Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

DAERAH SEREMBAN / LUAK SUNGAI UJUNG

DAERAH SEREMBAN / LUAK SUNGAI UJUNG

 

MENGENALI KELUARGA ULAMA TERBILANG

 

  1. Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris ( 1814– 1887 )
  2. Sheikh Haji Muhamad Said  Jamaluddin ( 1875 – 1926 )
  3. Sheikh Haji Abdullah Haji Muhamad Said ( 1905 – 1956 )
  4. Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said ( 1912 – 1964 )

 

Pengenalan

 

Mereka adalah keluarga orang-orang alim yang dikenali oleh rakyat negeri ini. Keturunan mereka yang masih menjawat tugas keagamaan yang utama seperti Sahibul Samahah Dato’ Mufti Negeri Sembilan, Sheikh Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad dan  adiknya pula iaitu Sheikh Faiz adalah Khalifah Tarekat Ahmadiah sekarang.

 

1.         Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris ( 1814– 1887 )

 

Dalam tahun hijrah 1231 bersamaan tahun masihi 1814[1], lahirlah seorang anak lelaki yang kemudiannya terkenal dengan nama Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Sesetengah orang memanggilnya Sheikh Indin, nasab keturunan sebelah bapanya sampai kepada Daeng Kemboja anak Raja Bugis yang bermukim di Linggi ( sebelum itu dikenali Kuala Penagim). Dianggarkan Daeng kemboja berada di Linggi antara tahun 1753 – 1759 kerana menempatkan angkatan tenteranya untuk menyerang penjajah Belanda di Melaka.

 

Bapanya Haji Idris anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaludin bin Awaludin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang hampir separuh umurnya berada di  tanah suci mekah Al Mukarramah kerana menuntut ilmu. Haji Idris dikatakan keturunan Minangkabau- Bugis – Linggi. Isteri Khatib bernama Zalikha anak kepada pembesar Kampung Semabuk, Minangkabau. Awaludin pula dikatakan sebagai peneroka Daerah Linggi ( 1783) Negeri Sembilan. Suami Hajah Rahimah iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Sheikh Muhamad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah berasal dari Hadramaut, bertali pula sampai kepada Saidina Abdullah bin Abas, sepupu Rasulullah s.a.w.

 

Sheikh Jamaludin dibawa bapanya ke Mekah dan mengaji di sana. Beliau diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram. Di tanah suci itu juga beliau berkahwin dengan Hajah Safiah binti Haji Mohd Saleh. Isterinya dikatakan seorang Qurra’ yang baik bacaannya dan pernah menjadi guru Qira’at al Quran di Mekah.[2] Sheikh Jamaludin balik ke tanahair dalam masa pemerintahan Dato’ Luak Kelana Sendeng dalam tahun 1850 – 1872. Dalam zaman Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman dalam tahun 1872 – 1881 berbagai peristiwa berlaku dalam politik negeri dan permasalahan agama. Dalam tahun 1880 Lukut telah diserahkan semula oleh Selangor. Kepercayaan khurafat dan tahyul juga begitu menebal di kalangan masyarakat setempat.

 

Sheikh Jamaludin yang berpegang teguh dalam hukum agama dan berani menyampaikan dakwahnya walaupun kadangkala bertentangan dengan Dato’ Kelana. Satu tindakan bijaknya ialah membenteras buta huruf dalam masyarakat. Melalui tindakan ini ramailah penduduk yang boleh membaca dan menulis jawi serta memudahkan pengajian agama disampaikan. Pendidikan agama yang dititik beratkan terlebih dahulu ialah pelajaran fardhu ain.

 

Antara murid-murid yang alim hasil dari tarbiah secara langsung dari tokoh ini ialah  anaknya sendiri Sheikh Haji Muhamad Said, anak saudaranya Lebai Abbas Zakaria dan Haji Mustaffa Haji Ahmad. Orang alim ini kembali ke Rahmatullah dalam tahun 1304 Hijrah kira-kira tahun 1887 Masihi ketika berusia 73 tahun. Beliau dimakamkan di Linggi.

 

2.         Sheikh Haji Muhamad Said  Jamaluddin ( 1875 – 1926 ) [3]

 

Nama penuhnya Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin bin Syeikh  Muhammad Said Al Linqi Al Jawi. Mungkin kerana keturunan sebelah ayahnya bersusur galur dengan Daeng Kemboja anak Bugis yang bermukim di Linggi ( Kuala Penagim ketika itu) tahun 1953 – 1759 kerana menyiapkan bala tenteranya untuk menyerang penjajah Belanda di Melaka. Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama’ Sheikh Abdul Rashid Al Fatani.

