|
SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
Dari artikel lama Lokman
Oleh : Anonymous
“BERMULANYA SATU PERJUANGAN”
- Catatan Peribadi Tahanan Politik ISA -
Hari ini, 4 April 2002, genap tiga tahun usia Parti Keadilan Nasional dan enam hari lagi genap pula setahun kami ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Pelbagai pengalaman yang dapat aku pelajari sepanjang tempoh 3 tahun 6 bulan aku bergelar “Aktivis Reformasi” dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim merengkok di balik jeriji besi.
Peristiwa 2 September 1998 bagaikan baru berlaku semalam dan masih bermain dalam ingatanku. Petang itu Samsul Iskandar (kini Naib Ketua Pemuda Keadilan) memaklumkan kepadaku sekitar jam 3, bahawa Anwar telah diberi kata dua oleh Dr. Mahathir sama ada untuk melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan sebelum jam 5.00 petang hari itu atau berhadapan dengan risiko dipecat dan dipenjara. Ketika itu kami telah menelefon beberapa orang teman untuk bersama-sama pergi ke kediaman rasmi TPM, berhampiran Sri Perdana. Tika aku sampai di laman rumah yang agak sederhana itu, wajah pertama yang dapat aku lihat ialah majikanku sendiri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (ketika itu aku bertugas sebagai Pengurus Operasi Projek Tunas Bestari, sebuah program pendidikan Pemuda UMNO). Selain Zahid, aku turut melihat wajah-wajah lain seperti Ustaz Fadzil Noor (Presiden PAS), Ezam Mohd Nor (Setiausaha Politik Anwar), Nasution (Penolong Setiusaha Pemuda UMNO), Dr. Rahim Ghouse (Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang), Zaiyadi Awang Noh (Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Nordin Mohd Nor (Exco Pemuda UMNO), Azmin Ali (Setiausaha Sulit Anwar), Muhammad Zahid Mat Arip (Pegawai Yayasan Gerakbakti Kebangsaan), Hanafiah Man (Pegawai Media Datuk Zahid), Rozaid Abd Rahman (Pegawai Media Datuk Zahid), Jais Sardy (Pegawai Khas Datuk Zahid), Johari Abdul (CEO Yayasan Gerakbakti Kebangsaan) dan ratusan insan lain yang tidak mampu aku sebutkan satu persatu.
Tepat jam 4.00 petang, bekalan elektrik kediaman rasmi tersebut telah dipotong. Penghuni kediaman itu semakin resah kerana terpaksa bergantung kepada generator yang tidak pasti mampu bertahan untuk berapa lama. Halaman rumah itu semakin sesak dibanjiri penyokong Anwar dan tidak sedikit pula anggota Cawangan Khas. Sekitar jam 6.00 petang, Polis mula menghalang orang ramai daripada memasuki perkarangan rumah tersebut. Ratusan insan yang tidak ketahuan asal usulnya mula membanjiri lereng bukit rumah itu bersama para wartawan yang sejak awal lagi dilarang masuk. Tiga orang Pegawai Polis lengkap beruniform muncul tepat jam 7.05 petang, membawa sepucuk surat yang ditujukan kepada Anwar. Sejurus selepas ketiga-tiga pegawai tersebut beredar, Anwar muncul di tingkap atas ruang tamunya dan memaklumkan bahawa surat yang beliau terima adalah daripada Dr. Mahathir untuk memaklumkan bahawa beliau telah dilucutkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta segala jawatan lain dalam kerajaan mulai jam 5.30 petang hari tersebut, iaitu masa dan tarikh surat itu dikeluarkan.
