Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Teori 'Beri Gula Kacau' perlu diguna semula

Oleh Nazman Yusof

KOTA BHARU, 30 Jan (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat di negeri ini menggunakan kembali teori "Beri Gula Kacau, Bagi Lembu Sembelih, Beri Kain Pakai, Tapi Undi Bulan' pada pilihan raya umum ini.

Katanya, teori tersebut dicetus pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Lundang (Kenali) pada 1993 dan ia didapati cukup berkesan.

"Teori tersebut masih releven dan rakyat harus terus mempraktiknya semula. Rakyat tentunya akan terus dilimpahi rahmat Allah semasa berada di bawah pentadbiran PAS.

"Kita boleh ambil duit yang disampaikan pemimpin Umno termasuk 'one-off' kerana wang terbabit datangnya dari kerajaan Pusat dan bukannya dari tabung Umno," katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Kubang Kerian di Kampung Binjai, baru-baru ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, rakyat berhak untuk mengambil duit tersebut kerana duit kerajaan adalah datang dari cukai yang dibayar rakyat.

Sementara itu, anggota Parlimen Kubang Kerian, Haji Husam Musa berkata, wujud banyak pertelagahan di antara sesama pemimpin Umno di Kelantan, di mana ada yang bercakap hendak kepada Islam, dan dalam masa yang sama pemimpin lain pula mencabar hudud di mahkamah.

"Pertentangan ini awal-awal lagi berlaku dan ia menggambarkan pemimpin Umno tidak ikhlas sehingga kenyataan yang dikeluarkan berbelit-belit," katanya.

Hadir sama di majlis berkenaan, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh, Adun Pasir Tumboh, Ahmad Baihaqi Atiqulah dan Adun Salor, Buni Amin Hamzah.

Sementara itu, di JELI, Dato' Mustapa Mohamed dijangka akan menjayakan program 'Selamat Tinggal PAS' yang membabitkan seramai 58,000 bekas ahli dan penyokong PAS yang menyertai Umno di seluruh Kelantan.

Menurut sumber, jumlah terbabit telah diputuskan Badan Perhubungan Umno Kelantan sebagai perang saraf untuk berdepan dengan PAS menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Sedangkan katanya, sampul yang diserah kepada Mustapa di setiap majlis diadakan sebenarnya hanyalah kertas A4 yang kosong sahaja.

Anggota Parlimen Jeli, Haji Apandi Mohamed berkata, wakil penduduk yang yang didakwa menyerah borang menyertai Umno di sini, baru-baru ini adalah pemimpin Umno sendiri.

"Saya dimaklumkan telah dua kali acara penyembelihan lembu dibuat untuk menjayakan program tersebut tetapi tidak berjaya. Oleh itu, pada program kedua ketua cawangan Umno itu sendiri terpaksa berlakon menyerah borang menyertai Umno semula," ujarnya.

Baru-baru ini, Mustapa menjayakan program Selamat Tinggal PAS di Kampung Wakaf Simen, Nibung, Jeli di mana menyaksikan ketua cawangan Umno kampung tersebut Abdul Rahman Muda menyerah borang menyertai Umno.

Katanya, tidak ada orang bernama Abdul Rahman Muda yang pernah menjadi ahli PAS di kampung tersebut.

Apandi juga berkata, Mustapa bakal dimalukan pengikutnya sendiri tidak lama lagi, apabila sebahagian mereka sudah menyatakan kesediaan untuk membubarkan beberapa cawangan Umno menjelang pilihan raya umum nanti.

Katanya, umpan kebendaan berupa wang ringgit dan projek yang dicurahkan Mustapa rupa-rupanya menjadi senjata makan dirinya sendiri. - /mj





___________________________
Terbitan : 31 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)