 

Tempat Lahir

 

Allahyarham ini dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Shaab Ali atau disebut juga Syi’b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871( kiraan penyusun) tetapi catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875. kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Muhamad Said dipelihara oleh ibu dan neneknya ( Mariam).

 

Pendidikan

 

Tokoh yang kita bicarakan ini memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Ibunya adalah pendidik awal kepada Muhamad Said hingga berjaya membentuk jiwanya berkeperibadian luhur dan mulia. Selepas itu dia mula berguru dengan beberapa ulama’ di Patani seperti Sheikh Zainal Abidin Muhamad ( Tuan Minal), Haji Awang @ Dato’ Semela, Dato’ Nahu dan Sheikh Muhamad Nuh dari Kedah. Kecerdasan dan ketekunannya menuntut ilmu begitu terselah.

 

Belayar Ke Mekah

 

Diriwayatkan apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al Mukarramah tempat ianya dilahirkan. Di Mekah, Muhamad Said menuntut ilmu agama kepada lebih 50 orang guru. Antara guru-gurunya ialah Sheikh Muhamad Sulaiman, Hasbullah al Maliki, Muhamad Nawawi al Batani dan ramai lagi. Beliau juga sempat berguru dengan Sheikh Jafar al Barzanji di Madinah. Ketika di Al Azhar pula, beliau mengaji dengan Sheikhul Azhar ketika itu Sheikh Al Ambabei ( Shamsudin Al Anbani) dan Sheikh Ahmad Al Rifa’i Al Maliki dalam tahun 1896.

 

Sekembalinya beliau ke Mekah, dia telah belajar tarekat dengan Sheikh Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi dan mendapat ijazah Tarekat Ahmadiah pada tahun 1318 Hijrah ( 1901).[4] Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.

 

Balik Ke Tanahair

 

Terdapat perbezaan tarikh jangkaan beliau balik ke tanahair. Dalam catatan Ismail Che Daud dinyatakan beliau kembali sekitar tahuyn 1902/ 1320 H. Bagi Nawawi Hj Indek pula pada tahun 1900 sewaktu ia berusia 27 tahun. Beliau telah menetap di Ampangan, Seremban dan mula mengajar agama serta menyibarkan tarekat Ahmadiah. Sheikh Haji Muhamad Said adalah khalifah atau wakil peribadi Sheikh Muhamad Al Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi.

 

Dalam menjalankan kerja dakwah dan mengajar agama kepada anak bangsanya, beliau terpaksa menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai daie. Apatah lagi suasana negeri terjajah dan serba mundur menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan khasnya ilmu agama amat terbatas. Kedudukan kawasan penempatan yang sukar dihubungi, jauh dan tiada tokoh-tokoh agama memimpin akan menyebabkan budaya khurafat, bidaah dan adat-adat menyalahi syariat begitu berleluasa. Kita amat bersyukur apabila ada ulama’ tampil membawa suluh menerangi suasana yang membelenggu ummah. Jesteru itu, ramai kalangan orang-orang alim waktu itu membuka kelas pengajian agama atau membina pondok-pondok untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu pengetahuan.

 

Tugas membenteras buta huruf ini telah dilaksanakan oleh bapanya Sheikh Jamaluddin Haji Idris dan Muhamad Said turut mengikuti jejak langkah tersebut. Beliau juga merantau banyak tempat seperti di Indo China, Siam, Kedah, Pahang, Singapura dan Kelantan dalam kegiatan dakwah serta menyibarkan tarekat Ahmadiahnya.

 

Kegemparan

 

Di Kelantan dalam tahun 1905, berlaku kegemparan kalangan rakyat negeri lantaran pembawaan Tarekat Ahmadiah cara Sheikh Muhamad Said. Kaedah zikir tarekatnya boleh menimbulkan keasyikan atau seakan mabuk. Ramai ulama’ tempatan menentang gaya ini.[5] Ekoran dari kegemparan ini Sultan Kelantan ketika itu telah menulis surat bertarikh 12 November 1905 kepada tokoh ulama’ Kelantan yang bermukim di Mekah iaitu Wan Ahmad Haji Wan Din ( Wan Muhamad Zainal Abidin) untuk mendapat penjelasan atas kegemparan tersebut.