Semua yang hadir ketika itu terpaku buat seketika, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang mereka dengar. Ramai yang menahan sebak, namun ada juga yang melelehkan air mata walaupun cuba disembunyikan. Selepas itu kami menunaikan solat Maghrib berjemaah. Sebaik sahaja selesai solat, Anwar telah memulakan ucapan beliau untuk memperjelaskan kepada hadirin bahawa beliau tidak bersalah, dan apa punca sebenar beliau dipecat. Perkara penting yang beliau tegaskan malam itu adalah, segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah tidak benar dan merupakan satu konspirasi politik yang melibatkan beberapa orang pemimpin utama UMNO. Rata-rata haidirin faham benar bahawa manusia-manusia yang Anwar maksudkan adalah Tun Daim, Dato’ Aziz Shamsuddin, Dato’ Megat Junid, Tengku Adnan Mansur dan beberapa musuh politik Anwar yang lain. Belum sempat Anwar menghabiskan ucapannya, tiba-tiba hadirin memberikan tepukan gemuruh yang luar biasa. Apabila aku menoleh ke arah pintu masuk, aku dapat melihat Tan Sri Muhiyiddin Yassin melangkah masuk. Ketika itu barulah aku sedar bahawa beliau merupakan satu-satunya menteri penuh yang hadir pada malam itu. Dan satu-satunya tokoh korporat terkemuka yang hadir ketika itu juga adalah Datuk Khalid Ibrahim, Pengusaha Guthrie Berhad. Selepas ucapan Anwar, semua penyokong yang hadir pada malam itu disemarakkan dengan pidato-pidato berapi oleh Saifuddin Nasution, Datuk Zahid Hamidi, Ustaz Nakhie Ahmad, Rahim Ghouse, Omar Jaafar dan beberapa tokoh lain. Malam itu aku pulang sekitar jam 3 pagi.
Keesokan harinya selepas makan tengahari, Anwar telah meninggalkan kediaman rasminya untuk berpindah kembali ke rumah peribadinya di No. 8 Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara. Setiba di sana beliau telah mengadakan sidang media pertamanya sekitar jam empat. Masih ramai lagi pemimpin-pemimpin UMNO yang dapat aku lihat di saat itu masih memberikan sokongan padu kepada Anwar. Petang itu aku telah diarahkan oleh Saifuddin untuk menyiasat sama ada benar atau tidak bahawa Hishammuddin Tun Hussein telah belot. Hisham adalah orang yang bertanggungjawab menapis ucapan dasar Datuk Zahid berulang-ulang kali sebelum Zahid membaca teks yang menjadi punca krisis Anwar-Mahathir. Malah ucapan yang mempersoalkan tentang budaya korupsi, kolusi dan Nepotisma (KKN) itu tutur diluluskan oleh barisan Exco Pemuda UMNO, termasuk Mokhzani Mahathir sendiri. Selepas solat Maghrib, aku telah ke rumah Hisham di Ampang. Ketibaanku disambut oleh Razali Ibrahim, Pegawai Khas Hisham dan aku terus dibawa masuk ke dalam untuk bertemu dengan Hisham. Apabila melangkah masuk, Hisham yang sedang rancak bercakap tiba-tiba membisu, mungkin dalam hatinya dia berkata, “macam mana pula dia ni boleh datang?”. Hisham meneruskan bicara dengan cuba menukar tajuk perbualan, malangnya terdapat satu dua soalan dari ahli Pemuda Johor yang hadir memerangkap beliau dan menyedarkan aku bahawa dia sedang menceritakan tentang perbuatan liwat yang kononnya dilakukan Anwar. Hisham merasa serba salah dan akhirnya secara terang-terangan memberitahu bahawa PM telah memperjelaskan kepada beliau tentang kelakuan buruk Anwar dan dia mempercayainya. Aku telah bertanya kembali kepadanya, “Bukankah agak tidak adil kita menghukum Anwar sebelum kita mendengar penjelasannya terlebih dahulu?”. Hisham menjawab, “Saya telah bertemu Dato’ Seri Anwar dan saya yakin PM bercakap benar” (Anwar menafikan pertemuan tersebut). Selanjutnya beliau menegaskan, “Antara saya dan Dato’ Zahid memang terdapat percanggahan. Saya percaya kepada PM dan Dato’ Zahid percaya pada Dato’ Seri Anwar”. Selepas itu dia terus menyuruh Roslan (Setiausaha Sulit Kanannya) membawa aku ke bawah untuk makan malam. Faham benar aku mesejnya yang terang lagi bersuluh itu. Selepas mendapat pengesahan pendirian Hisham, aku terus ke PWTC dan melaporkan kepada Saifuddin melalui telefon tentang pembelotan Hisham. Setibanya di PWTC, sekitar 2,000 penyokong Anwar telah pun berhimpun di pintu masuk Menara Dato’ Onn. Perhimpunan dipimpin oleh Dr. Rahim Ghouse. Sekitar jam 11.30 malam, DSAI telah turun dan memberitahu bahawa beliau telah diminta oleh Dr. Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO atau berhadapan dengan risiko dipecat daripada UMNO, sebelum diberi peluang untuk mempertahankan dirinya. Anwar menegaskan bahawa beliau tidak sekali-kali akan meletakkan jawatan dan beliau yakin bahawa mesyuarat MT UMNO pada malam itu akan mengikut arahan Dr. Mahathir untuk memecatnya daripada UMNO.
