baharudin Ismail. Dalam buku ini terkandung dokumen-dokumen penting dan maklumat berharga bagaimana skandal ini boleh berlaku.

3. Laporan Anwar juga di Balai Polis yang sama pada 30.7.1999 [Jumaat] berhubung dengan Tun Daim Zainuddin menerima RM600 juta daripada Tajudin Ramli, Halim Saad dan Wan Azmi.

4. Laporan Anwar juga berhubung perlakuan rasuah Rahim TC di Balai Polis[BP] yang sama pada 20.8.1999 [ Jumaat ].

5. Laporan Anwar juga pada 12.11.1999 di BP yang sama berhubung dengan skandal Projek Empangan Bakun yang melibatkan anak-anak KM Serawak, anak bekas PM ke 4 dan proksi orang-orang politik tertentu.

6. Laporan Anwar juga di Balai Polis Tun H.S. Lee Jalan Stadium pada 12.11.1999 [Jumaat] berhubung dengan akuan bersumpah Dato’ Shafei Yahya, bekas KP BPR yang mana Mahathir menghalang BPR mensiasat dan menutup kes bekas KP Unit Perancang Ekonomi, JPM Dato’ Ali Abdul Hassan Sulaiman [ yang kemudiannya dilantik sebagai Gabenor Bank Negara ].

Kes ini di buat laporan polis di seluruh Negara :

i. Mahfoz Omar buat laporan di Balai Polis Jalan Stadium, Alor Setar pada 15.6.2000.

ii. Tian Chua, Dr.Sanusi Osman dan Dr. Zulkifli Ahmad buat laporan di BP Dang Wangi pada pukul 3.51 petang pada 25.6.2000 dengan 310 tandatangan.

iii. Roslan Kassim di BP Seremban dengan 177 penyokong pada 7.7.2000.

iv. Saifudin Nasution di buat BP Jitra

[ Kes ini sama dengan kes tuduhan Anwar menghalang tugas polis dalam kes penyiasatan terhadap beliau yang membabitkan Umi Hamifida dan Azizan Abu Bakar]

7. Laporan polis oleh Ezam Mohd. Noor berhubung dengan Penswastaan Rumah Masak Tentera kepada Syarikat Desatera Sdn, Berhad kepunyaan Kamaluddin Abdullah.

8. Laporan polis oleh Jawatankuasa DAP mengenai JE FUND yang mengumpul sumbangan RM16 juta dan pembagiannya tidak mengikut peraturan dan orang yang tidak berhak, tetap menerima habuan masing-masing.

9. Laporan polis oleh Lim Kiat Siang pada 13.6.1997 berhubung kekayan melampau yang dimiliki oleh anak Dr. Ling Leong Sik, Ling Hee Leong. Kes mahkamah Dr.Ling V Soh Chee Wen [ bekas pemimpin MCA Selangor dan rakan perniagaan anak dan isteri Ling Leong Sik belum berakhir, tetapi beliau telah meletakkan jawatan menteri dan presiden MCA. Bagaimana kedudukan kes ini sekarang.

10. Kes kerugian dan salahurus MAS dan pembelian balik oleh kerajaan telah dibuat laporan polis pada 27.1.2001 di BP KLIA oleh Ezam Mohd.Noor. Mahfuz Omar dan Faisal Sanusi bersama-sama dengan 1,336 tandatangan.
ii. Roslan Kassim dan Ibrahim pada 17.2.2001 di BP Seremban.
iii. Nga Kor Miang melaporkan di BPR Ipoh, pegawai yang menerimanya ialah Abu Kasim Mohamad.

11. Laporan kes rasuah terhadap Dr.Khir Toyo, Menteri Besar Selangaor dibuat secara detail dan dilakukan penyelidikan secara teliti kepada BPR, di Putrajaya oleh Ahmad Lutfi Othman pada 23.10.2001. Sekali lagi pada 8.11.2003 setelah sumber dari BPR Putrajaya menyatakan lapaoran Lutfi pada 23.10.2001 hanyalah sebagai maklumat bukan aduan rasmi [ berlainan pula dengan kes di Terangganu, BPR bertindak pantas walaupun ia hanya dibekalkan dengan makluman bukan aduan rasmi ]. Sekali lagi pada 9.11.2001 di BPR Shah Alam kepada Penguasa Azni Yahya. Aduan tambahan pada hari Selasa 4.12.2003 jam 10.30 pagi berkaitan pembelian tapak banglo di lot no.14 jalan 2/1 G. Lagi laporan dibuat laporan polis dan BPR pada bulan mei 2002 terhadap salahurus pembelian kereta rasmi MB dan exco yang tidak mengikut peraturan.

12. Menteri Pembanguan Luar Bandar, Dato’ Azmi Khalid buat laporan polis dan BPR pada 21.11.2001 penyelewengan peruntukan PPRT sebanyak RM40 Juta. Projek penetasan ayam di gading Galoh, Kok Lanas RM20 juta. Projek ternakan ikan hiasan dan tanaman orkid di bukit Sireh, Kuala Krai RM15 juta, projek ayam telor di Gading, Galoh RM5.69 Juta dan pilihanraya 1999.

13. Laporan polis untuk menyiasat bangunan yang didirikan dengan mengunakan duit kerajaan di atas tanah lot 1431 mukim Bukit Kampung Chengal Daerah Kadak atas nama Annuar bin Musa no.kp; 4978615.