 

Perkahwinan

 

Sheikh Muhamad Said ketika di Kelantan menetap di rumah mertuanya Haji Awang Alim di Kota Bharu. Beliau berkahwin dengan Hajah Safiah Haji Awang semasa di Mekah lagi. Menurut riwayatnya, Sheikh Muhamad Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai anak seramai 32 orang. Zuriatnya ramai menjadi tokoh-tokoh agama yang disegani sehingga sekarang.

 

Kewarakan

 

Umum telah mengetahui bahawa tokoh ini amat warak dan dianggap sebagai wali Allah lantaran beberapa kelebihan semasa hidupnya. Orangnya berkeperibadian sederhana, zuhud, kuat beribadah dan suka menolong orang susah. Dikatakan Almarhum Tuanku Muhamad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ( 1888 – 1933 ) dan Dato’ Kelana Ma’mur ( 1889 – 1945 ) sangat menghormati dan mengasihi Sheikh ini. Malah pernah ditawarkan jawatan kadhi tetapi beliau menolaknya. Semasa hayatnya, ulama’ terbilang ini kerap menjadi rujukan dalam permasalahan agama. Beliau juga banyak meninggalkan hasil tangan berupa kitab-kitab seperti berikut:

 

1.      Syarh Kunuz al Jawahir al Nuraniyat Fi Qawaid al Tariqat al Shadhiliyah ( 1905).

2.      Al Ahzab al ‘Irfaniyyat Wa al Awrad al Nuraniyah ( 1905).

3.      Kashf al Ghiba an Haqiqat al iba.

4.      Risalah Fath.

5.      Sullam al Ta’rif ila ‘llm al Tasrif.

6.      Manuskrip Syair Arab, berkaitan kupasan tentang permasalahan golongan Wahabi.

 

Meninggal Dunia

 

Pada 12 R’awal 1345 bersamaan 20 September 1926, Ulama’ terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya dihantar ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh ribuan anak muridnya termasuk Almarhum Tuanku Muhamad sendiri. Kehadirannya di alam maya ini begitu dirasai sehinggakan nama tubuhnya masih diingati oleh rakyat negeri ini.

 

  1. Sheikh Haji Abdullah Haji Muhamad Said ( 1905 – 1956 )[6]

 

Beliau adalah antara anak-anak Sheikh Haji Muhamad Said menjadi khalifah Tarekat Ahmadiah dan alim selepas bapanya. Dilahirkan pada tanggal 1905 di rumah kaum kerabatnya di Jalan Melayu, Kuala Lumpur ( mungkin di kawasan perniagaan terkenal sekitar Masjid India sekarang). Ibunya orang Rembau bernama Siti Zubaidah Haji Said. Masa kecilnya beliau tinggal di Bukit Tembok, Seremban dan bersekolah di Sekolah Melayu Temiang dan meneruskan pendidikan agama dengan bapanya sendiri selama 12 tahun. Sheikh ini telah menerima Khalifah Tarekat dari bapanya.

 

Allahyarham menunaikan haji dalam tahun 1930. Beliau sempat berguru dengan Sidi Abu Abbas bin Sidi Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi yang terkenal itu. Apabila balik ke tanahair, beliau mula mengajar agama dengan membuka pondok. Anak-anak muridnya yang tinggal di pondok dalam satu masa dianggarkan 70 orang, mereka datang dari serata negeri ini dan juga dari Selangor. Di samping itu, beliau turut aktif mengajar di masjid-masjid dan suraunya di Ampangan. Tuan Haji Muhamad Mustaffa yang turut disentuh dalam senarai ulama’ negeri ini adalah sahabat karib Sheikh ini.

 

Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Agong Pertama itu turut berguru dengan Sheikh Haji Abdullah. Jesteru itu kita melihat dalam era pemerintahan baginda, kecenderungan untuk menghayati agama begitu menonjol misalnya baginda perkenan menjadikan Balai Istana Seri Menanti dijadikan tempat perbahasan agama di antara Maulana Lebai Maadah bin Layang dengan Tuan Haji Muhamad Mustaffa ( kedua tokoh ini turut dirakamkan  dalam koleksi ini)  dan majlis itu dipengerusikan oleh Tengku Burhanuddin kerabat Diraja ketika itu. Baginda juga dilaporkan turut membiayai penubuhan Madrasah Aliah Islamiah Kuala Pilah yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah.