Sekitar jam 12.00 malam kami dimaklumkan bahawa Anwar telah dipecat daripada UMNO oleh MT yang hanya menjadi pak turut itu. Ini menyebabkan Dr. Mahathir dilemparkan dengan kata-kata seperti “diktator”, “zalim”, “nyanyok” dan turut dilemparkan dengan botol air mineral kosong sewaktu beliau menaiki keretanya ketika meninggalkan Menara Dato’ Onn. Seperti biasa, dengan sikap muka temboknya itu, beliau masih mampu senyum walaupun dimaki-hamun dengan pelbagai kata-kata kesat buat kali pertama setelah hampir 17 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Beberapa hari berikutnya aku telah menghabiskan masaku di Kem Bina Negara, Meru untuk memastikan kejayaan Kem Motivasi Tunas Bestari bagi pelajar-pelajar dari seluruh Sekolah Menengah terpilih di Negeri Selangor yang akan menghadapi SPM. Turut membantuku ketika itu ialah Mohd Akhbar dan Samsul Iskandar, Wan Mohd Rasul (bekas Pemimpin Kelab UMNO Amerika), Syed Kamaruddin, Mohd Azwani dan hampir sepuluh orang Pemimpin Pelajar UKM, UIA dan beberapa universiti lain. Konsentrasiku ketika mengendalikan Kem Motivasi tersebut agak terganggu. Buat pertama kali sepanjang puluhan Kem Motivasi yang aku kendalikan, aku telah mengambil risiko meminta Timbalan Kem Komandan menggantikan tempatku agar aku bisa pulang pada salah satu malam. Tempat yang aku tuju sudah pasti, Bukit Damansara. Suasana di sana sudah semakin sibuk ketika itu. Siri ceramah umum sudah pun dimulakan tiap-tiap malam sejak Anwar melancarkan Gerakan Reformasi pada tanggal 5 September. Ucapan Anwar menjadi buah tangan kepada teman-teman yang menanti di Meru. Beberapa jam meninggalkan Kem sememangnya membuatkan aku lebih resah kerana takut program terganggu tanpa kehadiranku.