14. Laporan polis atas penyelewengan wang ihsan pada 19.12.2001 oleh Abd.manaf Ahmad dari Kg Peris Ajil [ mewakili 20 orang yang berhak ] di BP Kuala Brang.

15. Laporan polis oleh Fauzi Abdul Rahman terhadap Khalili Yaakob pada 28.3.2001 penyelewengan balak dan politik wang.

16. Penyusunan semula TimeDotCom dan disenarai di BSKL, sahamnya tidak dilanggani menyebabkan ia mengalami kerugian. Penanggung utama tidak mahu menanggung kerugian tersebut [ seperti yang dijanjian ], kerajaan terpaksa masuk campur dengan mengunakan duit KWSP, KWAP dan Dana Harta bagi membeli saham yang tidak dilanggani itu. Perkara ini dilaporakan oleh akhbar The Sun pada 12.3.2001. Berasakan laporan The Sun, Lim Kiat Siang membuat laporan polis untuk menyiasat penyusunan semula itu di BP Tun H.S Lee, Jalan Stadium. Ini bersamaan dengan kes Ezam Mohd.Noor yang mana pada 14.3.2001, Mingguan Malaysia melaporkan yang Ezam akan megerakkan rakyat seluruh Negara untuk mengadakan demontrasi. Laporan ini digunakan oleh Zulkifli Alwi [ agen pemuda UMNO ] dan Yusri pemberita yang terlibat dalam melaporkan berita itu terus membuat laporan polis dan Ezam ditangkap pada malam raya haji dan disoalsiat serta didakwa di bawah akta hasutan di mahkamah.

17. Laporan polis dan BPR mengenai sekumpulan pegawai atasan PUNB yang memasarkan bon bernilai 19.0 Billion [ USR5 B] di pasaran kewangan London, siapa yang terlibat.

18. Laporan polis dan BPR oleh Lim Jak Wong [ ADUN Bachang], Sim Tong Him [ADUN Bandar Hilir] dan Goh Liong San [ADUN Tenggara] pada 12.5.2001 mengenai 157 tuntutan T&T yang bernilai RM168,099.00. Ini bukan tugas rasmi, sebaliknya tugas parti berkempen di Lunas 1,500 KM 4 hari berturut dan urusan peribadi seperti merai bakal-bakal haji dan menghadiri majlis perkahwinan yang dilakukan oleh 18 orang BN termasuk Ali Rustam KM Melaka.

19. Laporan polis dan BPR oleh Mazlan Aliman dan exco pemuda PAS Johor terhadap Ketua Pegawai Eksekutif, Zainal Abidin Osman yang juga merupakan ADUN Endau berhubung salahurus kewangan KPYPJ pada 6.8.2002 di BP Central JB.

Saudara-saudara pembaca budiman begitulah sedikit sebanyak yang boleh saya senaraikan perlakuan rasuah dan menyalahgunaan kuasa yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, tetapi polis dan BPR tidak bertindak sepertimana yang mereka tunjukkan di Terangganu itu. Jadi masalah rasuah ini akan terus merebak sebagai api dalam sekam akan merosakkan system pentadbiran. Laungan untuk membasmi rasuah dan menyalahgunaan kuasa hanyalah sekadar penyedap telinga mendengarnya.

Semua institusi di Malaysia kini sudah hilang kredibiliti dan kebebasan. Keadilan sukar untuk ditegakkan kerana semua institusi [kehakiman, Jabatan Peguam Negara, polis, BPR dan SPR telah menjadi “ barua ‘ UMNO. Barua di sini bermaksud seperti maksud kamus DBP ialah seseorang yang menjalankan tugas atau kerja bagi pihak orang lain. Bila disuruh sahaja orang itu terus melakukannya tanpa memikirkan baik-buruk tugas yang diberikan itu. Boleh juga dikatakan sebagai tali barut. Di sebelah utara bahasa barua bermaksud hamba.

Kita perlu mengingatkan UMNO, bila bertindak perlulah berlaku adil tanpa memilih bulu. Yang salah tetap bersalah. Rakyat Malaysia kini bukan lagi rakyat 50an, 60an atau 80an, tetapi rakyat kini terdedah dengan pelbagai maklumat dan rakyat semakin hari semakin celik. Rakyat yang berpendidikan semakin bertambah sebab itu walaubagaimana hebat pun media-media membuat propaganda siang malam dan pelbagai langkah diambil untuk melemahkan pembangkang, namun usaha-usaha tersebut gagal dan belum menyakinkan UMNO untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini.

Sekali lagi kita merayu kepada UMNO yang memerintah supaya berlaku adillah kepada semua pihak. Kita takut teori politik akan berlaku seperti berikut,: “ Apabila ahli-ahli sesebuah pertubuhan itu dikawal terlalu ketat dan ada tindakan-tindakan yang dianggap tidak adil berlaku,maka mereka merasa kebebasan mereka untuk bersuara pun sudah dirampas, akan lahir di kalangan mereka orang yang akan memberontak. Ini satu fenomina yang biasa terjadi dalam sejarah ketamadunan manusia “ dan kita berharap perkara ini tidak berlaku di Malaysia yang kita sama-sama cintai ini.

Sekian, dulu kali ini di lain kesempatan Insya Allah kita bertemu lagi.
Wassalam.



___________________________
Terbitan : 19 Disember 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)