 

Tuanku Abdul Rahman telah memberi tauliah mengajar agama dan membawa tarekat Ahmadiah kepadanya. Miskipun begitu, beliau telah menolak sebarang jawatan agama yang ditawarkan kepadanya. Allahyarham sangat dihormati oleh masyarakat dan sebagai pemimpin tarekat yang sholeh dan berbudi luhor. Beliau suka berterus terang dalam menyampaikan dakwah dan ikhlas menolong orang-orang yang susah. Dikatakan bila ada orang-orang yang suka melakukan perkara-perkara yang mungkar, beliau akan memberi nasihat dan teguran supaya mereka bertaubat.

 

Allahyarham Sheikh Haji Abdullah meninggal ketika usianya 51 tahun dalam tahun 1956. kehilangannya begitu dirasai oleh penduduk negeri ini kerana dikatakan ia dianggap pakar rujuk dan doa-doanya kerap kali pula diperkenan oleh Allah SWT.

 

4.         Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said ( 1912 – 1964 )

 

Sheikh Haji Ahmad adalah adik kepada Sheikh Haji Abdullah. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 7 April 1910 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1964.[7] tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk “ Tokoh – Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 236, tarikh lahir ulama’ ini ialah 6 April 1910. Haji Ahmad menjadi Khalifah Kedua selepas Haji Abdullah.

 

Pendidikan

 

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau dilaporkan menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun. Kalau mengikut tempoh ke Mekah itu, memberi gambaran bahawa beliau lebih dahulu menunaikan haji dan melanjutkan pengajianya berbanding Haji Abdullah.

 

Di Mekah, Haji Ahmad berguru dengan beberapa ulama’ terkenal seperti Sheikh Ali Al Maliki, Sheikh Abd Sattar Al Kutubi, Sheikh Said Al Yamani dan Sheikh Abdul Hai Al Kattani. Beliau seorang penuntut yang sangat tekun belajar dan dikasihi guru-gurunya. Sebagai tanda kecemerlangan beliau, guru-gurunya telah memberi Akuan ( Ijazah) kepada Haji Ahmad ini. Sekembalinya ke tanahair beliau mendirikan madrasah yang dinamakan As Saidiah di Rasah.

 

Lantikan Sebagai Mufti

 

Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ditubuhkan, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan yang pertama dan selalu diutamakan dalam majlis-majlis rasmi negara yang diadakan di Istana Negara Negara Kuala Lumpur, ini mungkin kerana Yang Dipertuan Agong Pertama ketika itu ialah dari Negeri Sembilan. Tambahan pula Tuanku Abdul Rahman amat rapat dengan keluarga Sheikh ini.

 

Atas khidmat cemerlangnya, Negara telah mengurniakan bintang Ahli Mangku Negara dan negeri pula mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian kepada Allahyarham.

 

Hasil Karangan

 

Difahamkan Sheikh Haji Ahmad banyak mengarang buku-buku dan risalah keagamaan. Antaranya ialah kitab Tuhfatul Autan, Safinatul Salamah, Kaifiat Sholat Tarawih, Al Kaulul Wafi, Firaidul Maksir, Kanzul Muiz, wirid-wirid tarekat Ahmadiah dan teks khutbah untuk masjid-masjid negeri ini.

 

 Meninggal Dunia

 

Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang ( Selasa), Haji Ahmad ini menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Beliau dikebumikan di samping makam bapanya dalam usia 52 tahun. Beliau telah meninggalkan beberapa anak turut berjasa kepada agama seperti Mufti Dato’ Mufti Negeri Sembilan, Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad dan  Sheikh Faiz pemegang Khalifah Tarekat Ahmadiah sekarang.

 

5.         LEBAI ABBAS ZAKARIA ( 1862 – 1926 )

 

Pengenalan

 

Lebai ini dilahirkan dalam tahun 1862 ( 1279H) dari keturunan Dato’ Muda Linggi. Orangnya dikatakan bijak dan mudah menerima pelajaran. Nama penuhnya ialah Abbas bin Zakaria. Dia belajar agama dengan Tuan Sheikh Haji Jamaluddin Haji Idris dan juga dengan anaknya Sheikh Muhamad Said. Walaupun, Lebai lebih tua dari Sheikh Muhamad Said tetapi itu tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu. Allahyarham Lebai Abbas  juga tidak segan mendapatkan ilmu dari Haji Mustaffa Haji Ahmad yang telah ke Mekah menuntut ilmu selama 23 tahun.

 

Membuka Sekolah

 

Lebai Abbas sebelum itu dikenali sebagai Cikgu Abbas kerana dia telah membuka Sekolah Melayu Linggi dalam tahun 1880an, sekolah ini dikelolakan sepenuhnya oleh orang ramai ketika itu. Dalam menguruskan sekolah, beliau juga mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh ulama’ sekampungnya. Akhirnya, Lebai Abbas menjadi alim dan sempat mengajar agama pula di beberapa buah masjid dan surau dalam Luak Sungai Ujung.