Setelah tamat Kem Motivasi tersebut pada 8 September, aku telah bergegas ke PWTC untuk mendengar sesi penerangan Presiden UMNO berhubung isu pemecatan Anwar. Ramai ahli UMNO dari seluruh negara yang hadir untuk mendengar penjelasan pertama Mahathir berhubung tindakan nekadnya memecat Anwar. Perjumpaan yang bermula pada sekitar 4.30 petang dan dihadiri oleh sekitar 10,000 orang itu telah Mahathir mulakan dengan membelasah Dato’ Zahid Hamidi. Ucapan-ucapan Mahathir membuatkan telingaku panas dan sakit hati. Perasaanku menjadi lebih tidak sabar apabila melihat telatah diktator tua itu memperbodohkan ahli-ahli UMNO yang hadir dengan pelbagai pembohongan dan kenyataan yang tidak logik. Mahathir mengatakan bahawa beliau telah bertemu sendiri dengan salah seorang wanita yang mempunyai hubungan dengan Anwar dan perempuan itu mengaku bahawa beliau pernah menjalinkan hubungan seks dengan Anwar. Mahathir menegaskan bahawa beliau percaya dengan apa yang dikatakan oleh perempuan itu. Aku berkata di dalam hati hatiku, “Apa yang cuba kau lakukan, kau terima tuduhan, kau siasat dan kau jatuh hukuman! Macam mana seorang Perdana Menteri boleh lebih mempercayai seorang perempuan jalanan berbanding kepada timbalannya sendiri yang sudah 17 tahun dididiknya?” Apa yang menaikkan darahku lagi adalah apabila Dr. Mahathir mengatakan, “Anwar sudah berjumpa saya dan dia sudah pun mengaku, dia manusia biasa, dan dia pun ada buat” (Ketika itu Dr. Mahathir merujuk kepada isu homoseks dan zina yang kononnya dilakukan oleh Anwar). Secara tiba-tiba aku merasa seolah-olah tahu, ditambah pula dengan mimik muka Mahathir ketika itu, bahawa beliau sedang berbohong. Tanpa aku sedari, terkeluar dari mulutku ayat, “Nak bohong biar patut-patut!”. Hadirin ketika itu menoleh ke arahku. Mahathir terus berbicara seolah tiada apa-apa yang berlaku. Tatkala itulah aku merasakan pergerakan darah dari seluruh badan menuju ke hujung telingaku lalu aku bangkit dan menjerit sekuat-kuat hatiku, “PEMBOHONG!”. Semua hadirin di dalam dewan terkejut dengan jeritanku itu. Mahathir berhenti sejenak, terkedu dan mengalih topik bicaranya kepada soal ekonomi pula. Walaupun beliau cuba menunjukkan bahawa beliau mampu mengawal keadaan, ucapannya selepas itu tidak lebih dari 15 minit sahaja. Dalam suasana emosi yang keterlaluan ketika itu aku terus meninggalkan Dewan Merdeka dan naik ke Tingkat 8, Ibu Pejabat Pemuda Barisan Nasional, pejabat terakhirku semasa di dalam UMNO. Petang itu, ketika berada di Bukit Damansara, baru aku sedari bahawa ramai penyokong Anwar yang hadir dalam majlis tersebut kerana begitu ramai yang mengucapkan tahniah kepadaku dan melahirkan rasa kagum mereka di atas tindakan beraniku itu. Apa yang menghairankan aku ialah, kenapa tidak ada langsung di antara mereka yang menyahut launganku tadi. Sehari dua selepas itu aku difahamkan UMNO Bahagian Sri Gading telah bermesyuarat dan mencadangkan kepada Badan Perhubungan UMNO Johor untuk membawa usul agar aku dipecat oleh MT UMNO. Dato Abd. Ghani Othman beberapa hari kemudiannya membuat kenyataan bahawa namaku telah dicadangkan untuk diambil tindakan.
Petang 8 September itu juga aku telah mula bertugas sebagai sukarelawan sepenuh masa di Bukit Damansara. Di peringkat awal, Dr. Rahim Ghouse meminta aku menguruskan daftar pelawat dari dalam dan luar negara yang mengunjungi Anwar. Selepas itu aku ditugaskan di bahagian keselamatan DSAI kerana ada khabar angin bahawa terdapat usaha untuk membunuh Anwar. Setelah beberapa hari, aku dilantik pula sebagai Ketua Unit Keselamatan yang bertanggungjawab penuh ke atas keselamatan kediaman Anwar dan pergerakan beliau serta keluarganya di dalam ruman dan semasa ‘road-show’ beliau. Di sinilah bermulanya penglibatanku secara aktif dalam Gerakan Reformasi yang membawa kepada penahananku yang pertama di bawah ISA.
[Rencana ini adalah sebahagian daripada isikandung buku yang bakal diterbitkan oleh Saudara Lokman Adam menjelang Ulangtahun ke-4 Anwar Ibrahim terpenjara].
___________________________
Terbitan : 29 Januari 2004
Ke atas
Home
Diterbitkan oleh : Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)
|