SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Selesaikan dahulu isu asas kebebasan mediaOleh KAMI BERIKUT adalah cadangan rasmi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dalam majlis perundingan bagi pembentukan Majlis Media. Syarat-syarat asas dan sokongan ke arah penubuhan Majlis Media: 1. Kembalikan iklim perundangan yang adil dan budaya kebebasan bersuara yang kini menjadi sasaran kritikan atau pertikaian banyak pihak. Langkah yang paling minima: kerajaan, dan pihak-pihak berwajib, mesti memperakukan dan melaksanakan sepenuhnya kelapan-lapan syor Suhakam kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 12 November 2002 (syor-syor ini dibuat hasil perundingan awal suruhanjaya hak asasi ini pada 1 Ogos tahun yang sama). 2. Wujudkan senario daya saing yang adil dan sihat di kalangan semua pengamal media agar media-scape negara ini tidak didominasi oleh syarikat-syarikat besar yang dipertikaikan akibat mempunyai hubungan erat dengan parti-parti kerajaan dan sering pula dituduh tidak mengamalkan etika kewartawanan yang baik. 3. Penubuhan Majlis Media tidak perlu tergesa-gesa. Seharusnya ia dilaksanakan berperingkat-peringkat, mungkin antara 3 hingga 5 tahun agar: (a) iklim perundangan yang mengongkong dapat diperbetulkan untuk membolehkan wujud media yang independen dan semangat bersuara daripada orang ramai, dan (b) monopoli syarikat besar – ada implikasi politik dan sekali gus ekonomi – dipecahkan dengan memudahkan kemasukan ke pasaran (market entry) syarikat-syarikat lain yang dinafikan haknya selama ini akibat iklim perundangan yang mengongkong. 4. Sementara menunggu keadaan yang kondusif untuk kebebasan media wujud, sebuah jawatankuasa tetap tidak rasmi (informal permanent committee) harus dibentuk di bawah penyeliaan Suhakam – badan yang boleh dipercayai untuk melihat isu-isu media daripada perspektif hak asasi – sebagai langkah susulan sesi-sesi rundingan suruhanjaya ini sejak beberapa tahun lalu. 5. Jawatankuasa ini boleh dipilih daripada pihak terbabit atau pihak berminat – misalnya wakil-wakil yang hadir hari ini – untuk terus berbincang secara terperinci aspek-aspek kebebasan media dan juga kerangka adil pembentukan sebuah Majlis Media. Kekerapan pertemuan jawatankuasa ini boleh diputuskan bersama antara Suhakam dengan anggota-anggota terpilih. 6. Jawatankuasa ini juga harus memberi fokus kepada beberapa “garis panduan strategik” untuk jaminan kebebasan akhbar, persaingan adil dan laporan (media) yang adil seperti berikut (antaranya): (a) garis panduan (kemudian, mesti diperundangkan) jaminan perlindungan kepada pengamal media daripada tekanan politik, penapisan (censorship) dan amalan-amalan diskriminatif di segenap peringkat. Ia membabitkan juga akses yang memudahkan kerja-kerja mendapatkan maklumat (khususnya daripada kerajaan) dan suasana kerja tanpa rasa takut atau berpihak (without fear or favour). Oleh itu, sebuah Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) harus segera digubal dan semua peruntukan akta-akta sedia ada yang mencabuli kebebasan akhbar dimansuhkan. Prinsip yang dipakai dalam penggubalan garis panduan ini adalah ‘right to know’ (“hak untuk tahu” perjalanan kerajaan) dan juga ‘right to tell’ (“hak untuk melaporkan” dengan jujur, bebas dan adil). (b) garis panduan konsep dan amalan laporan adil (fair reporting) kepada pihak-pihak terbabit, misalnya hak untuk mendapat liputan dan hak untuk menjawab (right to reply). Termasuk menerima aduan jika terdapat sumbangan (pendapat, tulisan, rakaman audio atau rakaman visual) yang diketepikan tanpa sebab yang adil dan munasabah. (c) garis panduan dan penguatkuasaan kod amalan profesional wartawan. Isu inilah yang menjadi teras perundingan Suhakam pada hari ini, dalam konteks pembentukan Majlis Media. Tetapi kita mahu sesi-sesi perundingan yang lebih terbuka dan telus (juga membabitkan beberapa pihak lagi) agar ia menjadi satu kod yang adil, sesuai dihayati bersama dan boleh dikuatkuasakan jika ada pelanggaran. (d) garis panduan isu-isu yang dianggap “sensitif” – misalnya agama, kaum, moraliti dan pertahanan negara. Isu ini sering dijadikan alasan mudah untuk mengelakkan laporan dan perdebatan sihat tentang penyelewengan, diskriminasi atau salah guna kuasa. Oleh itu, garis panduan ini harus lebih sempit (narrowly defined) dan pengecualiannya (apabila ada) harus lebih sempit, misalnya panduan yang dikemukakan oleh Article 19, sebuah badan hak asasi di London, untuk konsep ‘keselamatan negara’ ketika menggubal FOIA. 7. Jawatankuasa tetap tidak rasmi ini juga boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk meneliti aspek-aspek teknikal dan terperinci aduan-aduan orang ramai, wartawan atau pihak-pihak terbabit jika wujud sebarang pencabulan hak kebebasan media. Ia berperanan ke arah suasana kerja “pemantauan” sebelum Majlis Media diwujudkan secara rasmi. 8. Semua media – khususnya akhbar harian, radio dan televisyen – mulai saat ini mewujudkan ruangan bagi isu-isu kebebasan media (termasuk pembentukan Majlis Media) dibahaskan dengan saksama oleh pihak-pihak terbabit atau mereka yang berminat. Oleh kerana isu kebebasan media merangkumi banyak sektor masyakarat dan dianggap batu asas utama demokrasi, perdebatan sihat, ilmiah lagi rasional di media-media ini akan memberi satu ukuran ke arah budaya kerja yang jujur, adil dan bebas. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) akan menghantar satu memorandum berasingan untuk tujuan ini jika perundingan hari ini gagal mencapai kata sepakat dalam hal ini. 9. Pertemuan hari ini tidak perlu tergesa-gesa untuk membahaskan semua perkara seperti diagendakan. Ada kewajaran jika semua peserta ini dibahagikan – mengikut minat dan kepakaran masing-masing – untuk terus berbincang dan merumuskan aspek-aspek terperinci ini dalam sesi-sesi perundingan selanjutnya, juga di bawah penyeliaan Suhakam. 10. Semua bentuk garis panduan, konsep pembentukan, mekanisme dan pemilihan anggota Majlis Media – atau apa-apa keputusan berkaitan dengannya – mesti didasari pada semangat Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga dua dokumen susulan, Kovenan Antarabangsa bagi Hak-hak Sivil dan Politik, dan Kovenan Antarabangsa bagi Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya yang disokong dari segi prinsipnya oleh Suhakam dan sebagai piawaian masyarakat antarabangsa. Sebarang pencabulan hak-hak ini bakal menggagalkan imej dan wibawa Majlis Media kerana ia tidak berhasrat untuk mendukung kebebasan media khasnya dan kebebasan bersuara umumnya. --------------- Dikeluarkan oleh Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) untuk diedarkan kepada perwakilan ‘Perundingan bagi Pembentukan Majlis Media’ anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 8 Januari 2004. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Fathi Aris Omar, jurucakap KAMI, e-mel: fathiaris@yahoo.com atau telefon 019-364-38-02___________________________ Terbitan : 14 Januari 2004
Diterbitkan oleh : |