Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Beruntungnya rakyat Kelantan, Terengganu dijaga BPR, dipantau media

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Apabila Badan Pencegah Rasuah bertindak tangkas menyiasat desas-desus berlakunya rasuah dalam pentadbiran kerajaan Terengganu ketika meluluskan permohonan kawasan balak membabitkan gadis berumur 26 tahun, Menteri Besar Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyambut baik sikap pro-aktif BPR itu.

Selama ini BPR dikritik, malah pernah dikecam seorang menteri, ekoran kelembapannya menyelesaikan kes korupsi yang dilaporkan. Tiba-tiba saja BPR nampak agresif meskipun dikatakan kes berkenaan belum pun diadu secara rasmi. Khabarnya, banyak kes yang memakan masa cukup lama sebelum saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Ia mengingatkan saya apabila membuat laporan kes rasuah seorang menteri besar, 23 Oktober 2001. Beberapa hari selepas itu, sumber ibu pejabat BPR memaklumkan kepada sebuah akhbar bahawa saya sebenarnya belum membuat aduan rasmi, hanya sekadar memberi maklumat, dan oleh itu BPR tidak terikat untuk menjalankan siasatan lanjut.

Seminggu kemudian, saya terpaksa pergi sekali lagi ke Putrajaya untuk membuat “aduan rasmi”. Tidak perlulah saya jelaskan bagaimana pula sikap media ke atas laporan saya itu.

Mingguan Malaysia memberi ruang hampir dua muka kepada MB berkenaan untuk menyanggah dakwaan saya, manakala RTM menyediakan slot wawancara khas untuknya menjawab sebahagian isu yang saya bangkitkan. Episod seterusnya sudah menjadi sejarah.

Ada pihak menyatakan kerajaan negeri yang dipimpin PAS juga tidak terkecuali dari dijangkiti barah rasuah. Kes balak di Terengganu itu dijadikan bukti walaupun ia masih dalam proses siasatan. “Kalau dua-dua sama, baik Umno mahupun PAS, lebih baik kami pangkah BN dalam pilihanraya akan datang,” kata mereka.

Kepada mereka, saya berhujah, seharusnya kes tersebut mengukuhkan lagi sokongan dan dokongan mereka terhadap PAS. Malah rakyat Kelantan dan Terengganu beruntung besar kerana diperintah oleh sebuah parti yang pada peringkat nasional masih bertaraf pembangkang.

Pentadbiran yang bersih, anti-rasuah dan telus bermula dengan pemilihan individu pemimpin yang benar-benar amanah dan bertanggungjawab. Bagaimanapun, seseorang tokoh yang baik itu mungkin cenderung untuk melakukan sesuatu yang menguntungkan diri sendiri jika tidak dikawal dengan sistem yang berkesan.

Kelompok pemimpin ini mesti dipantau dan jika mereka terjebak dengan kesalahan rasuah misalnya, mereka mudah untuk didakwa. Tapi, apa yang berlaku hari ini, rekod kesalahan rasuah itu selalunya dijadikan bahan tawar-menawar untuk pemimpin atasan mendapatkan ketaatan sepenuhnya daripada mereka. Jika tidak dapat ditutup lagi kesalahan itu kerana sudah terdedah kepada umum, mereka hanya diminta meletakkan jawatan.

Namun senario itu cuma berlaku di negeri-negeri yang dikuasai BN. Cuba kita andaikan pemimpin pembangkang yang menguasai Kelantan dan Terengganu melakukan kesalahan sama. BPR bukan saja cepat-cepat menjalankan siasatan dan memberi keutamaan kepadanya (kerana diasak oleh pihak lebih atas), Jabatan Peguam Negara pula akan bertindak segera jika ada keterangan mencukupi untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam pada itu, akhbar-akhbar harian dan stesen TV pula berebut-rebut untuk mendedahkan “kesalahan” mereka. Soal memberi ruang untuk mereka mempertahankan diri melalui media tidak timbul sama sekali. Yang diinterbiu dan dijadikan berita utama hanya seteru politik.

Maka media nampak menjalankan fungsi yang selama ini disorok, iaitu sebagai institusi bebas mewakili kepentingan rakyat untuk menolak pemimpin korap! (Sebab itu kemiskinan di Terengganu hanya terbongkar bila BN kalah!)

Tapi ingat, fenomena itu hanya berlaku di negeri-negeri yang dikuasai parti yang pada peringkat nasional masih bertaraf pembangkang. Justeru, rakyat negeri berkenaan tidak perlu risau segala khazanah kekayaan negeri hanya diagih di kalangan elit penguasa kerana tindakan pemimpin sentiasa diintip kanta pembesar.

Jika pemimpin di negeri pembangkang menyeleweng, segala institusi kerajaan pusat dikerah untuk “memberkasnya”, dan media pula habis-habisan melakukan “penyiasatan” untuk membongkarnya. Oleh itu, rakyat beruntung kerana negeri mereka benar-benar “dijaga”.

Sedangkan di negeri yang dikuasai BN, walaupun MB dan anggota Exconya setiap minggu “berkenduri sakan” mengagihkan hasil “rompakan di siang hari”, rakyat pasti tidak mengetahuinya. Kalau pun ada aduan dibuat, ia mungkin dibakul-sampahkan atau fail siasatan hanya dijadikan bahan ugutan untuk mendapatkan kesetiaan. Jangan pelik, jika ada tuduhan terbuka, media pula memberi ruang untuk pemimpin “membersihkan diri”.

Kepada teman-teman di Kelantan dan Terengganu, selain diperintah ulamak, saya cemburukan unsur ketelusan yang tinggi di negeri anda, dan apakah mimpi saya untuk melihatnya di Kedah akan menjadi kenyataan nanti?



___________________________
Terbitan : 30 Disember 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)