 

Meninggal Dunia

 

Lebai Abbas meninggal dunia ketika usianya 64 tahun dalam bulan Disember 1926 bersamaan J’akhir 1345. Nama beliau masih disebut orang lantaran jasanya dalam memberi pendidikan dan dakwah kepada masyarakat. Semoga Allah SWT jua memberi rahmat dan kedudukan yang baik ke atas ruhnya. Amin.

 

6.         HAJI MUSTAFA HAJI AHMAD ( 1866 – 1927 )

 

Ulama’ ini adalah anak jati Luak Sungai Ujung yang terbilang dalam dakwah Islamiah di akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau dilahirkan di Linggi dalam tahun 1866( 1283H) dan sejak kecilnya telah menunjukkan kecerdasan akalnya. Nama penuhnya ialah Mustafa bin Haji Ahmad.

 

Mengaji Di Mekah

 

Haji Mustafa belayar ke Mekah Al Mukarramah dan mengaji selama 23 tahun. Oleh kerana datuknya seorang yang berada iaitu Dato’ Muda Linggi Haji Mohd Peral maka segala perbelanjaannya di sana ditanggung penuh oleh datuknya. Peluang di sana tidak disia-siakan olehnya, beliau benar-benar menimba ilmu dan akhirnya diibaratkan sebagai lubuk ilmu apabila pulang ke tanahair.

 

Berjalan kaki

 

Diriwayatkan ulama’ ini sanggup berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk mengajar agama dan berdakwah. Perhubungan jalan raya yang sukar dan kekurangan kenderaan waktu itu tidak melemahkan jihadnya untuk mengimarahkan ilmu di dada.  Banyaklah masjid dan surau-surau yang menjadi madrasahnya menyampaikan ilmu dalam negeri ini. Mungkin jodohnya  apabila berdakwah di Johol, beliau berkahwin dengan anak seorang ulama’ tempatan yang juga terkenal iaitu Haji Abdul Majid Haji Ibrahim. Beliau dianugerahkan dua orang cahaya mata. Seorang anaknya telah mewarisi jejaknya menjadi pendakwah dan pernah belajar agama di India.[8]

 

Penyusun buku Alim Ulama’ Negeri Sembilan, Nawawi Haji Indek  melapurkan bahawa beliau pernah melihat sendiri lebih 500 buah kitab yang pernah digunakan oleh Ulama’ ini ketika hidupnya.

 

Kembali Ke Rahmatullah

 

Allahyarham Haji Mustafa meninggal dunia dalam bulan Febuari 1927 bersamaan tahun Rajab 1345 Hijrah. Nawawi Haji Indek  sempat merakamkan dalam bukunya, Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said telah menyatakan kesedihan dan kepiluan hatinya apabila mengenang kembalinya tiga ulama’ dalam awal abad ke 20 itu dalam madahnya ( terjemahan dari Bahasa Arab) :

 

Sesungguhnya telah hilanglah fikiran dalam peringatan

Ketika didengar kehilangan tiga orang pahlawan handalan

Mulanya yang dikasihi Tuhan, ayahanda kami yang bersih ditimpa

Dan bapa saudara kami Abbas dan kemudiannya Mustaffa

Berpindah mereka ke dalam rahmat yang bercucuran

Bertempat mereka di dalam syurga yang berkekalan.

 

 

7.         Tuan Guru  Haji Ali Siliau

 

(akan dikemaskinikan)

 



[1] Dalam  buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk “ Tokoh – Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1) – 2001. Dicatitkan tarikh dihidup beliau pada 1835-1888 manakala  catatan buku Nawawi Haji Indek ialah 1814 .

 

[2] Lihat buku Nawawi Haji Indek ( 1971)  Alim Ulama’ Negeri Sembilan ,halaman 10 dan buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk “ Tokoh – Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 231.

[3] Rujuk buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk “ Tokoh – Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1) – 2001 secara terperinci.

[4] Ismail Che Daud.

[5] Sila baca buku Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu, halaman 229.

[6] Lihat buku Nawawi Haji Indek ( 1971)  Alim Ulama’ Negeri Sembilan ,halaman 24.

[7] Catatan Nawawi Haji Indek.

[8] Tiada maklumat terperinci mengenai anaknya ini.





___________________________
Terbitan : 14 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)