Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pemimpin yang tidak mementingkan diri.

Dalam catatan sejarah Islam yang masyhur dan selalu disebut ialah bagaimana Rasulullah s.a.w menawarkan dirinya untuk mencari kayu api, apabila para sahabat lain telahpun mempunyai tugas masing-masing. ‘ Tawaran ‘ yang diberikan baginda itu mempunyai berbagai ‘ tafsiran ‘ yang boleh dijadikan sebagai contoh tauladan oleh para pemimpin dari peringkat keluarga, masyarakat seterusnya peringkat negara.

Dari ‘ sikap ‘ baginda itu juga para pengikut satu-satu kelompok masyarakat boleh mendapatkan ‘ kayu ukuran ‘ bagaimana peribadi seseorang yang perlu dijadikan ketua atau pemimpin dan perlu pula ‘ dipatuhi ‘ segala arahannya. Malangnya, ramai kebanyakan kalangan kelompok masyarakat kini mengambil ‘ kayu ukuran ‘ yang lain. Kerana itu tidak hairanlah mereka mudah terpedaya dengan sikap ‘ luaran ‘ ketua atau pemimpin yang sengaja ‘ diada-adakan ‘ bagi tujuan menutup mata para pengikut dari keadaan peribadi sebenar.

Ramai berpendapat, sikap yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.w itu menunjukkan betapa perlunya seorang pemimpin mengenepikan kepentingan serta kedudukan pangkat dirinya , demi kekuatan dan perpaduan jamaah / kumpulan . Kerana jika dilihat dari segi kedudukan pangkat, baginda Rasulllah s.w adalah seorang pemimpin tertinggi bukan sahaja dari sudut ‘ agama ‘ malah dari sudut lainnya. Apa tidaknya, kalau dalam peperangan bagindalah sebagai panglima duduk di barisan hadapan, kalau dalam perbincangan jamaah bagindalah sebagai pengerusi mesyuarat, kalau dalam perselisihan dan masalah berbangkit bagindalah sebagai hakim dan dalam kekeluargaan pula baginda juga sebagai suami serta ketua keluarga.

Ada juga mereka yang membuat ‘ tafsiran ‘ sikap ditunjukkan baginda tadi merupakan suatu suntikan galakan kepada para pengikut, supaya setiap anggota jamaah / kumpulan perlu memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing sekalipun sumbangannya kelihatan seperti remeh dan sedikit . Dalan satu jamaah / kumpulan yang kukuh dan padu, tidak perlu ada ‘ pengarah ‘ yang hanya pandai mengarah sahaja tetapi tidak mahu menunjukkan contoh kerja. Jamaah/ kumpulan yang kukuh juga tediri daripada para pengikut dan pemimpin yang sentiasa ‘ paham ‘ tentang tugas masing-masing tanpa diarah sesiapa, tetapi lahir dari kepahaman serta keikhlasan yang datang dari taufik dan hidayah Allah s.w.

Walaupun banyak lagi ‘ tafsiran ‘ lain boleh diambil dari peristiwa sejarah tersebut, amat perlu kita sebagai umat baginda sering memperbaiki dan memantapkan diri masing-masing , sama ada kita sebagai pemimpin atau sebagai pengikut. Sebagai pemimpin janganlah berbangga dan ‘ menggunakan ‘ dengan sewenang-wenang kedudukan sedia ada. Manakala sebagai pengikut jangan pula terpedaya hanya dengan semata-mata melihat ‘ kata-kata tanpa kerja ‘ oleh pemimpin .

Apabila wujud kepahaman serta keikhlasan kedua-dua belah pihak – pemimpin / pengikut – barulah wujud sebuah jamaah yang kukuh dan padu serta tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lain dan oleh ‘ keadaan semasa ‘ .

Kita sebenarnya sedang berada di mana sekarang ?………..





___________________________
Terbitan : 31 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)